Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 16)]:Angin Baru Tahun Baru

PAGI Ahad itu, awal-awal pagi Ummar Qayyum sudah berada di depan perkarangan dewan sekolah.

Matanya liar mencari Rania dan senyumnya menguntum tatkala melihat Rania bertugas di meja pendaftaran. Dihampiri Rania. Sempat dia bergurau dan mengusik Rania pada kala tetamu lain sibuk berbual sesama sendiri.

“Selamat pagi. Terima kasih datang,” ucap Rania.


“Tak datang rugilah, bukan senang nak jumpa cikgu sekolah ni,” seakan berbisik Ummar Qayum bercanda lagi.

Rania menjeling sekeliling takut gurauan Ummar Qayyum terdengar dek cikgu-cikgu lain yang sibuk dengan urusan pada pagi itu.


“Ucap pada cikgu Rania seorang saja ke?” Ustaz Habsyah menyampuk. Ternyata dia ternampak gurauan teruna dara itu.

Umar Qayyum senyum. “Ha’a, kebetulan nampak cikgu Rania seorang saja tadi.”
“Kalau ada hajat, kami semua boleh tolong Encik Qayyum...”



   
Usik-mengusik makin menjadi-jadi. Merah padam muka Rania. Ummar Qayyum masih dengan wajah selambanya. Hadirin makin memenuhi meja pendaftaran. Ummar Qayyum mengambil tempat di dalam dewan. Tuan Haji Muhyidin sudah berada di pentas bersama Datuk Haji Mustafa - YDP PIBG tahun sudah. Beberapa AJK dari kalangan ibu bapa banyak yang sudah hadir. Guru-guru seperti biasa mendominasi kerusi.

Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Seri Melor berlangsung seperti tahun-tahun sudah. Selepas pembentangan AJK PIBG terdahulu dibubarkan, pemilihan wakil baru dilaksanakan. AJK sebulat suara memilih Ummar Qayyum sebagai penasihat meskipun anak jagaannya sudah tidak lagi berada di sekolah tersebut. Perlantikan tersebut diterima dengan senang hati oleh anak muda berkulit cerah itu.

“Kalau begitu bolehlah saya pertimbangkan tapi kehadiran saya tidaklah seperti sewaktu saya dalam jawatan kuasa dulu,” janji Ummar Qayyum. Rania senang hati mendengar perlantikan tersebut.

Sesi soal jawab menyusul kemudiannya. Dalam banyak-banyak soal jawab, salah seorang wanita dalam ahli jawatankuasa PIBG bangkit dan mempersoalkan kredibiliti seorang guru SMK Seri Melor.

Beliau mendakwa anaknya dimalukan oleh seorang guru muda sekolah tersebut. Menurutnya, selain menyindir guru tersebut turut mencetus rasa marah pelajar-pelajar lain untuk memalukan anaknya. Berderau darah Rania naik ke muka mendengar tuduhan melulu wanita tersebut.

Dia mengata pada aku! Rania bermonolog sendirian. Siapa perempuan ini? Ibu Elly Sukaesihkah? Patutlah sejak semalam tak sedap hati saja, rupanya ini yang menunggu aku pagi ini.

“Mesti ada kaitan dengan kes Elly semalam ni,” bisik Cikgu Razalina yang kebetulan duduk di sebelahnya.

Rania bukan sahaja terkedu malah terpaku memandang susuk wanita yang masih gagah memegang mikrofon. Dia kelihatan sangat yakin, bersemangat malah komentarnya itu menarik perhatian hadirin.

“Kami akan menyiasat perkara itu puan,” janji Tuan Haji Muhyidin. Pengetua yang sudah penuh uban di rambut nampak serba salah.

“Saya harap perkara begini tak berlaku lagi di sekolah elit ini, lebih-lebih lagi saya sekarang dalam ahli jawatankuasa PIBG sekolah,” juih wanita yang ala-ala datin itu. Angkuh benar suaranya.

Terbakar hati Rania. Anaknya yang tak cukup ajar, mahu disalahkan aku! Bengkak hatinya berpanjangan. Meskipun banyak lagi hal yang dibangkitkan dalam mesyuarat agung tersebut tapi Rania hilang fokus. Sehabis sahaja mesyuarat, dia bergegas pulang.

“Kenapa tergesa-gesa balik?” tanya Ummar Qayyum di telefon. Cuba dikejar Rania tadi tetapi cepat saja guru muda itu menyusup masuk ke dalam kereta dan pergi.

“I kena balik cepat. Ada hal keluarga,” dalih Rania.

“Ren, apa yang tak kena?”

“Tak ada apa-apa.”

“Ren, please...”

“I tengah memandu. Kita bincang kemudian.”

Telefon dimatikan. Pedal minyak ditekan lebih laju daripada kebiasaan. Sampai di laman rumah, dia diam di dalam kereta. Sepuluh minit dia bertapa sebelum keluar dan masuk ke dalam rumah. Diam sejenak sebaik sahaja tubuhnya dijatuhkan di atas kerusi Cleopatra.

Ingatannya masih pekat pada wajah dan lagak perempuan yang membidasnya tadi. Di satu sudut, dia ternampak beberapa hantaran telah tersedia. Hantaran yang indah dan mewah itu dipandang kosong. Fikirannya melayang.

“Ren,” satu suara menyapanya.

Rania menoleh.

“Ren free tak petang ni? tanya Rais. Wajahnya redup.

Anggukan Rania melegakan Rais. Dia memerhatikan sekeliling bagaikan tidak mahu orang lain mendengar perbualannya dengan Rania.

“Free. Kenapa bang?” Rania bangkit dari baringnya.

“Abang nak minta Ren temankan abang jumpa Kak Ros.”

“Jumpa Kak Ros?” Rania terkejut.

“Lepas Asar kita pergi ya,” Rais seperti berbisik.

“Bisik-bisik apa pula ni?” tegur Puan Sri Zalia sambil duduk di sebelah Rania.
Dia datang dengan sebeban kad undangan perkahwinan Rais di tangan. “Jemputlah mana-mana cikgu di sekolah Ren.”
Diunjukkan kad-kad tersebut pada Rania. Gadis yang berhati walang itu tidak langsung menunjukkan sebarang minat.

“Tak hendak jemput?” Puan Sri Zalia bagaikan dapat membaca isi hati anak gadis nan seorang. “Tak apalah, mama letak saja di sini. Kalau hendak ambil.”

Rania yang masih kecewa dengan peristiwa yang berlaku tadi membisu terus. Mengingatkan anaknya yang keletihan, Puan Sri Zalia membiarkan sahaja Rania bersendirian. Tetapi apabila melihat Rais bersama Rania bersiap-siap seusai solat Asar, Puan Sri Zalia dipalu persoalan.

“Eh nak ke mana tu?” tanya sang ibu melihat kedua-dua beradik bergandingan.
“Nak ajak Ren temankan beli barang mama,” sahut Rais pantas.

“Barang apa?” Puan Sri Zalia masih kehairanan. Setahunya semua persiapan sudah cukup.

“Kejap saja ma,” Rais tarik tangan adiknya.

Kalau tidak dibuat begitu, makin banyak soal jawab ibu. Akhirnya ibu hanya mampu melambaikan tangan pada Rania sewaktu kereta BMW milik Rais melewati beranda rumah mewah berhalaman indah.

“Ini rahsia kita berdua ya Ren,” pesan Rais sewaktu kereta yang dipandunya menyusuri jalan berbukit mengarah ke perkampungan Janda Baik.

Rania hanya mengangguk laksana patung. Sejak tadi tidak banyak perbualan antara mereka berdua. Sepanjang jalan Rais memandu, Rania mengelamun. Kalau Rais dibelenggu dengan seribu satu macam cerita yang menjadi rahsianya, dia juga tak kurang dihimpit masalah.

Pendek cerita, dia masih dalam mandala kejutan. Terkejut kena sergah di mesyuarat PIBG tadi belum pun hilang, dan kini ditambah pula dengan kejutan dibuat Rais yang mahu berjumpa Kak Ros?

Pening aku dibuatnya. Masalah tadi belum selesai, aku tambah masalah kedua. Patutkah aku menemani Abang Rais berjumpa Kak Ros? Kenapa Abang Rais hendak berjumpa Kak Ros? Melewati pokok-pokok besar di kiri kanan jalan bagai menggamit kenangan silam yang penuh warna-warni. Rania kerling abangnya yang berwajah cemas. Rusuh pun nampak bersarang. Berbeza dulu, mereka bercerita dan bergelak tawa dalam perjalanan pergi balik ke Kampung Rimba.

Masa sudah merubah dan merampas sebahagian nostalgia rupanya, Rania lemparkan lagi pandangan ke luar tingkap kereta. Kali ini pokok-pokok durian kelihatan berbaris di kiri kanan jalan. Pokok durian orang kampung barangkali. Bila sahaja kereta Rais membelok ke lorong destinasi, panjang leher Rania memerhati perkarangan rumah Ros Ilyani dari jarak 100 meter. Ada kereta Proton Wira kepunyaan Ros Ilyani di laman.

“Kak Ros ada bang,” suara Rania ceria bersulam teruja.

Rais kelihatan tidak menentu. Sebaik sahaja kereta BMW hitam mettalic berhenti di perkarangan rumah kayu bertiang tinggi itu, Rania terus melompat keluar. Sambil memberi salam, dia memanggil-manggil nama Ros Ilyani bersulam nama Halim.

Ros Ilyani terkejut bukan kepalang sewaktu melihat Rais keluar dari kereta. Halim juga. Rania terpaksa main peranan menceriakan suasana. Namun mulutnya yang macam bertih goreng tidak mampu membunuh kesepian yang menguasai. Ketara kedua-duanya nampak bercelaru saat mata bertentang.

Mengadap batang-batang pokok kapas yang sebesar pemeluk itu, tiada banyak kata yang terlontar daripada bibir kedua-duanya. Begitu juga dengan Halim yang seperti tenggelam dalam dunianya yang tersendiri.

“Jom Kak Ros, kita buat air, goreng keropok,” ajak Rania sewaktu disedari agak sukar untuk menceriakan suasana antara mereka.

Ros Ilyani ikut jejak Rania yang menarik tangannya ke dapur manakala Rais dibiarkan bersama Halim.

“Rania ajak Abang Rais datang jumpa Kak Ros?” Akhirnya terlontar jua soalan yang disimpan sejak dari tadi.

“Tak. Bukan. Abang Rais yang ajak.”

“Bukan Ren yang desak?”

“Tak. Ren tak cakap apa-apa pun, abang yang ajak.”

Rania tidak dapat menafikan bahawa pertemuan antara kedua-duanya itu hambar sekali. Jauh sekali seperti dulu-dulu. Namun begitu, Rania bahagia kerana sekurang-kurangnya mereka dapat juga bertemu walaupun dalam situasi rumit dan genting seperti tadi. Sejam sahaja mereka meluangkan masa di situ. Selepas menghulurkan kad undangan, Rais minta diri. Rania memeluk Ros Ilyani erat sekali.

“Datang ya Kak Ros. Kalau bukan untuk Abang Rais, datang untuk Ren dan mama,” pujuk Rania.

“Insya-Allah,” sahut Ros Ilyani tidak bermaya. Halim hanya pandang putih mata. Sepanjang perjalanan pulang, Rais membisu seribu bahasa. Rania pula tidak mengganggu abangnya.

Biarlah! Fikirnya sendiri. Itu takdir mereka berdua dan aku tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Sampai di rumah, Rania membersihkan diri, solat Maghrib dan berehat. Esok dia perlu ke sekolah. Berbagai-bagai perasan yang membelenggu. Mood untuk ke sekolah bagai dicantas ekoran peristiwa yang berlaku sebelumnya. Mahu tidak mahu dia terpaksa hadapi tetapi dia bersyukur kerana teman-teman guru sangat memahami dan penuh pengertian. Mereka memberi kata-kata perangsang dan memujuk Rania supaya bersabar.

“Itulah nasib guru macam kita Ren, emak bapak hanya tahu menuding jari tanpa usul periksa,” kata Cikgu Nurul Ain.

Rania akur namun tenangnya tidak bertahan lama. Sewaktu sedang menanda buku, telefon bimbit Rania berbunyi.

“Puan Roziah nak jumpa cikgu sekarang,” pesan Latifah, kerani sekolah.

“Di mana?” tanya Rania.

“Di biliknya. Sekarang ya cikgu.” Pesan Latifah bersungguh-sungguh.

Rania pandang Cikgu Nurul Ain.

“Kenapa Ren?”

“PK nak jumpa. Rasa pelik pula.”

Wajah Nurul Ain turut berkerut. “Baik Ren pergi sekarang...”

Rania capai beg tangan dan bergegas ke bilik Penolong Kanan. Diketuk pintu bilik Puan Roziah selepas Latifah memaklumkannya bahawa kedatangannya sedang dinanti. Masuk sahaja ke bilik Puan Roziah, debar Rania bergayutan. Manakan tidak, wanita yang menghantui kehidupannya sehari dua ini terpacak di situ. Rania dapat menduga mereka berdua sedang berbincang sesuatu sebelum dia masuk. Wajah kedua-duanya serius amat. Rania memberi salam.

“Cikgu Rania, ini Puan Wan Sharwin, ibu Elly Sukaesih dari kelas 4 Mercury, yang juga salah seorang daripada AJK PIBG sekolah tahun ni,” kata Puan Roziah tanpa sebaris senyum pun. Rania angguk. Dia tahu itu. Mereka berdua duduk sedang dirinya tercegat di tepi pintu yang tertutup.

“Awak mengajar di kelas 4 Mercury?” tanya wanita itu dengan sombong.

Rania angguk. Sudah dijangka, hal ini pasti berkaitan dengan peristiwa yang berlaku di kelas tersebut baru-baru ini.

“Saya dapat maklumat dan banyak komen daripada murid-murid kelas tersebut tentang awak,” ujar Puan Wan Sahrwin tanpa berselindung.

Terpisat-pisat Rania dibuatnya. “Maafkan saya, apa maksud puan?”

“Anak saya dan kawan-kawannya komen tentang cara awak mengajar dalam kelas.” Suara wanita itu makin tinggi. Raut mukanya masam.

Berderau darah Rania naik ke muka. Dipandang muka Puan Roziah tetapi perempuan itu buat muka bodoh. Dadanya sudah berombak-ombak.

“Saya difahamkan cara awak mengajar mereka agak keterlaluan. Awak suka menyindir, pesimis terhadap pelajar dan selalu menggunakan perkataan-perkataan yang memalukan mereka.” Nadanya bergumam geram.

“Itu tuduhan yang melulu,” bentak Rania.

“Tuduhan kata awak?” Biji matanya dijegilkan. Perempuan itu memang sedang benar-benar marah. “Pelajar-pelajar itu jadi saksi.”

“Tapi itu tak betul puan,” Rania membela dirinya.

“Awak juga kata anak saya Elly Sukaesih mengilai macam pontianak. Awak mengejek dan memalukan dia sesuka hati awak. Dia sangat malu untuk ke sekolah kerana ejekan dan cercaan awak terhadap dia,” garang suara perempuan bertubuh besar itu kian mendominasi.

Terkejut benar Rania melihat watak manusia yang sedang mabuk kata-kata itu.
“Puan...”

“Saya mahu awak meminta maaf pada seluruh pelajar tingkatan 4 Mercury,” potong Puan Wan Sharwin dengan nada suara lantang tanpa mengendahkan suara kecil Rania.

“Kenapa saya kena minta maaf?”

“Sebab awak sudah memalukan mereka dengan kata-kata awak. Apa? Awak ingat sebagai guru awak boleh sesuka hati mencerca pelajar? Saya juga bekas guru sebelum saya terlibat dengan tugas-tugas khas di Kementerian Pendidikan dan saya tahu jenis cikgu macam awak ini.” Penghinaannya tiada sempadan.

Rania pandang muka Penolong Kanan. Puan Roziah tunduk seketika sebelum bersuara, “Dia guru baru di sini. Saya minta maaf kerana tidak sempat memantau guru-guru saya.”

Aduh! Begitukah jawapan seorang majikan untuk seorang guru yang dicerca? Rania rasakan tidak ada tempat untuk disorokkan mukanya lagi. Penghinaan demi penghinaan ditumpahkan tanpa belas. Arang bagai diconteng-conteng di seluruh wajah.

“Saya mahu awak pergi ke kelas 4 Mercury sekarang juga dan meminta maaf kepada mereka semua. Saya dan Puan Roziah akan pergi bersama awak.”

Hampir menitik air mata Rania dibuatnya. Dia terkaku tanpa kata di hadapan kedua-dua perempuan tanpa kalbu itu.

“Kalau cikgu ini tak buat apa yang saya suruh, saya akan pastikan dia dikenakan tindakan tatatertib,” suara bongkak perempuan bermata kecil itu berkumandang lagi - mencetuskan irama porak jiwa.

“Saya tunggu di luar.” Dia bangkit dan pergi. Puan Roziah pandang Rania.

“Lebih baik awak minta maaf dengan semua pelajar 4 Mercury.”

“Puan Roziah, ini tak adil untuk diri saya.”

“Kita tak mahu panjangkan kes ini sampai peringkat atas. Dia orang kuat kementerian, lebih baik cikgu ikut saja kata dia.”

Air mata Rania menitis jatuh ke pipi. Disekanya perlahan sebelum dikumpulkan kekuatan. Dia teringat ayahnya. Ah, tidak akan sesekali aku menggunakan kuasa ayah walaupun perempuan itu menyalahgunakan kuasanya. Dia menghela nafas. Dilepaskan dengan kuat sebelum dia melangkah keluar mengikut Puan Roziah. Beberapa orang kerani mengerling sekilas ke arahnya. Dengan segumpal kekuatan yang baru dicekup, Rania mengikut langkah perempuan berdua itu menaiki tangga menuju ke kelas 4 Mercury.

Suasana hening di kelas 4 Mercury sewaktu mereka tiba seakan memberi gambaran bahawa pelajar kelas itu tahu apa yang berlaku. Cikgu Amrah yang sedang mengajar mata pelajaran Pendidikan Seni dihampiri Puan Roziah. Mereka berbincang seketika sebelum Puan Amrah meninggalkan kelas 4 Mercury.

Selepas pelajar-pelajar memberi salam, Puan Roziah menyampaikan sepatah dua kata sebelum dia menerangkan tujuan kehadiran mereka di situ. Seketika kemudian, dia memberi isyarat pada Rania.

“Assalamualaikum para pelajar. Saya tak tahu apa salah saya yang sebenarnya tetapi saya....”

“Cikgu, cikgu hanya perlu lafazkan apa yang perlu sahaja,” potong Puan Wan Sharwin tegas.

Maruah dirinya bagaikan diinjak. Rania diam seketika mengumpul seberapa kekuatan yang mampu dijangkau.

“Saya yang menurut perintah,” Rania mengerling sekilas ke arah perempuan tanpa kalbu. “Para pelajar, saya minta maaf pada semua atas apa jua kesilapan yang saya lakukan....”

Suasana kian hening. Rania luruhkan pandangannya pada wajah-wajah yang ada di hadapan. Berbalam-balam. Jatuh tatapannya pada wajah syahdu Amanda Sofea. Hatinya tersentuh tatkala disedari ada air bergenang di mata anak gadis itu.

Tuhan! Kuterima ini sebagai dugaan.

Oleh Samsiah Mohd Nor
Sumber: Metro

Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pantang Larang dan Makanan Orang Demam Campak

Air kelapa sangat bagus untuk demam campak Pantang larang dan makanan orang demam campak. Nak jaga pemakanan orang demam campak? Ok, aku ada petua dan tipsnya. Segala yang tertulis di sini adalah keluar dari kepalaku, dan pengalamanku menjaga makanan orang demam campak.  Ku abadikan di sini. 1. Tidak boleh menggoreng Demam campak ni kita tak boleh nak goreng apa-apa makanan terutamanya guna minyak. Contohnya goreng ikan. Menumis pun tak boleh tau. Sebab apa tak boleh? Sebab ia akan merangsang pertumbuhan campak dan buat ianya kemerah-merahan. 2. Elakkan makanan laut yang gatal Makanan laut, seperti udang, sotong, kerang elok la dikuarantinkan.. Haha~ Bukan kuarantin la tapi jangan makan makanan tu, k. Risau gatal je.   3. Elakkan yang pedas Cili pun tak boleh makan sebab mengundang kegatalan . 4. Elakkan yang hitam-hitam seperti gaban perkasa hitam Kicap dan kopi harus la dijauhi serta merta sebab ia akan menyebabkan berparut hitam. Kalau koko atau m...

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru, jom kita gali ilmu. Sha dapat dari kawan-kawan bundle juga. ✔ Bale – Ketul, guni atau tokol pakaian/beg/kasut dan lain-lain. Kain 100 – Baju/pakaian yang 100% kapas. Kain Samah – Baju yang diadun dengan 2 material. 50 cotton +50 polyster (poly). 3 kain – Baju diadun dengan 3 material. Cotton + Poly + Rayon. 3 suku / Raglan / 3q – Baju yang mempunyai lengan bersambung dari leher berakhir di siku. Kain sambung – Lengan baju disambung dengan lengan warna lain, contohnya Rolling Stone Tour Euro82, Iron Maiden ‘aces high’ lengan camo. Ada juga kain sambung di dada. Contohnya Hawaii bernombor. Camo – Celoreng Ringer – Baju yang mempunyai warna/getah pada hujung lengan dan leher. Kain pasir / kain bulu katu – Merujuk seluar Lee,Wrangler,Levis era 70/80/90 an. Combo – Jualan melebihi sehelai dengan 1 harga. Single stich – Jahitan satu garisan sama ada pada lengan atau bawah baju. Biasa pada baju vintage....

Belajar Bahasa Melayu Kelantan: Keluarga

Kali ini, kita belajar pula bahasa Melayu Kelantan dalam keluarga. Ibu: Ma bagi yang ibu muda manakala 'mek' atau  'mok' bagi ibu yang dah tua. Bapa: Abah bagi bapa muda manakala Ayoh bagi bapa yang sudah tua. Bagaimana pun, gelaran ini dipanggil sejak kecil. Kakak. Sama, tiada berubah. Abang : Abe Adik: Adik. Anak sulung: Long Anak Kedua: Angah Bersambung lagi ya. Entri sebelum ini mengenai pengenalan

Open Tracker