Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 39)]: Ketika Duka Tersenyum

“KENAPA kau suruh aku jumpa Ummar Qayyum?” “Sebab dia nak sangat jumpa kau sebelum kita kahwin.”
“Kau tak takut ke Halim? Pandai-pandai saja kau suruh aku jumpa Ummar Qayyum.”


Rania diam. Dia yakin Rais yang sampaikan pada Halim tentang peristiwa itu.

“Kau dah putus dengannya bukan bermakna langsung tak boleh berhubungan,” nasihat Halim lagi.

Rania akhirnya akur. Atas nasihat Halim, dia berjanji akan bertemu Ummar Qayyum. Lagipun antaranya dengan Ummar Qayyum sudah jadi sejarah. Lebih malang lagi dia yang memutuskan ikatan itu atas desakan Murni.

Walaupun akhirnya Ummar Qayyum tahu perkara sebenar tapi keadaan sudah berubah. Tidak ada apa lagi yang boleh dilakukan.

Dia akan melangsungkan pernikahan dengan Halim tidak lama lagi sedangkan antara Ummar Qayyum dengan Murni tetap tiada apa-apa ikatan. Terkenang dia akan kata-kata Murni.

“Murni tak kisah kalau antara Murni dengan Ummar Qayyum tidak berkahwin asal saja Kak Ren dengan Ummar Qayyum tidak bersatu.”

Puaslah hati Murni barang­kali, getus hatinya separuh kesal. Menyesalkah aku? Hatinya berlagu. Cepat-cepat ditepisnya perasaan pelik yang selalu bertandang dan mengusiknya pada kala kakinya sedang masuk ke Restoran Endang untuk bertemu Ummar Qayyum.

Belum sempat sepasang matanya mencari kelibat seseorang, suara yang sering menyapanya dulu-dulu hinggap di telinga menyeru namanya.

Berderau darah Rania. Ummar Qayyum sudah berdiri di sebelahnya, menegurnya dengan sopan lantas mengiringinya ke tempat duduk yang sudah dikhaskan untuk mereka.

“Terima kasih kerana sudi jumpa saya.”

Wajah Ummar Qayyum tenang sekali. Senyumnya mesra dan nampak ikhlas benar. Ummar Qayyum memesan makanan mengikut alur rasanya setelah Rania berkeras tidak mahu makan. Rania hanya memesan jus tembikai.

“Kalau Ren tak sudi tak mengapa tapi boleh temankan saya makan?” mohon Ummar Qayyum.

Rania sekadar angguk tapi jantung Rania berdebar-debar. Berbagai-bagai perasaan menalu dirinya. Rasa sedih, sayu, bersalah dan kesal datang timpa-menimpa.

Ummar Qayyum menyuarakan rasa terkilan atas beberapa kesalahan yang dilakukan. Suaranya tetap tenang seperti sebelumnya.

“Atas apa jua kesalahan yang saya buat sedar atau tidak, saya harap Ren maafkan.”

Tutur lembut Ummar Qayyum masuk perlahan ke telinga terus menusuk ke hati Rania. Sayunya hati hanya Tuhan yang tahu. Sengaja dibiarkan Ummar Qayyum meluahkan apa saja yang dirasa sebab dia sendiri sudah hilang kata-kata. Melihat Ummar Qayyum tunduk, Rania jatuhkan matanya pada Ummar Qayyum tapi sebaik saja pelupuk mata Ummar Qayyum terangkat, segera dilarikan matanya. Begitulah yang berlaku berulang kali.

“Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dengan saya,” ucap Ummar Qayyum entah untuk kali yang ke berapa.

Rania angguk. Sebak rasa hati segera ditepis. Dia tidak mahu hatinya berbolak-balik. Dia tidak mahu merosakkan rancangan yang sudah pun diatur bersama Halim. Atas jasa baik Halim, Ummar Qayyum dapat peluang bertemu empat mata dengannya. Itu saja yang sepatutnya berlaku dan tidak boleh lebih daripada itu.

Selesai perbualan ringkas tapi padat antara mereka, Rania minta diri untuk pulang. Ummar Qayyum menghantarnya dengan pandangan sayu. Rania tidak menoleh lagi. Makin lama bersama Ummar Qayyum makin perit rasa di hati.

Selesai penanggungan Ummar Qayyum seusai salam kemaafan dihulurkan buatku tapi bagaimana pula dengan aku? Soalnya dalam perjalanan pulang ke rumah, beban yang digalas terasa makin berat. Fikirannya menerawang sehingga sampai ke kisah silam. Tiba-tiba saja semua peristiwa yang pernah dilalui bersama Ummar Qayyum datang satu persatu bagai dirakam-rakam. Cuba dikuis tetapi sukar sekali. Rania berasa sangat rimas. Konsentrasinya benar-benar terganggu. Akukah yang bersalah pada Ummar Qayyum? Detik hatinya tiba-tiba.

Dia bersendirian di sekolah. Hanya dia sahaja guru sesi pagi berada di sekolah pada waktu itu. Dia menyusun buku-buku latihan pelajar yang baru dikutip pagi tadi. Semua sudah disemak. Sesekali dilemparkan pandangan pada guru-guru sesi petang yang keluar masuk ke bilik guru. Hingga saat itu, tidak ada seorang guru pun yang tahu bahawa dia di ambang berumah tangga. Sengaja tidak mahu dihebohkan. Kalau sudah sampai masa, kad undangan perkahwinan akan dilayangkan. Fikirnya sendiri tapi hati tetap gelisah.

“Benarkah apa yang telah aku buat? Kalau benar kenapa hatiku rusuh sebegini?”

Dia mahu pulang tapi hairannya berat benar kakinya mahu diangkat. Peristiwa pertemuannya dengan Ummar Qayyum semalam benar-benar mengganggu benaknya.

Akukah yang berdosa pada Ummar Qayyum? Hati kecilnya terusan berbisik sedemikian.

Telefon bimbitnya berbunyi. Halim.

“Kau di mana Ren?”

“Aku masih di sekolah.”

“Aku dah ada di rumah kau bersama dengan Encik Zul Fadzli.”

Penjelasan Halim membuatkan Rania kelam kabut. Baru dia teringat temu janji mereka dengan Encik Zul Fadli, penasihat perkahwinan mereka.

“Aku terlupa. Kau tunggu sekejap, aku balik sekarang,” ujar Rania.

Bergegas dicapai beg sekolah dan menuju ke pejabat. Selepas merakam masa keluar, Rania terus memandu pulang.

Halim, Ros Ilyani bersama Encik Zul Fadzli dan ibunya sedang leka meneliti pelbagai jenis dan saiz contoh kad undangan perkahwinan di atas meja. Rania duduk di sebelah kiri manakala Halim mengadapnya. Penasihat perkahwinan mereka setia menunggu.

Melihat Rania dengan Halim masih lagi belum memutuskan konsep rekaan perkahwinan mereka, akhirnya Puan Sri Zalia bersama Ros Ilyani beredar ke ruang beranda mengadap ke taman air mini.

“Kad yang mana nak pilih ni?” tanya Rania.

“Yang mana kau suka?” tanya pula Halim.

“Aku tak kisah Lim.”

“Aku pun tak kisah tapi kau kena kisah,” sahut Halim.

“Apa maksud kau ni?” Rania pura-pura meneliti contoh-contoh kad undangan perkahwinan di atas meja.

Halim pandang wajah Rania dalam-dalam. “Ren, pandang wajah aku,” arah Halim tapi Rania tidak mampu berbuat demikian. Dia pura-pura sibuk memilih kad.

“Kalau Encik Halim dengan Cik Rania masih perlukan masa, saya boleh datang lagi,” ujar Encik Zul Fadzli menyedari pasangan tersebut masih belum mampu membuat keputusan.

“Nanti saya akan hubungi Encik Zul,” janji Halim.

Mereka berdua menghantar Encik Zul Fadzli di depan pintu utama. Puan Sri Zalia bersama Ros Ilyani masih berbual-bual di beranda.

“Ren...,” panggil Halim.

Rania menoleh. Wajahnya sayu benar di mata Halim.

“Kenapa dengan kau ni?” tanya Halim.

“Tak ada apa-apalah Lim.”

“Pandang mata aku.”

“Dahlah Lim, Kak Ros pandang tu.”

“Aku tak kisah siapa-siapa pun pandang. Yang aku kisah kau.”

“Apa kena kau Lim?”

“Aku nak kau lafazkan bahawa kau cintakan aku,” suara Halim tegas.

Rania terkejut tapi segera disembunyikan rasa terkejutnya itu.

“Pandang mata aku!” arah Halim.

“Dahlah Halim, mari kita tengok kad mana yang sesuai,” dalih Rania.

“Selagi aku tak dengar dari mulut kau perkataan itu, aku tak hendak pilih kad.”
“Kau jangan nak buat hallah, pilih cepat,” marah Rania.

Halim memerhatikan tingkah laku Rania. Semalaman dia memikirkan hal itu dan hari ini dia mulai nampak apa yang dicari dalam diri Rania.

“Cukuplah Ren...,” kata Halim tiba-tiba.

“Cukuplah? Cukup apa?” Rania tercengang.

“Cukuplah kau berlakon, aku dah tak larat nak tengok, dah tak larat kena kelentong dengan kau,” ujaran Halim mengejutkan Rania.

Berubah air muka anak gadis yang sangat Halim sayangi itu.

“Apa maksud kau Halim?” Pucat muka Rania.

“Kau ingat aku bodoh sa­ngat?”

“Lim, tolong Lim...,” Rania pandang ke kiri dan kanan. Risau melihat fi’il Halim yang tiba-tiba bagai disampuk itu.

“Kau ingat aku tak dapat teka apa yang berkocak dalam hati perut kau tu?”
“Apa yang kau merepek Lim?”

“Aku dah biasa jadi suami orang walaupun akhirnya kena tinggal macam orang bengong.”

“Tolong Lim. Aku tak mengerti.”

“Dahlah kau tipu diri kau sendiri, dengan aku dan keluarga kau juga kau nak bohongi?”

“Cukup Lim!” suaranya dikeraskan. Rania merenung dalam ke muka Halim.

“Aku tak semudah itu nak kau tipu seperti mana kau bohongi Qayyum. Mak kau dan siapa-siapa saja.”

Rania termangu. Air matanya mulai bergenang. “Apa yang kau nak cakap sebenarnya hah?”

“Aku minta maaf. Semalam, aku ikut masa kau jumpa Ummar Qayyum.” Halim membuka pekung.

Rania menghela nafas. Matanya terpejam. Butiran air menitis laju dari kelopak matanya. “Kau yang suruh aku jumpa kan!”

“Memang aku suruh kau jumpa.”

“Kalau begitu, jangan ungkit.” Esakan kecil Rania bergema.

“Aku tak ungkit Ren. Aku hanya nak sampaikan sesuatu.” Wajah Halim gersang. “Walau sekuat mana kau cuba, kau harus ingat Ren, cinta manakan boleh dipaksa-paksa.”

“Cakap saja yang kau tak pernah menyintai aku,” potong Rania.

“Sekali aku menyintai kau, selamanya juga perasaan itu takkan hilang.”

“Habis apa masalahnya?”

“Masalahnya, kau tak pernah cintakan aku, kau hanya ada rasa belas dan kasihan padaku. Aku tak perlukan ihsan kau Ren. Cukuplah kakak aku seorang berbelas kasihan pada aku.”

“Kau silap Halim,” bantah Rania.

“Memang. Memang aku silap. Silap percaturan. Aku kira dalam proses kita menuju ke satu destinasi, perlahan-lahan perasaan cinta kau pada si dia akan berkurang, tapi lain yang aku harap, lain yang jadi. Bertambah jauh kau pergi darinya, makin dekat perasaan dan menebal cinta kau pada dia kan?”

Rania terkedu. Air matanya menitis terus.

“Aku minta maaf sebab intip kau dengan Qayyum. Aku perhatikan kau berdua. Aku nampak sesuatu di mata kau sewaktu kau curi-curi memandang Qayyum.”

Dada Rania bergemuruh. Air matanya bergenang-genang.

“Cara kau pandang dia, aku tak boleh nak terima.”

Rania pejamkan matanya. Telinganya menangkap setiap butiran kata yang keluar dari mulut Halim.

“Kau pandang dia penuh cinta, penuh kasih, penuh rindu. Yang tak mampu kau buat tiap kali kau pandang aku - panda­ngan simpati. Aku tak perlu pandangan sedemikian,” tutur Halim ikhlas. Suaranya tersiat-siat.

Rania terjebik. “Aku minta maaf Lim, kalau apa yang kau nampak melukakan hati kau,” Rania sapu air mata yang berlinangan.

“Dan begitu juga cara dia pandang kau. Masih terbayang-bayang di mata aku. Aku cemburu Ren! Aku cuba nak tipu diri sendiri seolah-olah aku tak nampak tapi aku bukan munafik, bukan hipokrit.”

Sesak nafas Rania menahan pilu.

“Aku sayang kau Ren. Sejak pertama kali aku jumpa kau, berkawan dengan kau, daki bukit, naik roller coaster, cintaku pada kau tak pernah kurang, mekar sampai kini. Tapi semalam baru aku sedar, aku tak boleh berkahwin dengan orang yang tidak menyintai aku.”

“Halim...maafkan aku,” tangisan Rania bertali arus.

“Menyintai seseorang seharusnya merelakan dia berbahagia dengan orang yang dia cintai dan aku tak pernah lihat wajah yang seindah dan sebahagia wajah kau di kala berdampi­ngan dengan Ummar Qayyum.”

Hibanya hati Rania mende­ngar kata-kata Halim. Rania menangis teresak-esak. “Kau pun sama macam aku, dah tahu aku tak cintakan kau, kau setuju juga nak kahwin dengan aku.”

“Kau ajak, siapa yang tak hendak.”

Dalam tangis Rania tersenyum. Senyum cebik!

“Aku memang gilakan kau Ren tapi aku takkan jadi segila itu untuk mengahwini orang yang sah-sah tak mampu menyintai aku.”

“Halim...,” air mata Rania gugur ke pipi. “Jangan buat aku macam ni,” rayu Rania.

“Nanti kau beritahu pada Ummar Qayyum yang aku tak jadi kahwin dengan kau.”
“Sampai hati kau Halim...”

Air mata Rania mengalir deras. Suara esakannya yang makin kuat terdengar pula dek Puan Sri Zalia bersama Ros Ilyani. Terkocoh-kocoh mereka berdua hampiri pasangan yang dalam proses mahu disatukan itu.

“Eh, kenapa ni Ren, Halim?” tanya Puan Sri Zalia cemas. Begitu juga Ros Ilyani.
Sepi seketika. Masing-masing berpandangan. Tinggal Rania saja yang masih dengan esak tangisnya.

“Kami tak jadi kahwin Puan Sri,” sahut Halim tenang.

“Hah!!!” Wajah Puan Sri pucat lesi. Hampir saja dia terjelepok di lantai kalau tidak dipaut Halim.

“Apa lagi ni Ren, Halim?” Meng­geletar suara Puan Sri Zalia. Malang apakah yang menimpa anakku ini. Rania masih dengan sisa-sisa tangisnya.

“Kenapa Halim?” Suara Ros Ilyani kedengaran tegas.

“Saya nak serahkan Ren kembali pada Ummar Qayyum.” Tenang saja ungkapan tersebut terluncur dari mulut Halim. Tercengang Puan Sri Zalia mendengarnya.

“Kenapa?” Suara Puan Sri Zalia menggigil. “Apa salah Ren?” Macam-macam perkara bersimpang-siur di kepala Puan Sri Zalia.

“Nanti Ren akan jelaskan pada puan. Saya nak minta diri pulang,” kata Halim.

Dengan isyarat, Halim me­ngajak Ros Ilyani pulang. Puan Sri Zalia masih dengan muka tidak mengerti. Rania pandang langkah kaki Halim bersama Ros Ilyani yang makin jauh meninggalkan dirinya.

Maafkan aku Halim!

“Kau tak menyesal lepaskan Ren, Lim?” tanya Ros Ilyani sebaik diceritakan perkara yang baru berlaku antara dirinya dengan Rania.

“Menyesal?” Halim tersengih. “Kakak nak tahu apa yang saya rasa tiap kali bersama Ren?”

Ros Ilyani pandang sayu pada adiknya.

“Saya rasa saya macam Beauty and the Beast.”

“Teruknya kau mengutuk diri sendiri, Lim.”

“Kak, saya sedar diri saya. Waktu Ren ajak saya kahwin dengan dia, saya rasa nak tergelak. Tapi saya redah juga. Saya terima ajakan dia walaupun jauh di sudut hati saya sedar siapa saya. Dahlah duda! Tak sedar diri betul. Sekarang saya rasa lapang bila saya lepaskan Ren. Ikhlas, saya doakan yang terbaik untuk Rania, seorang gadis yang paling istimewa yang pernah saya jumpa.”
Ros Ilyani mengeluh.

“Tapi akak yakin Ren takkan hubungi Ummar Qayyum.”

“Tahulah saya main peranan nanti kak. Bukan saya tak kenal Ren. Ego tinggi. Kerana egonyalah dia tinggalkan Ummar Qayyum.”

Ros Ilyani peluk adik kesayangannya. Dia rasa sebak. Halim pula rasa sayu tapi di pelupuk matanya, dia sudah terbayang pertemuan antara Rania dengan Ummar Qayyum. Alangkah bagusnya kalau aku dapat menyaksikan jejak kasih antara mereka.
“Mulianya hati adik akak. Akak bangga dengan kau Lim.”

Halim tersenyum bahagia. Itu yang terbaik untuk Rania. Menyintai seorang gadis yang istimewa seperti Rania adalah membiarkan dia memiliki yang terbaik. Ummar Qayyum barangkali anugerah paling indah untuk Rania yang seumpama bunga anggerik di pinggir kota.

Berbeza pula dengan Rania. Sejak Halim bersama Ros Ilyani pergi, dia berasa kosong sekosongnya. Bukan kerana ditinggalkan Halim tetapi perasaan kosong itu sudah lama bertakhta di hati. Benar sekali kata Halim. Aku menipu diri sendiri.
Tapi bagaimana harus aku memutar kembali masa? Soalnya sedih.

Petang semakin suram.

Rania kesat air mata. Dia memandang sayu bunga-bunga cintanya yang gugur di laman jiwa. Mahu dikutip tapi tidak upaya.


Bersambung...
1 ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tips Pakaian Untuk Konvo

Innershine Prun dan Camu-camu: Testimoni Cantik Kulit Berseri

Sedap. Manis-manis masam. Kalau ada rasa kurma, lagi best. Marvellous. Ada orang cakap, masam sedikit. Pada Sha yang tak makan masam langsung, rasa Innershine ini tidaklah masam mana. Sedikit sahaja rasa masamnya, berbanding produk lain yang lagi rasa masam asam jawa (Ladies Collagen). Innershine rasa masam buah camu-camu sahaja. 
Harga pasaran untuk 6 botol RM 28.90 dan untuk 12 botol RM 57.90. Berat satu botol 42 gram. Harga boleh dapat murah, ikut pasaraya. Pandai-pandailah korang pilih. Sha tengok kat Aeon (Jaya Jusco nama lamanya) pada 13 Jun 2014, harga seperti di atas. Tapi Sha tengok kat Big Aeon harganya lebih murah. Pek kecil (6 botol) hanyalah RM26.90 manakala yang besar RM54.90. Murahlah berbanding harga asal.
Perubahan magik yang Innershine Prun dan Camu-camu lakukan kepada diriku:

Hari pertama, minum malam sebelum tidur, tak dapat tidur dan esok paginya, perut membuang, detox kan? Hehe.
Lusanya, minum awal sikit dalam pukul 9 malam. Tidur, ok saja. Perut ok, tak ada…

Petua Tutorial Cara Pakai Contact Lens (Kanta Lekap)