Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 21)]: Pipitkah aku di sebelah enggang?

 
RANIA menyelak langsir tebal berwarna coklat muda. Dari arah pondok pengawal, kelihatan kereta Jaguar Ummar Qayyum memasuki kawasan sekolah. Rania capai beg tangan lalu bergegas menuruni anak-anak tangga dan kemudian terus menuju ke kereta Jaguar yang sudah pun diparkir.

Tiada sesiapa yang perasan sewaktu Rania menyelinap masuk ke dalam kereta Ummar Qayyum. Pertama kali Ummar Qayyum menjemputnya di sekolah untuk makan petang.

"Nak makan di mana?"


"Makan cendol boleh? Hari panas macam ni sedap pekena cendol."

Jaguar merah darah meluncur deras menuju ke Seksyen 8. Sebuah gerai cendol dalam deretan kedai makan menjadi destinasi mereka.


"Hmm, lemaknya, sedap," ujar Rania sewaktu cendol yang dipesan sudah dinikmati.
Cendol yang beraroma daun pandan dihirup dengan berselera sekali.

"Terliur tengok you makan, minta sikit."

"Tak boleh," tekan Rania lalu dilarikan mangkuk cendolnya sewaktu mahu dicedok Ummar Qayyum. Beberapa orang pelanggan memerhatikan gelagat mereka.

"Perangai elok sikit ya, orang pandang tu. I ni cikgu tau."

"Ya cikgu...cikgu kedekut!" bisik Ummar Qayyum. Hampir tersembur cendol dalam mulut Rania mendengarnya. Geli hati benar dengan tuduhan Ummar Qayyum.




"Baru kali ni rasa nikmat makan," akui Rania yang kebelakangan ini hilang sikit selera makannya. "Kerja banyak sangat di sekolah. Sementara tunggu you tadi, sempat I siapkan minit mesyuarat kali pertama Biro Infrastruktur."

"Dah berapa kali mesyuarat?"

"Ini yang pertama. Dr Husam kata lepas mesyuarat PIBG kedua, terus buat mesyuarat biro kedua. I dah nak teliti fail Biro Infrastruktur terdahulu. Ada empat projek yang direncanakan. Selain pembinaan surau, ada pembinaan bumbung untuk laluan pelajar, pondok-pondok untuk kegiatan persatuan para pelajar dan pembesaran bilik gimnasium. Tapi, satu pun tak siap."

"Yang paling terdahulu dalam senarai ialah projek pembinaan surau. Sebelum Datuk Haji Mustafa jadi YDP pun, projek surau dah dirancang," jelas Ummar Qayyum. Dia pun turut menikmati ais kacang.

"Malangnya tak siap-siap."

"You tak boleh prejudis macam tu."

"I cakap berdasarkan fakta."

"Projek tersangkut kerana tak dapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran, bukan saja-saja tak siap."

"Macamlah tak ada alternatif lain. Masa mesyuarat hari tu kan ada sebut, kita ada pelan B. Kalau I jadi YDP, I akan teruskan dengan pelan B sejak dulu lagi.
Takkan I tunggu surat kelulusan sampai lima tahun. Membazir," Rania lahirkan apa yang terbuku di hati. Suaranya agak keras.

"Patutnya you yang jadi YDP, lupa I nak usulkan hari tu."

Wajah masam kelat Rania berubah rona bila diusik Ummar Qayyum. Dia tahu main peranan bila nampak Rania beremosi.

"Kalau dah dapat kelulusan, macam mana pula dengan dana? Boleh ke kalau dana untuk pembinaan gym ditukarkan ke pembinaan surau?"

"I rasa untuk mengumpul dana tak banyak masalah sangat kalau ada surat kelulusan tapak dan ada pelan surau. Kita boleh minta sumbangan daripada Baitulmal, pusat zakat dan syarikat-syarikat. Abang I pun ada janji nak beri sumbangan kalau surau dah nak didirikan."

"Abang you yang mana?" Rania mahu tahu.

"Bakhtiar, ayah Acap."

"Bukan you kata Bakhtiar tu moden orangnya?"

"Moden tak bererti tak boleh bantu bina surau."

"Betul juga ya," Rania malu sendiri.

"Kadang-kadang kita ingat orang yang macam tu tak ada keinginan untuk menyumbang. Rupa-rupanya dia dulu yang tawarkan. Mukhriz pun tak ada masalah bila I tanya."

"Wah, nampak gayanya dah selesai masalah dana surau kita ya."

"Kena cari lagi, tak cukup tu. Bila surau dah naik nanti, tengoklah, bajetnya akan jadi lebih besar daripada jangkaan."

Rania seronok berbincang soal pembinaan surau dengan Ummar Qayyum. Entah mengapa dia berasa sangat teruja kerana terlibat secara tidak langsung dengan projek pembinaan surau di sekolah. Kalau surau dah naik, aku pun hendak menyumbang juga, fikirnya dan apa yang diangan-angankan itu dimaklumkan pula pada ayah sewaktu makan malam keluarga.

"Baguslah kalau Ren ada rancangan macam tu," puji Tan Sri Razlan.

"Bukan apa ayah, Ren kasihan tengok budak-budak yang stay back di sekolah sampai petang. Berlonggok ramai-ramai di surau macam ikan sardin. Ren dimaklumkan pelajar-pelajar yang stay back tu duduk jauh dari sekolah."

Rania terbayang keadaan surau kecil yang tidak selesa bila banyak penghuni memenuhi ruang kecil itu.

"Nama saja sekolah dalam kawasan elit, bangunan surau pun tak ada."

"Golongan yang tak elit pun banyak Ren, tak silap ayah satu pertiga pelajar SMK Sri Melor datang dari kawasan kampung tak jauh dari kawasan elit tu. Di tempat mereka belum ada sekolah dan SMK Sri Melor yang paling hampir," jelas Tan Sri Razlan.

Masuk juga di fikiran Rania akan kata-kata ayahnya. Esoknya di sekolah, Rania belek buku pendaftaran pelajar. Apa yang ayahnya sebut memang betul. Bukan semua pelajar di sekolah itu datang daripada golongan berpendapatan tinggi bahkan yang dari kampung dan pinggir bandar pun banyak. Barangkali mereka inilah yang tidur di surau sementara menunggu aktiviti petang yang dilaksanakan oleh pihak sekolah.

"Ingatkan semua orang senang, rupa-rupanya tidak," akui Rania apabila bertemu Ummar Qayyum lagi.

"You kan baru datang ke sekolah ni, takkan baru datang dah tahu semua."

"Kenang budak-budak tu kasihan, rasa banyak yang kita boleh buat untuk mereka."

"You jangan bimbang sayang. I dalam Biro Kebajikan. Kita tolong mereka yang kurang bernasib baik. Tahun lalu saja, kita peruntukkan lebih daripada RM10,000 untuk membantu mereka. Yuran sekolah, tambang bas, duit buku, malah duit saku pun, PIBG yang bayar."

"Oh ya ke? Senang hati I dengar."

"Kalau dah senang hati boleh kita bincang hal kita pula? Sejak dari mesyuarat PIBG hari tu, jumpa you asyik bincang pasal surau dan PIBG saja, kasihan I, terpinggir."

"Maafkan I Qayyum. I rasa teruja dan banyak yang mengganggu fikiran I bila terlibat dalam AJK PIBG ni."

"Tak ada apa yang dirisaukan Ren. Semua akan berjalan lancar, insya-Allah," janji Ummar Qayyum.

Itu kata kau Qayyum! Barangkali kau belum kenal benar dengan Puan Wan Sharwin, bisik hati kecil Rania. Jauh di sudut hati Rania, dia dapat merasakan bahawa perempuan tanpa kalbu itu akan mempertahankan apa yang dihajatinya dulu - pembesaran gimnasium.

"Jumpa emak I hujung minggu ni boleh," rayu Ummar Qayyum lagi, melenyapkan lamunan Rania. "Boleh?"

Rania pandang wajah redup Ummar Qayyum yang penuh mengharap. Jauh di lubuk hati, dia rasa sudah tiba masanya untuk bertemu ibu Ummar Qayyum.
Rania angguk kepala. Senyum Ummar Qayyum mekar.

Hujung minggu yang dijanjikan, Ummar Qayyum menjemput Rania di rumah. Alangkah terkejutnya Puan Sri Zalia apabila diberitahu oleh Ummar Qayyum bahawa dia mahu membawa Rania berjumpa ibunya di Kampung Daun Pisang.

"Ren tak beritahu mama pun," terkulat-kulat wajah Puan Sri Zalia.

"Lupa ma," Rania lepas tangan.

"Boleh dia kata lupa," bebelan Puan Sri Zalia membuatkan Rania cepat-cepat beredar.

"Kami pergi dulu mak cik," ujar Ummar Qayyum lantas disalami tangan wanita bergaya yang masih terpinga-pinga.

Rania tersenyum sedang Puan Sri Zalia geleng-geleng kepala kenangkan kerenah Rania nan seorang. Sehingga kereta yang dinaiki orang berdua itu beredar, Puan Sri Zalia masih duduk memerhati.

"You sengaja tak nak beritahu mama you kan?" serkap Ummar Qayyum.

"Ha'a," sahut Rania bersahaja tanpa rasa salah.

"Teruknya anak dara orang ni."

"Nanti mama kepoh, segala benda nak dikirim. Silap-silap dirinya pun nak dikirim sekali. Dia nak ikut," tawa Rania bergerincing bunyinya.

"Kalau macam tu, eloklah you beritahu last minute...," Ummar Qayyum bersetuju.

Mereka berhenti di gerai menjual buah-buahan. "Bawa ke bakal ibu mentua."
Sebakul buah-buahan diletakkan di tempat duduk belakang sebelum perjalanan diteruskan.

Seronok berbual dan bertingkah pendapat dengan Rania. Dia gadis bijak yang penuh pesona. Suka ketawa dan banyak idea untuk dibualkan sepanjang perjalanan.
Banyak yang diceritakan oleh Rania kepadanya termasuklah pengalamannya mengajar di Sabah.

"Kalau seronok kenapa minta tukar ke sini," Ummar Qayyum ingin tahu.

"I mimpi jumpa you. Itu sebab I minta tukar."

"Really? Patutlah masa kaki I kena sepak I rasa macam biasa nampak you sebelum tu," balas Ummar Qayyum balik.

Tawa mereka berderai lagi.

"Ren, I Ingat you jenis jiwang-jiwang."

"Kadang-kadang jiwang juga bila dengar-dengar lagu."

"Minat lagu siapa?"

"Banyak antaranya lagu Broery Marantika, Biar Bulan Bicara Sendiri."

"Eh, I pun, I beli semua CD lagu-lagu dia."

"Teruk you ni, mana semangat patriotisme you? Patutlah lagu artis Melayu susah nak jual."

"Kata dulang paku serpih," jeling Ummar Qayyum.

"I tak beli CD atau kaset dia, I kata I minat lagu dia saja, dengar lagu dalam radio Era."

Ummar Qayyum tertawa lagi. Dia asyik terkena sahaja. Bersama Rania, perjalanan melebihi sejam tidak terasa. Dia penuh dengan humor dan pandai berjenaka. Ummar Qayyum perlahankan kereta apabila mereka memasuki kawasan kampung. Di kiri kanan jalan penuh dengan pokok pisang.

"Banyak pokok pisang," ralit Rania memerhatikan suasana hijau yang penuh kedamaian.

"Namanya pun Kampung Daun Pisang."

Kereta Jaguar dibelokkan ke kiri tatkala sampai di simpang tiga. Ceria wajah Ummar Qayyum berubah rona tatkala terperasan kelibat seseorang berdiri di beranda. Macam Murni saja! Datanglah memulas di perutnya. Seorang wanita berusia menyaingi perempuan yang masih berdiri di anjung.

Sebaik keluar dari kereta, Rania melemparkan pandangan pada dua orang wanita yang sedang memerhatikan mereka di anjung sambil menjinjing buah tangan yang dibawa. Seorang perempuan tua dan seorang lagi gadis muda. Yang muda itu Murnikah? Berdetik hati Rania.

Ummar Qayyum bersama Rania menyalami tangan ibu. Kemudian Rania diperkenalkan pada Nenek Ninda. Terdiam sejenak Rania apabila terletus perkataan Murni daripada bibir Ummar Qayyum.

Oh! Murni. Betullah dugaanku. Baru hari itu sebut nak berkenalan dengan Murni, dah menjelma dia!

"Kenapa tak cakap nak bawa kawan balik," tanya Nenek Ninda pada Ummar Qayyum. Murni sudah bergerak laju menuju ke dapur.

Kurang asam! Mengutuk aku tak beritahu mama, dia pun sama! Bisik Rania yang turut mendengar perbualan orang berdua itu. Rania memandang ke segenap rumah kayu yang besar dan unik itu.

"Nak ronda-ronda pergilah, ada banyak tingkap, boleh tengok ke luar. Di belakang ada kebun getah," ujar Ummar Qayyum.

Rania ikut arahan Ummar Qayyum. Sebenarnya Ummar Qayyum mahu bersama ibunya. Banyak yang mahu ditanya.

"Kenapa emak ajak Murni sekali?" Soalan itu sudah tertanam di minda Ummar Qayyum sebaik sahaja dia nampak Murni di anjung tadi.

"Taklah. Abangnya berkursus di Langkawi, bawa keluarganya sekali. Murni malas ikut, datang ke sini."

"Terkejut saya mak. Dahlah saya bawa Rania."

"Kamu pun satu, nak ajak kawan, senyap-senyap."

"Saya nak buat kejutan pada emak."

"Sudahnya kamu yang terkejut."

"Tak apa ke mak? Saya rasa semacam pula. Bawa Rania masa Murni di sini."

"Tak apa. Murni pun tak kisah. Tengok tu, elok saja dia berdua. Entah apa yang diceritakan tu."

Kedua-duanya pandang serentak ke arah anak dara berdua yang sedang berdiri di beranda belakang menghadap deretan batang-batang getah.

"Kalau emak kata begitu, okeylah, senang sikit hati saya."

"Tak ada apalah. Kalau dia kecil hati, tak datang lagi dia ke sini."

Penjelasan ibunya sangat masuk di akal Ummar Qayyum. Betullah tu, masa sudah merubah keadaan. Barangkali awal-awal dulu Murni menangis, tapi sekarang dia sudah boleh menerima kenyataan. Senang hati Ummar Qayyum melihat Rania berbual-bual dengan Murni.

"Emak tahu Rania tu anak siapa?" bisik Ummar Qayyum sebaik sahaja Rania minta diri bersolat Zuhur.

Murni pula selepas membersihkan diri sesudah memasak, masuk ke bilik depan bersebelahan dengan ruang rehat. Bilik itu sememangnya diperuntukkan untuknya setiap kali dia datang.

"Anak siapa?" kening Nenek Ninda berkerut.

"Anak Tan Sri Razlan, pernah jadi jiran kita dulu."

"Maksud kamu anak si Zalia," wajah Nenek Ninda penuh teruja.

"Ha'a. Emak ingat lagi ya."

"La, orang kita juga rupanya. Kamu pula kenapa tak beritahu emak awal-awal," marah Nenek Ninda.

"Saya pun baru tahu emak."

"Hissh, kamu ni..."

"Ya mak, dia tak pernah beritahu pun pada saya tentang latar belakang keluarga dia. Saya tertahu masa pergi majlis perkahwinan abangnya Rais. Terserempak di situ."

"La, kisahnya. Dah memang keturunan rendah hati. Macam Razlan. Jatuh sifat Razlan pada anaknya. Zalia pun baik orangnya. Habis, kamu dah berjumpa dengan emak ayah Rania? Keluarganya?"

"Dah mak."

"Hmm, tak cakap pada emak juga."

"Ni cakaplah ni."

"Emak suka Rania kan?" bisik Ummar Qayyum perlahan.

"Kamu suka, emak sukalah. Cantik orangnya, berbudi bahasa, cikgu pula tu. Dan yang paling penting, kau dah nak tamatkan zaman bujang."

"Alhamdulillah emak suka."

Nenek Ninda senyum senang. Lain pula dengan Murni. Dia yang sedari tadi curi-curi dengar perbualan dua beranak itu makan hati. Jiwanya resah dan tidak keruan jadinya. Patutlah Abang Qayyum menolak aku, rupa-rupanya dia mendapat gading bertuah, anak orang kaya yang serba molek. Malangnya nasib aku.

Rasa terpinggir dan jauh hati Murni makin menjadi-jadi melihatkan kemesraan antara Rania dengan Nenek Ninda dan Ummar Qayyum. Putih matanya melihatkan Ummar Qayyum sendukkan sambal bilis campur petai ke pinggan Rania.

"Murni masakkan tu, tahu kamu balik, kelam kabut dia menumis," tutur Nenek Ninda.

"Makan dengan masak tempoyak ikan patin lagi sedap ni. Rania pandai masak ikan patin mak."

Tak habis-habis Ummar Qayyum memuji Rania di hadapannya. Murni terpaksa bermuka-muka. Tersenyum di luar tapi hati di dalam hanya Tuhan yang tahu.

Melihat cara Ummar Qayyum memandang Rania bertambah bengkak hati Murni. Memang Murni terpaksa akui, Rania memang cantik. Kulitnya mulus, senyumnya indah, bicaranya penuh adab. Ah, air kakinya pun tak tersampai dek mukaku. Patutlah aku tak dipandangnya lagi sejak mengenali Rania.

Tiba-tiba Murni teringat cerita Acap tentang seorang guru baru. Barangkali inilah cikgu baru yang pernah diceritakan Acap padaku dulu. Bermakna tidak lama mana perkenalan mereka berdua. Kalau Rania tidak wujud, barangkali akulah yang dipilih Abang Qayyum. Dia yang merampas Abang Qayyumku.

Daripada perasaan kagum dan jauh hati, tiba-tiba muncul satu perasan lain di sanubarinya. Perasaan menyampah dan marah. Silih berganti.

Tak mengapa, tak dapat tanduk, telinga kupulas! Murni ketap-ketap bibirnya.

Oleh Samsiah Mohd Nor
Sumber: Metro

Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pantang Larang dan Makanan Orang Demam Campak

Air kelapa sangat bagus untuk demam campak Pantang larang dan makanan orang demam campak. Nak jaga pemakanan orang demam campak? Ok, aku ada petua dan tipsnya. Segala yang tertulis di sini adalah keluar dari kepalaku, dan pengalamanku menjaga makanan orang demam campak.  Ku abadikan di sini. 1. Tidak boleh menggoreng Demam campak ni kita tak boleh nak goreng apa-apa makanan terutamanya guna minyak. Contohnya goreng ikan. Menumis pun tak boleh tau. Sebab apa tak boleh? Sebab ia akan merangsang pertumbuhan campak dan buat ianya kemerah-merahan. 2. Elakkan makanan laut yang gatal Makanan laut, seperti udang, sotong, kerang elok la dikuarantinkan.. Haha~ Bukan kuarantin la tapi jangan makan makanan tu, k. Risau gatal je.   3. Elakkan yang pedas Cili pun tak boleh makan sebab mengundang kegatalan . 4. Elakkan yang hitam-hitam seperti gaban perkasa hitam Kicap dan kopi harus la dijauhi serta merta sebab ia akan menyebabkan berparut hitam. Kalau koko atau m...

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru, jom kita gali ilmu. Sha dapat dari kawan-kawan bundle juga. ✔ Bale – Ketul, guni atau tokol pakaian/beg/kasut dan lain-lain. Kain 100 – Baju/pakaian yang 100% kapas. Kain Samah – Baju yang diadun dengan 2 material. 50 cotton +50 polyster (poly). 3 kain – Baju diadun dengan 3 material. Cotton + Poly + Rayon. 3 suku / Raglan / 3q – Baju yang mempunyai lengan bersambung dari leher berakhir di siku. Kain sambung – Lengan baju disambung dengan lengan warna lain, contohnya Rolling Stone Tour Euro82, Iron Maiden ‘aces high’ lengan camo. Ada juga kain sambung di dada. Contohnya Hawaii bernombor. Camo – Celoreng Ringer – Baju yang mempunyai warna/getah pada hujung lengan dan leher. Kain pasir / kain bulu katu – Merujuk seluar Lee,Wrangler,Levis era 70/80/90 an. Combo – Jualan melebihi sehelai dengan 1 harga. Single stich – Jahitan satu garisan sama ada pada lengan atau bawah baju. Biasa pada baju vintage....

Belajar Bahasa Melayu Kelantan: Keluarga

Kali ini, kita belajar pula bahasa Melayu Kelantan dalam keluarga. Ibu: Ma bagi yang ibu muda manakala 'mek' atau  'mok' bagi ibu yang dah tua. Bapa: Abah bagi bapa muda manakala Ayoh bagi bapa yang sudah tua. Bagaimana pun, gelaran ini dipanggil sejak kecil. Kakak. Sama, tiada berubah. Abang : Abe Adik: Adik. Anak sulung: Long Anak Kedua: Angah Bersambung lagi ya. Entri sebelum ini mengenai pengenalan

Open Tracker