Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 15)]:Angin Baru Tahun Baru

PEJAM celik pejam celik sudah masuk tahun baru. Masa berligas tak terasa. Pergi sekolah balik sekolah tiba-tiba sudah masuk bulan Februari.

Baru saja mengajar beberapa bab dalam subjek Sejarah, ujian bulanan menunggu. Kelam-kabut juga para guru menyediakan kertas ujian bulan Februari. Belum sempat menanda kertas jawapan, sudah ada program yang menanti hujung minggu tersebut - Mesyuarat Agung PIBG SMK Seri Melor.

Ah, itulah kerjaya guru. Mengajar, mendidik, menyemak dan menanda buku latihan, mesyuarat pula silih berganti. Ditambah pula dengan pelbagai kursus dan seminar yang harus dihadiri pada setiap masa dan ketika.

Belum masuk bab bertukar menteri pendidikan. Setiap kali tukar menteri, setiap kali itulah dasar berubah. Bila dasar berubah, semua harus diubah suai dan proses ubah suai bukan berlaku dalam sekelip mata bahkan berlarutan dan silap hari bulan, menteri baru naik, dasar lama masih belum diaplikasikan sepenuhnya.


"Sepatutnya dasar dan perlembagaan yang telah digubal sejak awal tidak perlu dimansuh. Yang dilakukan seharusnya ubah suai dan penambahbaikan."

Teringat kata-kata ayahnya suatu ketika dulu sewaktu banyak sangat sistem pendidikan ditukar ganti.

Nampak gayanya ayah sebagai Ketua Pengarah Pendidikan pun kurang bersetuju dengan tindakan para menteri yang seenaknya menukar polisi pendidikan negara.





"Yang baik dikekalkan, yang kurang baik itu diperbaiki," tambah ayah lagi tapi kuasa di tangan menteri. Pernah beberapa kali ayah menyuarakan pandangan tapi lain pula jadinya. Sudahnya jadi bermasam muka dan tikam belakang.


Sebab itulah agaknya ayah malas bertekak atau bertegang urat. Niat murni ayah selalu disalahertikan, fikir Rania sendirian.

Dari kelas 4 Pluto dia menuju arah kantin. Sedari pagi hanya sempat minum segelas susu sahaja. Perut lapar benar. Di kantin, guru-guru masih lagi berbincang tentang Mesyuarat Agung PIBG. Sambil makan pun sempat bermesyuarat tak formal.

"Hah, orang baru PIBG sekolah dah sampai," usik Puan Wan Jamariah.

"Tahniah, tahniah...," giat yang lain.

Rania senyum seadanya. Rania sudah tahu lebih awal tentang pelantikannya sebagai ahli jawatankuasa PIBG untuk musim itu. Dimaklumkan oleh Puan Roziah, Penolong Kanan sekolah yang baru seminggu balik dari cuti sakit. Hampir sebulan juga dia berehat selepas pembedahan pembuangan ketulan daging di payudaranya.

Termasuk Rania, lapan orang guru telah dilantik mewakili kelompok guru dalam persatuan PIBG SM Sri Melor. Tidak lama dia di kantin, selesai makan ala kadar, dia naik semula ke bilik guru untuk menyiapkan kerja-kerja menjelang mesyuarat agung PIBG.

Dek kesibukan memegang beberapa jawatan di sekolah, dia terlepas banyak acara keluarga terutamanya menjelang perkahwinan Rais.

"Jangan sampai masa abang kahwin nanti, Ren tak ada pula." Emak sudah bising tapi ayah selalu ada di pihaknya. Menyokong kerjaya perguruan yang dicintai. Sudahnya emak angkat kaki.

"Sementara tenaga Ren diperlukan sekolah, bekerjalah sungguh-sungguh," pesan ayah yang dijadikan azimat. "Mereka itulah modal insan yang diperlukan untuk negara kita."

"Terima kasih ayah kerana merestui perjuangan Ren...," tutur Rania.

Hubungannya dengan ayah kian rapat sejak akhir-akhir ini kerana ayah sangat memahami tugas dan tanggungjawabnya. Perasaan marah dan tidak puas hati pada ayah yang menukarkannya ke Semenanjung semakin lama semakin terhakis lebih-lebih lagi dengan kehadiran Ummar Qayyum.

Kalau aku masih di Sabah, tak bertemulah aku dengan jejaka Malaya nan seorang ini, fikir Rania. Yang membuatkannya tersentak, dalam pada berfikir-fikir tentang Ummar Qayyum itu, lelaki itu menghubunginya.

"Macam tahu-tahu saja...," usik Rania.

"Tahu apa? Tahu I rindu? Memang I rindu pun..."

"You ni kuat perasan."

"Memang. Sejak jumpa buah hati kekasih I tu..."

"Di mana?" Rania melencongkan bual bicara mereka. Lelaki itu sering memabukkannya dalam pencarian yang dia tidak pasti.

"Jumpa kekasih?"

"Apa?" Rania tidak mengerti.

"Yalah, you tanya di mana? Jumpa kekasih ke? Kalau soalan tu, I jumpa kekasih I di sekolah. Dia langgar kaki I masa I tertidur di bangku."

"Orang ke sekolah belajar, dia datang tidur. Padan muka!"

"I tertidur sayang, you okey sayang?"

Luluh jiwa raga Rania. Itulah dia! Ummar Qayyum yang sering bercanda dan sangat menghiburkan. "Alhamdulillah I okey. I tanya you sekarang berada di mana?"

"Ohhh...," hilai tawa Ummar Qayyum kedengaran. "I ada di office. Masih berkira-kira bila nak bawa sayang jumpa emak di kampung."

"Bagi I masa boleh?" luah Rania. Masuk kali ini entah kali berapa undangan Ummar Qayyum singgah di teratak telinganya.

"Jangan lama-lama ya!"

"Biar I fikir dulu. Hujung minggu ni ada mesyuarat PIBG, lepas tu ada majlis famili."

"Tak jemput I pun."

"Majlis simple saja."

"Okeylah, ambil masa you. Kita jumpa di Mesyuarat Agung nanti ya!"

"Okey."

"Assalamualaikum sayang."

"Waalaikumsalam."

Rania mendengus perlahan. Banyak sangat bebanan tugas yang terpikul di pundaknya kebelakangan ini. Kerana itu permintaan ikhlas Ummar Qayyum terpaksa diketepikan dulu. Nasib baik lelaki itu penuh dengan pengertian. Dia sangat senang dengan watak dan cara Ummar Qayyum. Tidak terlalu mendesak tapi tak lepas tangan. Sopan dalam bicara. Romantis dalam jenaka. Bertanggungjawab dan serius dalam hubungan yang terjalin.

Lebih daripada itu hubungan mereka berjalan dalam suasana yang terpelihara. Jauh di sudut hati, gusar juga mahu berjumpa ibu Ummar Qayyum. Sudah benar-benar bersediakah aku? Ibunya sendiri pun belum dimaklumkan hal itu. Bagaimana untuk memaklumkan ayah dan mama? Rasa malu pula. Ah, pelik! Akukah yang pelik? Dalam dunia yang serba moden dan terbuka ini, masih ada perempuan seperti aku.

Loceng berbunyi. Rania melihat jadual kelas.

"Kelas 4 Mercury, aduh!" dia mengeluh. Kelas yang agak agresif. Marissa Afira, pelajar yang pernah buat onar padanya dulu ada di dalam kelas itu. Bergabung pula dengan Elly Sukaesih yang lincahnya bukan kepalang. Kelas jadi hingar-bingar dengan kehadiran Marissa Afira bersama Elly Sukaesih dengan kerabatnya. Nasib baik ada Amanda Sofea yang menyejukkan hati dan perasaannya.

Dia bergerak pantas menuju kelas. Sepanjang jalan, dia menegur pelajar-pelajar yang terhegeh-hegeh gerakannya.

"Laju sikit, loceng dah berbunyi."

Bila ditegur barulah langkah kaki para pelajar berderap-derap. Dari kelas 4 Pluto, Rania sudah tertangkap suara hilai tawa Elly Sukaesih. Langkahnya kian laju.

Sampai di depan pintu kelas, Rania tidak terus masuk tetapi memerhatikan sejenak gelagat dan aksi para pelajar. Keadaan memang huru-hara sebab para pelajar baru lepas rehat. Dalam banyak-banyak pelajar, aksi Elly Sukaesih paling mencolok mata.

Dia terkinja-kinja, sesekali mengilai sambil bertepuk tampar dengan Daud dan Adam. Begitulah wataknya sejak dari awal Rania masuk ke kelas tersebut. Tidak ada segan silu langsung. Amanda Sofea bersama beberapa orang pelajar yang duduk di barisan hadapan terkebil-kebil memandang Rania. Mereka memberi amaran pada Elly Sukaesih tetapi pelajar yang sedang bergelak tawa itu langsung tidak ambil endah.

"Elly, boleh tak kau duduk diam-diam, cikgu tu!" Amanda Sofea menjerit lantang. Dia memberi peringatan kerana sudah tidak sanggup lagi melihat gelagat mengada-ngada Elly Sukaesih yang tidak tahu menghormati guru.

"Suka hati akulah. Boleh tak jangan busy body?" Elly Sukaesih membalas sambil itu menjeling ke arah Rania yang tercegat di muka pintu.

Perlahan-lahan dia beransur dan duduk di tempatnya. Kelas berjalan seperti biasa tetapi Rania perasan muka Elly Sukaesih kelat macam putik kelapa muda bila sesekali dia menegur tingkahnya.

Habis kelas, Rania mengemaskan barang-barang. Selesai murid-murid mengucapkan terima kasih, sekali lagi Rania menasihati para pelajar agar menjaga kesopanan diri. Baru beberapa langkah dia keluar dari kelas 4 Mercury, Rania terdengar suara jeritan dari kelas tersebut. Dia berpusing balik dan meninjau apa yang berlaku.

"Pelajar bergaduh cikgu," adu Ahmad Idham.

"Kamu panggil Cikgu Zul," arah Rania lantas bergegas menuju ke arah sekumpulan pelajar lelaki yang sedang mengerumuni sesuatu. Rania menyelinap masuk di antara mereka. Dia nampak Elly Sukaesih yang agak bertubuh sedang menggomol tubuh Amanda Sofea yang kecil. Si kecil itu berusaha melepaskan diri dengan menarik tocang Elly Sukaesih.

"Hentikan...," Rania menarik tubuh Elly Sukaesih, disisihnya ke tepi sebelum dipapah tubuh kecil Amanda Sofea yang tidak bermaya. "Sofea, awak tak apa-apa?" Rania mengelus rambut Amanda Sofea. Wajahnya pucat.

Amanda Sofea menggeleng.

"Apa masalah kamu ni?" Rania renung wajah marah Elly Sukaesih. Rambutnya kusut-masai.

"Dia yang mula cikgu," tengking Elly Sukaesih. Sedikit pun tidak berasa belas melihat keadaan Amanda Sofea.

"Begitu cara kamu bercakap dengan cikgu?"

Hidung Elly Sukaesih kembang kempis menahan marah.

"Yang lain tolong duduk tempat masing-masing," arah Rania sebaik sahaja Cikgu Zul muncul bersama pelajar yang membuat laporan tadi.

Selepas berbual seketika dengan Rania, kedua-dua pelajar itu diarah ke bilik disiplin. Muka Elly Sukaesih mencuka sepanjang jalan sedang Amanda Sofea nampak rusuh.

"Kenapa? Nak bergusti sangat?" Cikgu Zul memberi amaran sewaktu kedua-duanya dihadapkan di hadapan Cikgu Rosli. Elly Sukaesih yang banyak bercakap untuk membela dirinya sedangkan Amanda Sofea banyak diam. Selepas laporan diambil, kedua-duanya diarah mengelap cermin kaca di bilik disiplin. Datang belas di hati Rania melihat wajah pucat Amanda Sofea. Dia memang tidak bermaya.

"Amanda Sofea tak berapa sihat tu," bisik Rania pada Cikgu Rosli. Mendengar itu, Cikgu Rosli mengarahkan Amanda Sofea duduk di sofa. Rania hampirinya.

"Awak pucat Amanda, awak okey ke?

Dia angguk saja.

"Awak nak balik? Cikgu hantar."

"Tak apa cikgu," suara sayu Amanda Sofea meluluhkan perasaan Rania. Sejak tahun lepas, sewaktu Amanda Sofea ikut rombongan ke Planetarium, dia sudah jatuh kasih pada anak murid bertubuh kecil itu.

Dulu kerap juga dia menghantar mesej pesanan ringkas pada Rania tapi kekangan masa menyebabkan Rania tidak sempat membalasnya. Makin lama makin kurang dan akhirnya mesej daripada Amanda Sofea tidak lagi muncul di peti inboxnya.

Ah, teruknya aku! Rania berasa bersalah. "Awak duduk sini sekejap ya," arah Rania.

Kerana tidak puas hati, dia naik semula ke kelas 4 Mercury dan bertanyakan pada para pelajar tentang kejadian tersebut.

"Lepas cikgu pergi, tiba-tiba saja Elly tarik rambut Amanda," cerita Alliya.

"Amanda bangun, Elly tolak Amanda," tambah Ajeerah Afta pula.

"Kelakar tengok dia orang gusti cikgu," sampuk pula Suraya.

"Patut ke awak ketawa tengok orang bergaduh? Lain kali leraikan."

"Nak lerai macam mana cikgu, budak lelaki duduk keliling, bersorak."

"Elly tu cikgu suka cari pasal. Dalam kelas suka memekak, suka kacau orang," komen seorang pelajar perempuan.

Rania memang tahu hal itu bahkan semua guru juga maklum tentang kelakuan Elly Sukaesih. Elly Sukaesih memang agak terkenal di sekolah itu dengan perangai yang kurang sopan. Bukan tidak pernah ditegur tapi menegurnya ibarat mencurah air ke daun keladi.

Masuk ke kelas 4 Mercury esoknya, Rania berkias pada seluruh pelajar. Hakikatnya tak ubah seperti pukul anak sindir menantu. Yang disindirnya sudah tentu Elly Sukaesih.

"Orang perempuan tak elok menjerit atau bertepuk tampar dalam kelas, tak manis. Itu bukan budaya kita perempuan Melayu yang terkenal lemah-lembut dan berbudi bahasa."

Rania perasan Elly Sukaesih menjeling padanya. Ah biarkan. Harus kuajar perempuan yang tak tahu jaga maruah diri.

"Walau cantik macam mana sekalipun tapi kalau mengilai macam...," Rania terhenti di situ.

"Puntianak," sampuk Daniel diikuti gelak tawa teman-teman.

"Daniel..."

"Cikgu maksudkan Elly kan..."

"Ucapan dan nasihat saya umum Daniel..."

"Memang cikgu kata pada saya," Elly Sukaesih bangkit dengan wajah marah.

"Memang dari dulu cikgu tak suka saya. Cikgu ingat saya tak tahu. Cikgu sengaja cari salah saya. Cikgu tak pernah pun menyindir orang lain kecuali saya."

"Elly, duduk."

"Cikgu ingat cikgu tu bagus sangat."

"Elly, cikgu kata duduk."

"Suka suka hati saja cikgu nak kata pada saya. Cikgu ingat cikgu tu siapa? Mak bapa saya pun tak marah saya, apa hak cikgu nak mengutuk saya."

Kelas jadi sunyi sepi seketika.

Elly Sukaesih bangkit dari kerusi, masukkan buku-buku dalam beg sekolah dan bercadang keluar kelas.

"Elly, awak tak boleh ke mana-mana. Nanti saya..."

"Cikgu ingat saya hairan? Takut? Cikgu buatlah apa sahaja yang cikgu nak buat. Saya tak hendak cikgu mengajar kelas ni, saya tak suka."

Rania terpempan. Setelah menyuruh pelajar-pelajar buat kerja dan duduk diam di kelas, Rania bergegas turun ke bilik disiplin dan melaporkan peristiwa yang berlaku.

"Saya rasa budak tu dah pergi ke pejabat. Saya nampak dia tadi," kata Cikgu Rosli.

"Kalau begitu, saya menyusul dia di sana." Cikgu Rania berlari-lari anak menghala ke pejabat. Terus dituju ke bilik pengetua, malangnya bilik pengetua berkunci dari dalam.

"Ada pelajar datang tadi, menangis," kata Kak Latifah, kerani sekolah.

"Saya kena jumpa pengetua," desak Rania. Kak Latifah ketuk pintu bilik pengetua. Encik Muhyidin keluar dari biliknya, memandang pada Rania sambil berkata, "Cikgu balik kelas dulu, hal pelajar ni biar saya uruskan."

"Saya tak sedap hati cikgu."

"Tak apa, cikgu masuk kelas dulu, apa-apa hal, saya akan panggil cikgu."

Rania melangkah longlai ke kelas 4 Mercury. Sampai di kelas, murid-murid sunyi sepi. Meskipun moodnya tinggal di hujung kuku, dia tetap mengajar. Sebaik saja habis masa, Rania keluar kelas setelah murid-murid mengucapkan terima kasih.

"Apa hal? Riuh rendah tadi?" Nurul Ain berwajah gusar. Beberapa guru lain datang menghampiri mahu tahu kisah selanjutnya.

"Elly Sukaesih buat hal lagi," ujar Rania.

"Dengan siapa?" tanya Razalina.

"Dengan saya."

"Kenapa?" Razalina mahu tahu lebih lanjut.

"Dia marah saya sebab saya berkias tentang perangai wanita Melayu."

"Dah makan cili, terasa pedaslah tu," sampuk Norhayati. "Bercampur pula dengan Marissa Afira, bertambah tinggilah tocangnya."

"Pandai pula terasa. Memang dia suka terkinja-kinja, nak tarik perhatian," tambah Puan Rohaya. Sebagai guru kelas, dia sudah masak dengan perangai pelajar-pelajar di kelasnya.

"Entahlah kak. Risau juga saya bila dia berlari masuk ke bilik pengetua."

"Beraninya budak tu," komen Cikgu Rohaya.

Fikiran Rania berkecamuk. Waktu sebahagian besar guru-guru sudah pulang ke rumah, Rania masih di bilik guru. Dia gelisah mengenangkan peristiwa tadi.

"Cikgu..." Suara seseorang mengejutkannya. Dia berpaling. Amanda Sofea di celah pintu.

"Sofea," Rania membetulkan kedudukannya. "Masuk."

Pelajar kecil molek itu masuk. Teragak-agak. "Cikgu saya minta maaf, saya buat cikgu bermasalah."

Rania tersenyum. "Hal ini tak ada kena mengena dengan Sofea."

"Bermula dengan kes saya bergaduh dengan Elly, tak sangka berpanjangan pula."

"Elly buat perkara yang salah, cikgu kena tegur. Cikgu tak boleh biarkan Elly terus dengan perangai yang macam tu. Nanti dia akan memalukan dirinya sendiri."

"Cikgu..."

Rania terkesan ada sesuatu yang tidak kena pada Amanda Sofea.

"Kenapa Sofea?"

"Tak ada apa cikgu." Gadis kecil itu kelihatan teragak-agak.

"Saya balik dulu cikgu."

"Okey, baik-baik ya," pesan Rania.

Setelah menyemak beberapa buah buku latihan, Rania pulang ke apartmennya. Baru hendak letak kepala di bantal, Ummar Qayyum menelefon, mengingatkan Rania tentang mesyuarat agung PIBG.

"Jumpa esok ya sayang." Seperti biasa Ummar Qayyum melayangkan kata-kata indah.

"Ya jumpa esok," sahut Rania lesu. Dia memang tak lupa mesyuarat esok. Tapi yang paling tidak boleh dilupa ialah peristiwa yang berlaku siang tadi. Yang paling diingat pula ialah kata-kata kesat Elly Sukaesih.

Oleh Samsiah Mohd Nor
Sumber: Metro

Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!

Ulasan

Catat Ulasan

Nak tinggalkan komen ek? Sila-sila =)
Pastikan tak menyinggung perasaan sesiapa ya.
Happy blogging.

Catatan popular daripada blog ini

Pantang Larang dan Makanan Orang Demam Campak

Air kelapa sangat bagus untuk demam campak Pantang larang dan makanan orang demam campak. Nak jaga pemakanan orang demam campak? Ok, aku ada petua dan tipsnya. Segala yang tertulis di sini adalah keluar dari kepalaku, dan pengalamanku menjaga makanan orang demam campak.  Ku abadikan di sini. 1. Tidak boleh menggoreng Demam campak ni kita tak boleh nak goreng apa-apa makanan terutamanya guna minyak. Contohnya goreng ikan. Menumis pun tak boleh tau. Sebab apa tak boleh? Sebab ia akan merangsang pertumbuhan campak dan buat ianya kemerah-merahan. 2. Elakkan makanan laut yang gatal Makanan laut, seperti udang, sotong, kerang elok la dikuarantinkan.. Haha~ Bukan kuarantin la tapi jangan makan makanan tu, k. Risau gatal je.   3. Elakkan yang pedas Cili pun tak boleh makan sebab mengundang kegatalan . 4. Elakkan yang hitam-hitam seperti gaban perkasa hitam Kicap dan kopi harus la dijauhi serta merta sebab ia akan menyebabkan berparut hitam. Kalau koko atau m...

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru, jom kita gali ilmu. Sha dapat dari kawan-kawan bundle juga. ✔ Bale – Ketul, guni atau tokol pakaian/beg/kasut dan lain-lain. Kain 100 – Baju/pakaian yang 100% kapas. Kain Samah – Baju yang diadun dengan 2 material. 50 cotton +50 polyster (poly). 3 kain – Baju diadun dengan 3 material. Cotton + Poly + Rayon. 3 suku / Raglan / 3q – Baju yang mempunyai lengan bersambung dari leher berakhir di siku. Kain sambung – Lengan baju disambung dengan lengan warna lain, contohnya Rolling Stone Tour Euro82, Iron Maiden ‘aces high’ lengan camo. Ada juga kain sambung di dada. Contohnya Hawaii bernombor. Camo – Celoreng Ringer – Baju yang mempunyai warna/getah pada hujung lengan dan leher. Kain pasir / kain bulu katu – Merujuk seluar Lee,Wrangler,Levis era 70/80/90 an. Combo – Jualan melebihi sehelai dengan 1 harga. Single stich – Jahitan satu garisan sama ada pada lengan atau bawah baju. Biasa pada baju vintage....

Belajar Bahasa Melayu Kelantan: Keluarga

Kali ini, kita belajar pula bahasa Melayu Kelantan dalam keluarga. Ibu: Ma bagi yang ibu muda manakala 'mek' atau  'mok' bagi ibu yang dah tua. Bapa: Abah bagi bapa muda manakala Ayoh bagi bapa yang sudah tua. Bagaimana pun, gelaran ini dipanggil sejak kecil. Kakak. Sama, tiada berubah. Abang : Abe Adik: Adik. Anak sulung: Long Anak Kedua: Angah Bersambung lagi ya. Entri sebelum ini mengenai pengenalan

Open Tracker