Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 22)]: Di Bawah Langit Kampung Rimba

LENGANG dan sepi!


Rania pandang sekeliling pejabat guru. Tidak ada seorang manusia pun di situ.

Intai pula di bilik Ketua Bidang. Kosong juga. Mana semua orang pergi? Rania perhatikan sekeliling.

Di luar pejabat guru, masih ada beberapa pelajar beriringan menuruni tangga. Jam di tangan menunjukkan pukul 1.15 petang.

Pelik!



Deringan telefon mengejutkannya.

"Di mana Ren?" suara Nurul Ain seakan berbisik.

"Bilik guru. Mana semua orang pergi?"

"Meetinglah, cepat masuk," Nurul Ain mengingatkannya.

"Astaqfirullahalazim!" Memang dia benar-benar lupa. Kelam kabut Rania capai buku catatan di atas meja lalu bergegas menuju ke bilik mesyuarat.

Sewaktu masuk, Tuan Haji Muhyiddin sedang berucap. Puan Roziah mengerling sekilas.

Kiri kanan tak dipandangnya lagi. Dia terus menuju ke sebuah kerusi kosong.

Duduk dan terus mencatatkan sesuatu. Suasana jadi hening seketika tatkala ucapan Tuan Haji Muhyiddin menjurus kepada persoalan lebihan guru di sekolah tersebut. Rania angkat muka. Sunyi makin menguasai. Para guru saling berpandangan apabila Tuan Haji Muhyiddin mengumumkan bahawa empat orang guru perlu dikeluarkan dari sekolah.




"Kita tunggu surat yang akan dikeluarkan oleh PPD. Mana-mana guru yang namanya tersenarai, saya harap terimanya dengan positif," pesan Tuan Haji Muhyidin.

Kerut pada wajah para guru membayangkan sesuatu yang sebaliknya.

"Keluarkan yang baru masuk Tuan Haji. First come first serve," ujar Puan Zamilah bersemangat.

"Bukan kita yang tentukan Puan Zamilah. PPD,"

"PPD mana tahu cikgu mana yang patut dikeluarkan. Tuan Haji yang lebih maklum."

"Saya menurut perintah Puan Zamilah," Tuan Haji Muhyiddin mengambil jalan mudah.

Puan Zamilah buat muka bodoh. Meskipun kurang berpuas hati, dia terpaksa akur. Tuan Haji Muhyiddin dilihat berbisik sesuatu dengan Puan Roziah sebelum menyambung bicara.

"Sekali lagi saya mahu tegaskan di sini bahawa bukan pihak pengurusan sekolah yang tentukan senarai nama-nama guru tu."

"Mana pula macam tu. PPD menerima senarai guru dari sekolah," bantah Cikgu Habibah di dalam Pejabat Guru sesudah mesyuarat.

"Masa mesyuarat tadi kenapa tak cakap?" Marah Puan Zamilah. "Ada mulut tak tahu guna masa yang sepatutnya," Bebelnya lagi.

"Kak Zami pun faham faham sendiri kan?" Cikgu Habibah pohon pengertian.

"Tak faham," selamba sahut Puan Zamilah sambil memasukkan buku-buku latihan pelajar ke dalam beg, untuk disemak di rumah.

"Nak bising di sini pun tak guna dah. Tunggu saja nama siapa naik," ujar Puan Zamilah. Dia capai begnya dan terus pulang. Rania pandang Nurul Ain.

"Akak agak-agak siapa kena keluar?"

Nurul Ain angkat bahu. Melihat banyak yang sudah pulang, hilang keinginan Rania untuk menyemak buku latihan pelajar. Siapa agaknya yang bakal keluar dari sekolah ini? Akukah? Tapi selepas aku ada empat orang lagi guru baru yang masuk. Takkan aku! Fikir Rania sambil turun tangga.

Sewaktu mahu pulang dan melalui lorong Ilmu, dia terpandang kelibat Amanda Sofea. Dia menoleh sekali lagi. Berkerut dahinya tatkala terpandangkan Amanda Sofea bersegera menarik tangan Ajeera ajak beredar.

Amanda Sofea! Itu memang Amanda Sofea, tapi kenapa melihat aku dia melarikan dirinya? Jelas sekali aku melihat dia menarik tangan Ajeerah sebaik saja mata aku dengan matanya bertembung.

Rania berasa tersinggung tapi segera saja dinyahkan perasaan jauh hati itu. Emosinya lebih terbeban mengenangkan raut rusuh Amanda Sofea.

Kenapa dengan Sofea? Dalam tertanya-tanya sendiri, dia dikejutkan dengan deringan telefon bimbitnya. Paparan nama Ros Ilyani di skrin telefon membuatkan keningnya berkerut.

"Salam, Ren di mana?"

"Sekolah. Kenapa Kak Ros?"

"Boleh Kak Ros jumpa?"

"Bila?"

"Bila-bila Ren free. Kalau boleh cepat sikit," rayu Ros Ilyani.

"Boleh," janji Rania.

Dapat dirasakan ada sesuatu yang mustahak mahu dibincang oleh Kak Ros kalau tidak masakan suaranya cemas benar. Justeru, rancangan bersama Ummar Qayyum untuk membeli sebahagian barangan hantaran pertunangan pada minggu tersebut ditunda ke minggu yang berikutnya.

"Kenapa?"

"I kena jumpa Kak Ros."

"Kak Ros? Boleh I ikut?"

"I rasa lebih baik I pergi sendiri. You ada nanti, apa pula kata Kak Ros," ujar Rania.

Berubah air muka Ummar Qayyum mendengarnya. Penting sangatkah sampai rancangan yang mustahak pun boleh diketepikan Rania? Bukan setakat Ummar Qayyum, bahkan Puan Sri Zalia pun tarik muka apabila hal itu dimaklumkan padanya.

"Mama tak faham dengan perangai Ren ni, selalu macam tu," rungut sang ibu.

"Itu yang Ren malas nak beritahu mama, mesti mama bebelkan Ren."

"Ren, kamu kena tahu membezakan antara yang utama dengan yang sampingan."

"Mama, kalau tak penting takkan Kak Ros beria-ia minta tolong Ren."

"Kalau Ros Ilyani tahu kamu batalkan rancangan nak beli barang hantaran sebab nak jumpa dia, lagi dia rasa bersalah," pujuk Puan Sri Zalia.

Ada benarnya juga kata-kata ibu itu tapi kenangkan Kak Ros, Rania pejam mata.
Kak Ros jarang menelefon tapi kalau sesekali Kak Ros hubunginya, mesti ada sesuatu yang penting, detik Rania sendiri.

Lantas kunci kereta dicapai setelah tangan ibu disalami. Berseranggah tanda tanya bermain di benaknya sepanjang jalan menuju ke Janda Baik. Hal apa agaknya? Hal Kak Roskah atau hal Halim? Mesti penting, kalau tidak masakan Kak Ros begitu serius, putusnya.

Dek tidak sabar bertemu Kak Ros, sebaik sahaja keretanya diparkir di laman rumah Ros Ilyani, terus dipanjat tangga kayu seraya salam dihulur. Kak Ros tidak nampak batang hidung. Yang menyambutnya Halim.

"Apa hal kau Ren, muncul tiba-tiba?"

"Oh, Halim. Maaf. Kak Ros tak beritahu kau aku nak datang?" Rania bertanya padanya balik.

Halim mencebik. "Duduklah dulu. Dia tengah solat. Kau nak minum apa? Panas ke sejuk?"

"Tak apa tak apa, kau jangan susah-susah, nanti aku bancuh sendiri."

"Tahulah aku cacat tapi setakat bancuh air untuk kau, mampu lagi aku," suara Halim keras. Roda kerusi rodanya dipusing laju masuk ke kamar sebelum pintu bilik ditutup kemas.

Rania pening kepala. Lelaki ini sensitifnya tidak bertempat.

"Dia memang macam tu Ren. Sikit-sikit merajuk, sikit-sikit jauh hati. Itulah yang akak hadap setiap hari," akui Ros Ilyani sebaik sahaja Rania menceritakan apa yang berlaku sebelum itu.

"Ah, tak payahlah Ren nak susah-susah hati. Bila angin dia dah turun balik, oklah tu," Ros Ilyani tersengih.

Hanya dia yang lebih mengerti isi perut adiknya nan seorang itu. Ceria wajah Ros Ilyani tidak bertahan lama apabila dia mula masuk bab baru - bab Haryati.

Rusuh di wajah Ros Ilyani bertandang kembali mengingatkan Rania pada lara lama di wajah Ros Ilyani kali pertama mereka bertemu dulu.

"Kenapa dengan Haryati?" Rania bersemangat mahu tahu.

"Sebenarnya Kak Ros kenal Haryati lebih dulu sebelum dia jadi kakak ipar Ren. Sebelum dia berpindah, dia sekeluarga duduk di kampung ni juga."

Terkejut Rania mendengarnya. Kerana ingin tahu, dia membiarkan sahaja Kak Ros bercerita dari mula sampai akhir.

Selesai cerita Ros Ilyani, Rania tercengang. Kalau bukan dari mulut Ros Ilyani susah juga untuk dia mempercayainya. Begitukah warna sebenar Haryati? Sanggup buat cerita palsu pada Rais tentang perkahwinan Ros Ilyani dan dalam diam mengatur strategi sendiri? Licik sekali.

"Masa jumpa di majlis hari tu, dia buat muka selamba. Kak Ros marah betul tapi kak Ros sabar saja," jelas Ros Ilyani lagi.

Rania sedar pada hari tersebut, dia kurang memberi perhatian pada Ros Ilyani kerana pada masa yang sama dia juga sibuk dengan Ummar Qayyum. Sibuk bersembunyi sebab identitinya sudah terdedah. Siapa sangka, rahsia Haryati juga sudah pecah. Rahsia aku tidak merosakkan hati sesiapa tapi rahsia Haryati? Dahsyat! Itu permainan kotor.

"Ren tak perasan akak bangun duduk bangun duduk masa majlis Rais hari tu?" tanya Ros Ilyani.

"Perasan juga tapi tak sangka pula macam tu."

Halim keluar dari kamar. "Dahlah kak, barang lepas jangan dikenang," selamba Halim menyindir Ros Ilyani sewaktu menghala ke dapur dengan kerusi rodanya.

"Apa masalah kamu ni?" jerit Ros Ilyani. Marahkan Halim yang menyampuk tiba-tiba.

"Dahlah Kak Ros. Biar saja."

"Itulah cara dia sejak kena tinggal dengan bini," bentak Ros Ilyani yang sudah tipis sabarnya.

"Kak Ros...," tegur Rania. Agak kasar tutur kata Ros Ilyani di pendengaran Rania.

"Sakit hati Kak Ros dengan dia ni, tak pernah cuba nak faham masalah orang," adu Ros Ilyani.

Rania mengerti. Dia serba salah sebenarnya. Dia simpati pada Kak Ros dan pada masa yang sama kasihan juga pada Halim. Takdir mengubah sikap seorang Halim yang berhemah tinggi dan berbudi bahasa menjadi agresif dan kurang ajar. Bukan dia tidak kenal Halim yang dulu malah dia tetap ingat. Ah, kasihan Halim! Lara mengunyah kebahagiaannya.

"Halim memang suka lepas cakap, marahkan nyamuk kelambu dibakar," luah Ros Ilyani.

Banyak kali juga cerita Ros Ilyani tersangkut-sangkut kerana Halim keluar masuk sesuka hati sehinggalah akhirnya Rania memohon diri untuk pulang.

"Apa masalah kau ni Lim?" marah Ros Ilyani sebaik sahaja kereta Rania berlalu.

"Akak tu masalahnya. Yang sudah tu sudahlah, tak perlulah nak diceritakan pada Rania. Dah tak ada jodoh antara akak dengan Rais."

"Abis akak nak cerita pada siapa? Kamu? Kamu bukannya nak faham, mengutuk akak adalah."

"Dulu bukan main hebat akak ayatkan saya, masa saya kena tinggal," ungkit Halim.

Tak sempat Ros Ilyani menjawab, Halim sorong kerusi roda masuk ke kamar. Di lorong hadapan, sebuah kereta Wira warna kelabu bergerak perlahan menuju ke kediaman mereka, berhimpit dengan kereta Rania yang hendak keluar.

"Kereta siapa pula tu?" bisik Ros Ilyani. Sebaik sahaja nampak wajah pemandu kereta, Ros Ilyani ketuk pintu kamar Halim.

"Kau ada tetamu Lim."

"Siapa?" tanya Halim sebaik sahaja pintu kamarnya terbuka.

"Pergilah tengok sendiri. Kereta dia berselisih dengan kereta Ren."

Sambil tangan gagahnya memusing roda, leher Halim panjang meninjau.

"Layanlah ya, akak nak solat," Ros Ilyani lepas tangan. Tadi masa Rania datang, kau kacau akak, sekarang kau layanlah tamu kau. Malas aku! Detik hati Ros Ilyani.

Berderau darah Halim sebaik sahaja dilihat muka orang yang dimaksudkan Ros Ilyani. Bekas isterinya - Baizura.

"Kau? Datang buat apa?" tengking Halim. Dadanya kembang kempis menahan marah. Serta-merta wajah arwah anaknya Muhammad Aiman terbayang di mata. Pedih hatinya!
Baizura tercegat di anak tangga. Terkebil-kebil.

"Berambus. Jangan datang lagi," usir Halim. Wajahnya keras penuh dengan amarah.

"Halim..." tegur Ros Ilyani yang entah bila muncul di sebelah.

"Tadi kata nak solat, pergilah...," suara Halim kedengaran bengkeng.

Kakaknya dijeling. Ros Ilyani serba-salah. Ikutkan hati memang dia mahu solat dan membiarkan Halim menyelesaikan sendiri masalahnya dengan bekas isterinya tetapi bimbang tiba-tiba melanda hati. Halim sekarang bukan macam Halim dulu. Silap percaturan Halim, lain pula jadinya.

"Naik dulu Zura," pelawa Ros Ilyani. Dalam takut-takut, Baizura panjat anak tangga satu persatu.

"Jangan naik. Berambus!" Mata Halim berapi-api.

"Halim, mengucap."

"Mengucap apa? Siapa pula nak mati?"

"Astaqfirullahazim Halim, apa kena kamu ni? Melenting berterusan. Belajar bersabar," nasihat Ros Ilyani. Baizura sudah terjebik di anak tangga.

"Apa hal kau datang sini?" Suara Halim kendur sedikit setelah ditegur.

Baizura menangis. "Saya tahu saya berdosa pada abang."

"Apa abang abang!" potong Halim sampai terkulat-kulat Baizura dibuatnya.

Baizura tahan perasaan. Lama juga diambil nafas sebelum bicaranya yang disergah tadi disambung semula.

"Saya nak minta Encik Halim pinjamkan .... gambar-gambar anak saya..."

Halim ketap bibirnya kuat-kuat. " Perempuan tak sedar diri. Anak apa? Bila kau ada anak?"

"Saya tahu saya salah, berilah kesempatan untuk saya tebus dosa saya...," tangisan Baizura makin panjang.

"Dengar sini perempuan! Kau jangan datang sini lagi. Aku tak nak tengok muka kau."

Tangisan Baizura makin panjang.

"Ingat! Aku tak hendak tengok muka kau di sini lagi. Aku tak hendak engkau datang dan bertembung muka dengan bakal isteri aku. Faham?" Tiba-tiba Halim berkata begitu. Berubah air muka Ros Ilyani mendengarnya.

Baizura mendongak dengan lelehan air mata.

"Yang berselisih dengan kau tadi tu bakal isteri aku. Jangan sampai terserempak lagi. Aku tak mahu cemar dan kotor kau lekat pada bakal isteri aku yang cantik dan berpelajaran tinggi tu," angkuh suara Halim tambah mengejutkan Ros Ilyani.

Gilakah si Halim ni? Fikir Ros Ilyani tapi dibiarkan sahaja Halim dengan angan-angannya. Sudahnya Baizura pulang hampa - membawa balik seberkas maki hamun Halim.

"Kalau Rania dengar apa yang kau kata, tak datang lagi dia ke sini," Ros Ilyani bersuara.

"Datang tak datang hak dia. Tapi hak saya sebagai seorang bekas suami sekurang-kurangnya telah saya lampiaskan. Puas hati saya." Halim rasa lapang dapat membuatkan muka Baizura macam ayam berak kapur.

"Tak habis-habis kau dengan dendam kau Lim."

"Sudahlah kak, saya dah penat buat baik. Tak ada orang yang kenang. Itu sikit saja saya bagi."

Tidak kuasa melayan, Ros Ilyani tinggalkan Halim sendirian di anjung. Dia solat.

Minta maaf banyak-banyak Rania. Terpaksa aku guna nama kau. Bukan aku tak sedar antara aku dengan kau macam langit dengan bumi tapi engkau saja yang terlintas dalam benakku waktu terlihat bekas isteriku tadi. Maafkan aku!

Rania tersedak dalam perjalanan pulang. Siapa pula yang menyebut namaku? Ummar Qayyum barangkali. Rania memperlahankan keretanya selepas tol Gombak lalu berhenti di bahu jalan. Didailnya nombor Ummar Qayyum.

"Salam. Di mana?" tanya Rania

"Rumahlah, nak ke mana lagi. Ada program orang dah 'cancel'...," jauh hati suara si dia.

Rania tertawa besar. "Sorrylah..."

"Bila nak keluar beli barang hantaran?" tagih Ummar Qayyum.

"Minggu depan boleh?"

"Boleh."

"Janji?"

"Janji," sahut Rania ria. Senangnya rasa hati dapat buah hati seperti Ummar Qayyum. Tidak suka mendesak tapi penuh pengertian.

"Apa yang mustahak sangat berjumpa Kak Ros tadi?" selidik Ummar Qayyum. Tidak dinafikan, perasaannya jadi berdebar-debar setiap kali Rania pergi ke Kampung Rimba, Janda Baik. Di sana bukan hanya ada Ros Ilyani tapi juga ada Halim. Halim itulah, secara sedar atau tidak, membuat hatinya kecut.

"Entahlah, panjang ceritanya tapi ibarat nasi dah jadi bubur. Nanti I cerita pada you."

Nasi dah jadi bubur? Apa yang nasi? Apa yang bubur? Ragu Ummar Qayyum kian tidak menentu.


Oleh Samsiah Mohd Nor
Sumber: Metro

Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!

Catatan popular daripada blog ini

Tips Pakaian Untuk Konvo

Innershine Prun dan Camu-camu: Testimoni Cantik Kulit Berseri

Sedap. Manis-manis masam. Kalau ada rasa kurma, lagi best. Marvellous. Ada orang cakap, masam sedikit. Pada Sha yang tak makan masam langsung, rasa Innershine ini tidaklah masam mana. Sedikit sahaja rasa masamnya, berbanding produk lain yang lagi rasa masam asam jawa (Ladies Collagen). Innershine rasa masam buah camu-camu sahaja. 
Harga pasaran untuk 6 botol RM 28.90 dan untuk 12 botol RM 57.90. Berat satu botol 42 gram. Harga boleh dapat murah, ikut pasaraya. Pandai-pandailah korang pilih. Sha tengok kat Aeon (Jaya Jusco nama lamanya) pada 13 Jun 2014, harga seperti di atas. Tapi Sha tengok kat Big Aeon harganya lebih murah. Pek kecil (6 botol) hanyalah RM26.90 manakala yang besar RM54.90. Murahlah berbanding harga asal.
Perubahan magik yang Innershine Prun dan Camu-camu lakukan kepada diriku:

Hari pertama, minum malam sebelum tidur, tak dapat tidur dan esok paginya, perut membuang, detox kan? Hehe.
Lusanya, minum awal sikit dalam pukul 9 malam. Tidur, ok saja. Perut ok, tak ada…

Pantang Larang dan Makanan Orang Demam Campak

Nak jaga pemakanan orang demam campak?
Ok, aku ada petua dan tipsnya. Segala yang tertulis di sini adalah keluar dari kepalaku, dan pengalamanku menjaga makanan orang demam campak. Ku abadikan di sini.


Tidak boleh menggoreng
Demam campak ni kita tak boleh nak goreng apa-apa makanan terutamanya guna minyak. Contohnya goreng ikan.

Menumis pun tak boleh tau.

Sebab apa tak boleh? Sebab ia akan merangsang pertumbuhan campak dan buat ianya kemerah-merahan.

Elakkan makanan laut yang gatal
Makanan laut, seperti udang, sotong, kerang elok la dikuarantinkan.. Haha~ Bukan kuarantin la tapi jangan makan makanan tu, k.

Elakkan yang pedas
Cili pun tak boleh makan sebab mengundang kegatalan.


Elakkan yang hitam-hitam seperti gaban perkasa hitam


Kicap dan kopi harus la dijauhi serta merta sebab ia akan menyebabkan berparut hitam. Kalau koko atau milo? Kalau capucinno? Erm, ikut suka korang la.

Aha, aku ada idea, kalau nak putih maka minumlah air soya. Confirm menjadi. Tapi kalau tak jadi, jangan…