Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 27)]:Akulah biduk... di tengah-tengah kiambang

ANAK gadis nan seorang itu dipeluk erat Puan Sri Zalia. Tangisannya masih berlagu. Sejak dia pulang tadi, terus diterpanya ibu dan di dada ibu itulah ditumpahkan segala sendu yang mengasak. Puan Sri Zalia berasa dadanya sudah basah. Lara Rania yang tumpah di situ.

Tak pernah Rania sedemikian. Dalam hati penuh tanda tanya tetapi dibiarkan sahaja persoalan itu membengkam. Rania perlu ditenangkan lebih dulu. Esakan Rania tidak kenal surut. Dahi Mak cik Rohaya berkerut. Mendapat isyarat daripada Puan Sri Zalia, Mak cik Rohaya beredar seketika tapi kemudian datang semula.


Hatinya pilu. Dia tidak betah bersendirian di dapur. Suara tangisan Rania bagai menggigit tangkai jantungnya. Selama dia bekerja di rumah agam itu, tidak pernah Rania sesedih itu. Waktu putus ikatan dengan Farhan dulu pun, Rania tenang sahaja. Apa yang telah berlaku pada Rania? Dia mahu tahu apa punca yang menyebabkan Rania menangis sampai begitu rupa? Mak cik Rohaya beredar sekali lagi setelah diisyaratkan oleh Puan Sri Zalia.

Rania masih menangis. Lebat hujan di jiwa menyimbah hingga lencun wajahnya. Beginikah penangan asmara? Beginikah keadaannya mereka yang putus cinta? Baru saja cinta yang bersemi mahu bermain-main di gigi pantai, tersandung tunggul duka di persisiran, tersungkur dirinya. Bersepai istana cinta. Parahnya bukan kepalang. Masakan tidak. Cinta pertama barangkali! Cinta pertama? Ah! Persetankan! Fikirnya. Dia mahu membuang seluruh perasaan yang berhiba-hiba itu, bukan menambahkan lagi lara di jiwa.
 





Hatinya masih tidak tenteram tapi seusai dihamburkan air mata, dia berasa lega. Gelora jiwanya agak terkawal.

Bila kian reda, Rania menenangkan dirinya terlebih dahulu. Air kosong yang disediakan Mak cik Rohaya di atas meja diteguknya setelah dibacakan bismillah.

"Dah okey dah?" Bahu Rania digosok ibunya.

Rania menghela nafas. Esakannya mati. Kekuatan dikumpul untuk memaklumkan ibu tentang keputusan yang telah dia perbuat. Jari-jemarinya yang masih dalam genggaman ibu dilepaskan.

"Ren dah tak ada apa-apa ikatan dengan Qayyum." Senafas sahaja kalimah itu terluncur dari mulut Rania lalu menggelongsor masuk ke telinga Puan Sri Zalia.

Pucat muka Puan Sri Zalia mendengarnya. Ritma jantungnya bagai dipalu. Biar betul apa yang dikata Rania! Atau aku yang tersilap dengar?

Rania tatap muka keliru si ibu.

"Mama tak faham sayang," Puan Sri Zalia masih berharap apa yang didengar salah belaka.

"Ren kata Ren dah...pu...tus dengan... Qayyum," kali ini ungkapan itu tertahan-tahan.

"Kenapa?" tanya Puan Sri Zalia penuh pengertian. Meskipun pada dasarnya dia sudah mulai trauma dengan kisah putus cinta sang anak tapi dia harus kuat. Kuat untuk Rania.

"Entahlah mama..."

"Nak bincang dengan mama?"

Rania diam cuma.

"Kita bincang ya, apa sebabnya?" tanya Puan Sri Zalia berbasi-basi. Bukan dia tidak kenal siapa Rania. Anak gadis yang berprinsip itu bukan mudah berkongsi masalah peribadi dengannya. Dia lebih suka simpan sendiri.

Rania menggeleng. Puan Sri Zalia menghembus nafas resahnya. Diraih Rania dalam pelukannya. Dia tahu jiwa Rania luka parah. Kalau tidak masakan begitu teruk penangan yang diterima Rania. Sungguhpun hati bagai digodak-godak untuk mengetahui lebih mendalam, tapi Puan Sri Zalia sabarkan diri. Jiwa raga Rania harus ditenangkan terlebih dahulu. Lama juga anak gadis itu teresak-esak. Akhirnya Rania memohon naik ke kamarnya. Dibiarkan sahaja.

"Kenapa Puan Sri?" tanya Mak cik Rohaya. Wajahnya keruh. "Tak pernah saya tengok Rania macam tu," Mak cik Rohaya bersegera hampiri Puan Sri Zalia pada kala dilihat wanita anggun itu bersendirian.

"Ren dah putus dengan Ummar Qayyum." Seiring suara, semangat Puan Sri Zalia pun bagai melayang.

"Astaqfirullahalazim...! Kenapa Puan Sri? Kan elok saja?" Mulut Mak cik Rohaya terlopong.

Puan Sri Zalia sekadar menggelengkan kepala. Mak cik Rohaya sedar Puan Sri Zalia tidak mahu diganggu tatkala dilihat mata majikannya berkaca-kaca.
Walaupun terkejut, Puan Sri Zalia bagaikan sudah dapat meramal akan hal itu.

Rania bagaikan sudah memberinya petanda sebelum ini. Patutlah dia macam tidak bersemangat sahaja untuk meneruskan pertunangan, fikir Puan Sri Zalia yang masih dalam dilema dengan seribu persoalan tidak berjawab.

Kasihan anak aku. Kasihan Ren. Kenapa cintanya sering kecundang? Lepas satu, satu! Rintihnya seraya menyapu setitis air mata yang mengalir. Melihatkan keadaan Rania tadi, dia sedar Rania sangat sedih dan berduka. Kenapa? Apa yang menyebabkan putik cinta yang baru bertunas itu putus di tengah jalan?
Siapa yang memutuskan? Ummar Qayyumkah? Atau Rania? Hatinya berat mengatakan Rania. Kalau Rania, kenapa? Apa yang mengganggunya? Farhankah? Mustahil! Nampak daripada cara Rania, Farhan langsung tidak terpahat di hatinya.

Kusut kepala Puan Sri Zalia memikirkannya. Keruh di wajahnya tersuluh pula di mata suaminya waktu tangan suami dikucup selesai berjemaah solat Isyak. Bila ditanya, dengan lemah dia menerangkan sepintas lalu apa yang berlaku sambil melipat kain telekung.

"Putus macam mana? Kan hari tu dah sama-sama pergi membelah barang hantaran?" Tan Sri Razlan kurang faham. Dia yang masih keletihan pulang dari pejabat, terkejut juga mendengar perkhabaran tersebut.

"Saya pun tak reti juga bang."

"Tak berbincang dengan Ren betul-betul?"

"Tak berkesempatan, tambah-tambah tengok keadaan Ren tadi. Belas saya bang."

"Tak ada apa-apalah. Biasalah orang muda, esok lusa baiklah tu," simpul Tan Sri Razlan. Dia yakin masalah yang dikatakan oleh isterinya itu hanyalah bersifat sementara.

Tenang sikit perasaan Puan Sri Zalia mendengar jaminan suami. Seperti suami, dia juga berharap perselisihan itu hanya seketika.

Hanya salah faham! Salah faham saja! Biasalah orang dalam percintaan. Darah manis. Banyak dugaan dan ujian. Ini hanya salah faham! Fikirnya positif mahu menyedapkan hati sendiri.

Tapi lain pula tanggapan Rania. Dia berasa beban terpikul di pundaknya begitu berat. Tak tergalas. Lemparan tuduhan Murni terhadap dirinya tak mampu ditelan. Jahat sangatkah aku? Akukah orang ketiga antara mereka?

Terngiang-ngiang kata-kata Murni di hujung telinganya.

"Sebelum kakak datang, Murni dengan abang dah hampir disatukan!"

"Kakak sudah merampas kebahagiaan orang!"

"Kakak merampas kebahagiaan Murni!!!"

"Tidak ada seorang perempuan pun yang boleh menyintai Abang Qayyum seperti mana Murni menyintainya!"

Dakwaan Murni kian menyengat naluri perempuannya.

"Tidak ada seorang perempuan pun yang boleh menyintai Abang Qayyum seperti mana Murni menyintainya!"

Tidak mustahil apa yang didakwa Murni itu benar belaka. Murni lebih dulu mengenali Ummar Qayyum dan dapat menyelami hati budi lelaki itu.

Tuhan tolonglah!

Hatinya dilanda ombak hiba. Aku tidak seperti yang difikirkan Murni. Aku tidak seperti itu. Aku bukan perampas. Aku hanya seorang perempuan yang didatangi seorang lelaki sehebat Ummar Qayyum lalu aku jatuh cinta padanya. Itu saja!

Tuhan, ampunkan aku kalau menyintainya adalah kesalahanku. Aku tidak pernah tahu itu!

Di dada sejadah dihamburkan perasaannya yang luka parah itu.

"Ren..."

Tersentak dia. Saat berpaling, wajah lembut ayah berada tidak jauh daripadanya, di sebalik pintu yang terkuak. Tidak pula disedari saat bila ayah memasuki kamarnya. Seraya bangkit, diseka air matanya yang menitis itu.
Disalami tangan Tan Sri Razlan. Kemudian Rania duduk di birai katil.

Tan Sri Razlan memerhatikan anak gadisnya nan seorang itu. Entah mengapa rasa sedih melanda hulu hatinya. Hiba benar! Banyak yang bergayutan di minda saat wajah basah Rania ditatap. Macam-macam peristiwa menerpa benaknya. Satu persatu peristiwa yang berlaku pada Rania di SMK Seri Melor melintasi alur fikirnya. Semuanya terlapor padanya sedang Rania tidak pernah tahu. Sabarnya kau anak mendepani pelbagai ragam manusia. Tapi ayah bangga! Buat sementara waktu ini biarlah. Ayah serahkan segala-galanya pada Rania sebab ayah kenal siapa kau anak.

Atau barangkali silapku? Elok-elok dia duduk di Sabah, aku pindahkan anakku ke sini. Untuk apa? Mungkin 'terbaik' di fikiranku tidak seiring 'terbaik' untuk Rania.

"Ren macam mana?"

Rania tidak mampu bersuara. Hatinya tidak tenteram bahkan terlukis di perdu wajahnya yang kelam. Seketika kemudian masuk pula ibu lalu duduk di sisi ayah.

"Apa yang berlaku sebenarnya?" soal ayahnya lembut.

Bagaimana harus kuceritakan? Terkenang lagi dia akan kata-kata Murni. Aku tidak boleh mengkhianati Murni. Mengkhianati? Ah! Itu ugutannya! Hakikatnya secuit pun dia tidak gentar dengan ugutan Murni tetapi yang lebih terkesan adalah rasa belas kasihannya pada Murni setiap kali terkenangkan rintihan gadis berkulit hitam manis itu.

"Murni kalah segala-segalanya kalau diletakkan di sebelah kakak. Murni tak setanding kakak. Jauh panggang dari api..."

Rintihan Murni merobek hatinya. Sanggupkah aku bahagia atas kelukaan orang lain? Sanggupkah? Entah mengapa, jauh di sudut hati, dia yakin akan kata-kata Murni. Diletakkan dirinya di tempat Murni, dia tahu bagaimana perasaan gadis desa itu. Sedang elok Murni menganyam impian untuk bersama Ummar Qayyum, tiba-tiba angin kota datang merembas impian indah itu. Akukah angin kota itu?

"Bincanglah dengan mama dan ayah," pujuk Puan Sri Zalia melihat Rania kaku sendirian.

"Tak apa mama, ayah. Ren boleh hadapi sendiri."

"Mama ada, papa ada, bincanglah dengan kami. Mungkin mama dan papa boleh bantu."

Entah dari mana datang kekuatan dari dirinya. Dia menghela nafas dan memandang lembut kedua-dua orang tuanya.

"Mama, ayah, Ren sangat berterima kasih atas keprihatinan mama dan ayah terhadap Ren, Ren hargai perhatian dan kasih sayang mama dan ayah tapi Ren pohon untuk menyelesaikan sendiri permasalahan ini."

Puan Sri Zalia saling bertatapan dengan suaminya.

"Kalau itu yang Ren mahu, baiklah. Tapi ingat, ayah dengan mama sentiasa ada untuk Ren," pesan Puan Sri Zalia sebelum suami isteri itu beredar memberi laluan sepi pada sang anak.

Rania memejam matanya seketika. Laluan hidupnya diduga berterusan. Dia reda kalau itulah ketentuan untuknya.

Di sekolah esoknya, Rania lebih banyak berdiam diri. Nasib baik bengkak di matanya tidak begitu ketara, maka tidak ada siapalah yang perasan. Dia menyibukkan diri dengan kerja-kerja sekolah yang bertimbun. Diketepikan masalah peribadinya memandangkan banyak urusan yang perlu diselesaikan.

Kelas kena masuk, sukatan pelajaran perlu disegerakan memandangkan peperiksaan pertengahan tahun sudah di ambang. Nasib baik kertas soalan telah pun siap seminggu yang lepas dan sudah pun disusun atur. Hanya menunggu masa peperiksaan sahaja.

Mesej daripada Ummar Qayyum masuk lagi. Entah untuk kali ke berapa pun dia tidak pasti. Tapi seperti tadi, terus dipadam tanpa membaca terlebih dahulu. Panggilan-panggilan daripada Ummar Qayyum pun tidak dijawabnya. Dicongak-congak sudah hampir dua minggu hubungannya dengan Ummar Qayyum terputus. Dia yakin Ummar Qayyum sudah pasti tertanya-tanya. Tapi biarlah!

Mungkin itu yang terbaik! Fikirnya sambil menguak helaian muka surat buku rekod di sebelahnya. Baru dia teringat, waktu keempat dia perlu masuk untuk relief di kelas 4 Mercury.

Rania angkut buku rekod dan mendaki anak tangga. Sampai di ambang pintu kelas 4 Mercury, dia seperti teragak-agak mahu masuk. Beberapa pelajar yang menyedari kehadirannya berpandangan sesama sendiri.

Aku ada nostalgia di sini, detik hatinya seraya bergerak menuju ke meja guru. Seusai ucap salam, para pelajar duduk. Tidak ada suara kebisingan seperti suatu masa dulu. Sekilas Rania terpandangkan wajah Elly Sukaesih. Kelihatan gadis itu serba salah. Terpandang pula Ajeerah. Ajeerah senyum. Di sebelahnya ialah tempat duduk Amanda Sofea. Kosong. Harapannya semoga ketidakhadiran Amanda Sofea yang sudah melebihi tiga minggu tidak mendatangkan tanda tanya dalam kalangan pelajar.

Apa agaknya tindakan yang akan dilaksanakan oleh pihak sekolah? Ajeerah hampirinya, sekadar berbasi-basi pertanyaannya. Melihat Rania berbual dengan Ajeerah, pelajar lain mulai membuat kerja masing-masing.

"Amanda macam mana?" Rania mengendurkan suara, supaya tidak didengari oleh yang lain.

"Macam biasa cikgu,"

"Mama dia dah balik?"

Ajeerah geleng kepala.

Masih belum pulang? Buat apa dia berlama-lamaan di luar negara pada kala anak sangat memerlukannya?

"Kawan-kawan macam mana? Ada yang bertanya tak?"

Sekali lagi Ajeerah menggeleng.

"Tahun lepas Amanda pernah sebulan tak hadir sebab ikut mamanya ke luar negara, jadi mereka tak berapa kisah," jelas Ajeerah.

Mendengar itu, lapang rasa Rania. Begitulah lazimnya sekolah elit di pinggir bandar. Setakat tidak hadir ke sekolah sebulan dua tidak menjadi hal. Tapi sampai bila?

"Cikgu jangan bimbang. Lepas sebulan, saya akan cakap pada kawan-kawan, Amanda Sofea dah tukar sekolah," bisik Ajeerah bila ditanyakan perancangan seterusnya. Rania terkesima. Bijaknya mereka mengatur strategi. Keluar dari kelas 4 Mercury, Rania terus ke bilik kaunselor.

"Itu yang pihak kami rancangkan cikgu - menghantar Amanda Sofea ke Sekolah Sinar Harapan - sekolah yang bertanggungjawab menjaga kebajikan pelajar-pelajar sedemikian sehingga dia selamat melahirkan bayinya."

"Saya harap kisah Amanda hanya kita sahaja yang tahu, kasihan dia!"

"Jangan bimbang cikgu, kami jaga maruah dan nama baik pelajar," terang Puan Kamilah. "Penolong Kanan Hal Ehwal Murid pun awal-awal dah pesan."

"Alhamdulillah..."

"Cuma saya bimbangkan kawan-kawan dia, setakat ini siapa yang tahu?"

"Insya-Allah, kawan dia seorang saja yang tahu, Ajeerah, boleh dipercayai."

"Kalau begitu tak mengapalah..."

"Apa tindakan seterusnya puan?"

"Buat masa ini kami masih menunggu kedatangan penjaga pelajar untuk berbincang. Apa-apa tindakan yang akan kami laksanakan perlu mendapat persetujuan daripada ibu bapa atau penjaga pelajar." Mata Puan Kamilah melirik ke arah dokumen di hadapannya.

Tenang hati Rania mendengarnya. Bermakna, pihak sekolah sudah mengambil tindakan yang sepatutnya. Terkenang pula kata-kata Amanda Sofea tentang rancangan mamanya. Hati jadi berdebar tidak semena-mena.

Wajah Puan Kamilah yang putih jernih itu dipandang sekilas. Perlukah aku memaklumi Puan Karmilah? Pesan Amanda Sofea supaya aku merahsiakannya. Patutkah aku memakluminya atau tunggu dulu? Fikir Rania tapi akhirnya dia mengambil keputusan merahsiakannya buat sementara waktu.

Panggilan telefon daripada Ummar Qayyum bertali arus lagi. Sedikit sebanyak mengganggu konsentrasinya. Rania toleh jam di dinding. Sudah hampir pukul 3 petang. Bosan dengan deringan yang tidak tahu berhenti itu, Rania matikan telefon bimbit. Beg mengkuang berisi buku rekod mengajar dijinjing sebelum dia bergerak ke pejabat. Sesudah merakam masa pulang di mesin perakam masa, dia bergerak laju menuju ke tempat parkir kereta.

Sampai di rumah, dia berkurung di kamar sesudah mengalas perut sekadarnya. Puan Sri Zalia tidak mengganggu. Dibiarkan Rania bersendirian. Teringat telefon bimbitnya yang sudah dimatikan, Rania menghidupkannya semula. Betapa banyak panggilan yang tidak berjawab. Panggilan daripada Ummar Qayyum usah dikiralah.

Terlihat satu panggilan daripada Ros Ilyani. Sudah agak lama tidak mendengar berita daripada Kak Ros. Cuba dihubungi Ros Ilyani tapi taliannya sibuk. Rania kecewa.

Tak mengapalah! Hujung minggu ini aku mahu ke Kampung Janda Baik. Bertemu dan bercerita dengan Kak Ros barangkali dapat memulihkan semangatku yang tidak menentu ini. Lebih daripada itu, Kak Ros juga pernah mengalami situasi yang hampir sama dengan situasi yang kuhadapi kini. Berjumpa dengan Halim pun bagus juga. Daripada pengalaman Halim barangkali aku boleh belajar sesuatu.

Dugaan Halim lebih hebat dan kehidupan yang dilaluinya agak tragis. Kerana itu Halim selalu memberontak dan lebih rela menolak kerusi roda daripada menjalani terapi. Seperti kata Kak Ros, kegagalan dalam perkahwinan menyebabkan Halim hilang motivasi hidup.

"Halim perlu dimotivasi Ren."

Bagai terdengar-dengar rintihan Ros Ilyani.

Memang. Halim memang perlukan seseorang untuk memotivasinya. Tapi persoalannya siapa yang boleh memotivasi Halim? Fikir Rania seraya meneliti pula mesej yang diterima dalam peti 'inbox'. Semua mesej ringkas kiriman Ummar Qayyum dipadam tanpa dibaca. Satu mesej pesanan ringkas daripada Amanda Sofea mencetuskan satu keinginan yang luar biasa. Segera dibaca pesanan ringkas daripada Amanda.

Seusai pembacaannya, lemah lutut Rania.

Cikgu, Amanda dah keluar dari rumah. Mama tetap dengan keputusan mama untuk gugurkan kandungan. Amanda tidak rela, cikgu.

Amanda

Mesej pesanan ringkas tersebut dihantar lebih dua jam yang lepas. Dia terlepas pandang sebab telefon bimbitnya dimatikan tadi.

Ya Allah! ...apa yang patut aku buat?

Sumber: Metro
Oleh Samsiah Mohd Nor

Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pantang Larang dan Makanan Orang Demam Campak

Air kelapa sangat bagus untuk demam campak Nak jaga pemakanan orang demam campak? Ok, aku ada petua dan tipsnya. Segala yang tertulis di sini adalah keluar dari kepalaku, dan pengalamanku menjaga makanan orang demam campak. Ku abadikan di sini. 1. Tidak boleh menggoreng Demam campak ni kita tak boleh nak goreng apa-apa makanan terutamanya guna minyak. Contohnya goreng ikan. Menumis pun tak boleh tau. Sebab apa tak boleh? Sebab ia akan merangsang pertumbuhan campak dan buat ianya kemerah-merahan. 2. Elakkan makanan laut yang gatal Makanan laut, seperti udang, sotong, kerang elok la dikuarantinkan.. Haha~ Bukan kuarantin la tapi jangan makan makanan tu, k. 3. Elakkan yang pedas Cili pun tak boleh makan sebab mengundang kegatalan. Aku ada baca, sup ayam ni bila dibuat sup akan mengeluarkan satu pati yang berkesan khas untuk menyembuhkan demam. Korang letak bawang merah, bawang besar dan bawang putih. Lagi sedap bawang putih tu, tak dipotong, hanya buang kulit, ba

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru, jom kita gali ilmu. Sha dapat dari kawan-kawan bundle juga. ✔ Bale – Ketul, guni atau tokol pakaian/beg/kasut dan lain-lain. Kain 100 – Baju/pakaian yang 100% kapas. Kain Samah – Baju yang diadun dengan 2 material. 50 cotton +50 polyster (poly). 3 kain – Baju diadun dengan 3 material. Cotton + Poly + Rayon. 3 suku / Raglan / 3q – Baju yang mempunyai lengan bersambung dari leher berakhir di siku. Kain sambung – Lengan baju disambung dengan lengan warna lain, contohnya Rolling Stone Tour Euro82, Iron Maiden ‘aces high’ lengan camo. Ada juga kain sambung di dada. Contohnya Hawaii bernombor. Camo – Celoreng Ringer – Baju yang mempunyai warna/getah pada hujung lengan dan leher. Kain pasir / kain bulu katu – Merujuk seluar Lee,Wrangler,Levis era 70/80/90 an. Combo – Jualan melebihi sehelai dengan 1 harga. Single stich – Jahitan satu garisan sama ada pada lengan atau bawah baju. Biasa pada baju vintage.

Tips Pakaian Untuk Konvo

Gambar konvo! =) Assalamualaikum. Apa yang korang perlu ada untuk pakai pakaian konvo? Aku ada sedikit panduan. Top to toe 1. Kasut Lelaki kena pakai kasut kulit (kulit warna gelap –seelok-eloknya warna hitam) Ala, tak mahal pun ada jer yang murah. Perempuan pula kena pakai kasut bertutup, hitam atau warna gelap seakan-akan hitam. Kasut tu mestilah nampak formal. Tak boleh ada lubang-lubang macam kasut Cinderalella. Orang perempuan mesti tau kasut Cinderalela tu macam mana. Kasut Cinderalela tu adalah kasut plastic nipis dan ada lubang-lubang.   Sila beri perhatian, kasut adalah penting. Tak boleh pakai sandal dan selipar. Stoking tak apa, kurang diberi perhatian (bagi perempuan sahaja). Boleh pakai stoking atau tidak. Lelaki kena pakai stoking. Mesti warna gelap, jangan pakai stoking putih pula, sangat pelik. Bagi mereka yang jarang pakai kasut tertutup macam aku ni, boleh juga bawa sandal atau kasut yang selesa untuk digantikan apabila perlu . Ta

Open Tracker