Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 25)]: Taman Berbunga Air Mata

BOHONGLAH kalau dikata bahawa mesej pesanan ringkas daripada Murni tidak mengganggunya. Raganya terusik tetapi disebabkan di hadapannya kini ada Amanda Sofea bersama Ajeerah, perasaan gusar itu terpaksa disembunyikan. Diketepikan seketika gundah yang tiba-tiba muncul entah dari mana.

Dialihkan perhatian pada kedua-dua anak gadis itu sebaik sahaja selesai membalas mesej Murni.
"Maafkan cikgu," ujar Rania dengan senyuman yang ranum di bibir. Dibetulkan kedudukan sebelum direnung seketika wajah lembut Amanda Sofea sehingga anak gadis itu tersipu-sipu.

"Sihat?" tanya Rania sepatah.

Amanda Sofea angguk kepala seraya memandang Ajeerah. Dia duduk begitu dekat dengan Ajeerah seolah-olah setiap masa dia memerlukan temannya nan seorang itu.


"Ajeerah kata dah dua minggu Amanda tak datang sekolah. Ada masalah besar. Betul ke?"

Sekali lagi gadis itu mengangguk. Genggaman tangan Ajeerah dikuatkan. Rania sedar itu. Amanda Sofea umpama mencari dahan untuk berpaut.

"Sudi berkongsi dengan cikgu?" pancing Rania.




Sepi bertandang lagi. Amanda Sofea mencari kekuatan lewat helaan.

"Ceritalah. Mungkin cikgu boleh tolong," pujuk temannya. Rania senang melihat keakraban mereka berdua. Jam besar di dinding dikerling Rania.

"Cikgu kena balik sekolah sekejap lagi, baik cerita cepat," desak Ajeerah menyedari bahawa Rania bergelut dengan waktu.

Susah benar untuk Amanda Sofea melafazkan kata kalau Ajeerah tidak mencelah.

"Mungkin Ajeerah boleh beritahu cikgu mewakili Amanda," cadang Rania dan segera sahaja Amanda Sofea bersetuju.

Mendapat kebenaran daripada sahabat baiknya, laju saja patah-patah kata terluncur dari mulut Ajeerah. Rania mendengar dengan tekun sehinggalah patah akhir yang terlontar daripada mulut Ajeerah membuatkan Rania tersentak.
Benarkah apa yang aku dengar? Fikirnya, lalu dia bertanya kembali pada Ajeerah untuk mendapat pengesahan bahawa apa yang didengar sebentar tadi tidak silap. Anggukan Ajeerah melemahkan tubuh badannya

"Ya cikgu. Amanda pregnant."

Tubuh Rania berasa seram sejuk.

Belum habis lagi sisa kejutan mendapat pesanan ringkas daripada Murni, datang pula kejutan yang lagi menakutkan. Berdebar-debar dadanya. Ajeerah bersama Amanda Sofea kaku di kerusi. Rania pandang sekeliling. Informasi yang diperoleh Rania membuatkan dirinya terkebil-kebil.

Benarkah seperti apa yang dikatakan oleh Ajeerah? Amanda Sofea diperkosa sewaktu mereka keluar minum bersama kawan-kawan. Ajeerah mengesyaki Amanda Sofea dianiayai melalui air minuman yang dibubuh serbuk mengkhayalkan.

"Kamu tahu kawan yang mana?"

Kedua-duanya menggeleng.

"Ramai cikgu. Kami pun tak perasan."

"Kawan sekolah?"

"Kawan luar cikgu."

"Keluar ke mana malam tu?"

"Mulanya kami keluar makan, lepas itu ada kawan ajak kami tengok live band. Amanda ikut tapi saya balik awal sebab emak ajak jemput auntie di KLIA," jelas Ajeerah.

"Kemudian...." Ajeerah mengerling Amanda Sofea. "Ada orang called saya kata Amanda pengsan. Dia suruh saya ambil Amanda di tempat live band tu. Saya pergi ambil dengan mama dan terus hantar Amanda balik."

Sepi lagi. Aduhai, sejuk kaki tangan Rania mendengarnya. "Macam mana Amanda tahu Amanda pregnant?" kali ini soalan Rania ajukan pada Amanda Sofea.

"Amanda tahu dalam dua minggu sudah. Tapi kami agak dah pregnant dua bulan sebab Amanda kata dah dua bulan dia tak period."

"Masa kejadian tu berlaku, Amanda tak perasan?"

"Saya tak tahu cikgu, tapi saya ingat saya rasa sakit di....," Amanda Sofea tidak mampu meneruskan kata-kata. Suaranya bagai tersekat di kerongkong.

"Tak pregnant kot? Barangkali kamu agak-agak saja?" duga Rania.

Hatinya tidak tenteram, bagai digodam-godam menerima perkhabaran tersebut.

"Betul cikgu. Kami dah check sendiri pakai..."

Lemah lutut Rania mendengarnya.

Wajah Amanda Sofea ketara rusuh. Jari jemari Ajeerah bertaut kemas dalam genggamannya.

"Selain Ajeerah, siapa lagi yang tahu?"

"Mama," suara kecil Amanda Sofea bagai riak halus yang tidak berdaya di samudera besar.

"Mama tahu?" terkejut Rania mendengarnya.

"Ya dan mama suruh gugurkan."

Ungkapan itu bagai dentuman halilintar yang menyambar telinga Rania. Mulutnya ternganga seketika. Sampainya hati seorang wanita!

"Mama Amanda kata balik nanti dia akan uruskan," cerita Ajeerah.

"Saya tak hendak gugurkan cikgu," Amanda Sofea yang tadinya agak tenang kini mulai teresak-esak. "Tolong cikgu, saya tak hendak gugurkan," air mata Amanda Sofea jatuh berderai-derai.

Rania rapati Amanda Sofea lalu tubuh kecil Amanda Sofea dipeluknya. "Cikgu mengerti..."

"Ustazah kata berdosa gugurkan janin...," esakan Amanda Sofea membuatkan Rania sebak. Ajeerah sudah merah matanya. Gadis itu di sebelah kiri manakala dia pula memaut tubuh Amanda Sofea dari sebelah kanan.

"Saya tak mahu gugurkan cikgu, saya tak mahu!!!" rayu Amanda Sofea di pelukannya. Esakannya terkawal tapi makin menjadi-jadi. Muncul Mak cik Pon dengan wajah pucat.

"Kenapa?" suara lembutnya menyapa.

"Tak mengapa mak cik, hal budak-budak saja," dalih Rania. Mak cik Pon masuk semula ke dapur.

"Cikgu bangga dengan keputusan Amanda untuk tidak gugurkan kandungan..." Rania tatap muka jernih Amanda Sofea. Terbit sejalur cahaya halus pada wajah yang gerhana itu.

"Tapi mama macam mana?" getar suara Amanda Sofea terbawa ke dada Rania. Dia dapat rasa gemuruhnya, takutnya, debarnya, sangsinya Amanda Sofea tentang erti sebuah kehidupan.

"Nanti cikgu fikirkan."

Amanda Sofea terjebik. Sedih. Pilu. "Bayi ini tak bersalahkan cikgu..."

"Tak."

"Tak boleh digugurkan kan cikgu?"

Rania angguk. Jiwanya bergelora. Air matanya sudah tidak mampu ditampung lagi.

"Kalau mama paksa saya gugurkan, saya akan lari cikgu."

Jari telunjuk Rania hinggap di bibir mungil Amanda Sofea. "Jangan lari, cikgu kan ada. Cikgu akan tolong Amanda."

"Cikgu akan tolong?"

Rania angguk.

"Cikgu nak tolong," ujar Amana Sofea pada Ajeerah padahal Ajeerah dengar segala-galanya. Tangisan Amanda bertali arus, berselang seli dengan esak kecil Ajeerah. Pelukan Rania kian kejap. Dia juga tidak berdaya menahan hiba.

"Hal ini kita akan bincang lagi. Buat sementara waktu ini, Amanda jaga diri baik-baik. Cikgu kena pergi dulu. Insya-Allah cikgu akan datang lagi."

"Sekolah macam mana cikgu?" Wajah Amanda Sofea penuh pengharapan.

"Nanti cikgu fikirkan," menggelabah Rania dibuatnya.

Ini hal besar dan bukan main-main. Berpeluh tubuh badannya. Dikerling jam.
Sudah hampir 2.45 petang. Tak sangka berlarutan pula sesi kaunseling tidak rasmi itu. Menyedari masanya kian suntuk, Rania minta diri untuk bersolat.
Panjang doanya di atas sejadah di sebuah kamar yang pemiliknya belum ditemui. Seusai doa, dia merintih seketika di dada sejadah.

Kasihan Amanda Sofea! Sebegini mudah sesuatu perkara berlaku padanya. Kalau betullah seperti yang dikata mereka, bumi ini sudah tidak selamat lagi.

"Ya Allah Ya Tuhanku, peliharalah kami...!" Diraup wajahnya yang ketara benar rusuhnya.

"Cikgu, jangan ceritakan pada sesiapa ya!" pintaan Amanda Sofea menyesakkan dada Rania. Putih mata Rania tatap wajah Amanda Sofea di muka pintu sewaktu mahu beredar.

"Cikgu kena bawa hal ini ke kaunselor," jelas Rania.

Terkulat-kulat muka Amanda Sofea.

"Amanda jangan bimbang, kami akan jaga nama baik Amanda. Cikgu janji."

Mendengar itu, kurang sedikit rusuh di wajah Amanda Sofea.

"Cikgu pergi dulu, jaga diri baik-baik," pesan Rania sebelum pergi.

"Tapi saya tak hendak gugurkan cikgu, ustazah kata berdosa bunuh janin," bagai terdengar-dengar rintihan sedih Amanda Sofea menusuk-nusuk ke pendengarannya di sepanjang perjalanan pulang dari Taman E-Queen Height.

Masa mengajar kelas tambahan pun, fokusnya tidak menentu. Fikirannya diasak oleh permasalahan Amanda Sofea. Semalaman dia tidak mampu melelapkan mata. Wajah Amanda Sofea berbayang-bayang di pelupuk matanya.

Sampai di sekolah keesokan harinya, hal tersebut dimaklumkan kepada guru kaunselor yang terus membawa kes tersebut ke pengetahuan pengetua. Setelah diambil butir-butir diri pelajar tersebut, Tuan Haji Muhyidin tersandar di kerusi.

"Murid itu di mana sekarang cikgu?" tanya Tuan Haji Muhyidin.

"Di rumah kawannya. Emak ayahnya berada di luar negara."

"Kalau dah dua minggu tak datang, kenapa guru tingkatan tak ambil tindakan," Tuan Haji Muhyidin meneliti dokumen atas meja.

"Mungkin guru tingkatan dah berhubung dengan ibu bapa pelajar Tuan Haji. Bagaimanapun saya akan uruskan hal itu dengan guru tingkatan."

"Kalau guru tingkatan belum tahu apa-apa, awak maklumkan dia bahawa pelajar itu sakit. Yang lain saya akan bincang dengan HEM," kata Tuan Haji Muhyidin.

"Baik Tuan Haji."

"Hal ini jangan sampai tersebar. Cukuplah kita sahaja yang tahu dan kita fikir bagaimana," pesan Tuan Haji Muhyidin sewaktu Rania mahu menutup pintu biliknya. Rania angguk cuma.

Adakah benar tindakan aku itu? Aku berharap tindakan aku ini tidak disalahertikan oleh Amanda Sofea. Dia tidak boleh berdiam diri dan mengambil tindakan sendiri. Hal ini melibatkan sekolah dan dia perlu memaklumi pihak majikan.

Tiba-tiba dia terkenangkan Amanda Sofea waktu baru-baru mengenalinya dulu.
Gadis bertubuh kecil itu sering menghantar mesej dan menghubunginya tapi kekangan masa menyebabkan dirinya sukar membalas panggilan atau mesej kiriman.

Kalau aku curi-curi masa mendampinginya, adakah perkara ini dapat dielak? Rasa sesal yang bukan kepalang menyebabkan dia menghubungi Ummar Qayyum. Jauh di sudut hati, terselit rasa bersalah pada Ummar Qayyum. Turut tercuit rasa sesal kerana membatalkan rancangan makan malam dengan Ummar Qayyum gara-gara hilang mood dek tindakan Puan Wan Sharwin.

"I tengah meeting, nanti I call balik," alasan Ummar Qayyum melemahkan semangatnya. Tak pernah dia menolak panggilanku. Marahkah Ummar Qayyum padaku? Berasa bahawa Ummar Qayyum seperti jauh hati, Rania tidak panjangkan perbualan dan Ummar Qayyum pula tidak membantah.

Murni? Tiba-tiba ingatan Rania terbang pada Murni. Adakah sebab Murni? Kerana berasa tidak sedap hati, Rania menghantar pesanan ringkas pada Ummar Qayyum untuk mengajaknya makan malam. Berderau darahnya apabila mesej balasan Ummar Qayyum menolak ajakan tersebut.

Apa sudah jadi? Murni memberitahu bahawa dia berada di Kuala Lumpur dan Ummar Qayyum? Selama ini tidak pernah dia menolak ajakanku?

Pelik! Fikir Rania.

Malam itu dia berasa sangat sunyi. Di rumah hanya ada emak dan pembantu rumah. Waktu makan, dia seperti dalam dunia yang tersendiri. Makannya pun tidak berselera langsung. Banyak yang mengganggu benaknya. Bukan sahaja hal Amanda Sofea bahkan juga Ummar Qayyum. Waktu duduk-duduk di hadapan televisyen, beberapa kali jari jemari halusnya mahu menekan nombor telefon Ummar Qayyum tapi setiap kali itu juga ada bisikan yang menghalangnya berbuat demikian.

Ah, aku tidak mahu nampak seperti perigi mencari timba, fikirnya dan kembali menerawang.

"Ren...," suara Puan Sri Zalia mengejutkannya. "Kenapa?" tanya ibu penuh keprihatinan.

"Tak ada apa-apa ma."

"Dah siap semua barang untuk hantaran pertunangan?" tanya ibunya.

Rania terlongo. Pertunangan? Terlalu banyak permasalahan akhir-akhir ini sehingga dia terlepas pandang hal pertunangan.

Bertunang! Pelik bunyinya. Adakah aku benar-benar sudah bersedia tambah-tambah dalam keadaan seperti ini? Mengenali Ummar Qayyum belum pun mencecah usia setahun tapi sudah banyak perancangan yang dibuat. Betulkah aku sudah bersedia untuk memasuki fasa baru dalam hidup ini? Ummar Qayyum pula bagaimana, walaupun secara kasarnya mereka berdua nampak begitu bersedia.

"Ren, kenapa? Mama tengok lain macam saja."

"Ma, betulkah tindakan Ren ini?"

Berubah air muka Puan Sri Zalia. " Betul apa?" Dia sudah mengagak sesuatu yang aneh daripada bicara Rania. "Mama, Ren tak pasti ma."

"Ren, tolong jangan buat hal lagi..."

"Mama, beri masa pada Ren..." buntu Rania bila diasak jiwanya.

"Ni yang mama takut. Apa masalah Ren ni?"

Tidak tahan dengan asakan ibunya, Rania meminta diri untuk naik. Katanya mahu mengaji walaupun ibunya masih mahu berbual-bual.

"Kak tengoklah macam mana saya tak risau," adu Puan Sri Zalia pada Mak cik Rohaya. "Boleh sakit jantung saya macam ni."

"Sabar Puan Sri..."
Sudahnya Mak cik Rohaya terpaksa memicit kepala Puan Sri yang sudah berpeluh-peluh dek penangan Rania.

Selesai solat, Rania menghubungi Amanda Sofea.

"Belum tidur cikgu, banyak yang mengganggu fikiran saya."

"Cikgu ganggu?"

"Tak. Saya suka cikgu hubungi saya."

"Dah makan?"

"Belum cikgu."

"Amanda, jangan lupa jaga kesihatan."

"Ya cikgu."

Sebaik sahaja talian diputuskan, Rania mahu letak kepala, tapi deringan telefon daripada Murni mengejutkannya.

"Kak, saya nak balik kampung malam esok. Boleh jumpa kakak petang?"

"Esok?" Rania kebuntuan.

"Boleh ya kak. Saya mesti jumpa kakak sebelum balik. Kalau tak sekarang, saya
tak tahu bila lagi boleh jumpa."

"Baiklah Murni. Maaf, kakak tak sempat nak hubungi Murni untuk perjumpaan kita sebelum ni."

"Tak apa. Saya faham kesibukan kakak. Saya pun baru esok free. Mula nak ajak jumpa malam tadi tapi saya ada janji dengan abang Qayyum."

Berderau darah Rania mendengarnya. "Semalam?" tanya Rania.

"Abang tak beritahu ke?"

Remuk hati Rania mendengarnya. Patutlah Ummar Qayyum tolak ajakanku semalam, fikirnya dengan kecewa.


Sumber: Metro


Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pantang Larang dan Makanan Orang Demam Campak

Air kelapa sangat bagus untuk demam campak Nak jaga pemakanan orang demam campak? Ok, aku ada petua dan tipsnya. Segala yang tertulis di sini adalah keluar dari kepalaku, dan pengalamanku menjaga makanan orang demam campak. Ku abadikan di sini. 1. Tidak boleh menggoreng Demam campak ni kita tak boleh nak goreng apa-apa makanan terutamanya guna minyak. Contohnya goreng ikan. Menumis pun tak boleh tau. Sebab apa tak boleh? Sebab ia akan merangsang pertumbuhan campak dan buat ianya kemerah-merahan. 2. Elakkan makanan laut yang gatal Makanan laut, seperti udang, sotong, kerang elok la dikuarantinkan.. Haha~ Bukan kuarantin la tapi jangan makan makanan tu, k. 3. Elakkan yang pedas Cili pun tak boleh makan sebab mengundang kegatalan. Aku ada baca, sup ayam ni bila dibuat sup akan mengeluarkan satu pati yang berkesan khas untuk menyembuhkan demam. Korang letak bawang merah, bawang besar dan bawang putih. Lagi sedap bawang putih tu, tak dipotong, hanya buang kulit, ba

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru, jom kita gali ilmu. Sha dapat dari kawan-kawan bundle juga. ✔ Bale – Ketul, guni atau tokol pakaian/beg/kasut dan lain-lain. Kain 100 – Baju/pakaian yang 100% kapas. Kain Samah – Baju yang diadun dengan 2 material. 50 cotton +50 polyster (poly). 3 kain – Baju diadun dengan 3 material. Cotton + Poly + Rayon. 3 suku / Raglan / 3q – Baju yang mempunyai lengan bersambung dari leher berakhir di siku. Kain sambung – Lengan baju disambung dengan lengan warna lain, contohnya Rolling Stone Tour Euro82, Iron Maiden ‘aces high’ lengan camo. Ada juga kain sambung di dada. Contohnya Hawaii bernombor. Camo – Celoreng Ringer – Baju yang mempunyai warna/getah pada hujung lengan dan leher. Kain pasir / kain bulu katu – Merujuk seluar Lee,Wrangler,Levis era 70/80/90 an. Combo – Jualan melebihi sehelai dengan 1 harga. Single stich – Jahitan satu garisan sama ada pada lengan atau bawah baju. Biasa pada baju vintage.

Tips Pakaian Untuk Konvo

Gambar konvo! =) Assalamualaikum. Apa yang korang perlu ada untuk pakai pakaian konvo? Aku ada sedikit panduan. Top to toe 1. Kasut Lelaki kena pakai kasut kulit (kulit warna gelap –seelok-eloknya warna hitam) Ala, tak mahal pun ada jer yang murah. Perempuan pula kena pakai kasut bertutup, hitam atau warna gelap seakan-akan hitam. Kasut tu mestilah nampak formal. Tak boleh ada lubang-lubang macam kasut Cinderalella. Orang perempuan mesti tau kasut Cinderalela tu macam mana. Kasut Cinderalela tu adalah kasut plastic nipis dan ada lubang-lubang.   Sila beri perhatian, kasut adalah penting. Tak boleh pakai sandal dan selipar. Stoking tak apa, kurang diberi perhatian (bagi perempuan sahaja). Boleh pakai stoking atau tidak. Lelaki kena pakai stoking. Mesti warna gelap, jangan pakai stoking putih pula, sangat pelik. Bagi mereka yang jarang pakai kasut tertutup macam aku ni, boleh juga bawa sandal atau kasut yang selesa untuk digantikan apabila perlu . Ta

Open Tracker