Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 37 )]: Kepada-Mu Kekasih, aku berserah!

PERBINCANGAN antara dua keluarga berlangsung dalam suasana sederhana tetapi lancar. Keluarga daripada pihak Halim hanya diwakili oleh Ros Ilyani berserta dua orang ibu saudara mereka dari kampung.

Kedua-dua pihak bersepakat untuk terus menetapkan hari perkahwinan tanpa ada majlis pertunangan. Kedatangan keluarga Halim pada hari tersebut yang pada mulanya bertujuan merisik Rania sudah bertukar menjadi majlis hantar cincin tanda.

Sudah terikat aku kini, bisik Rania setelah dimaklumkan oleh ibunya tentang situasi majlis tadi.

“Mereka minta dipermudahkan sebab susah nak datang berulang-ulang,” kata Puan Sri Zalia agak sugul.


“Itu yang terbaik mama.”

Puan Sri Zalia tidak terkata. Impiannya untuk melihat majlis perkahwinan Rania diadakan dengan begitu meriah nampak gayanya tinggal angan-angan sahaja.

“Buat bagai nak rak, lepas itu bercerai-berai tak guna juga mama,” sampuk Rais yang sependapat dengan Rania.

Dia yang baru saja sampai di rumah ibunya nampak masih mengah. Melihat wajah Rais yang masam-masam manis, Rania tarik diri dan naik ke atas menuju ke kamarnya.

“Tadi Yati telefon mama,” jelas Puan Sri Zalia seraya memerhati langkah Rania.






“Bila?” dalam menyampah, Rais bertanya juga.

“Sebelum rombongan pihak Halim sampai.”

“Dia hendak apa?” tanya Rais sinis.

“Dia tanyakan tentang majlis Ren. Dia terkilan tak dapat hadir sebab katanya tak diberitahu,” Puan Sri Zalia menjeling Rais.

“Huh, tak payahlah nak tunjuk baik.”

“Apa salahnya ajak dia dan apa salahnya dia bertanya khabar,” pujuk Puan Sri Zalia berbaik sangka.

Walaupun ada ketikanya pernah Puan Sri Zalia berkecil hati dengan sikap menantu yang jarang menjengah tapi dia masih rasional. Dia menerima kekurangan menantunya itu sebagai kelemahan manusia.

“Mama, dia mahu kami rujuk balik,” akui Rais.

“Kalau itu yang terbaik, apa salahnya. Lagipun kamu berdua belum sah bercerai lagi,” sambung Puan Sri Zalia lagi.

Bingit kepalanya memikirkan masalah anak-anak. Mana yang hendak bercerai, mana yang hendak bertunang. Setakat ini yang nampak teratur dan cantik perjalanan rumah tangganya ialah Rindu dan Iskandar.

Yang lain? Macam-macam kerenah. Ridwan sehingga kekal dengan dunia dan misi keamanannya. Rais dengan Haryati yang hubungan mereka seperti telur di hujung tanduk. Rania pula? Aduhai anak!

“Saya tak boleh hidup dengan Yati lagi mak. Saya rasa macam duduk bawah telunjuk dia,” kata Rais setelah agak lama berdiam diri.

“Di sinilah kamu kena main peranan Rais. Tunjukkan kewibawaan kamu sebagai seorang suami,” pujuk Puan Sri Zalia.

Hati ibu, manakan tenang melihat rumah tangga anak menantu terusan dilambung badai kehidupan. Tidak Rais pedulikan kata-kata ibunya. Dia memandang keliling. Rania sudah tiada bersama mereka.

“Saya nak jumpa Rania sekejap mak,” ujar Rais seraya bangun.

Buat masa ini yang paling penting ialah Rania. Hal dia dengan Haryati boleh ditangguhkan dulu tapi hal Rania makin ditangguh makin sukar untuk disimpulkan talinya. Dia tidak mahu Rania melakukan kesalahan sama yang telah dilakukannya.

Cukuplah dia seorang yang merasakan masam manis perkahwinan kerana kurangnya madu cinta. Dia mahu Rania bahagia yang sebahagia-bahagianya. Dia mahu Rania berkahwin dengan seseorang yang dicintai tapi bukan berkahwin dengan seseorang yang dikasihani.

Selagi Rania belum sah bergelar isteri Halim, selagi itulah harapan masih ada, fikirnya.

Diketuk pintu bilik Rania. Kerana tiada tindak balas, Rais memulas tombol pintu yang tidak berkunci. Sebaik masuk, dia nampak adiknya sedang berteleku di dada sejadah. Sedang berdoa.

Dia duduk di atas sebuah bangku yang bersambung dengan katil besar di bilik Rania. Dia membiarkan Rania menghabiskan doanya. Meskipun terkawal, Rais dapat menangkap rintihan kecil dari mulut Rania yang bergema dengan bunyi desir angin yang menyusup dari daun jendela yang terkuak. Agak lama juga Rais menunggu sehinggalah sewaktu Rania berpaling seusai doanya, muka Rania menjadi terkejut menyedari Rais ada di situ.

“Bila abang masuk?” tanya Rania lalu menghampiri Rais. Ditanggalkan telekung yang menutupi tubuhnya.

“Khusyuknya sampai tak sedar abang masuk.”

Rania senyum nipis. Sekilas ikan di sungai sudah dia tahu jantan betinanya. Sebaik terpandang wajah Rais, dia dapat mengagak apa mahunya Rais.

“Macam mana? Bahagia?” tanya Rais sengaja mahu menangkap rona wajah Rania. Malangnya tidak dia bertemu kebahagiaan di wajah jelita sang adik.

“Kita harus redha dengan takdir yang Allah berikan,” sahut Rania.

“Bukankah Allah juga suruh manusia berusaha,” tukas Rais.

Rania menarik nafas panjang, lalu memejamkan matanya sambil di dalam hatinya berdoa agar hatinya tidak berbolak-balik lagi. Sekarang, dia sudah bergelar ‘milik’ orang dan dia harus menghormati hak pemiliknya. Dia tahu Rais tidak pernah bersetuju dengan pilihannya. Tidak bersetuju Rais pada dasarnya bukanlah kerana menentang pilihan Rania tapi sebenarnya kerana Rais sangat menyayanginya.

“Abang tak mahu Ren mengulangi kesilapan abang,” tekan Rais.

“Abang tak pernah buat silap,” tutur Rania.

“Kesilapan abang kerana tidak mendengar bisikan hati abang. Abang tak ikut gerak hati. Abang dapat rasakan Ren mengalami getaran yang sama dengan apa yang pernah abang lalui.”

“Kalau pun betul apa yang telah abang katakan, apa yang mampu Ren buat?”

“Berterus terang pada Halim bahawa Ren tidak menyintainya.”

“Kenapa dulu abang tak kata begitu pada kak Yati kalau abang tak menyintainya? Kenapa abang kahwin juga dengan dia?”

“Abang keliru Ren. Abang redah takdir abang tanpa fikir.”
“Itu takdir abang. Dan ini takdir Ren.”

“Ren masih belum mengahwini Halim. Ren masih ada masa,” tegas Rais.

“Abang, Ren tak sanggup nak kecewakan Halim. Cukuplah Ummar Qayyum yang Ren kecewakan,” rintih Rania.

“Kalau begitu kata Ren, kembali semula ke pangkuan Qayyum. Abang dah cerita semua pada dia termasuk tentang Murni.”

Bulat mata Rania mencerlung Rais.

“Abang tak sanggup nak terus bersubahat dengan Ren. Sekarang Ummar Qayyum dah tahu segalanya.”

Dada Rania kembang kempis. Rasa hatinya bercampur-baur. Dia terkejut sebenarnya. Akhirnya tahu juga Ummar Qayyum. Bagaimana penerimaannya?

“Ren marah abang beritahu Qayyum?” tanya Rais terusan.

Untuk seketika Rania berdiam diri. Lama kemudian Rania menggeleng.

“Ren tak marah tapi Ren kasihankan Qayyum. Ren lebih rela Qayyum tak tahu apa-apa daripada dia tahu dan melukakan hatinya, menambahkan laranya,” rintih Ren perlahan.

Dia berasa sebak. Baginya lebih baik Ummar Qayyum memikirkan bahawa dia sudah ada pengganti daripada dimaklumkan tentang hal sebenar.

“Abang nak dia tahu bahawa Ren tak bersalah,” tekan Rais. “Abang tak mahu dia salah faham terhadap adik abang sebab abang tahu hati budi adik abang,” tekan Rais. “Abang dah buat kesilapan dalam hidup abang dan abang tak mahu Ren mengulanginya.”

“Abang memburukkan keadaan,” suara Rania makin sayu.

“Abang minta maaf. Abang tak ada pilihan,” sahut Rais.

“Tinggalkan Ren sendiri,” pinta Rania.

Hatinya begitu hiba mendengar penjelasan Rais. Walaupun dia berasa agak terkilan kepada Rais kerana menceritakan tentang keadaan sebenar pada Ummar Qayyum tapi kini nasi sudah menjadi bubur. Tidak ada apa yang dapat dilakukan sekarang. Cuma yang terfikir di benaknya kini ialah apa yang mampu Ummar Qayyum lakukan sungguhpun kebenaran sudah terurai? Bukankah menambahkan pedih di hatinya?

“Kamu ni Rais?” marah ibunya bila diketahui duduk perkara sebenar. “Tak ada beban batu digalas,” kiasnya. “Elok-elok Ren dah redha, kamu peningkan pula kepalanya.”

“Habis mak nak suruh saya duduk diam saja padahal saya tahu perkara sebenar?” bantah Rais.

“Betul Puan Sri,” sampuk Mak cik Rohana yang turut terkena tempias simpati pada Rania dan Ummar Qayyum.

“Kan sama cantik dan sama padan kalau Ren dengan Ummar Qayyum duduk bersanding berdua. Kalah anak raja England,” seloroh Mak cik Rohaya lagi.

Hendak tergelak Rais mendengarnya tapi melihat muka rusuh ibunya, dia menutup mulutnya yang sudah pun tersenyum nipis.

Hujan yang tadinya turun renyai-renyai kini makin lebat. Dari jendela kamarnya Rania menyaksikan titis-titis besar yang bersambung membentuk satu jalur air yang seolah-olah keluar dari lubang pili.

Bukan dia sahaja yang merenung titis-titis besar yang akhirnya pecah pada kala jatuh di bumi bahkan Ummar Qayyum yang berada di tingkat 13 kondominium mewah di Seri Ampang turut sama merenung titis-titis yang berkisah tentang sebahagian daripada jalur hidupnya.

Seperti hatiku tamsilnya titis-titis itu. Berderai satu persatu. Entah bila akan sembuh, dia sendiri tidak pasti. Namun, jauh di sudut hati dia tetap berasakan bahawa ada sesuatu yang ajaib akan berlaku.

Apakah perkara ajaib itu? Setakat ini satu persatu berita-berita sedih aku lihat dan tak kurang juga yang singgah di telingaku. Mula-mula bertembung dengan Rania bersama Halim dengan Ros Ilyani di restoran Pizza Hut. Hati pedih hanya Tuhan yang tahu tapi siapa yang peduli. Tambah mendukacitakan bila Halim menerangkan bahawa mereka sedang mencari kad undangan perkahwinan.

Muka Halim berseri-seri. Masakan tidak, bunga yang cantik dan suci hampir berada dalam genggaman. Dia saja yang seperti menggigit jari. Inilah yang dikatakan orang, kalau bukan jodoh, sudah hampir disunting pun boleh jatuh ke tangan yang lain.

Lebih memilukan, Rania seperti tidak sudi langsung memandang mukanya padahal dia terkial-kial mencuri pandang ke wajah Rania dengan susah payahnya. Bukan dia tidak sedar mata liar Halim setiap saat bagai meneropong setiap lirik matanya. Tapi dibiarkan. Dia tidak kisah apa fikiran Halim terhadapnya yang asyik mahu merenung Rania.

Kemudian, dengan tiba-tiba pula dia dikejutkan dengan perkhabaran yang dibawa oleh Rais tentang Murni. Betapa Murnilah yang menjadi dalang sehingga akhirnya Rania berpatah arang. Dadanya berkocak bukan kepalang. Kalau ikutkan hati, hari itu mahu saja dia tinggalkan Murni sendirian.

Tapi kenangkan Murni sudah seperti adiknya, diusungnya juga Murni dan dibawa pulang ke kampung. Sepanjang jalan dia tidak mampu bersuara apatah lagi mahu menjawab pertanyaan Murni. Ikutkan marah, mahu saja dia hamburkan bengkak hatinya pada Murni, tapi akalnya mampu mengatasi amarah.

Lebih lagi bila dikenangkan budi baik Murni terhadap ibu di kampung. Murnilah yang bersusah-payah menjaga ibunya sewaktu dia dan adik-beradiknya yang lain sibuk dengan urusan masing-masing. Kerana itu ditelan segalanya.

Namun secara tidak sedar, kisah Murni terkeluar juga dari mulutnya sewaktu berbual dengan emak di kampung. Dia tidak sengaja memecahkan kisah itu. Dia bosan apabila emak asyik memuji-muji Murni dan menyuruhnya menerima Murni kembali.

Berair mata ibunya mendengar cerita tersebut.

“Emak tak percaya Murni buat begitu.”

“Terpulang pada emak.”

“Rania beritahu kamu?”

“Bukan Rania tapi Rais. Itupun sebab Rais tak sanggup nak berahsia lagi. Dia kasihankan adiknya.”

“Murni tahu kau dah tahu?”

Ummar Qayyum menggeleng.

“Bila kamu tahu?”

“Baru saja.”

“Kenapa kau tak beritahu Murni tentang apa yang kau dengar. Mungkin orang nak aniaya Murni.”

“Kenapa orang nak aniaya dia mak? Bukan Murni yang tak terima saya tapi saya yang berkalih kasih. Salah saya barangkali sehingga akhirnya Ren jadi mangsa,” sangkal Ummar Qayyum.

“Emak nak tanya pada Murni.”

“Tanyalah.”

“Mak nak dengar dari mulut Murni sendiri.”

“Saya takut Murni yang tak dapat menerimanya.”

“Kalau kau tak suka Murni, tak payahlah nak burukkan dia,” kata emaknya terjebik.

Ummar Qayyum terdiam. Dia tak sanggup bercakap lagi. Bimbang hati ibunya makin tercalar. Sayang benar emak pada Murni. Mana tidaknya, Murnilah yang menjaganya, menemaninya malah menjadi teman emak menggantikan anak-anak. Peranan Murni besar di rumah itu malah mengalahkan peranan yang dimainkan oleh mereka sebagai anak-anak emak.

“Maafkan saya emak kalau apa yang saya khabarkan melukakan hati emak,” rintih Ummar Qayyum.

Dan berita terkini yang baru saja disampaikan oleh Rais makin meruntun hatinya.
Rania kini sudah sah diikat dengan sebentuk cincin. Tadi Rais menghubunginya. Mengesahkan berita tersebut.

“Aku harap kau dapat berbuat sesuatu,” Rais memberi cadangan. “Harapkan Ren, dia dah pasrah. Nampak gayanya tak ada apa yang dapat mengubah keputusannya.”

“Kalau dia dah pasrah, kenapa kau yang beriya-iya?” tanya Ummar Qayyum
“Sebab aku kenal adik aku. Dia nak kahwin dengan Halim bukan sebab cinta tapi sebab kasihan,” Rais begitu yakin dengan kata-katanya.

“Aku tak tahu Rais. Bukan prinsip aku mengganggu hak orang lain.”

“Aku sayangkan kau berdua dan aku rasa rugi kalau kau berdua yang saling menyintai tidak bersatu sebab ego,” tuduh Rais.

“Aku boleh letakkan ego aku di bawah untuk Rania,” akui Ummar Qayyum.

“Kalau begitu, katakan pada Rania. Minta dia kembali pada kau.”

Ummar Qayyum makin keliru. Kata-kata Rais terngiang-ngiang di telinganya. Perlukah aku berbuat begitu? Kalau aku mahu bertindak begitu, sudah lama aku buat. Fikirnya jauh.

Dia bergerak menghampiri beranda. Dari beranda berbumbung separuh, diperhatikan hiasan dalaman kondominium mewah yang sudah diubahsuai sejak lima bulan yang lalu. Kononnya untuk memberi kejutan kepada Rania. Kondominium yang sepatutnya menjadi milik dirinya dan Rania sesudah ijab kabul.

Kondominium mewah yang dibeli dengan harga melebihi setengah juta untuk mereka berdua kalau sesekali bersantai di jantung Kuala Lumpur. Kediaman mewah itu sudah diisi dengan perabot dan dikemaskan dengan kabinet pasang siap serta kelengkapan yang lain. Hampir RM300,000 dibelanjakan untuk memenuhkan isi kondominium itu.

Dari tingkat 17, Menara Berkembar Petronas dapat dilihat dengan mudah dan nyata sekali. Tambah cantik bila dilihat pada waktu malam. Di beranda itulah sepatutnya, tempat dia dan Rania akan memadu cinta setelah bergelar suami isteri kelak. Kini, hancur punah impiannya.

Hati Ummar Qayyum makin kering dan kontang. Ummar Qayyum beredar pula ke kerusi malas yang sengaja diletakkan di satu penjuru mengadap pemandangan Kuala Lumpur. Langit yang tadinya menangis kini bersidang sudah tapi kelamnya masih bersisa seperti juga hatinya. Awan mendung sama juga seperti raganya. Tangisan langit sudah berapa kali tumpah dan bersidang cuma tangisannya sahaja yang belum jadi bah.

Masuk Maghrib, Ummar Qayyum tidak berlengah lagi. Dia mengerjakan solat dengan khusyuk sekali. Dalam keadaan jiwa yang lemah, dia sangat perlu bergantung pada Allah. Dia menundukkan wajah di hadapan Allah. Air matanya menitis ke sejadah sewaktu tubuhnya bersujud kepada Allah Yang Maha berkuasa. Di situ ditumpah segala rasa - memohon kekuatan daripada-Nya.

Seusai solat, dia bagai mendapat kekuatan. Kalaulah sudah ditakdirkan Rania menjadi isteri orang lain, dia harus akur tapi ada dosanya pada Rania yang harus dipohon kemaafan. Pernah dia menuduh Rania meninggalkannya kerana sudah bertemu orang lain.

Kalau difikir-fikir kejamnya diri bertindak sedemikian. Masih dia ingat SMS yang dihantar kepada Rania. Dia berasa sangat bersalah. Perlahan-lahan, dicapainya telefon bimbit. Ditulis sesuatu di skrin.

Mula-mulanya dia membahasakan dirinya dengan ganti nama I dan Rania pula U tetapi dia berasa pelik kerana tidak ditemukan keindahan daripada rasa maaf yang dhulurkan. Justeru, Ummar Qayyum menggantikan perkataan I dan U kepada saya dan Rania. Dia berasa puas hati. Dia membaca semula SMS yang telah disunting beberapa kali.


Salam buat Rania,

Semoga Rania berada dalam lindungan-Nya. Saya telah dimaklumkan tentang sebuah kebenaran. Saya berasa bersalah kerana telah berburuk sangka pada Rania. Saya berasa malu dan menyesal. Atas kekhilafan itu, saya ingin memohon kemaafan yang bukan sedikit kerana pernah berburuk sangka pada Rania.

Salam kemaafan dan salam persaudaraan,
UQ

Sebaik sahaja Rania menerima SMS daripada Ummar Qayyum, terjelepok tubuhnya. Pesanan ringkas itu benar-benar menyentuh raga wanitanya. Dia berasa sangat tidak berdaya. Hatinya hancur luluh. Rasa bersalah pada Ummar Qayyum datang melanda. Sudahnya dia menangis mendudu-dudu.

Ya Allah Ya Tuhanku, tolonglah hambamu yang tidak berdaya ini!
Oleh Samsiah Mohd Nor
Sumber: Metro

Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pantang Larang dan Makanan Orang Demam Campak

Air kelapa sangat bagus untuk demam campak Nak jaga pemakanan orang demam campak? Ok, aku ada petua dan tipsnya. Segala yang tertulis di sini adalah keluar dari kepalaku, dan pengalamanku menjaga makanan orang demam campak. Ku abadikan di sini. 1. Tidak boleh menggoreng Demam campak ni kita tak boleh nak goreng apa-apa makanan terutamanya guna minyak. Contohnya goreng ikan. Menumis pun tak boleh tau. Sebab apa tak boleh? Sebab ia akan merangsang pertumbuhan campak dan buat ianya kemerah-merahan. 2. Elakkan makanan laut yang gatal Makanan laut, seperti udang, sotong, kerang elok la dikuarantinkan.. Haha~ Bukan kuarantin la tapi jangan makan makanan tu, k. 3. Elakkan yang pedas Cili pun tak boleh makan sebab mengundang kegatalan. Aku ada baca, sup ayam ni bila dibuat sup akan mengeluarkan satu pati yang berkesan khas untuk menyembuhkan demam. Korang letak bawang merah, bawang besar dan bawang putih. Lagi sedap bawang putih tu, tak dipotong, hanya buang kulit, ba

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru, jom kita gali ilmu. Sha dapat dari kawan-kawan bundle juga. ✔ Bale – Ketul, guni atau tokol pakaian/beg/kasut dan lain-lain. Kain 100 – Baju/pakaian yang 100% kapas. Kain Samah – Baju yang diadun dengan 2 material. 50 cotton +50 polyster (poly). 3 kain – Baju diadun dengan 3 material. Cotton + Poly + Rayon. 3 suku / Raglan / 3q – Baju yang mempunyai lengan bersambung dari leher berakhir di siku. Kain sambung – Lengan baju disambung dengan lengan warna lain, contohnya Rolling Stone Tour Euro82, Iron Maiden ‘aces high’ lengan camo. Ada juga kain sambung di dada. Contohnya Hawaii bernombor. Camo – Celoreng Ringer – Baju yang mempunyai warna/getah pada hujung lengan dan leher. Kain pasir / kain bulu katu – Merujuk seluar Lee,Wrangler,Levis era 70/80/90 an. Combo – Jualan melebihi sehelai dengan 1 harga. Single stich – Jahitan satu garisan sama ada pada lengan atau bawah baju. Biasa pada baju vintage.

Tips Pakaian Untuk Konvo

Gambar konvo! =) Assalamualaikum. Apa yang korang perlu ada untuk pakai pakaian konvo? Aku ada sedikit panduan. Top to toe 1. Kasut Lelaki kena pakai kasut kulit (kulit warna gelap –seelok-eloknya warna hitam) Ala, tak mahal pun ada jer yang murah. Perempuan pula kena pakai kasut bertutup, hitam atau warna gelap seakan-akan hitam. Kasut tu mestilah nampak formal. Tak boleh ada lubang-lubang macam kasut Cinderalella. Orang perempuan mesti tau kasut Cinderalela tu macam mana. Kasut Cinderalela tu adalah kasut plastic nipis dan ada lubang-lubang.   Sila beri perhatian, kasut adalah penting. Tak boleh pakai sandal dan selipar. Stoking tak apa, kurang diberi perhatian (bagi perempuan sahaja). Boleh pakai stoking atau tidak. Lelaki kena pakai stoking. Mesti warna gelap, jangan pakai stoking putih pula, sangat pelik. Bagi mereka yang jarang pakai kasut tertutup macam aku ni, boleh juga bawa sandal atau kasut yang selesa untuk digantikan apabila perlu . Ta

Open Tracker