Langkau ke kandungan utama

Kehilangan Ngeri Pendekar Utara..

Assalamualaikum...

Jom baca lagi kisah kemalangan yang melibatkan sepupuku. Aku dah compilekan dari semua surat khabar yang aku baca.

Berita semalam, semua ambik dari Bernama. Hari ni surat khabar dah berbeza tulis mengenai berita ini.

Elak 'lembu besar'

Oleh Mohamad Hussin dan Zuliaty Zulkiffli
mohamad@hmetro.com.my

ZIARAH...keluarga dan kenalan menziarahi jenazah Ahmad di Kampung Alor Rela, semalam.
ZIARAH...keluarga dan kenalan menziarahi jenazah Ahmad di Kampung Alor Rela, semalam.

ALOR SETAR: “Saya ternampak seekor ‘lembu besar’ berwarna hitam melintas secara tiba-tiba. Saya cuba mengelak tapi gagal,” kata Rashidi Ahmad, pemandu van yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan lima guru silat di Jalan Titi Haji Idris, Pendang dekat sini, awal pagi semalam.


Rashidi, 24, memandu van Ford Econovan membawa lapan penumpang yang dalam perjalanan pulang selepas mengadakan pertunjukan silat di majlis perkahwinan ahli keluarga seorang daripada mangsa di Sungai Buloh, Selangor, kelmarin.

Seorang daripada yang terbunuh dalam kejadian jam 3.30 pagi itu ialah ayah Rashidi, Ahmad Ismail, 60, dari Kampung Alor Rela, Langgar, yang maut di tempat kejadian.

Turut maut di tempat kejadian Juhari Darus, 65, dari Kampung Pering, Kodiang dan Jumaat @ Saad Mat Akhir, 65, dari Malau, Jitra.







Remuk. Nampak batang pokok lagi..
  • .
  • Sudin Idris, 65, dari Kampung Telaga Mas dan Eshak Awang Kechik, 78, dari Kampung Tualang, Pokok Sena, pula meninggal dunia pada jam 9 dan 11.45 pagi semalam ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.Rashidi, Ariffin Mahazon, 56, dan Mohd Idris Mohd Senapi, 20, dirawat sebagai pesakit luar manakala seorang lagi penumpang, Che Ishak Hussin, 54, ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.
PILU...keluarga Ishak sebak selepas diberitahu mengenai kematian mangsa.

 

Menurut Rashidi, selepas cuba mengelak ‘lembu besar’ hitam itu, van dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok berhampiran sawah.

“Selepas itu, saya tak ingat apa berlaku. Apa yang saya tahu, saya berada di tepi jalan sebelum ternampak ayah masih berada di tempat duduk penumpang hadapan van dan dipercayai sudah meninggal dunia kerana tersepit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Rela, Langgar, dekat sini, semalam.
Rashidi dan semua penumpang van berkenaan adalah guru silat yang juga ahli Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah.

Mereka bertolak dari Sungai Buloh dengan diikuti sebuah kenderaan lain berkonvoi untuk pulang ke Kedah, kira-kira jam 6 petang kelmarin dan kejadian berlaku ketika van dipandu Rashidi menghala ke Langgar dari arah Pendang.

Rashidi berkata, dia tidak mengantuk ketika memandu kerana sepanjang perjalanan mereka berhenti rehat di lima hentian rehat dan rawat (R&R) Lebuhraya Utara-Selatan sebelum meneruskan perjalanan pulang.
“Ayah tak banyak bercakap cuma ketika berhenti di hentian R&R Bukit Gantang, Perak, dia singgah minum bersama rakan-rakannya manakala saya duduk di meja lain.

“Sejak di Sungai Buloh lagi hati saya tak tenteram kerana berasakan sesuatu yang bakal berlaku, namun saya cuba melupakannya. Akhirnya berlaku kemalangan ngeri ini sehingga menyebabkan kematian ramai termasuk ayah,” katanya.


Rashidi yang juga anak keenam daripada tujuh beradik berkata, sebaik ternampak ‘lembu hitam’ melintas jalan, dia tidak sempat berbuat apa-apa kerana jalan raya di situ gelap dan hanya menyedari kemalangan itu sebaik berada di bahu jalan.


Dia dipercayai tercampak keluar melalui tingkap van akibat rempuhan kuat itu yang menyebabkan dia berada dalam keadaan separuh sedar dan dibawa ke HSB untuk mendapatkan rawatan dengan menaiki ambulans.


“Setahu saya, kawasan itu tidak pernah ada lembu pun dan kalau ada sekali pun hanya waktu siang, tetapi jarang pula ada waktu tengah malam dan awal pagi.


“Saya reda dengan apa yang berlaku kerana kehilangan ayah dalam sekelip mata selain rakannya yang menjadi orang kuat dalam persatuan silat itu,” katanya.


 Sumber: MyMetro



Mangsa lambai minta tolong

PENDANG – Seorang penumpang van yang mengalami cedera ringan dilihat berada dalam keadaan duduk di bahu jalan sambil tangannya melambai-lambai meminta tolong kepada pengguna jalan raya yang lalu di situ walaupun dalam keadaan gelap dan sunyi.

Seorang saksi, Md Isa Syafie, 34, terkejut melihat seorang lelaki berada dalam keadaan duduk di bahu jalan sambil melambai tangan ke arahnya.


Beliau kemudian terpandang sebuah van berada dalam sawah padi ketika dalam perjalanan pulang dari Tajar ke rumahnya di Kampung Banggol Pauh Air Puteh Pendang.

Menurutnya, atas dasar simpati walaupun dalam keadaan takut dia segera memberhentikan keretanya lalu berlari menuju ke tempat kejadian walaupun keadaan begitu sunyi dan tiada kenderaan lain yang lalu di situ ketika itu.

“Saya terfikir di dalam hati bahawa orang yang melambai ke arah saya adalah mangsa kemalangan van itu. Saya pergi ke arahnya sambil menghampiri van.

“Lelaki yang melambai tangan kepada saya itu hanya mengalami kecederaan ringan dan meminta saya menolong rakannya yang lain,” katanya.

Mat Isa berkata, dia menolong seorang mangsa yang mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala yang tercampak keluar dari van ke dalam sawah padi.

“Saya semakin panik apabila mendengar suara meraung kesakitan dan minta tolong dari dalam van itu menyebabkan saya cuba menghubungi 999. Keadaan panik ketika itu menyebabkan saya gagal memberi maklumat yang jelas kepada mereka.

“Saya cuba pula menghubungi rakan dan meminta pertolongannya supaya menghubungi bomba dan polis,” katanya.

Dalam beberapa minit berada di tempat kejadian itu seorang diri, beliau tidak mampu menolong mangsa di dalam van kerana keadaan gelap.

Menurutnya, sebuah kereta Proton Wira yang melepasi melalui kawasan itu kemudian berpatah balik ke untuk melihat apa yang berlaku.

“Keadaan menjadi sangat sedih apabila kereta yang berpatah balik itu rupa-rupanya adalah rakan-rakan mangsa yang sama-sama pulang dari Kuala Lumpur,” katanya

Sementara itu, rakan mangsa, Harun Saad, 57, pulang menaiki kereta Wira dari destinasi yang sama turut meluahkan rasa sedih kerana tidak menyangka rakan-rakannya terbabit dalam kemalangan itu ketika melintasi kawasan berkenaan.

Beliau berkata, van itu berada di hadapan dan mereka mengikut dalam jarak yang dekat sebelum melihat satu kemalangan menyebabkan kereta itu berpatah balik.

“Apabila melihat kemalangan itu, saya terkejut kerana rakan-rakan pesilat dan pemain muzik persatuan kami yang terbabit.

“Seramai 14 pemain muzik dan pesilat mengikuti jemputan persembahan kenduri perkahwinan itu. Begitu menyedihkan apabila rakan-rakan yang meninggal itu sempat bergurau ketika berehat makan di beberapa destinasi perhentian lebuh raya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian


Tragedi ngeri pendekar utara

ANGGOTA polis melihat keadaan sebuah van yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Titi Haji Idris, Pendang, Alor Setar hingga mengorbankan lima guru silat semalam.


ALOR SETAR - Jumlah penonton yang luar biasa ketika menyaksikan persembahan lima guru silat di sebuah majlis perkahwinan di Sungai Buloh, Selangor kelmarin rupanya menjadi petanda kesemua pendekar itu akan dijemput ajal dalam kemalangan jalan raya semalam.

Kejadian pukul 3.30 pagi itu berlaku apabila sebuah van yang membawa sembilan penumpang termasuk guru silat berkenaan terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Jalan Titi Haji Idris, Pendang dekat sini. Empat penumpang lain cedera parah.

Difahamkan, kesemua mangsa daripada Persatuan Persilatan dan Pergendangan Silat Kedah. Mereka dalam perjalanan pulang ke Pokok Sena.

Mereka yang maut ialah Ahmad Ismail, 65, (guru silat Melayu Pattani), dari Alor Rela, Langgar; Juhari Darus, 65, (guru silat Gayung Pattani) dari Kampung Paya, Kodiang, Jitra dan Jumaat @ Saad Mat Akil, 62, (guru silat Tari Segelek) dari Kampung Manggol, Malau, Jitra.

Sumber: Kosmo


Lima guru silat maut, 4 cedera

Ketua Trafik Daerah Pendang, Abdul Ghani Kamis (dua, kanan) melihat van yang terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan lima guru silat di Ibu Pejabat Polis Derah Pendang, semalam.


PENDANG 21 Mac – Lima guru silat maut manakala empat lagi cedera apabila van yang mereka naiki terbabas lalu merempuh sebatang pokok di Jalan Titi Haji Idris di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi, tiga penumpang van itu maut di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Mangsa yang terbunuh di tempat kejadian ialah guru Silat Melayu Asli, Ahmad Ismail, 65, dari Alor Setar; Juhari Darus, 65, dari Kodiang (Silat Gayung Patani), dan Jumaat @ Saad Mat Akhir, 65, (Silat Tari Segelek) dari Malau, Jitra.
Sudin Deris, 65, yang merupakan guru Silat Minangkabau Asli meninggal dunia di HSB kira-kira pukul 8.30 pagi ini manakala seorang jurulatih Silat Gayung Patani, Ishak Awang Kechik @ Hanafiah, 78, meninggal dunia kira-kira pukul 11.15 pagi ketika menerima rawatan di wad kecemasan HSB.

Selain mereka, penumpang lain, Che Ishak Hussin, 54, masih kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB manakala tiga yang lain termasuk pemandu van, Roshidi Ahmad, 24, dan dua penumpang lagi, Mohd. Idris Senafi, 20, dan Ariffin Mahazon, 56, dirawat sebagai pesakit luar.

Kesemua mangsa adalah ahli Persatuan Persilatan dan Pergendangan Silat Negeri Kedah yang dalam satu rombongan untuk pulang ke Alor Setar selepas mengadakan persembahan di sebuah majlis kenduri kahwin di Sungai Buloh, Selangor semalam.

Salah seorang ahli rombongan itu, Harun Saad, 55, berkata, dia bersama lima lagi ahli pergi ke Sungai Buloh pada Sabtu lalu dengan menaiki kereta Proton Wira miliknya.

“Sembilan lagi ahli menaiki van jenis Ford Econovan milik Ahmad dan kami bertolak dari Sungai Buloh untuk pulang ke Alor Setar kira-kira pukul 6 petang semalam.

“Kereta saya berhenti sekejap di hentian R&R (Rehat dan Rawat) Gurun untuk menukar pemandu dan kami ketinggalan jauh daripada ahli rombongan yang menaiki van,” katanya.

Ketika melalui jalan itu, dia ternampak sebuah kenderaan terbabas dan berpatah balik bagi melihat kemalangan itu dan dia terkejut apabila mendapati kenderaan itu adalah milik rakan kumpulannya.
“Saya mendengar mereka mengerang kesakitan. Dua mangsa tercampak di atas batas sawah manakala tujuh yang lain berada di dalam kenderaan dan terhimpit,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Pendang, Asisten Supritendan T. Pubadi ketika dihubungi memberitahu, siasatan awal mendapati pemandu van berkenaan dipercayai mengantuk namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.


Sumber: Utusan Malaysia.


Takziah. Kesian dan sedih.. Mohd Idris tu sepupuku, dia cedera kat kepala dan kaki. Khabar dari seorang lagi sepupuku, dia tak boleh berjalan.. Khabar dari ayahku, dia berjahit di kepala dan keluar melalui tingkap van.

Nasib baik kenderaan buatan luar negara. Kalau Proton atau Perodua, pasti lagi teruk keadaan mereka. Kesan hentaman pada van sangat teruk. Pasti dipandu laju. Nanti la, aku cerita lagi, benarkah ia dipandu laju (selepas dapat berita sebenar dari Mat Deris), itu pun kalau aku ada kesempatan untuk balik kampung.

Bacaan lain:
http://sha-myheart.blogspot.com/2011/03/seorang-lagi-guru-silat-nahas-jalan.html
http://sha-myheart.blogspot.com/2011/03/abangku-terlibat-dalam-excident-yang.html

Hati-hati semasa memandu.

Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!
8 ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tips Pakaian Untuk Konvo

Innershine Prun dan Camu-camu: Testimoni Cantik Kulit Berseri

Sedap. Manis-manis masam. Kalau ada rasa kurma, lagi best. Marvellous. Ada orang cakap, masam sedikit. Pada Sha yang tak makan masam langsung, rasa Innershine ini tidaklah masam mana. Sedikit sahaja rasa masamnya, berbanding produk lain yang lagi rasa masam asam jawa (Ladies Collagen). Innershine rasa masam buah camu-camu sahaja. 
Harga pasaran untuk 6 botol RM 28.90 dan untuk 12 botol RM 57.90. Berat satu botol 42 gram. Harga boleh dapat murah, ikut pasaraya. Pandai-pandailah korang pilih. Sha tengok kat Aeon (Jaya Jusco nama lamanya) pada 13 Jun 2014, harga seperti di atas. Tapi Sha tengok kat Big Aeon harganya lebih murah. Pek kecil (6 botol) hanyalah RM26.90 manakala yang besar RM54.90. Murahlah berbanding harga asal.
Perubahan magik yang Innershine Prun dan Camu-camu lakukan kepada diriku:

Hari pertama, minum malam sebelum tidur, tak dapat tidur dan esok paginya, perut membuang, detox kan? Hehe.
Lusanya, minum awal sikit dalam pukul 9 malam. Tidur, ok saja. Perut ok, tak ada…

Petua Tutorial Cara Pakai Contact Lens (Kanta Lekap)