Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 38): Akan Berlalukah Mendung?

HARI itu hari Jumaat. Cuaca cantik. Malam nanti akan diadakan majlis doa selamat di rumah Tan Sri Razlan. Puan Sri Zalia sangat berharap agar majlis doa selamat dapat diadakan supaya segala yang dirancang berjalan lancar. Akhir-akhir ini perasaannya sangat gelisah. Dia kurang pasti apa yang meresahkannya tapi harapannya biarlah apa yang direncanakan kali ini tidak lagi gagal seperti yang sudah-sudah.

Selepas solat Isyak, tetamu yang diundang termasuk dari jemaah surau berdekatan sudah mulai membanjiri kawasan rumah. Di hadapan halaman kediaman mewah itu sudah berdiri khemah-khemah berserta kerusi-meja untuk para tetamu menjamu selera selepas selesai majlis doa selamat. Para pekerja kelihatan sibuk dengan urusan masing-masing.


Di dalam rumah, tetamu yang hadir sudah mengambil tempat masing-masing. Ruang rumah yang sememangnya lapang bertambah lapang setelah sebahagian perabot seperti kerusi meja dialih untuk memberi keselesaan pada para tetamu. Kaum lelaki duduk di bahagian sayap kanan manakala kaum wanita pula duduk di bahagian sayap kiri.

Tan Sri Razlan menyambut tetamu lelaki di ruang depan manakala tetamu wanita pula silih berganti bersalam-salaman dengan Puan Sri Zalia. Rania sudah bersimpuh di sisi ibunya dengan surah Yasin di tangan. Sesekali dia mendongak dan menyalami tetamu wanita yang datang tapi ada ketikanya dia kelihatan begitu khusyuk membaca surah-surah pendek di dalam buku surah Yasin.


Seorang perempuan separuh usia bergerak maju dari ruang tengah menghala ke arah Puan Sri Zalia.

Perempuan itu kelihatan begitu bergaya dengan jubah gelap berlabuci yang membaluti tubuhnya. Rania tersentak tatkala terpandangkan wajah wanita itu tatkala dia menyalami tangan ibunya. Wanita itu kelihatan begitu ceria sekali. Rania mendengar wanita itu mengucap tahniah pada ibunya. Sewaktu otaknya baru dapat menangkap identiti wanita itu, tetamu itu sudah pun berlalu dan mengambil tempat tidak jauh dari tempat duduk mereka.




Suara bapanya berkumandang memberi ucapan alu-aluan kepada tetamu yang hadir. Bapa tidak lupa merakamkan ucapan terima kasih sambil menjelaskan tujuan majlis doa selamat diadakan termasuklah menyentuh tentang majlis perkahwinannya yang akan diadakan tidak lama lagi. Ngilu rasa di hati bagai tak dapat dibendung mendengar pengumuman tersebut. Namun mendadak saja surah Yasin yang ada di tangannya dirapatkan ke dada.

Yang lepas biarlah berlalu. Aku harus pandang hari esok, pujuknya sendiri.

Selesai ucapan bapa, Ustaz Yazid pula mengambil peranan. Suara Ustaz Yazid mulai mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran seiring suara jemaah. Majlis berjalan begitu lancar. Saat doa selesai dibacakan oleh Ustaz Yazid, Rania meraup kedua-dua tapak tangan ke muka.

Sekali lagi suara Tan Sri Zalia berkumandang mengucapkan terima kasih kepada para tetamu seraya menjemput mereka menikmati juadah yang disediakan. Para tetamu menuju ke kawasan lapang yang telah tersedia pelbagai juadah pembuka selera. Rania menyalami tangan ibu.

“Terima kasih mama kerana sentiasa menyokong Ren,” bisiknya lembut sewaktu tubuhnya didakap Puan Sri Zalia.

“Yang penting anak mama bahagia,” ucap Puan Sri Zalia.

Beberapa tetamu wanita menghampiri Puan Sri Zalia sambil mengucapkan tahniah kerana akan menerima menantu tidak lama lagi.

“Ini ke anak Puan Sri?” tanya Datin Rafeah sopan.

“Ya. Ini Rania.”

“Cantik sangat orangnya. Siapakah lelaki yang sangat beruntung itu?”

Puan Sri Zalia sekadar tersenyum nipis. Tidak lupa dia mempersilakan tetamu menjamu selera. Tubuh Rania berpusing tatkala tangannya ditarik oleh Rais ke satu tempat.

“Kenapa abang?” tanya Rania. Mukanya berkerut kerana tidak suka didesak begitu.

“Ada orang nak jumpa,” sahut Rais. Belum sempat Rania bertanya, suara ibunya pula memanggil. “Emak panggil,” kata Rania dan terus pergi.

Terkejut Rania apabila dari jarak tiga meter dia menyedari bahawa ibunya sedang berbual-bual mesra dengan perempuan yang memakai jubah penuh labuci. Ibunya menggamitnya.

“Inilah anak saya Rania,” tutur ibunya bersahaja.

Pucat muka wanita separuh usia yang berjubah labuci itu tatkala terpandangkan wajah Rania. Serta-merta dia teringat akan peristiwa yang pernah berlaku suatu waktu dulu. Dia tidak pernah lupa wajah cikgu yang pernah diherdik di bilik pengetua pada suatu pagi.

“Anak Puan Sri ke ini?” tanya wanita itu ragu-ragu.

“Ini anak saya Rania. Dulu dia pernah mengajar di SM Seri Melor sebelum berpindah ke SM Jaya Perdana. Puan kenal?” Puan Sri Zalia yang tidak tahu apa-apa bertanya dengan wajah ceria.

Perempuan itu sekadar mengangguk.

“Ren kenal Puan Wan Sharwin?”

Rania sekadar mengangguk tapi dalam hati berkata-kata. Mana aku tak kenal? Selipatan sejarah memalukan pernah terconteng di mukaku gara-gara perempuan ini kerana aduan anaknya Elly Sukaesih, getus hati Rania.

“Tahniah Cikgu Rania!” ucap Puan Wan Sharwin dengan suara bergetar tapi berjalur-jalur rasa malu alahnya tak mudah disorok-sorok.

“Terima kasih. Sampaikan salam saya pada Elly,” Rania malas memanjangkan kisah lama.

Sekali lagi Rais datang nak menarik tangannya. “Jom ikut abang sekejap,” perintah Rais.

“Apa kena abang ni?” marah Rania.

“Qayyum ada di pondok tepi tu, dia nak jumpa Ren.”

“Hah! Abang gila ke?”

“Gila apa pula? Dia nak jumpa Ren. Nak minta maaf sebab dia kata dia pernah berburuk sangka pada Ren.”

“Abang, abang tahu tak ini majlis apa?” bentak Rania.

“Abang tahulah ini majlis doa selamat nak umumkan tentang perkahwinan Ren tak lama lagi tapi Ren tak payah nak sombong sangat,” marah Rais.

“Lebih baik abang jaga perkahwinan abang dengan Kak Yati daripada abang sibuk-sibukkan hal Ren,” ungkit Rania.

“Ren, Qayyum datang nak minta maaf.”

“Ren tak hendak jumpa dia,” Rania bertegas.

“Dia bawa Murni sekali,” Rais memandangnya dengan pandangan penuh makna.

“Inilah masanya kalau Ren nak ajar Murni. Murni tak tahu bahawa kita semua dah tahu siapa dia sebenarnya.”

Tambah hangat hati Rania mendengarnya. “Begitu rancangan abang?” Hidung Rania kembang kempis.

“Ren nak mulakan hidup baru. Ren dah kuburkan kisah lama dan Ren tak mahu jumpa siapa-siapa. Tak mahu jumpa Qayyum dan lebih-lebih lagi Murni.”

“Ren, jumpa sekejap saja,” pujuk Rais.

“Ren tak mahu,” bentak Rania dan pergi. Terbang ‘mood’nya dek peristiwa itu. Dia bergerak ke hadapan sebelum menghilangkan diri sejurus kemudian.

“Maaf Qayyum, Ren tak hendak jumpa,” Rais rasa bersalah.

Mereka berbual di tepi pondok kayu yang di hadapan mereka dibina landskap indah berkonsepkan taman air mini. Murni duduk menyendiri tidak jauh daripada kedua-dua anak muda yang nampak serius berbincang sesuatu.

“Tak apa. Itu hak dia,” jauh hati bunyi suara Ummar Qayyum.

“Aku ingat nak perangkap Murni. Nak suruh Murni mengaku kesalahan yang dia buat selepas aku giat Ren tapi Ren pula rosakkan program,” akui Rais.

“Kau nak buat apa?” tanya Ummar Qayyum dengan kening berkerut.

Dia tak tahu rancangan Rais. Dia hanya membawa Murni atas permintaan Rais.

“Aku ada rancangan sendiri.”

“Sejak bila kau jadi macam ini Rais?” Ummar Qayyum terkedu.

“Aku sayangkan hubungan kau dengan Ren. Aku tak sanggup lihat hubungan kau dengan Ren berkecai sebab wujudnya orang seperti Murni. Aku dah lalui pengalaman itu,” juih Rais.

“Rais! Rais,” keluh Ummar Qayyum. Ada nada kesal dari suaranya.


Murni lemparkan pandangan pada mereka lagi. Masuk kali ini entah kali ke berapa kepalanya tertoleh-toleh pada kedua-dua lelaki yang masih belum habis berbincang.

Kelibat Rania pun tidak kelihatan, fikirnya lagi. Pelik betul! Apa tujuan Abang Qayyum ajak aku ke sini? Murni keresahan. Di halaman depan, dia dapat lihat dengan jelas tetamu keluarga Rania sedang menjamu selera. Seorang pelayan berpakaian lengkap seperti chef di hotel menjinjing sebuah dulang menghala ke arah mereka.

Dulang yang berisi aneka juadah diletakkan di atas meja taman betul-betul di hadapan Murni. Murni telan air liur melihat beberapa ekor udang galah besar yang dimasak lemak. Ada daging kambing panggang berserta sos dan juga ayam percik. Setelah menghilang seketika, pelayan yang sama muncul semula dengan pelbagai hidangan lain yang begitu membuka selera.

“Makan dulu Qayyum,” ajak Rais dengan rasa bersalah.

Murni yang dipelawa tidak menolak lagi. Hakikatnya dia memang sangat lapar. Sejak tengah hari dia belum makan. Apabila dihubungi Ummar Qayyum mengajaknya keluar petang tadi, dia terus bersetuju tanpa mengetahui atas alasan apa dia diundang.

Di dalam kereta, baru dia diberitahu bahawa mereka akan menghadiri majlis doa selamat di rumah keluarga Rania. Tapi ada sesuatu yang agak pelik ditanya Ummar Qayyum sewaktu dihubungi. Dia ditanya adakah Nenek Ninda memaklumkan sesuatu padanya. Aneh juga pertanyaan Ummar Qayyum malah dia hampir menelefon Nenek Ninda untuk bertanyakan hal itu tetapi kesuntukan masa menyebabkan hal tersebut menjadi misteri hinggalah ke saat itu.

“Abang tak makan nasi?” tanya Murni sewaktu dilihat Ummar Qayyum hanya menjamah secubit daging kambing bakar. Ummar Qayyum menggeleng. Murni makan tanpa mempedulikan sesiapa. Dia sedar abang Rania iaitu Rais sesekali mencuri pandang ke arahnya.

“Perangai abang Kak Ren tu pelik. Dahlah tak menegur Murni tapi ada hati curi-curi pandang ke arah Murni,” adu Murni di dalam kereta dalam perjalanan pulang.

Suasana sepi. Yang terdengar hanyalah suara dari radio yang terpasang di dalam kereta Ummar Qayyum.

“Kak Ren pun sama. Sampai sudah tak turun jumpa kita. Pelik dan sombong perangai anak-anak orang kaya ni,” cemuh Murni lagi.

“Jangan cakap macam tu Murni abang tak suka.”

“Memang betul pun! Ada ke patut kita datang rumah dia, dia tak layan. Tak usah kata nak layan, tunjuk muka pun tidak.”

“Abang yakin Kak Ren ada sebab yang kuat untuk berbuat demikian.”

“Marah? Bengang sebab tak dapat kahwin dengan abang?”

“Kenapa Murni kata begitu? Kenapa Kak Ren nak marah atau bengang pada abang? Bukannya abang yang tak sudi kahwin dengan Kak Ren tapi Kak Ren yang tak sudikan abang.”

Berdesing telinga Murni mendengarnya. Ternyata Ummar Qayyum tak pernah jemu membela perempuan kota itu.

“Abang masih ada perasan pada Kak Ren?” duga Murni. Dadanya berdebar-debar.

“Sehingga mati pun perasaan abang pada Ren tetap mekar.”

“Kalau begitu tunggulah Kak Ren jadi janda.”

Celupar benar mulut Murni di telinga Ummar Qayyum. Dada Ummar Qayyum berombak dek rasa terhina dengan ungkapan Murni.

Tengah hati meradang pada Murni, telefonnya menjerit-jerit. Sungguhpun sedang memandu, Ummar Qayyum tarik telefon bimbit dari poket seluarnya. Demi terpandang nama Rania di skrin telefon, hati yang sedang sarat dengan panasnya bahang marah menjadi sejuk serta-serta. Ummar Qayyum perlahankan kereta dan mengetepikan kenderaannya di bahu jalan.

Murni terpinga-pinga tapi wajah yang sedang kebingungan berubah merah sebaik sahaja mendengar nama Rania terungkap dari bibir Ummar Qayyum. Bicara Ummar Qayyum lembut dan mesra sekali. Hati Murni meruap-ruap mendengarnya.

Sejuk perut Ummar Qayyum mendengar lafaz kemaafan yang dihulur oleh Rania. Gadis itu melahirkan rasa bersalah atas kekhilafannya tadi.

“Tak mengapa Ren. Saya faham,” ujar Ummar Qayyum lembut. Dia selesa menggunakan kata ganti nama saya seperti yang digunakan dalam SMS terakhir.

“Saya harap awak tak balik dengan perut kosong.”

“Jangan bimbang. Saya makan. Kambing panggang tu sedap,” puji Ummar Qayyum ikhlas.

“Saya mohon maaf atas segala kesalahan yang pernah saya lakukan. Yang terkini, kesalahan yang tadi. Kalau tak ada jodoh antara kita, mungkin kita boleh jadi kawan,” suara Rania sayup-sayup di seberang sana. Ngilu tangkai hati Ummar Qayyum mendengarnya.

“Itu yang terbaik.”

“Murni ada dengan awak?”

“Ada.”

“Beritahu dia saya dah maafkan dia. Saya harus akur bahawa apa yang berlaku ini merupakan takdir. Kita merancang tapi Allah yang menentukan.”

“Ren, saya juga bersalah pada awak. Saya pohon kemaafan dan saya harap saya dapat berjumpa dengan awak untuk kali terakhir supaya saya tak berasa terkilan sehingga akhir hayat saya.”

“Saya tak janji tapi insya-Allah,” kata Rania.

Kata-kata tersebut meskipun belum diputuskan tapi sekurang-kurangnya Rania tidak menolak untuk bertemu. Alhamdulillah! Getus Ummar Qayyum sebaik sahaja salam dihulurkan Rania.

“Rania ke?” tanya Murni sebaik sahaja selesai perbualan antara Ummar Qayyum dengan Rania.

Dek marah, dia hanya memanggil Rania tanpa ungkapan ‘kak’ di hadapan. Dia berasa cemburu yang teramat sangat mendengar kelembutan suara Ummar Qayyum sewaktu berbual dengan Rania.

“Kenapa?”

“Dia kan dah nak kahwin, kenapa abang bercakap dengan suara yang begitu lembut dengan bakal isteri Halim?”

Ummar Qayyum senyum sinis. Sejak mengetahui warna sebenar Murni, Ummar Qayyum hilang hormat pada gadis itu. Kalau tidak mengenangkan ibu di kampung, harus ditala sepatah dua kata pada Murni tentang perlakuan buruknya pada Rania.

“Abang kan orang beragama. Takkan tak tahu halal haramnya.”

“Abang tahu.”

“Kalau dah tahu jagalah batas-batasnya,” sampuk Murni lagi.

Akhir-akhir ini Murni agak biadap dengannya. Adakah kerana dia sudah mula bekerja di Kuala Lumpur dan telah menjadi warga kota, fe’el Murni sudah berubah? Fikir Ummar Qayyum.

“Oh ya! Sebelum lupa, ada pesanan dari Kak Ren untuk Murni. Dia kata dia dah maafkan Murni.”

“Maafkan Murni? Apa salah Murni padanya?” Murni mencebik. Wajahnya jelas membayangkan mimik tidak suka.

“Maafkan kenapa ya? Betul juga kata Murni. Abang pun tak tanya,” sindir Ummar Qayyum balik.

“Macam bagus-bagus lagaknya.”

“Pelik juga. Tiba-tiba dia kata dia maafkan Murni. Ada apa-apa ke yang Murni buat pada Kak Ren di belakang abang?”

“Buat apa? Mana ada?” dalih Murni.

“Atau barangkali Murni lupa.”

“Mana ada!” suara Murni meninggi.

“Abang tak puas hati. Abang nak tanya pada Kak Ren nanti.”

Berubah air muka Murni. “Tak payah nak tanya. Anggap saja Kak Ren tu tak berapa sihat. Maklumlah...”

“Maklumlah...? Maklumlah apa Murni?”

“Sebab tak dapat kahwin dengan abang.”

“Dah dua kali Murni kata macam tu. Ada sesuatu yang abang terlepas ke?” giat Ummar Qayyum.

Kereta yang dipandu sudah sampai di selekoh Taman Perumahan Mesra, tempat tinggal Murni sejak menjadi penghuni Kuala Lumpur. Kereta Ummar Qayyum berhenti.

“Kenapa perangai abang pelik malam ni?”

“Sebab ada sesuatu yang mengganggu benak abang selama ini.”

“Apa?”

“Benarkah Murni yang abang kenal ini semurni namanya?”

Dada Murni berdebar-debar.

“Apa maksud abang?”

“Abang tak pernah sangka Rania akan memberi maaf pada Murni sedangkan orang yang membuat khilaf tak pernah memohon kemaafan atas kesalahan yang diperbuat.”

Murni rasa seperti setongkol batu besar terhempap atas kepalanya.

“Walaupun ditakdirkan jodoh saya tiada dengan Rania, saya tetap menjunjung Rania sebagai seorang gadis kota yang berhemah tinggi. Dia satu dalam sejuta dan akan dikenang setiap masa.”

Kereta Ummar Qayyum sudah berhenti di depan rumah sewa Murni.

Terkebil-kebil Murni memandang Ummar Qayyum. Dia masih berfikir-fikir.

“Awak sekarang dah jadi orang kota, pandai-pandailah bawa diri,” pesan Ummar Qayyum sebaik sahaja Murni turun dari kereta.

Sebaik Murni selamat masuk ke dalam rumah, Ummar Qayyum memandu pergi dengan sejalur rasa hati yang sukar dimengerti.

Tuhan! Masih adakah lagi harapan?


Oleh Samsiah Mohd Nor
Sumber: Metro

Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pantang Larang dan Makanan Orang Demam Campak

Air kelapa sangat bagus untuk demam campak Nak jaga pemakanan orang demam campak? Ok, aku ada petua dan tipsnya. Segala yang tertulis di sini adalah keluar dari kepalaku, dan pengalamanku menjaga makanan orang demam campak. Ku abadikan di sini. 1. Tidak boleh menggoreng Demam campak ni kita tak boleh nak goreng apa-apa makanan terutamanya guna minyak. Contohnya goreng ikan. Menumis pun tak boleh tau. Sebab apa tak boleh? Sebab ia akan merangsang pertumbuhan campak dan buat ianya kemerah-merahan. 2. Elakkan makanan laut yang gatal Makanan laut, seperti udang, sotong, kerang elok la dikuarantinkan.. Haha~ Bukan kuarantin la tapi jangan makan makanan tu, k. 3. Elakkan yang pedas Cili pun tak boleh makan sebab mengundang kegatalan. Aku ada baca, sup ayam ni bila dibuat sup akan mengeluarkan satu pati yang berkesan khas untuk menyembuhkan demam. Korang letak bawang merah, bawang besar dan bawang putih. Lagi sedap bawang putih tu, tak dipotong, hanya buang kulit, ba

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru, jom kita gali ilmu. Sha dapat dari kawan-kawan bundle juga. ✔ Bale – Ketul, guni atau tokol pakaian/beg/kasut dan lain-lain. Kain 100 – Baju/pakaian yang 100% kapas. Kain Samah – Baju yang diadun dengan 2 material. 50 cotton +50 polyster (poly). 3 kain – Baju diadun dengan 3 material. Cotton + Poly + Rayon. 3 suku / Raglan / 3q – Baju yang mempunyai lengan bersambung dari leher berakhir di siku. Kain sambung – Lengan baju disambung dengan lengan warna lain, contohnya Rolling Stone Tour Euro82, Iron Maiden ‘aces high’ lengan camo. Ada juga kain sambung di dada. Contohnya Hawaii bernombor. Camo – Celoreng Ringer – Baju yang mempunyai warna/getah pada hujung lengan dan leher. Kain pasir / kain bulu katu – Merujuk seluar Lee,Wrangler,Levis era 70/80/90 an. Combo – Jualan melebihi sehelai dengan 1 harga. Single stich – Jahitan satu garisan sama ada pada lengan atau bawah baju. Biasa pada baju vintage.

Tips Pakaian Untuk Konvo

Gambar konvo! =) Assalamualaikum. Apa yang korang perlu ada untuk pakai pakaian konvo? Aku ada sedikit panduan. Top to toe 1. Kasut Lelaki kena pakai kasut kulit (kulit warna gelap –seelok-eloknya warna hitam) Ala, tak mahal pun ada jer yang murah. Perempuan pula kena pakai kasut bertutup, hitam atau warna gelap seakan-akan hitam. Kasut tu mestilah nampak formal. Tak boleh ada lubang-lubang macam kasut Cinderalella. Orang perempuan mesti tau kasut Cinderalela tu macam mana. Kasut Cinderalela tu adalah kasut plastic nipis dan ada lubang-lubang.   Sila beri perhatian, kasut adalah penting. Tak boleh pakai sandal dan selipar. Stoking tak apa, kurang diberi perhatian (bagi perempuan sahaja). Boleh pakai stoking atau tidak. Lelaki kena pakai stoking. Mesti warna gelap, jangan pakai stoking putih pula, sangat pelik. Bagi mereka yang jarang pakai kasut tertutup macam aku ni, boleh juga bawa sandal atau kasut yang selesa untuk digantikan apabila perlu . Ta

Open Tracker