Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 26)]:

DADA berdebar-debar. Jiwa bergelora malah minda pula diasak pelbagai soalan mengenangkan pelbagai perkara. Dia sudah keliru mana yang perlu diselesaikan dulu. Banyak sangat masalah yang membelenggu dan memerlukan perhatian segera.

Emak mulai bising-bising dan bertegas mahu menyegerakan pertunangan antara dirinya dengan Ummar Qayyum sedang dia tidak mampu berfikir waras detik itu.

Sekarang, dia sedang menunggu Murni. Entah apa mahunya Murni beria-ia benar mahu berjumpa. Mengenangkan harapan orang, diluangkan juga masa untuk Murni yang bersusah payah datang dari Chenor.

Ummar Qayyum pula akhir-akhir ini mulai membisu seribu bahasa. Dia pula tidak berniat mengganggu lebih-lebih lagi mengenangkan penolakan Ummar Qayyum terhadap ajakannya untuk makan malam bersama. Datang juga secuit rasa bersalah pada Ummar Qayyum kerana tidak memaklumkannya tentang janji temu dengan Murni. Tapi perlukah? Detik hatinya dengan sehiris rasa kecil hati yang mula bernaung.



Itu belum diambil kira hal-hal sekolah lagi. Hal surau yang banyak benar tatacara dan prosedur sebelum dapat dinaikkan tiang-tiang utama. Dr. Husam ada tikanya seperti hilang sabar dengan kerenah biroksi. Yang mudah jadi payah, itulah yang sering disuarakan oleh ketua Biro Infrastruktur setiap kali berhadapan dengan masalah birokrasi. Begitu juga dengan luahan para guru yang tidak rela ditukar ke sekolah lain. Semua masuk ke telinganya.


Secara tidak langsung dirinya pun terpalit sama dalam permasalahan tersebut. Manakan tidak? Namanya sudah tersenarai dalam calon yang sepatutnya dikeluarkan dari sekolah tapi tidak diluluskan oleh pihak Kementerian.

Hal itu sudah menjadi tanda tanya dalam kalangan teman sejawat. Siapa yang mahu jawab? Dan mengapa semua ini datang serentak? Rasanya dia sudah tidak sanggup untuk menggalas semua persoalan yang ditenggekkan di bahunya.
 



Terkini, hal Amanda Sofea yang mencetuskan lagi rengsa di jiwanya. Semalam Amanda Sofea menelefon bercerita tentang gusarnya menunggu kepulangan ibu dari luar negara. Ibu yang ada agenda tersendiri.

"Mama kata mama ada cara untuk menyelesaikan masalah ini. Mama minta Amanda supaya tunggu mama pulang. Mama suruh Amanda bersabar dan mama berpesan pada Amanda supaya tidak bercerita kepada sesiapa. Amanda dah beritahu cikgu. Amanda harap buat sementara waktu ini, cikgu simpan dulu rahsia ini ya cikgu."

Mengenang pintaan Amanda Sofea bagai gugur jantung Rania detik itu. Terkunci lidahnya. Hal Amanda Sofea sudah dibawa ke peringkat atasan. Betulkah apa yang telah aku buat? Janganlah tindakan aku seperti tikus membaiki labu. Kalau ketahuan Amanda Sofea, marahkah dia? Bencikah dia padaku?

"Amanda harap mama tak teruskan rancangan mama tapi kalau mama tetap dengan keputusan mama untuk gugurkan kandungan, Amanda tak akan benarkan, Amanda akan lari cikgu," ugut Amanda Sofea.

Semakin seriau tubuh Rania mengenangkan ugutan Amanda Sofea. Bagaimana kalau ibu Amanda Sofea tetap dengan pendiriannya untuk 'melenyapkan' kandungan yang tidak berdosa itu? Dan Amanda Sofea pula tetap dengan prinsipnya untuk tidak membenarkan sebuah pengguguran? Di pihak sekolah pula bagaimana? Apa yang sedang dirancang? Mengenang semua itu makin berserabut kepala Rania.

"Kak."

Suara seseorang mengejutkan Rania. Di sisinya berdiri Murni. Orang yang dinanti sejak tadi. Sejalur senyum Rania hulurkan seraya mempersilakan gadis yang masih dengan sisa mengahnya duduk.

Gadis itu merenung Rania dengan cermat sewaktu Rania memesan minuman. Jus kedondong asam boi untuk dirinya manakala untuk Murni jus epal.

"Ada hal apa Murni nak jumpa kakak?" soal Rania. Jus kedondong asam boi yang diteguk terasa enak sekali.

"Sebenarnya dah lama Murni nak jumpa kakak. Nak cakap sesuatu tapi...," kata-kata itu mati di situ. Murni teragak-agak untuk meneruskannya.

Rania menanti dengan sabar, tanpa ada sedikit pun keinginan untuk menyampuk atau mendesak. Melihat wajah orang yang mendengar tenang sahaja, Murni meneruskan bicara.

"Murni harap sangat kakak tak salah faham bila Murni cerita nanti. Murni risau juga sebenarnya...," dia seperti berada di antara dua persimpangan.

Mendung berselirat di wajah Murni bagai berat benar penanggungannya. Rania sedar itu. Dia tetap sabar namun apabila hampir dua puluh minit Murni hanya berlegar di sekitar isu yang sama, Rania mulai bosan.

"Murni, boleh Murni ceritakan apa sebenarnya yang Murni nak beritahu pada kakak?"

"Baiklah kak, lebih baik Murni berterus terang saja kan?" kata Murni kemudian. Sebaik sahaja kata-kata itu diluahkan, Murni terus bercerita tentang masa kecilnya, tentang dirinya, tentang keluarganya, tentang nasibnya yang kematian ibu bapa, tentang abangnya di Chenor, tentang Kampung Pokok Pisang, tentang Ashraf Daniel, tentang Nenek Ninda dan dikomakan seketika ceritanya sebelum disambung kembali dengan sebuah nama - Ummar Qayyum.

"Ummar Qayyum? Apa kena mengena Ummar Qayyum dengan cerita Murni?"

"Takkan kakak tak dapat agak," bidas Murni.

Rania jadi gusar tiba-tiba. Dia rasa berdebar-debar tapi harapannya tinggi menjulang. Mudah-mudahan tidak sampailah kepada apa yang dia fikirkan saat itu.

"Betul kakak tak tahu?"

"Sebenarnya apa yang Murni nak beritahu kakak?" Rania malas berteka-teki.

Tanpa memandang ke muka Rania, gadis itu berkata "Ada."

"Apa dia?"

Murni diam. Matanya yang dikecilkan berlegar ke kiri dan kanan menghasilkan wajah yang penuh persoalan.

Gusar Rania berganda.

Rania menjeling sekilas sewaktu Murni menyedut jus epal sehingga ke dasar. Rania benar-benar tidak selesa.

"Murni nak air lagi?" Sengaja ditanya untuk melempar debaran yang melanda. Dia gerun melihatkan gerak-geri Murni yang sukar ditafsir.

Murni gelengkan kepala.

"Murni nak makan apa-apa?"

Murni diam. Rania mencuri pandang ke arah Murni. Jari-jemari Murni mengetuk meja di hadapannya. Rania teringat anak-anak muridnya yang suka melakukan aktiviti yang serupa. Dia tidak suka mendengar bunyi yang terhasil daripada ketukan jari-jemari ke meja. Bunyi yang sangat tidak menyenangkan.

"Kak, boleh kita cerita tempat lain?" pinta Murni tiba-tiba.

"Tempat lain? Di mana?"

"Tak kisahlah di mana-mana asalkan jangan ada orang ramai-ramai ni," pinta Murni. Rania mati kutu. Di mana tak ada orang ramai?

"Susah-susah dalam kereta kakak pun boleh."

Dalam pada Rania terkial-kial mencari lokasi, Murni mengusulkan demikian. Selesai membayar harga minuman, Rania membawa Murni ke keretanya. Dihidupkan enjin dan pendingin udara. Rasa nyaman. Murni menyambung bicara yang tergendala. Sesekali mata Murni diam. Sesekali matanya merayapi pejalan-pejalan kaki yang melintasi kereta Rania. Sesekali Murni mengeluh. Akhirnya Murni meneroka episod cinta.

"Cinta!" Sepatah kata Murni tuturkan. "Sudah pasti kakak tahu kan apa itu cinta!" sambungnya kemudian.

Rania mulai berasakan ruang udara yang asing. Sejuk dingin dan ngilu. Perlahan-lahan Rania mula dapat menangkap atas tujuan apa dia dipanggil ke situ. Dia sangat berasa tidak selesa. Dadanya menjadi sempit dan bergelora. Wajahnya yang penuh simpati sebentar tadi hangus dijilat api perasaan yang berlakur-baur sebaik sahaja Murni tanpa segan-silu menebarkan jala penceritaannya tentang sebuah keinginan - untuk hidup bersama Ummar Qayyum. Dan ceritanya dinoktahkan di situ. Kemudian dengan selamba dia memandang wajah Rania yang tidak percaya.

"Kakak fahamkan apa yang Murni katakan?"

Rania diam saja. Rania rasa gerun menatapi wajah gadis hitam manis yang disuluh dengan obor cinta yang meluap-luap. Seperti apakah cinta Murni? Mata Rania mengekori langkah-langkah yang berderap di luar kereta. Malangnya pemandangan itu tidak mampu menjentik rasa ngilu yang bertangkai di hati.

"Kakak pura-pura tak faham?" Murni membuat kesimpulan. Agak berang kerana pada tanggapannya Rania sengaja berbuat bodoh, pura-pura tidak mengerti.

"Faham apa?"

"Kakak tahu!!!" sinis nadanya.

"Apa yang akak tahu? Rania kebingungan. Apa yang sebenarnya berlaku? Atau aku yang tertinggal sesuatu? Ummar Qayyum? Apakah Ummar Qayyum pun tahu tentang apa yang aku tidak tahu? Apa yang berlaku semasa pertemuan mereka berdua?

"Kakak tahu kan Murni berjumpa dengan Abang Qayyum baru-baru ni?"

"Tahu pun sebab Murni yang beritahu."

"Kakak tak tanya Abang Qayyum?" Murni mahu tahu.

"Kami sibuk. Tak sempat berhubung."

"Jadi, kakak belum tahu apa yang kami bincangkan?"

"Itu ke Murni mahu bincangkan?"

"Itu antara Murni dengan Abang Qayyum. Tak ada kena mengena dengan kakak. Yang Murni nak kakak tahu ialah tentang apa yang telah Murni nyatakan tadi."

"Banyak yang Murni bagi tahu sampai kakak pun hilang fokus."

"Sebenarnya kakak tahu apa maksud Murni kan?" Gadis itu memanah matanya. Tajam sekali.

Sekali lagi Rania menggelengkan kepala. Tidak selesa untuk berteka-teki saat itu. Dia mahu Murni meneruskan cerita. Biar dia benar-benar faham. Dia sudah penat diduga. Dalam minggu itu, banyak sungguh ujian yang dilaluinya. Otaknya sudah tidak mampu untuk mentafsir lagi.

"Janganlah kakak berpura-pura."

"Jelaskan supaya kakak lebih mengerti," pohon Rania. Jiwa yang sudah direnyuk resah tidak mampu lagi untuk berfikir dengan lebih mendalam.

"Kakak kan cikgu, takkan hal semudah itu pun kakak tak tahu."

"Kakak tahu tapi kakak tak mengerti kenapa Murni ceritakan semua ini pada kakak," suara Rania resah.

"Sebab Murni nak kakak tahu apa yang kakak dah buat," ditekankan perkataan 'dah buat' seraya menikam mata Rania.

"Apa yang kakak dah buat?" sambar Rania. Sering sangat diterjah, dia menjadi marah.

"Kakak dah putuskan hubungan kami," tekan Murni. Matanya menyala-nyala.

Ungkapan Murni bagai halilintar yang yang menembus telinga Rania. Itukah aku di mata Murni? Bibir Rania terketar-ketar.

"Apa??"

"Kakak bertanggungjawab memutuskan hubungan antara Murni dengan Abang Qayyum."

"Kalau tak kerana kakak, Abang Qayyum dah jadi tunangan Murni," Murni memandangnya dengan mata penuh marah.

"Apa yang Murni cakap ni?" Bibir Rania bergetar. Mudahnya dia dituduh sedemikian.

"Sebelum ini pun kakak pernah putus kasih dengan Farhankan? Sebab patah hati kakak bawa diri ke Sabah. Sekarang Farhan dah pun bercerai dengan isterinya.
Kenapa kakak tak terima saja Farhan daripada merampas hak orang?"

Berdesing telinga Rania mendengarnya.

"Tak baik kakak buat begini tau. Murni tahu kakak anak orang kaya. Anak Tan Sri. Berpengaruh pula. Semua hendak boleh dapat tapi pernah kakak tak terfikir tentang harga diri bila kakak buat semua ni?"

Sepatah kata tidak mampu Rania luahkan. Hatinya bagai disiat-siat dituduh sedemikian rupa. Air matanya sudah bergenang-genang.

"Kakak menangis? Kakak baru kenal tangisan hari ini tapi Murni? Kakak tahu tak sudah berapa lama hidup Murni berladung air mata?" Murni juga mencebik.

Rania menggelengkan kepalanya. "Kakak tak pernah tahu...," suaranya lirih.

"Sekarang kakak dah tahu kan," suara Murni kian perlahan.

"Apa maksud Murni?"

"Kakak dah tahu bahawa kakak sudah merampas kebahagiaan orang. Merampas kebahagiaan Murni," suara Murni menggigil.

"Kakak rampas Qayyum dari Murni?" Rania masih tidak percaya.

"Ya, sebelum kakak datang dalam hidup abang Qayyum, Murni dengan abang dah hampir-hampir disatukan. Rumah Nenek Ninda dah jadi rumah Murni. Nenek Ninda pun dah buat perancangan untuk kami...."

Makin hiba Rania mendengarnya. Betulkah begitu? Tapi mengapa Ummar Qayyum tidak pernah bercerita? Nenek Ninda pun seperti menerimanya tanpa prasangka. Kalau ada pun, secara tidak langsung Ashraf Daniel yang sering menyebut nama Murni. Memuji-muji Murni. Murni yang pandai memasak. Murni yang disayangi Nenek Ninda sehingga mendorong dirinya untuk turut belajar memasak.

"Kakak tak percaya," hati Rania terhiris.

"Murni tahu kakak tak akan percaya..." Dada Murni bergetar. Nafasnya ditarik.

Rania kesat air mata. Air liur yang ditelan terasa kelat benar.

"Kalau kakak tak percaya, kakak tanyakan Abang Qayyum," cabar Murni.

Rania rasa macam langit runtuh dan jatuh atas kepalanya. Sukar untuk dia mempercayainya kalau tidak dikaitkan dengan kata-kata Ashraf Daniel dulu.
Sebelum aku, Ummar Qayyum ada Murni. Benarkah kalau tidak ada aku antara mereka, Murni dengan Ummar Qayyum sudah ditunangkan?

"Ah, tak perlu kakak tanya dia. Dia tak akan cakap. Baik kakak tanyakan Nenek Ninda," ujar Murni. Hiba. Air matanya turut bergenang, mengalir laju menyapu pipinya dan jatuh menitik-nitik.

"Untuk apa Murni ceritakan semua ni pada kakak?" Hidung Rania kembang kempis menahan rasa. Hatinya semakin huru-hara.

Murni angkat wajahnya yang basah. "Murni nak kakak fikir, Murni mahu kakak renungkan. Cuba kakak bayangkan kalau kakak berada di tempat Murni," suara Murni kian mendayu-dayu.

"Cubalah kakak bandingkan diri kakak dengan diri Murni. Kakak cerminlah diri kakak. Kakak suluh pula diri Murni. Apa yang Murni ada? Apa yang Murni miliki?"

Mata basah Rania terpaku.

"Murni kalah segala-segalanya kalau diletakkan di sebelah kakak. Murni tak setanding kakak. Jauh panggang dari api tapi..." mata hiba Murni meraih simpati Rania terus masuk ke hulu hati gadis itu.

"Tapi satu yang Murni yakin Murni boleh menang," Murni masih teresak-esak.
Mata Rania berkaca-kaca. Rasanya dia sudah tidak kuat lagi untuk mendengar apa yang akan keluar dari mulut Murni.

"Cinta Murni pada Abang Qayyum. Cinta Murni!" tegas Murni penuh keyakinan.

Rania kesat air mata yang merembas. Dia tenggelam punca. Dia seperti kolek kecil yang sedang dibadai tsunami tiga beradik. Terlungkup terus.

"Kakak tak akan menang itu. Tidak ada seorang perempuan pun yang boleh menyintai Abang Qayyum seperti mana Murni menyintainya," tegas Murni. Dalam lelehan air mata, lemparan suaranya tegar sekali.

"Cinta Murni pada Abang Qayyum bukan cinta setahun dua, bukan baru semalam. Cinta Murni pada Abang Qayyum segar mekar sekian lama dan tak pernah padam sehingga kini."

Rania terpukul. Cinta aku? Ah, benarkah kata Murni? Kalah cintaku pada Qayyum berbanding dirinya?

"Sekarang kakak sudah tahu apa perkara sebenar. Jadi Murni pohon supaya kakak putuskan ikatan antara kakak dengan Abang Qayyum."

Rania tidak mendengar apa-apa lagi. Dirinya seumpama buih-buih kecil di lautan yang dihanyutkan entah ke mana-mana. Keputusan bukan miliknya kini.

"Kak, ini antara kita, janji dengan Murni," tangan kirinya dicapai Murni. Redup mata Rania menangkap mata Murni.

"Tolong jangan beritahu Abang Qayyum Murni cakap semua ini. Murni tak halal dunia akhirat kalau kakak khianati Murni."

Kata-kata Murni jadi seperti angin. Angin yang datang dan terus datang. Hinggap di dada Rania dan tidak mahu pergi-pergi. Makin banyak dan berulang-ulang. Tidak ada kata lain yang hinggap di dadanya selain kata-kata Murni. Dada Rania jadi sesak. Sesak sangat-sangat.

Bila Rania toleh ke sebelah kiri, baru dia perasan, dia keseorangan di dalam kereta yang enjinnya masih hidup. Bila masa Murni pergi pun dia tidak perasan.
Dia tidak sedar. Jasad Murni memang sudah tiada di situ tapi apa yang Murni tinggalkan sudah membusut di dadanya. Rania tenggelam dalam dunianya yang tersendiri. Lututnya berasa lemah. Hatinya punah. Dia tidak tahu bagaimana mahu memujuk jiwanya yang gundah itu. Tiba-tiba dia teringat mamanya.

"Mama!" Dia menangis teresak-esak.


Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pantang Larang dan Makanan Orang Demam Campak

Air kelapa sangat bagus untuk demam campak Nak jaga pemakanan orang demam campak? Ok, aku ada petua dan tipsnya. Segala yang tertulis di sini adalah keluar dari kepalaku, dan pengalamanku menjaga makanan orang demam campak. Ku abadikan di sini. 1. Tidak boleh menggoreng Demam campak ni kita tak boleh nak goreng apa-apa makanan terutamanya guna minyak. Contohnya goreng ikan. Menumis pun tak boleh tau. Sebab apa tak boleh? Sebab ia akan merangsang pertumbuhan campak dan buat ianya kemerah-merahan. 2. Elakkan makanan laut yang gatal Makanan laut, seperti udang, sotong, kerang elok la dikuarantinkan.. Haha~ Bukan kuarantin la tapi jangan makan makanan tu, k. 3. Elakkan yang pedas Cili pun tak boleh makan sebab mengundang kegatalan. Aku ada baca, sup ayam ni bila dibuat sup akan mengeluarkan satu pati yang berkesan khas untuk menyembuhkan demam. Korang letak bawang merah, bawang besar dan bawang putih. Lagi sedap bawang putih tu, tak dipotong, hanya buang kulit, ba

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru, jom kita gali ilmu. Sha dapat dari kawan-kawan bundle juga. ✔ Bale – Ketul, guni atau tokol pakaian/beg/kasut dan lain-lain. Kain 100 – Baju/pakaian yang 100% kapas. Kain Samah – Baju yang diadun dengan 2 material. 50 cotton +50 polyster (poly). 3 kain – Baju diadun dengan 3 material. Cotton + Poly + Rayon. 3 suku / Raglan / 3q – Baju yang mempunyai lengan bersambung dari leher berakhir di siku. Kain sambung – Lengan baju disambung dengan lengan warna lain, contohnya Rolling Stone Tour Euro82, Iron Maiden ‘aces high’ lengan camo. Ada juga kain sambung di dada. Contohnya Hawaii bernombor. Camo – Celoreng Ringer – Baju yang mempunyai warna/getah pada hujung lengan dan leher. Kain pasir / kain bulu katu – Merujuk seluar Lee,Wrangler,Levis era 70/80/90 an. Combo – Jualan melebihi sehelai dengan 1 harga. Single stich – Jahitan satu garisan sama ada pada lengan atau bawah baju. Biasa pada baju vintage.

Tips Pakaian Untuk Konvo

Gambar konvo! =) Assalamualaikum. Apa yang korang perlu ada untuk pakai pakaian konvo? Aku ada sedikit panduan. Top to toe 1. Kasut Lelaki kena pakai kasut kulit (kulit warna gelap –seelok-eloknya warna hitam) Ala, tak mahal pun ada jer yang murah. Perempuan pula kena pakai kasut bertutup, hitam atau warna gelap seakan-akan hitam. Kasut tu mestilah nampak formal. Tak boleh ada lubang-lubang macam kasut Cinderalella. Orang perempuan mesti tau kasut Cinderalela tu macam mana. Kasut Cinderalela tu adalah kasut plastic nipis dan ada lubang-lubang.   Sila beri perhatian, kasut adalah penting. Tak boleh pakai sandal dan selipar. Stoking tak apa, kurang diberi perhatian (bagi perempuan sahaja). Boleh pakai stoking atau tidak. Lelaki kena pakai stoking. Mesti warna gelap, jangan pakai stoking putih pula, sangat pelik. Bagi mereka yang jarang pakai kasut tertutup macam aku ni, boleh juga bawa sandal atau kasut yang selesa untuk digantikan apabila perlu . Ta

Open Tracker