|
Kisah Mustafa si Pemotong Daging
DI dalam bilik yang bersuhu di bawah aras beku, tangan kanannya cekap memegang sebilah pisau sambil memotong ketulan daging. Setiap kepingan daging yang dipotong mempunyai saiz dan bentuk yang hampir sama.
Hampir setiap hari, pisau dan pengasah menjadi teman setia Mustaffa Othman, 61, sepanjang menjadi pemotong daging sejak tiga dekad lalu.
Dek minatnya yang mendalam terhadap daging telah membawa lelaki ini merantau ke kota London, England. Di London, dia mendalami ilmu berkaitan pengurusan daging, sekali gus bergelar sebagai Master Butcher (pakar daging).
Menurut pemilik Restoran Me’nate Steak Hub, kesusahan keluarganya pada masa lalu terutamanya tidak mampu membeli daging kecuali mengharap ihsan orang dan sumbangan pada hari raya korban menyebabkan dia begitu meminati daging.
“Saya suka daging dan sanggup merantau ke Eropah bagi menambah pengetahuan mengenai ilmu pengurusan daging ini,” katanya
Sebelum merantau ke London, Mustaffa terlebih dulu memiliki perniagaan daging yang beroperasi di Pasar Subang Jaya, Selangor.
Pada masa itu, perniagaannya boleh dikatakan agak berjaya. Dia juga merupakan pembekal untuk peniaga daging di pasar lain.
Namun, kesenangan yang diperoleh menyebabkannya alpa seketika dan perniagaan yang diusahakan itu mengalami sedikit masalah.
“Sebelum membuat keputusan untuk merantau, saya memiliki perniagaan daging sendiri di Pasar Subang Jaya. Selepas berfikir panjang, saya menjual perniagaan itu kepada orang lain dan dana yang diperoleh digunakan untuk perbelanjaan ke London,” ujar anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan.
Tanpa latar belakang pendidikan yang tinggi dan sumber kewangan terhad, Mustaffa tekad meninggalkan keluarganya di tanah air untuk mencari pengalaman di negara asing dan memulakan kehidupan baharu.
Ketika berada di kota London, hampir seminggu dia tidur di merata-rata tempat dan makan sekadar untuk mengalas perut kerana kekurangan wang.
Namun, kesukaran yang dialami itu hanya seketika apabila dia diterima bekerja di sebuah kedai daging yang diusahakan oleh seorang lelaki Muslim yang berasal dari Pakistan.
“Pekerjaan pertama yang saya lakukan ketika di London ialah bekerja di kedai daging milik warga Pakistan.
“Bermula dari situ, saya belajar sedikit demi sedikit mengenai kaedah pemotongan dan pengurusan daging yang diuruskan di Eropah,” katanya hasil pendapatan yang diperoleh banyak membantunya menampung kehidupan dan keluarganya di Malaysia.
Ditemuduga
Selepas dua tahun bekerja dan menimba pengalaman di kedai milik lelaki Pakistan itu, Mustaffa berhijrah.
Dia kemudian berkhidmat dengan sebuah syarikat penyembelihan haiwan terkemuka iaitu Dawn Group of Companies yang berpangkalan di Bedford, London.
Untuk diterima bekerja di syarikat itu, dia perlu melalui sesi temu duga terlebih dulu.
Dalam sesi temu duga tersebut, dia ditinggalkan di dalam sebuah bilik dengan suhu di bawah paras beku bersama paha lembu yang digantung, sebilah pisau dan besi pengasah.
“Bagi saya, satu kesilapan apabila mereka meninggalkan saya di dalam sebuah bilik yang bersuhu di bawah paras sejuk beku bersama satu paha lembu dan pisau.
“Dalam tempoh 10 minit, paha lembu yang seberat lebih 87 kilogram (kg) itu saya potong dalam saiz sederhana kecil,” kata bapa kepada empat cahaya mata itu.
Ketika bekerja di syarikat tersebut, Mustaffa ditugaskan di seksyen pembungkusan daging sebelum naik ke tahap seterusnya.
“Memandangkan saya seorang Muslim pihak pengurusan menempatkan saya di bahagian penyembelihan secara halal untuk keperluan pengguna Muslim.
Proses penuaan
Menurut lelaki yang mempunyai pendidikan setakat tingkatan satu itu, cara orang Barat mengurus daging amat berbeza dengan negara kita.
Di London, menjadi satu kesalahan jika daging yang baru disembelih dijual secara terbuka seperti kebanyakan pasar di Malaysia.
“Lembu yang disembelih akan melalui proses penuaan dan kemudian diletakkan di tempat dingin beku selama tujuh hari. Selepas itu, barulah daging tersebut dipotong dalam saiz yang kecil dan dimasukkan ke dalam plastik vakum selama tujuh hari.
“Daging itu akan dijual pada hari ke-15 dan ia selamat dimakan kerana darah aktif telah mati.
“Daging sememangnya mempunyai banyak khasiat. Justeru, amat penting untuk kita mempelajari cara-cara menguruskannya,” katanya.
Tambahnya, bidang tugas sebagai seorang pakar daging mesti mengetahui bagaimana lembu itu dijaga di ladang sehinggalah ia disembelih dan kemudiannya dihidangkan di atas pinggan.
Pengiktirafan
“Seorang pakar daging bukan sahaja perlu tahu cara untuk menyembelih dan memotong daging sahaja. Sebaliknya seseorang itu mesti tahu bagaimana cara lembu itu diuruskan di ladang sehinggalah daging itu dihidangkan di atas pinggan,” katanya.
Dalam pada itu, Mustaffa berkata pengiktirafan sebagai pakar daging hanya boleh diperoleh daripada rumah penyembelihan sahaja.
“Mereka yang bekerja di rumah sembelih dan telah megetahui bagaimana untuk mengurus daging baru diberi pengiktirafan sebagai pakar daging.
Menurut Mustaffa, lembu yang sesuai disembelih untuk dijadikan makanan kepada manusia mestilah berumur dua tahun ke bawah kerana rasa daging itu lebih lembut.
“Lembu yang berumur dua tahun ke atas, jika disembelih dagingnya sesuai untuk dijadikan makanan sampingan seperti daging burger atau sosej,” jelasnya.
Ketika diminta mengulas mengenai berapa ramai rakyat Malaysia yang diiktiraf sebagai pakar daging Mustaffa tidak mempunyai jawapan yang pasti.
“Agak sukar untuk menyatakan berapa ramai pakar daging di Malaysia kerana gelaran itu hanya boleh diperoleh dari rumah penyembelihan,” ujarnya.
Antara pengalaman manis Mustaffa sepanjang merantau di London ialah apabila dia diberi kepercayaan berkhidmat sebagai pemotong daging untuk keluarga diraja England.
Selepas dua tahun setengah berkhidmat di istana, dia membuat keputusan untuk kembali bekerja di syarikat asalnya.
Ketika kedudukan kewangan yang stabil, dia sering kali pulang ke Malaysia sepanjang tempoh berada di perantauan untuk melawat keluarganya.
Namun, sekitar tahun 2000, Eropah diserang penyakit lembu gila dan dia diberi cuti selama setahun.
“Apabila diberi cuti panjang, saya pulang ke Malaysia dan pada masa yang sama saya juga pergi ke Australia untuk mendalami ilmu pengurusan daging di negara tersebut.
“Setelah berfikir panjang, saya mengambil keputusan untuk menetap di tanah air dan enggan kembali ke London,” katanya.
Selepas kembali ke Malaysia, Mustaffa kemudian bekerja sebagai tenaga pengajar untuk pengurusan daging di beberapa pasar raya besar seperti Tesco, Jusco dan Carrefour.
Pada tahun 2007, dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan membuka Restoran Me’nate Steak Hub yang menawarkan perkhidmatan makanan daging halal dan segar.
Penyembelihan
Restoran pertama yang dibukanya adalah di Ampang Jaya, Selangor dan hidangan yang ditampilkan adalah makanan Barat yang berasaskan daging.
Kini, selepas hampir sembilan tahun beroperasi, Mustaffa boleh berbangga apabila dia mempunyai empat rangkaian kedai yang diuruskan oleh anak-anaknya.
Dalam pada itu, Mustafa juga cukup kecewa dengan kaedah penyembelihan di Malaysia yang dianggap menyeksa haiwan.
Menurutnya, haiwan terutama lembu tidak perlu ditindih dan diikat secara keterlaluan kerana ia boleh menyebabkan haiwan itu stres ketika disembelih.
“Hanya dua orang diperlukan untuk menyembelih seekor lembu dan tidak perlu diikat keempat-empat kakinya. Lembu ini akan berasa tertekan dan akan menyebabkannya lambat mati serta ia sangat menyeksakan.
“Apabila lembu tertekan, ia akan merembeskan sejenis asid yang tidak sihat ke dalam darah lalu menyebabkan ada sesetengah individu yang akan pengsan bila terlalu banyak memakan daging.
“Jika lembu disembelih dengan cara yang betul, ia akan mati dalam masa tiga minit sahaja. Namun, jika tidak betul, sejam selepas disembelih pun lembu masih hidup dan ia akan menyeksa haiwan tersebut,” ujarnya ketika ditemui Kosmo!.
Menurut dia, kebanyakan kaedah pengurusan lembu terutama pada musim Hari Raya Korban di negara ini kurang tepat.
“Di luar negara, lembu akan disembelih di pusat penyembelihan yang sah dan diiktiraf tahap kebersihannya.
“Kita perlu tahu daging ialah makanan utama bakteria dan ia dikendalikan dengan betul supaya makanan itu tidak menjadi sumber penyakit,” katanya.
Sumber: Kosmo
Mustafa Pakar Daging
SEPASANG tangan dianugerahi Allah SWT membawa lelaki ini jauh merantau ke Eropah. Lebih manis, ia berjaya membuka gerbang Istana Buckingham, London, sekali gus membolehkan anak Malaysia ini berkhidmat kepada Ratu Elizabeth serta mendiang Puteri Diana.
Tanpa latar belakang pendidikan tinggi dan kocek kosong selain meninggalkan isteri dan anak di tanah air pada 1989, Mustaffa Othman, pemilik Me’nate Steak Hub, terbang ke kota London untuk mencari pengalaman, pelajaran serta sumber kewangan lebih baik.
“Sebelum membuat keputusan ke luar negara, saya memiliki perniagaan daging di pasar Subang Jaya. Bagi menimba pengalaman di luar negara dan menambah pengetahuan, saya menjual perniagaan itu kepada orang lain. Hasil penjualan saya gunakan untuk membeli tiket kapal terbang.
“Saya bukan jenis kenal erti takut, lantas saya tinggalkan keluarga di Kuala Lumpur serta pergi ke London tanpa duit poket.
“Sebaik tiba di sana, saya tidur di merata-rata tempat kerana ketiadaan wang untuk menyewa hotel atau mempunyai kenalan hampir seminggu.
“Waktu itu, sebenarnya saya ke sana untuk mendalami ilmu ‘master in butchering and culinary di sebuah kolej swasta.
“Ia bukan berkaitan hal akademik sepenuhnya, sebaliknya mengenai kemahiran menguruskan daging, bermula daripada lembu beranak hingga ke dalam pinggan,” katanya ketika ditemui di restorannya di Jalan Kerja Air Lama Satu, Ampang.
Sesi pembelajaran berlangsung pada waktu siang, manakala malam pula lelaki kepada empat cahaya mata ini bekerja sebagai pemotong daging di kedai daging milik warga Pakistan di kota besar itu bagi menampung hidupnya dan keluarga di Malaysia.
Bekerja antara jam 3 pagi hingga 7 pagi setiap hari membolehkan Mustaffa membayar sewa bilik. Dia enggan bekerja di kedai daging milik warga Inggeris kerana khuatir ditugaskan memotong daging babi.
Menganggap tangan dimilikinya anugerah terhebat daripada Allah SWT, Mustaffa menerima tawaran pekerjaan dengan gaji jauh lebih tinggi hingga ditawarkan jawatan dalam Dawn Group of Companies pada 1991.
Syarikat besar yang juga pembekal tunggal sumber daging terbaik untuk istana Ratu Elizabeth itu kemudian menyedari kemahiran dan kelebihan dalam diri Mustaffa.
Berhasrat untuk bergelar pemotong daging, Mustaffa diuji apabila dia ditinggalkan di dalam sebuah bilik bersama paha lembu, sebilah pisau dan batu asah.
Tanpa menyedari situasi itu adalah sesi temuduga, tempoh kurang daripada 10 minit, daging yang tergantung berjaya dipotong dalam saiz sederhana kecil.
Meskipun kepakarannya terbukti, kerjaya Mustaffa bermula daripada bawah iaitu di seksyen pembungkusan daging sebelum naik ke tahap seterusnya.
“Cara orang Barat mengendalikan daging jauh berbeza dengan negara kita. Mereka tiada masalah kesihatan jika memakan daging berbanding rakyat kita yang dimomokkan pengambilannya mengakibatkan penyakit.
“Di sana, lembu yang disembelih akan melalui ‘aging process’, kemudian dingin beku selama tujuh hari. Selepas itu baru daging dipotong dalam skala kecil dan dimasukkan ke dalam plastik vakum selama tujuh hari.
“Pada hari ke-15, baru daging berkenaan dijual di pasaran dan selamat dimakan kerana darah aktif mati pada hari ke-21. Daging memiliki banyak khasiat, oleh itu penting bagi kita mempelajari bagaimana menguruskannya,” katanya yang tidak lokek berkongsi ilmu.
Berkongsi cerita bagaimana terpilih sebagai pakar daging di istana, Mustaffa tidak tahu kriterianya namun dia memiliki kebolehan memotong daging mengikut berat tanpa menggunakan penimbang.
Katanya, Ratu Elizabeth memegang status Duli Teramat Mulia, jadi segala perkara membabitkan kerabat diraja harus dilakukan orang berkemahiran dan terbaik untuk berkhidmat di mahligai bagi memastikan ‘kemuliaan’ itu.
“Disebabkan kemuliaan itu, tiada perkara mahupun makanan kotor memasuki istana, termasuk daging khinzir.
“Ratu Elizabeth dan kerabat sememangnya tidak memakannya kerana tahu ia makanan paling kotor di dunia. Mereka juga hanya meminum alkohol (arak) untuk memanaskan badan, bukan tujuan mabuk.
“Ketika itu saya dan seorang lagi sahabat dari Australia bertanggungjawab dalam hal berkaitan daging, sama ada memotong, memasak mahupun menghidang, dan kami bertugas secara bergilir-gilir.
“Dua tahun setengah saya berkhidmat di istana, sewaktu bertugas saya berpeluang bertemu Ratu Elizabeth. Dia memanggil saya dengan nama Usman dan juga mesra bertanya soalan kepada pekerjanya,” katanya yang berusia 61 tahun.
Tangan kanan di dada, tangan kiri di belakang badan antara protokol ketika menghidangkan makanan kepada Ratu Elizabeth bertujuan memastikan kuku tukang masak bersih. Tatkala menjawab soalan dilontarkan Ratu Elizabeth, dilarang sama sekali kerdipkan mata.
Menurutnya, berpeluang bekerja di istana mengajar dirinya mengenai etika, kepatuhan, kebaikan, kebersihan. Menafikan sebarang kesukaran mengerjakan ibadat, Mustaffa berkata, mereka di sana lebih menyukai pekerja yang mematuhi perintah agama masing-masing.
“Bayangkan surau yang disediakan di istana untuk tiga pekerja Muslim jauh lebih indah daripada rumah saya hari ini. Pengalaman di sana adalah perkara terbaik mendidik diri saya.
“Selepas dua tahun setengah berkhidmat di istana, saya membuat keputusan kembali bekerja di syarikat (Dawn Group of Companies). Dengan kedudukan kewangan stabil, saya mampu pulang ke Malaysia sebulan sekali sepanjang tempoh 11 tahun di perantauan.
“Pada 2000, timbul isu penyakit lembu gila dan saya diberi cuti setahun apabila kilang tutup, namun masih menerima 10 peratus gaji. Saya pulang ke Malaysia dan enggan kembali ke sana,” katanya.
Tidak betah duduk diam, Mustaffa kemudian merisik pekerjaan di Tesco Puchong sebagai tenaga pengajar berkaitan daging, seterusnya ke pasar raya besar lain, termasuk Aeon Jusco dan Carrefour.
Membuka Me’nate Steak Hub empat tahun lalu, Mustaffa ingin menawarkan perkhidmatan makanan daging halal dan segar kepada masyarakat Muslim khususnya.
Diusahakan bersama teman dan dibantu empat cahaya matanya berjaya mengekalkan kestabilan restorannya hingga berjaya membuka cawangan di Wangsa Maju membawa nama Meet U Here.
Memilih kerjaya pakar daging, Mustaffa mengakui kesusahan hidup keluarga pada masa lampau yang tidak mampu membeli daging kecuali ihsan dan hari raya korban, membuatkan dirinya meminati daging.
Harapannya, masyarakat sepatutnya memahami pengetahuan berkaitan makanan, termasuk daging, bagaimana menguruskannya, kaedah pemprosesan dan cara masakan sesuai, sekali gus memberi manfaat terhadap kesihatan diri.
PROFIL:
NAMA: Mustaffa Othman
JAWATAN: Master Butcher (pakar daging) dan pemilik Me’nate Steak Hub
TARIKH LAHIR: 15 Mac 1951
ASAL: Kota Bharu, Kelantan
ISTERI: Mastura Lehman
ANAK: Muhammad Ezman (25), Amirul Aiman (24), Fareza (23) dan Khisofi (19)
PENDIDIKAN: GCE Advanced Level
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09 -Harian Metro
Nampak sedap dan menyelerakan |
Rib tulang yang menyelerakan |
sedapnya |
Kemanisan daging tulang yang tidak dapat disangkal lagi |
Sedapnya |
Cukup rasa |
Pelbagai pilihan spageti |
Sedapnya, garing sikit steak |
Enak |
Ulasan
Catat Ulasan
Nak tinggalkan komen ek? Sila-sila =)
Pastikan tak menyinggung perasaan sesiapa ya.
Happy blogging.