Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 24)]: Andainya kutahu

Hari teduh di luar sana. Udara segar dengan sesekali pohon-pohon kayu kelihatan bergoyang disapa angin yang entah dari arah mana. Senyaman suasana, begitulah damai rasa hati Rania petang itu.

Manakan tidak, apa yang diharapkan menjadi kenyataan. Surau sekolah akan dibina. Bukan Rania sahaja bahkan semua ahli jawatankuasa berasa gembira mendengar berita tersebut.

Barisan ahli jawatankuasa PIBG tekun mendengar penjelasan Datuk Dr Zainal Aqil berhubung proses pembinaan surau. Akhirnya, setelah melewati pelbagai rintangan dalam tiga mesyuarat terdahulu, kata putus sudah dicapai. Projek pembinaan surau akan didahulukan. Suara majoriti diguna pakai. Rania urut dada tanda sangat lega.


Alhamdulillah! Bisiknya sendiri.

"Kita akan gunakan pelan lama iaitu pelan surau setingkat yang telah pun disiapkan oleh Prof. Dr. Zubir," jelas Datuk Dr Zainal Aqil. Ummar Qayyum mencatat sesuatu di buku catatannya setelah dibisikkan sesuatu oleh Prof. Dr Zubir. Kemudian Yang Dipertua PIBG pula dilihat berbisik dengan Prof Dr. Zubir yang duduk di sebelah kanannya.


"Insya-Allah, kalau kita mendapat kelulusan daripada pihak-pihak yang berkenaan, saya rasa tak ada masalah untuk kita keluarkan tender secepat mungkin. Selepas ini Biro Infrastruktur yang diketuai oleh Dr Husam akan memberi tumpuan pada pembinaan surau," sambungnya lagi.




"InsyAllah akan saya segerakan. Saya akan pastikan proses pembinaan surau dilaksanakan secepat mungkin. Saya pun tak sabar nak tengok surau sekolah dibina." Kepuasan tergambar di wajah Dr. Husam dan sebahagian besar ahli jawatankuasa. Cuma wajah Puan Wan Sharwin sahaja yang nampak kelat.

"Saya harap lepas surau dibina, bersegeralah pula membesarkan gym untuk anak-anak kita," suaranya mendatar.

"Jangan bimbang Puan Wan Sharwin, surau ini juga untuk anak-anak kita juga," balas Datuk Dr Zainal Akil.

Masam manis muka Puan Shawin mendengarnya.

Selesai mesyuarat PIBG petang tersebut Puan Sharwin tidak bergerak. Dia masih rancak berbual dengan seorang wakil ibu di bilik mesyuarat. Rania bersama barisan guru dalam AJK PIBG pula sibuk berkemas. Cawan dan piring kotor buat bekas hidangan petang dimasukkan dalam besen yang disediakan oleh pihak kantin di luar bilik mesyuarat.

"Dah pukul 6.30 petang ni, orang berdua tu masih bersembang, kita nak tutup bilik ni," bisik Cikgu Wan pada Rania seraya mengerling pada Puan Wan Sharwin dengan temannya.

"Tak apa, saya cakap," ujar Idani.

Dengan selamba, dihampiri orang berdua yang sangat asyik berbincang. Dengan hormat, dijelaskan pada mereka bahawa mereka mahu mengunci bilik mesyuarat.

"Ya, kami tahu. Kami pun nak balik," rungut Puan Wan Sharwin. Tubuh gempalnya bangkit. Begitu juga dengan temannya yang kurus sedikit.

Telefon Rania berbunyi. Panggilan daripada Ummar Qayyum.

"Makan malam sama-sama nak?" ajak Ummar Qayyum.

"Boleh, lepas Maghrib," sahut Rania yang bercadang untuk singgah di rumah sewanya.

"I jemput?"

"Tak, macam biasa, kita naik kereta sendiri. Lagipun malam ni I nak balik rumah mama," jelas Rania. Dari koridor, dia nampak kereta Ummar Qayyum masih berada di tepi gelanggang bola tampar. Kebiasaannya begitulah. Kalau mereka sama-sama menghadiri mesyuarat PIBG sekolah, waktu pulang Ummar Qayyum akan menunggunya. Kemudian mereka merancang aktiviti dan bergerak dengan kereta masing-masing. Telefonlah yang akan menjadi perantara sebelum mereka bertemu di mana-mana untuk makan malam atau membeli-belah bersama-sama.

Dari arah bilik mesyuarat, Rania bergegas menghala ke tangga malangnya di tepi anak tangga paling atas, bertempuh bahu pula dengan Puan Wan Sharwin.

"Berlagak bagus konon, nak dirikan masjid," Puan Wan Sharwin menyindir Rania sewaktu sama-sama menuruni anak tangga menuju ke tempat letak kereta. Berdesing telinga Rania mendengarnya. Sedapat mungkin ditahan rasa hati.

"Tak usah nak tunjuk alimlah kalau dengan pelajar-pelajar you buat musuh. Berdendam pada mereka," tuduh perempuan bertubuh gempal itu lagi.

Rania mulai hilang sabar. "Apa masalah puan ni? Apa lagi yang puan tak puas hati?" Rania berhenti di tengah tangga. Terasa diri diperlekehkan. Di sebelah sana, kerling mata Rania dapat melihat Idani, Razalina dengan Cikgu Wan sudah sampai ke kereta masing-masing.

"You ingat saya tak tahu you boikot pelajar-pelajar kelas 4 Mercury? Kesannya anak saya jadi mangsa," perempuan itu menjeling pada Rania.

"Saya dah tak ada apa-apa kisah dengan anak puan dan pelajar-pelajar tu lagi. Saya dah mohon maaf pada mereka seperti yang puan arahkan. Saya dah jatuhkan maruah saya depan para pelajar atas kesalahan yang saya tak buat. Belum cukup puas hati puan lagi?" Rania membalas balik serangan dari pihak lawan. Berang benar kerana dituduh sedemikian.

"Minta maaf konon. Tapi bila lalu di tepi kelas mereka, you berpaling ke arah lain. Apa dosa dan salah mereka you buat begitu?" keras nada suara Puan Wan Sharwin.

"Kalau mereka terasa, bukan salah saya," selamba Rania menyahut.

"Begitu tingkah seorang guru?"

"Puan pun apa kurangnya? Hanya mendengar sebelah pihak. Adakah puan benar-benar pasti dengan cerita yang disampaikan kepada puan tu?"

"You tuduh anak saya berbohong?" perempuan itu mulai menyinga.

"Saya tanya adakah puan pasti? tekan Rania. Suaranya juga sudah meninggi.

"Awak jangan nak tunjuk lagak di sekolah ni," ugut perempuan itu dengan cerlung yang penuh makna.

"Terpulanglah pada puan nak fikir apa," tanpa mempedulikannya, Rania bergerak pantas mendahului perempuan itu dan segera menuju ke kereta. Mood baiknya sudah hilang. Benar-benar direntap. Dadanya berombak-ombak.

Tak sudah-sudah dia mahu cari pasal dengan aku. Apa lagi yang dia hendak agaknya? Mahu aku ditendang keluar keluar dari sekolah ini?

Di dalam kereta, Rania menenangkan dirinya sebentar sebelum enjin kereta dihidupkan. Selesai solat Maghrib, dia duduk saja di atas sejadah. Dihadapkan dirinya pada Yang Esa. Hati rasa sebu. Dibiarkan dirinya hanyut dan di awangan. Hilang keinginannya untuk keluar makan malam dengan Ummar Qayyum. Lama juga dia bersendirian sehinggalah panggilan daripada Ummar Qayyum menghapus lamunannya.

"Kenapa Ren?" hampa benar suara Ummar Qayyum bila dimaklumkan Rania bahawa dia tidak jadi keluar bersama.

"Tak ada mood," Rania bergolek di atas sejadah.

"Please sayang. I nak jumpa you."

"I tak bersiap pun. Tak ada mood."

"Kenapa tiba-tiba berubah ni?" rayu Ummar Qayyum.

Rania diam.

"I ada buat sesuatu yang you tak suka ke?" tanya Ummar Qayyum. Hiba rasa hati Rania mendengar ungkapan itu.

"Taklah."

"Tadi masa I call you riang saja, takkan tiba-tiba mood berubah. Apa yang berlaku?"

Rania malas bercerita.

Hanya dengusnya sahaja yang terdengar dek telinga Ummar Qayyum. Apa sudah jadi? Fikir Ummar Qayyum tidak mengerti.

"I nak balik, nak jumpa mama," sahut Rania bila ditanya.

"Apa masalahnya?"

"I hilang mood tiba-tiba. Kalau jumpa you pun, I seret you sama dalam masalah I. lebih baik tak usah jumpa."

"Ren, I boleh dengar masalah you. Kita bincang sama-sama." pujuk Ummar Qayyum.

Rania serba-salah. Hakikatnya dia tidak boleh berjumpa Ummar Qayyum dalam keadaan diri yang tertekan sedemikian tapi mendengar suara hiba Ummar Qayyum datang pula belas di hati.

"Ren...please..."

"Lain kali ya Qayyum," kata putus Rania lontarkan sebelum talian dimatikan. Rania tidak tahu mengapa dia berbuat demikian. Meskipun rasa bersalah yang amat sangat, dia tidak mahu bermelankolik. Dia sudah penat. Benar-benar penat.

Sepanjang jalan pulang ke rumah ibu, tumpuannya terganggu. Tuduhan yang dilemparkan oleh Puan Wan Sharwin sangat-sangat menghantuinya. Sampai di rumah, Rania terus panjat anak tangga menuju ke kamar. Tercengang Puan Sri Zalia melihatkan tingkah laku pelik si anak.

Kenapa dengan Ren? Fikir ibunya dan soalan yang sama mengganggu benak Rania. Kenapa dengan perempuan itu? Perempuan yang bernama Wan Sharwin. Apa masalahnya? Apa yang telah aku lakukan padanya? Kenapa aku yang jadi sasarannya? Apa yang telah anaknya maklumi dirinya sehingga tergamak dia mengucapkan kata-kata sedemikian kepadaku? Jawapan yang diharapkan tidak ditemui. Rania berasa sangat penat. Selepas solat Isyak, Rania tarik selimut dan berharap esok yang indah akan menyambutnya.

Malangnya, lain yang diharap, lain pula yang berlaku. Masuk sahaja ke bilik guru selepas habis empat waktu mengajar di dua kelas, dia mendapat perkhabaran terkini. Nurul Ain berbisik di telinganya tentang nama-nama guru yang terpaksa dikeluarkan dari sekolah. Bukan kepalang terkejutnya apabila salah satu nama yang disebut ialah Puan Norhayati Ismail - Guru Cemerlang Kemahiran Hidup.
Guru cemerlang pun kena keluar?" Rania minta kepastian.

"Entahlah akak pun tak faham."

Rania geleng kepala. Dipandang sekeliling. Sunyi. Hanya ada beberapa guru sahaja di dalam pejabat guru.

"Kalau ikut senarai, nama Ren pun naik tapi tiba-tiba pihak sekolah dapat panggilan daripada kementerian, nama Ren tak boleh dikeluarkan," tutur Nurul Ain tiba-tiba. Tersentak Rania mendengarnya.

"Bukan dari PPD Ren, tapi kementerian," tekan Nurul Ain. "Ren ada kabel besar ke?" serkap Nurul Ain.

Rania tidak terkata.

"Opps sorry, akak tak sepatutnya tanya soalan begitu kan?" Nurul Ain berwajah gundah. Lemah semangat Rania mendengarnya.

"Akak dapat berita daripada mana ni?" tanya Rania.

"Pejabat. Pagi tadi. Tapi cikgu-cikgu yang kena keluar belum dapat surat rasmi lagi," jelas Nurul Ain bersimpati sebelum meninggalkannya sendirian kerana ada kelas. Hajat hati hendak menghubungi Ummar Qayyum tergendala lagi.

Qayyum! Maafkan aku. Rania pejamkan mata. Rasa bersalah pada Ummar Qayyum menunda-nunda, datang menderu-deru. Akhir-akhir ini fikirannya sangat tidak menentu. Yang menjadi mangsa Ummar Qayyum.

Aku harap kau boleh bersabar dengan kerenahku Qayyum, bila aku tenang nanti, akan kukongsi semua masalahku bersamamu, janji Rania sendiri.

Rania sedar, selama dia menjalin perhubungan dengan Ummar Qayyum, tak banyak hal-hal sekolah yang diceritakan kepada Ummar Qayyum kecuali hal berkaitan PIBG. Sehingga hari ini, Ummar Qayyum tidak pernah tahu bahawa Puan Wan Sharwin pernah memarahi malah mengugutnya gara-gara termakan cerita Elly Sukaesih. Dia tidak mahu bercerita mengenangkan Puan Wan Sharwin ada dalam ahli jawatankuasa PIBG. Kelak apa pula pandangan Ummar Qayyum pada perempuan itu kalau cerita itu sampai padanya? Terkini, perihal berita pertukaran guru pula. Tidak tergamak rasanya untuk dikongsi bersama Ummar Qayyum. Tambahan pula menurut Nurul Ain, namanya sepatutnya tersenarai tapi ada yang menghalang.

Ayahkah? Mustahil ayah. Ayah sangat sibuk. Mana sempat ambil tahu apa yang berlaku di sekolah. Lebih dari itu, dia jarang bercerita pada ayahnya tentang hal ehwal sekolah. Kalau ayah tahu pun hanyalah seputar cerita tentang pembinaan surau. Itu saja.

Rania mengeluh sendirian.

Dalam keadaan celaru sedemikian, datang pula Ajeerah, dengan wajah rusuh menghampirinya.

"Kenapa Jeerah?" Rania berasakan ada sesuatu yang tidak kena kerana Ajeerah hanya sekadar tercegat di sisinya.

"Cikgu, sebenarnya, dah dua minggu Amanda Sofea tak datang sekolah," kata Ajeerah lambat-lambat. Penjelasan Ajeerah benar-benar mengejutkan Rania. Apa sudah jadi? Setahunya, Amanda Sofea bukan jenis begitu.

"Masa cikgu jumpa Ajeerah dengan Sofea hari tu, bila ya?" Rania imbas kembali kali terakhir terserempak dengan mereka di kantin sekolah.

"Err, maaf cikgu, saya tak bermaksud nak larikan diri tapi..."

"Tak apa cikgu faham," potong Rania segera. Bermakna tak salahlah tanggapanku tempoh hari. Memang Amanda Sofea sengaja melarikan diri dariku, tapi mengapa? Marahkah? Bencikah? Atau barangkali benarkah seperti dakwaan Wan Sharwin? Aku berdendam pada mereka? Ah, tidak. Aku tidak pernah berdendam pada pelajar. Kalau ada pun sekadar jauh hati. Itu saja!

"Cikgu marah ke?"

Rania menggeleng. "Cikgu pula yang tiba-tiba rasa tak sedap hati. Barangkali Amanda dan Ajeerah tak sudi jumpa cikgu lagi."

"Taklah cikgu," Ajeerah menafikan. Wajahnya diserbu serba-salah. "Sebenarnya cikgu, Amanda ada di rumah saya. Dia ada masalah. Cikgu nak jumpa dia?"

"Dia tak ke sekolah tapi ada di rumah awak?" Bingung Rania mendengarnya.

"Kenapa dia duduk di rumah awak? Apa masalahnya?"

"Masalah besar juga cikgu. Nanti cikgu tanyalah Amanda sendiri. Cikgu nak ikut saya balik hari ni?" tanya Ajeerah.

"Hari ini? Cikgu ada kelas tambahan. Begini, biar cikgu fikir dulu. Habis sekolah awak datang jumpa cikgu," arah Rania.

Fikir punya fikir, Rania ambil keputusan jengah Amanda Sofea sementara menunggu kelas tambahan tingkatan lima, pukul 3.30 petang. Sempatlah dua jam setengah, fikirnya sebaik sahaja Ajeerah sudah masuk ke dalam keretanya. Apalah ceritanya budak kecil molek itu? Rania tertanya-tanya sendiri.

"Nanti cikgu tanya dia sendiri," ujar Ajeerah dalam perjalanan ke rumahnya di Taman E-Queen Height. Di pondok pengawal, dikenalkan dirinya sebagai guru kelas Ajeerah sebelum keretanya dilepaskan masuk. Rania memandu berhati-hati di laluan yang berbukit mendaki taman perumahan tanpa pagar.

"Belok kiri cikgu," Ajeerah menghalakan Rania ke arah sebuah banglo besar yang binaannya berkonsep Inggeris. Kereta berbaris-baris.

"Siapa ada di rumah?"

"Pembantu rumah dengan Amanda."

"Emak?"

"Mama ke luar negara."

"Ayah?"

"Papa kerja cikgu."

Rania berasa kurang selesa datang ke rumah Ajeerah tanpa pengawasan orang tua. Namun apabila pintu rumah dibuka, wajah seorang mak cik separuh umur yang menyambutnya membuatkan dirinya berasa sedikit selesa.

"Cikgu Ajeerah?" tanya perempuan separuh usia yang memperkenalkan dirinya sebagai Mak cik Pon. Rania angguk. Ajeerah sudah berlari naik ke atas sementara Rania ditinggal seketika di ruang tamu bersama Mak cik Pon. Di hadapannya ada seteko Nescafe panas dengan karipap segera yang masih berasap tipis dihidangkan oleh Mak cik Pon. Mak cik Pon yang ramah tamah ceria melayan tetamu.

"Dah lama kawan Ajeerah duduk di sini?" Rania korek rahsia.

"Dah dua minggu cikgu. Tak sihat kata Ajeerah. Amanda dah biasa di sini cikgu. Maknya pun macam mak Ajeerah juga. Selalu keluar negara. Orang kaya cikgu."

Riang mak cik bercerita dengan telo Jawa yang sudah mulai diserap bahasa Melayu.
Lama juga Rania berbual sebelum Ajeerah turun diikuti Amanda Sofea. Wajah Amanda Sofea pucat.

"Tak sihat Amanda tu cikgu," ujar Makcik Pon sebelum meminta diri dan membiarkan mereka bertiga berbual.

"Terima kasih cikgu, sudi melawat saya."

"Amanda apa khabar?"

Si gadis kecil molek itu berpandangan dengan Ajeerah. Sebelum sempat mereka memulakan perbualan, ada pesanan ringkas masuk. Segera Rania melihat nama si pengirim. Murni! Berkerut dahi Rania. Dibaca pesanan ringkas itu.

Salam Kak, Murni ada di KL. Murni perlu jumpa kakak.

Ada hal penting Murni nak bincang dengan kakak.

Murni? Apa hal Murni mahu bertemu? Tak pernah hayat Murni menghubunginya. Apa yang penting? Hal Ummar Qayyumkah?

Perut Rania memulas-mulas tiba-tiba.


Oleh Samsiah Mohd Noor
Sumber: Metro

Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pantang Larang dan Makanan Orang Demam Campak

Air kelapa sangat bagus untuk demam campak Pantang larang dan makanan orang demam campak. Nak jaga pemakanan orang demam campak? Ok, aku ada petua dan tipsnya. Segala yang tertulis di sini adalah keluar dari kepalaku, dan pengalamanku menjaga makanan orang demam campak.  Ku abadikan di sini. 1. Tidak boleh menggoreng Demam campak ni kita tak boleh nak goreng apa-apa makanan terutamanya guna minyak. Contohnya goreng ikan. Menumis pun tak boleh tau. Sebab apa tak boleh? Sebab ia akan merangsang pertumbuhan campak dan buat ianya kemerah-merahan. 2. Elakkan makanan laut yang gatal Makanan laut, seperti udang, sotong, kerang elok la dikuarantinkan.. Haha~ Bukan kuarantin la tapi jangan makan makanan tu, k. Risau gatal je.   3. Elakkan yang pedas Cili pun tak boleh makan sebab mengundang kegatalan . 4. Elakkan yang hitam-hitam seperti gaban perkasa hitam Kicap dan kopi harus la dijauhi serta merta sebab ia akan menyebabkan berparut hitam. Kalau koko atau m...

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru, jom kita gali ilmu. Sha dapat dari kawan-kawan bundle juga. ✔ Bale – Ketul, guni atau tokol pakaian/beg/kasut dan lain-lain. Kain 100 – Baju/pakaian yang 100% kapas. Kain Samah – Baju yang diadun dengan 2 material. 50 cotton +50 polyster (poly). 3 kain – Baju diadun dengan 3 material. Cotton + Poly + Rayon. 3 suku / Raglan / 3q – Baju yang mempunyai lengan bersambung dari leher berakhir di siku. Kain sambung – Lengan baju disambung dengan lengan warna lain, contohnya Rolling Stone Tour Euro82, Iron Maiden ‘aces high’ lengan camo. Ada juga kain sambung di dada. Contohnya Hawaii bernombor. Camo – Celoreng Ringer – Baju yang mempunyai warna/getah pada hujung lengan dan leher. Kain pasir / kain bulu katu – Merujuk seluar Lee,Wrangler,Levis era 70/80/90 an. Combo – Jualan melebihi sehelai dengan 1 harga. Single stich – Jahitan satu garisan sama ada pada lengan atau bawah baju. Biasa pada baju vintage....

Belajar Bahasa Melayu Kelantan: Keluarga

Kali ini, kita belajar pula bahasa Melayu Kelantan dalam keluarga. Ibu: Ma bagi yang ibu muda manakala 'mek' atau  'mok' bagi ibu yang dah tua. Bapa: Abah bagi bapa muda manakala Ayoh bagi bapa yang sudah tua. Bagaimana pun, gelaran ini dipanggil sejak kecil. Kakak. Sama, tiada berubah. Abang : Abe Adik: Adik. Anak sulung: Long Anak Kedua: Angah Bersambung lagi ya. Entri sebelum ini mengenai pengenalan

Open Tracker