Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 11)]: Di Sebalik Tabir, Ada Rindu!

Di Kampung Rimba di Janda Baik yang penuh cinta! Ada suara-suara yang bergema, ada gemersik angin, ada bisikan sungai rindu yang menderu, ada udara segar yang membelai, ada sungai jernih yang sesekali merintih, ada siulan burung yang merengek.

Pendek kata banyak keindahan dan kedamaian di situ cuma damai itu tidak bertenggek di wajah Halim. Halim seperti putus asa dan tandus suara.

"Dia dah tak macam dulu Ren," Ros Ilyani membuka cerita sebaik sahaja Halim mengheret kerusi rodanya masuk ke bilik. Pintu kamar dikatup. Rania pandang putih mata pada pintu yang di sebaliknya ada Halim. Tak sampai pun sepuluh minit mereka berpandangan, bertanya sepatah dua khabar, dan kemudian Halim minta diri.

"Dia jadi begitu selepas malang datang bertimpa-timpa padanya."


"Malang?"



   

"Oh, Kak Ros tak patut cakap begitu. Maksud Kak Ros, dugaan Halim berat sekali. Mungkin dia belum dapat menerima sepenuhnya suratan takdir."

Rania masih kurang mengerti tapi dia tidak bertanya. Bukan tiada yang mahu ditanya malah banyak sekali tapi belum tertanya. Dia sabar menunggu Ros Ilyani bercerita.

"Anaknya meninggal lepas bekas isterinya pergi."

Rania terkejut benar mendengarnya. "Halim dah kahwin?"

Ros Ilyani sekadar mengangguk.

"Bila?"

"Tahun lepas. Banyak peristiwa yang berlaku sepanjang Ren tiada di sini," keluh Ros Ilyani.

"Isterinya lari lepas lahirkan Aiman."

Aduhai! Aku di Sabah tenang dan aman sekali. Tetapi di sini dunia seperti digodak-godak. Kalau Halim sudah mempunyai anak, bermakna tidak lama selepas aku ke Sabah, Halim mengakhiri zaman bujangnya. Mudahnya jodoh Halim. Tapi dengan siapa Halim berkahwin? Kemudian bercerai. Takdir yang sama macam Farhan. Tapi Farhan lain. Dia ligat dan hidung belang. Tak sama dengan Halim. Halim berhemah tinggi dan berbudi bahasa orangnya.

Seingat Rania, Kak Ros tak pernah memakluminya bahawa Halim ada buah hati. Atau Halim yang sengaja berahsia? Alur fikir Rania bergolak-golak.

"Satu perkara yang barangkali Ren tak pernah tahu. Halim patah hati bila Ren ke Sabah," bisik Ros Ilyani.

Rania tergamam. Terkebil-kebil dia memandang Ros Ilyani.

"Sebenarnya bila Ren putus dengan Farhan, Halim sangat menaruh harapan." Mata Kak Ros bercerita sesuatu. Rania serba-salah.

Bunyi pintu bilik berkeriut. Ros Ilyani dengan Rania pandang serentak. Halim keluar dengan kerusi rodanya. Wajahnya tidak seperti tadi. Kali ini lebih ceria.

"Hah, dia keluar balik, dia suka Ren datang," bisik Ros Ilyani seraya minta diri ke dapur. "Berbuallah dengan dia!" Pesan Ros Ilyani sebelum pergi.

"Ni gambar arwah anak aku. Namanya Muhamad Aiman," Halim unjukkan beberapa keping gambar pada Rania. Sebak Rania melihat gambar bayi comel yang berselimut, yang hanya tinggal nama.

"Comelnya dia."

"Sayangnya sekejap sangat Tuhan bagi pada aku," suara Halim lirih.

"Tempatnya di sana jauh lebih baik dari sini," ucapan kudus Rania menerbitkan senyum di bibir Halim.

"Betul kata kau, dunia ni tak sesuai untuk anak aku."

Sepi seketika. Rania mati akal sebenarnya lebih-lebih lagi setelah diketahui rahsia hati Halim terhadapnya. Dulu, sewaktu mereka berkawan dia tak pernah tahu, mudahlah. Tapi bila sudah tahu, hati rasa tidak enak tambah-tambah bila tinggal berdua dan dalam keadaan sunyi begitu.

"Kau kahwin diam-diam. Tak jemput aku," Rania berbasi-basi.

Sengaja mahu mengusir sunyi yang makin terasa. Rasa lain macam bersama Halim kali ini. Halim yang pada perkiraan Rania sudah berubah. Walaupun wajahnya lebih ceria dari tadi, tapi tetap tidak seceria dahulu, ketika mereka riang ria menyambut pagi, mendaki gunung dan memanjat Bukit Tinggi seusai turun dari Genting Highlands.

"Tak sampai hati nak undang. Lagipun masa tu kau sibuk dengan Farhan," lama kemudian Halim bersuara.

Rania diam tapi dia tekun mendengar.

"Lebih dari itu, ah apa diharap padi seberang," bisik Halim sendiri tapi telinga Rania dapat menangkap ulas kata-katanya.

Luluh hati Rania mendengarnya. Sejauh itukah kasih sayang Halim pada aku? Malangnya dulu, tak pernah kutahu. Kalau dulu kutahu rahsia hatinya, bolehkah aku menerimanya? Aku kira tidak ada alasan untukku tolak lelaki budiman seperti Halim.

Tapi, Farhan. Ya, Farhan sudah muncul tika itu. Mana mungkin Halim menyuarakan rasa hatinya. Silapnya Halim tidak pernah bertanya dan tak pernah mahu menduga rahsia hatinya. Seperti mama dan Kak Ros, barangkali Halim juga berfikiran aku ke Sabah kerana kecewa dan patah hati sebab Farhan bernikah. Salah. Jauh panggang dari api kalau itulah firasat mereka. Rania rasa celaru amat.
Bergantian dengan rasa sebal dan serba salah sesekali tersilau kelat di wajah Halim.

"Kenapa kau belum kahwin?" tanya Halim tiba-tiba.

"Mana kau tahu aku belum kahwin?" Rania sengaja mengusik.

"Kalau kau dah kahwin takkan abang kau izinkan kau datang sendiri ke sini. Berjumpa pula dengan aku yang hina dina ini."

"Tak perlulah kau menghina diri kau sampai begitu, Lim."

"Itulah hakikat hidup aku..." jauh hati benar suaranya. "Sudahlah cacat, harapkan kakak menanggung hidup aku pula. Aku malu."

Rania tidak berani untuk berkata apa-apa. Bimbang menambah luka di hati Halim.

"Bila kau balik ke sini?" tanya Halim setelah agak lama sepi menguasai.

"Dah masuk tiga bulan aku di sini. Atas arahan ayahku."

"Barangkali ayah kau ada perancangan untuk kau. Hendak menjodohkan kau agaknya," usik Halim. Wajahnya masam-masam manis.

"Taklah. Ayah aku sibuk. Aku pun sibuk. Tak sempat nak bincang soal jodoh. Aku sibuk bergelut dengan karier sebagai cikgu. Di Sabah dulu, aku sibuk dengan agenda nak memajukan anak bangsa di pedalaman. Di sini, aku cuba ubah persepsi anak-anak orang kaya daripada terus berangan-angan."

"Kau anak orang besar berjiwa rakyat. Susah nak jumpa. Takkan aku jumpa barangkali."

"Tingginya sanjungan kau pada aku, Halim."

"Aku ikhlas lafazkannya. Malu aku nak jadi kawan kau. Tak setanding rasanya. Ditimpa dugaan kecil ini pun aku dah kalah."

"Kecil kata kau?"

"Kecil dugaanku tapi mengacau sampai kehidupan Kak Ros. Kau nak tahu sebab apa Kak Ros tak jadi kahwin dengan abang kau?

"Sebab apa?" Rania teruja. Memang itu antara faktor yang membawa dia ke kampung rimba yang bak syurga itu. Sebab Kak Ros. Masuk bab Halim, lupa sekejap kisah Kak Ros.

"Sebab keluarga dan sebab aku."

"Maksud kau?"

"Kak Ros tak cerita pada kau?"

"Belum sempat barangkali."

"Ah, aku tak fikir Kak Ros nak bongkar kisah sudah. Hatinya punah Ren. Hatinya parah setelah dia tinggalkan Abang Rais kau."

"Dia yang tinggalkan abang aku?"

Halim serba salah. Di dapur, jelas kedengaran bunyi orang menggoreng.

"Aku nak tahu," desak Rania.

Dia juga tahu Ros Ilyani sedang menyediakan sesuatu di dapur. Ah, biarlah.
Sementara itu, dapatlah aku korek rahsia Kak Ros daripada Halim. Buruknya laku! Daripada Kak Ros, dapat cerita Halim. Daripada Halim dapat cerita Kak Ros.
Kalau tak begini caranya, sampai bila-bila pun aku tak tahu, fikir Rania membuang rasa bersalah.

"Aku tak patut beritahu kau, nanti Kak Ros marah aku."

"Tolong Halim. Aku nak tahu dan aku perlu tahu."

Dalam serba salahnya, Halim bercerita juga, "Kak Ros malu nak teruskan hubungan dengan Abang Rais kau sebab masalah keluarga kami."

"Sebab itu saja?" Rania seperti tidak percaya.

"Itu kata kau yang duduk di puncak mahligai tapi tidak bagi kami."

"Halim, berterus teranglah. Aku tak faham."

"Emak kami meninggal dunia, merana sebab malu dengan perbuatan ayah. Ayah kahwin budak muda. Tamparan hebat buat Kak Ros."

"Takkan sebab itu?"

"Ah, lebih baik kau tanya kak Ros sendiri," Halim malas ambil pusing. Dia membelek-belek gambar arwah anaknya.

"Kerana itu Kak Ros putuskan?" Rania tidak puas hati. Halim cuma angkat bahu.

"Aku tak reti masalah orang perempuan. Lebih baik kau tanyakan Kak Ros saja."

Telefon Rania berbunyi. Di skrin tertera nama Ummar Qayyum. Rania minta diri.
Dia ke birai anjung rumah manakala Halim setia di situ, memerhatikan Rania.

"Assalamualaikum Rania," ujar Umar Qayyum.

"Waalaikumsalam," sahut Rania, suaranya diperlahankan.

"Mengganggu ke?"

"Taklah."

"Di mana ni?"

"Di Kampung Rimba."

"Kampung Rimba?"

"Ya. Kampung Rimba di Janda Baik."

"Oh, dengan keluarga?"

"Tidak."

"Sendiri?"

"Hemm..."

"Kampung laman you ke?"

"Er.. tak," Rania tersenyum. Di beranda Halim mencuri pandang. Rania memusingkan wajah membelakangi Halim.

"Di rumah seseorang."

"Really? Someone special?" serkap Ummar Qayyum.

"Very special indeed."

"You sound serius."

"Yes I am."

"Well, i am sorry to bother you."

"You are not."

"Okey, see you later. Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam..."

Rania tutup telefon. Halim masih di situ, mengerling padanya. Dia marahkah? Rania serba-salah. Tapi suara meriah Kak Ros menyelamatkan keadaan. Kak Ros melenggang dari arah dapur sambil menatang sesuatu di tangan. Tikar mengkuang warna ungu putih sudah Kak Ros bentang.

"Jom makan keropok. Panas-panas ni dengan teh O panas."

Walaupun tidak menjawab, Halim menolak kerusi rodanya menghampiri Kak Ros dengan Rania.

"Ingat tak nak join," Ros Ilyani menggiat adiknya.

Tapi Halim buat muka selamba. Sambil makan, Kak Ros bercerita tentang kerjaya gurunya yang berkesinambungan semula di Janda Baik. Banyak juga kerenah birokrasi yang terpaksa ditangani memandangkan dia minta bertukar ke tempat lama dalam tempoh setahun.

"Nasib baik rayuan Kak Ros dengan pegawai di PPD diterima. Kalau tidak susah juga nak berulang ke sekolah yang lebih jauh. Kebetulan ada cikgu tukar sekolah ikut suami. Rezeki Kak Ros barangkali."

"Kalau ada apa-apa masalah, beritahulah pada Ren. Ayah Ren kan masih ada. Insya-Allah boleh tolong."

"Seganlah Kak Ros."

"Apa nak disegankan? Itu hak Kak Ros sebagai penjawat awam. Lagipun Kak Ros ada masalah keluarga. Itu alasan yang kuat."

Halim hanya menjadi pendengar setia. Dia lebih banyak mendengar dan sering kali mencuri pandang pada wajah lembut Rania yang tetap bertakhta di hati.

Dia tetap cantik seperti dulu. Wajahnya! Suaranya! Prihatinnya! Aduhai, seketika kemudian Halim tunduk. Dia tidak sanggup untuk terus memintal angan-angan. Tidak sedar dirikah aku ini? Dalam keadaan begini pun, aku masih mengharap! Kalaulah Rania tahu, malunya aku. Aku harap Kak Ros tak ceritakan apa-apa pada Rania, fikirnya sambil memusingkan kerusi rodanya.

"Nak balik nanti, kau cakap dengan aku," pesan Halim sebelum menghala ke bilik.

"Ya aku beritahu, tak buat macam kau. Kahwin senyap-senyap," sempat pula Rania menyindir Halim.

"Kau enggang, pipit tak berani," sahut Halim tapi tak nampak pula dia berkecil hati. Kemudian dia lenyap di kamar seperti tadi.

"Kak Ros suka tengok kau berdua macam dulu," luah Kak Ros. Ikhlas suaranya menuturkan sedemikian.

"Kenangan lama indah Kak Ros. Lagi indah kalau antara Kak Ros dengan Abang Rais jadi," Rania sengaja mengaitkan nama Rais.

Berubah air muka Kak Ros tiba-tiba.

"Ren harap sangat antara Kak Ros dengan Abang Rais kekal."

"Dah tak ada jodoh kami."

"Halim kata Kak Ros yang putuskan sebab masalah keluarga. Sebab ayah Kak Ros kahwin budak muda. Kak Ros malu. Betul ke sebab tu Kak Ros?"

Ros Ilyani angguk.

Hampa Rania mendengarnya. "Hanya kerana itu Kak Ros!"

"Ren tak duduk di tempat Kak Ros. Kak Ros tak sanggup nak hadapi. Boleh Ren bayangkan kalau keluarga Ren datang meminang akak. Orang kampung mesti tahu dan sudah pasti bercerita. Sebelum keluarga Ren menolak, akak lebih rela menarik diri. Tak cukup dengan itu, bersambung pula dengan kisah Halim," Kak Ros diam seketika seolah mengimbau kisah semalam.

"Kasihan Halim. Sudahlah bernikah di rumah nenek. Kahwin setahun, isterinya lari lepas bersalin, tinggalkan Halim dengan anak kecil. Tiga bulan saja umur arwah anaknya. Meninggal demam panas. Lepas bincang dengan nenek, kami ambil keputusan balik semula ke sini."

Tragisnya kehidupan mereka! Fikir Rania sendiri.

Ros Ilyani mengeluh panjang. "Sekarang Ren tahu kan?"

"Tapi Kak Ros, hal ini tak ada kena mengena dengan Abang Rais. Macam Abang Rais jadi mangsa pula. Entah-entah Abang Rais pun merana Kak Ros tinggalkan dia."

"Kalau merana tidaklah dia bertunang,"

"Kak Ros tahu Abang Rais bertunang?"

Ros Ilyani angguk.

"Tahu Abang Rais bertunang dengan siapa?"

"Entah. Kak Ros tak ambil tahu. Semua tu dah tak penting lagi bagi Kak Ros. Rais dah ada kehidupan dan nyata kehidupan dia bukan dengan orang macam keluarga kami."

"Tak penting Kak Ros kata?"

"Untuk apa Kak Ros rintihkan? Semuanya dah tersurat Ren."

"Kak Ros, Kak Ros..." keluh Rania. Tiba-tiba dia berasa sangat belas pada Abang Rais. Selama ini dikira Abang Rais yang punya angkara. Tak kusangka begini ceritanya.

"Ada Kak Ros cerita semua ini pada Abang Rais?" tanya Rania membelah sepi.

"Tak."

"Apa alasan yang Kak Ros bagi?"

"Kak Ros cuma kata nak putus hubungan. Selesai Kak Ros uruskan soal pertukaran baru, Kak Ros hantar surat perpisahan. Kak Ros beri alasan tak ada jodoh. Lepas tu Kak Ros pindah."

"Kasihan Abang Rais jadi mangsa keadaan. Entah-entah Abang Rais cari Kak Ros di sini."

Wajah Ros Ilyani muram. Bibirnya bergerak-gerak meski cuba ditahan sedapat mungkin sedang air matanya sudah pun bergenang-genang.

"Kad yang Ren kirim Kak Ros dapat tak?"

Ros Ilyani tak mampu menjawab. Dia sekadar menggeleng.

Tak jadi Rania berterus-terang. Kalau Kak Ros tidak tahu, itu yang lebih baik, fikirnya.

Telefon Rania berdering lagi. Kali ini pemanggilnya Ashraf Daniel.

"Kejap ya Kak Ros," Rania beredar beberapa langkah.

"Minggu depan Acap dah nak berangkat. Jadi sebelum pergi, Acap nak ajak cikgu keluar makan tengah hari. Boleh? " pinta Ashraf Daniel

"Errr..."

"Bolehlah cikgu?"

Ringan sahaja Rania menyahut. "Boleh!"

"Terima kasih cikgu," suara Ashraf Daniel riang benar sedang di anjung, Kak Ros sendiri, mengenang semalam yang sudah pergi.


Oleh Samsiah Mohd Nor
Sumber: Metro

Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pantang Larang dan Makanan Orang Demam Campak

Air kelapa sangat bagus untuk demam campak Pantang larang dan makanan orang demam campak. Nak jaga pemakanan orang demam campak? Ok, aku ada petua dan tipsnya. Segala yang tertulis di sini adalah keluar dari kepalaku, dan pengalamanku menjaga makanan orang demam campak.  Ku abadikan di sini. 1. Tidak boleh menggoreng Demam campak ni kita tak boleh nak goreng apa-apa makanan terutamanya guna minyak. Contohnya goreng ikan. Menumis pun tak boleh tau. Sebab apa tak boleh? Sebab ia akan merangsang pertumbuhan campak dan buat ianya kemerah-merahan. 2. Elakkan makanan laut yang gatal Makanan laut, seperti udang, sotong, kerang elok la dikuarantinkan.. Haha~ Bukan kuarantin la tapi jangan makan makanan tu, k. Risau gatal je.   3. Elakkan yang pedas Cili pun tak boleh makan sebab mengundang kegatalan . 4. Elakkan yang hitam-hitam seperti gaban perkasa hitam Kicap dan kopi harus la dijauhi serta merta sebab ia akan menyebabkan berparut hitam. Kalau koko atau m...

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru, jom kita gali ilmu. Sha dapat dari kawan-kawan bundle juga. ✔ Bale – Ketul, guni atau tokol pakaian/beg/kasut dan lain-lain. Kain 100 – Baju/pakaian yang 100% kapas. Kain Samah – Baju yang diadun dengan 2 material. 50 cotton +50 polyster (poly). 3 kain – Baju diadun dengan 3 material. Cotton + Poly + Rayon. 3 suku / Raglan / 3q – Baju yang mempunyai lengan bersambung dari leher berakhir di siku. Kain sambung – Lengan baju disambung dengan lengan warna lain, contohnya Rolling Stone Tour Euro82, Iron Maiden ‘aces high’ lengan camo. Ada juga kain sambung di dada. Contohnya Hawaii bernombor. Camo – Celoreng Ringer – Baju yang mempunyai warna/getah pada hujung lengan dan leher. Kain pasir / kain bulu katu – Merujuk seluar Lee,Wrangler,Levis era 70/80/90 an. Combo – Jualan melebihi sehelai dengan 1 harga. Single stich – Jahitan satu garisan sama ada pada lengan atau bawah baju. Biasa pada baju vintage....

Belajar Bahasa Melayu Kelantan: Keluarga

Kali ini, kita belajar pula bahasa Melayu Kelantan dalam keluarga. Ibu: Ma bagi yang ibu muda manakala 'mek' atau  'mok' bagi ibu yang dah tua. Bapa: Abah bagi bapa muda manakala Ayoh bagi bapa yang sudah tua. Bagaimana pun, gelaran ini dipanggil sejak kecil. Kakak. Sama, tiada berubah. Abang : Abe Adik: Adik. Anak sulung: Long Anak Kedua: Angah Bersambung lagi ya. Entri sebelum ini mengenai pengenalan

Open Tracker