Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 17 )]: Episod Ke Taman Cinta

“SAYA tahu cikgu tak bersalah malah tak ada apa pun yang cikgu buat untuk dihukum begitu,” lirih suara Amanda Sofea menikam jantungnya.
“Semua ini rancangan Elly nak malukan cikgu sebab dia dendam pada cikgu.
Ajeerah dengar dia cakap pada kawan-kawannya dia nak kenakan cikgu.”

“Tak mengapalah Sofea. Kalau dia bahagia dapat kenakan cikgu, biarlah. Cikgu redha. Lagipun cikgu dah tak kisah. Masa mula-mula saja cikgu stres, sekarang tak lagi,” akui Rania.



Tidak dinafikan, masa baru kena, bohonglah kalau kata dia boleh menerima suratan itu selapang hari ini. Memang hatinya luka parah, berdarah dan bernanah tetapi dia menerimanya sebagai dugaan. Kalau ikut marah, memang dia sangat marah malah terselit rasa dendam kerana dimalukan sedemikian rupa tapi dia berbalik pada qadak dan qadar Tuhan. Dia banyakkan solat dan doa. Ternyata ayat-ayat yang Allah turunkan hebat sekali.


Bacaan Yasin itu kekuatan dan penawar hati. Selepas insiden yang memalukan itu, boleh dikatakan setiap malam, dia mengaji dan membaca surah Yasin. Kesannya, Alhamdulillah. Hati jadi tenang, jadi makmur manakala dendam dan amarah kian mengendur.

Gadis comel itu merenung sayu ke muka cikgu kesayangannya. Kerana onar Elly Sukaesih, Cikgu Rania tidak lagi mengajar subjek Bahasa Melayu di kelasnya. Digantikan dengan Cikgu Zariha. Baginya itu satu kerugian.



“Tapi saya rasa macam kehilangan cikgu,” Amanda Sofea bongkarkan perasaan hati.

“Cikgu kan masih ada di sekolah ni, kalau Sofea ada apa-apa masalah, datang jumpa cikgu.”

“Boleh cikgu?” Terentang sejalur cahaya di wajahnya.

“Boleh. Tak ada masalah. Bila-bila saja Sofea boleh jumpa cikgu.”
“Cikgu tak benci kami atas apa yang berlaku?”

Rania pegang tangan Amanda Sofea. Kepalanya digelengkan. “Peristiwa yang berlaku itu sebenarnya buat cikgu makin kuat dan tabah.”

Wajah suram Amanda Sofea berubah rona. Dia bahagia mendengar kata-kata positif daripada Cikgu Rania. Bagi Rania pula, peristiwa memalukan itu tidak dijadikan kudis buta. Sokongan jitu daripada para guru membakar semangat juangnya untuk tidak patah semangat diuji dengan dugaan sedemikian. Malah kebanyakan guru tidak bersetuju dengan cara Puan Roziah menyelesaikan masalah.

“Cara Puan Roziah buat tak betul. Mana boleh dia dengar sebelah pihak,” protes Datin Nazari.

“Alah, takkan you tak kenal Roziah tu,” potong Mastura.

“Tak apalah. Kita positifkan tindakan dia. Dia kata dia tak nak panjangkan kes ni sebab emak Elly tu orang kuat menteri,” Rania meredakan keadaan.

“Akak tetap tak setuju dengan jenis manusia yang menggunakan kuasa untuk makan orang,” pintas Datin Nazari lagi.

“Dia nak menang, nak tunjuk lagak, nak tunjuk kuasa, kita bagi saja,” sahut Mastura.

“Biarkan dia puaskan hati dia.”

“Bukan masalah nak puaskan hati. Dia malas cari pasal dengan ibu bapa,” Rania mencelah.

“Dia tengok pula ibu bapa macam mana,” sindir Mastura selamba.

“Tak apa Kak Mas. Saya dah boleh terima, lagipun Puan Roziah kata dia nak elak kes ini daripada berpanjangan,” akui Rania sejujurnya.

“Betul kata Rania. Yang penting Allah tahu apa yang berlaku kan Rania? Kalau kita panjangkan kes ini, kita hanya mengeruhkan keadaan. Biarlah,” pujuk Puan Maudziah pula.

Rania akur dengan nasihat ketua bidang bahasa. Hanya sehari dua sahaja warga sekolah bercerita tentang kes itu, masuk hari ketiga cerita itu sudah basi lebih-lebih lagi bila berita tentang keputusan peperiksaan SPM diumumkan. Panggilan telefon daripada Ashraf Daniel dan Jennifer melenyapkan rusuh Rania.

Bertambah kembang hatinya apabila kedua-dua pelajar itu menunjukkan slip keputusan peperiksaan mereka kepadanya. Bangga Rania bukan kepalang. Ashraf Daniel mendapat 1A untuk subjek Bahasa Melayu manakala Jennifer pula mendapat 2A. Kedua-dua mereka melompat-lompat kegirangan. Paling membahagiakan Rania dan semua guru, bilangan pelajar lulus dan peratus markah untuk gred A di sekolah tersebut meningkat. Ummar Qayyum tidak lupa menghubungi Rania untuk mengucapkan terima kasih dan tahniah.

“Kita keluar berempat sekali lagi, raikan mereka. Petang ni boleh?” pelawa Ummar Qayyum. “Rasa-rasanya dah lama benar kita tak sempat keluar dan berbual-bual macam dulu.”

Rania maklum akan hal itu tetapi akhir-akhir ini dia sibuk benar dengan bermacam-macam hal dan aktiviti. Kakaknya, Rindu sekeluarga baru sampai dari Melbourne petang semalam untuk meraikan perkahwinan Rais yang akan berlangsung hujung minggu nanti. Masakan hari ini dia mahu keluar pula? Tak manis!
“Setuju?” tanya Ummar Qayyum apabila tiada reaksi daripada Rania.

“Rasanya tak boleh.”

“Sibuk sangat?

“Kakak dengan anak-anak buah I ada di rumah emak I.”

“Okeylah. Hujung minggu macam mana?” pujuk Ummar Qayyum.

“Hujung minggu pun tak boleh juga,” sahut Rania perlahan.

“Kenapa?” tanya Ummar Qayyum tidak mengerti.

“Acap balik US semula bila?” tanya Rania balik tanpa mempedulikan soalan Ummar Qayyum.

“Dua minggu sahaja dia di sini. Ingat nak bawa buah hati jumpa dengan emak I di kampung. Ada Acap meriah sikit,” Ummar Qayyum mengajukan rancangannya.

“Acap dah tahu tentang kita?” tanya Rania setelah diam seketika.

“Belum.”

“Nenek dia tak cakap pada dia?”

“Dengan neneknya pun belum jumpa lagi. I rancang hujung minggu ni, nak balik kampung, bawa you sekali.”

Hari Sabtu majlis rumah Haryati, takkan hari Ahad aku keluar, fikir Rania.

“Jom...” pujuk Ummar Qayyum. Suaranya lembut mendamaikan.

“Nantilah I tengok macam mana.” Rania tidak mahu berjanji takut tak mampu ditunaikan.

“Ada apa hujung minggu ni?”

“Majlis keluarga...”

“Majlis apa?”

“Er...adalah...”

“Tak sudi ajak I?” rayu Ummar Qayyum.

“Majlis kecil-kecil saja, doa selamat,” bohong Rania.

“Tak apalah sayang. Ambil masa you tapi jangan lama sangat ya, nanti emak I di kampung tu curiga dengan I.” lembut suara Ummar Qayyum membuatkan rasa bersalah Rania berlipat ganda.

“Kenapa pula curiga?”

“Hari itu I janji dengan emak I nak bawa you jumpa dia secepat mungkin. Dia tuntut janji tu,” jelas Ummar Qayyum.

“Oh, maaf...”

“Tak apa sayang, jaga diri ya, jangan kerja teruk sangat!” pesan Ummar Qayyum. Talian telefon dimatikan.

Hiba rasa hati Rania mendengar ucapan tulus dan kudus daripada lelaki yang telah berjaya mencuri hatinya. Marahkah Qayyum padaku? Merajukkah dia? Rania melengus. Dibuang mati emak, diluah mati ayah. Bukan niat hati mahu abaikan Ummar Qayyum, tapi keadaan dirinya sekarang memang tidak mengizinkan. Banyak perkara berlaku akhir-akhir ini sehingga beberapa kali panggilan Ummar Qayyum tidak berjawab malah kalau berjawab pun tak lama mana perbualan mereka.

Kalau ikutkan hati, mahu dia ceritakan segala yang berlaku pada Ummar Qayyum tapi banyak sangat aralnya. Walaupun kes Elly Sukaesih sudah selesai tapi hal keluarganya masih lagi jadi rahsia. Dia belum bersedia untuk bercerita pada Ummar Qayyum tentang latar belakang keluarganya tapi hajat dan niat untuk berterus-terang sudah ada.

Barangkali selesai pernikahan Abang Rais, akan aku maklumkan pada Ummar Qayyum hal sebenar dan akan aku luangkan masa untuk Qayyum, putus Rania sendiri dalam perjalanan pulang ke rumah ibu.

Bertemu anak-anak saudara hilang rusuh dan penat yang melanda. Seronok dan terhibur benar dapat berbual dengan Seth dan Isabela yang petah berbahasa Inggeris. Emak dan ayah sangat ceria dikelilingi anak menantu dan cucu-cucu. Dari hari Kak Rindu pulang sehinggalah berlangsungnya majlis pernikahan di rumah Haryati di Cheras, bibir emaknya tak lekang dengan senyum.

Kegembiraan emak berganda menyambut kepulangan Ridzuan yang hampir dua tahun tak ditemukan. Wajah emak berseri-seri. Selesai majlis di rumah keluarga Haryati bersambung pula majlis perkahwinan di sebelah keluarganya. Emak pilih sebuah hotel lima bintang untuk raikan perkahwinan Rais. Perkahwinan Rais gemilang benar. Dalam sibuk melayan para tetamu, senyum emak dan ayah menguntum setiap masa.

“Kahwin Abang Rais dah begini meriah, kahwin Rania esok Abang Is tak tahulah macam mana mama nak buat,” komen Abang Iskandar, suami Kak Rindu melihatkan kemeriahan majlis perkahwinan Rais. Tetamu kehormat dan orang kenamaan berselerak memenuhi meja VVIP.

“Emak minta kepala kereta api Tanah Melayu buat hantaran,” senda Ridzuan membuatkan Kak Rindu tertawa besar.

“Selagi Ren duduk dekat Abang Riz dengan Abang Is ni, selagi itulah Ren jadi mangsa...” ujar Rania diiringi gelak tawa kakak dan abang-abangnya. Beredar daripada kemeriahan, Rania menyusup perlahan di celahan para tetamu yang kebanyakannya daripada golongan kenamaan. Matanya melilau mencari beberapa wajah namun bayang yang dicari tidak kelihatan.

“Tak datangkah?” Bisik Rania sendiri. Air mukanya nampak sedih. Dia memerhatikan ahli keluarganya yang bersalam-salaman dengan tetamu yang keluar masuk. Meriah sungguh. Sesekali pengantin yang berpakaian indah bergandingan menyalami para tetamu.

Rania kerling wajah Abang Rais. Barangkali orang lain tidak menyedari tetapi Rania perasan kegembiraan Abang Rais tak segembira Haryati. Sekali lagi, panjang leher Rania meninjau ke pintu masuk dewan di hotel lima bintang tersebut.

Tak datangkah Kak Ros? Kalau Kak Ros datang, bagaimana perasaan Abang Rais ya? Soalnya sendiri. Teringat juga pada Ummar Qayyum, kalaulah dia tahu abang aku kahwin, tak jemput dia, nahas.

Harap-harap dia tak tahu, doanya sekilas. Rania masih tertunggu-tunggu Kak Ros. Daripada tengah hari tatkala tetamu kehormat memenuhi ruang legar hotel, acara persandingan, persalinan beberapa pakaian dan acara potong kek, sehinggalah akhirnya teman-teman Rais yang telah sepakat datang serentak jam 3 memenuhi ruang pelamin yang indah, bayang Kak Ros tak juga muncul.

Berkali-kali juga dia menelefon tapi tidak berangkat sehinggalah akhirnya dia nampak kelibat seseorang menyorong kerusi roda. Rania menoleh. Berbunga hatinya melihat kehadiran Ros Ilyani. Wanita itu berdiri memandang kagum ke pintu gerbang yang berhias indah dengan ribuan bunga ros hidup berwarna putih. Di depannya kerusi roda yang diduduki Halim.

“Kak Ros,” sapa Rania. Ros Ilyani masih terpinga-pinga. Halim juga.

“Jom Kak Ros. Jumpa mama,” ajak Rania.

“Nanti, nanti. Mama Ren mesti sibuk. Biar dia layan tetamu lain.”

“Kalau begitu, kita makan dulu ya,” Rania mengiringi Kak Ros sambil menolak kerusi Halim ke sebuah meja bulat.

“Hebatnya perkahwinan keluarga Ren, Kak Ros seganlah,” ujar Ros Ilyani sewaktu duduk. Matanya tak lekang daripada memandang sekeliling.

“Jangan nak mengada-ngada Kak Ros. Jom makan dulu,” Rania tidak mempedulikan kekaguman yang terpamer di wajah Kak Ros dan juga Halim. Dia sibuk menyendukkan makanan ke pinggan mereka berdua.

Rania melayan Ros Ilyani bersama Halim dengan sopan. Sewaktu Puan Sri Zalia kebetulan lalu di sisi meja mereka, segera Ros Ilyani menyalami tangan wanita yang dulunya begitu rapat dengannya. Bergenang air mata Puan Sri Zalia melihat Halim di kerusi roda.

“Makan Ros, Halim, auntie nak layan tetamu,” ujar Puan Sri Zalia sewaktu melihat Toh Puan Azenin bersama suami di ambang pintu gerbang. Rania berbisik sesuatu pada Ros Ilyani sebelum dia mengekori ibunya. Kerana asyik memerhatikan pasangan pengantin yang sedang beriringan menyalami para tetamu, Ros Ilyani tidak perasan apa yang dikata Rania.

Hakikatnya fikiran Ros Ilyani berkecamuk. Takkan Haryati itu, hatinya berdetik seraya dikeluarkan kad undangan perkahwinan Rais-Haryati.

“Rais kahwin dengan Yati Sidek anak Mak cik Yatmah,” bisik Ros Ilyani pada Halim.

“Yati orang kampung kita tu?” Halim bertanya balik.

“Haah. Tak sangka!”

“Tak sangka apa! Dia bukan macam Yati dulu. Dia sekarang dah lain. Dah jadi orang hebat. Dah pindah ke bandar. Kecilnya dunia ni. Berjumpa pula dia dengan Rais,” komen Halim. Ros Ilyani sahaja yang masih terkebil-kebil tak percaya.

“Masa baca kad undangan Rais hari tu, terdetik hati akak, sama pula nama bakal isteri Rais dengan nama Yati tapi tak tak sangka pula Yati tu,” Ros Ilyani rasa tak sedap hati.

“Kejap ya, Kak Ros nak tengok pengantin,” ujarnya pada Rania apabila Rania datang balik ke meja mereka.

“Kak Ros nak pergi mana?” tanya Rania pada Halim.

“Nak menyiasat kot,” Halim gelak-gelak kecil.

“Kau ni Halim ada-ada saja.”

“Aku cakap betul,” tekan Halim tapi tak dikisahkan Rania.

Rania masih memerhatikan gerak-geri Kak Ros. Rania yakin baik Rais mahupun Haryati tidak menyedari kehadiran Kak Ros. Dia sibuk melayan tetamu dan rancak berbual dengan teman dan taulan. “Kau macam mana Halim?”

“Aku? Macam nilah,” Halim mencebik. “Hidup atas simpati takdir, atas belas ihsan Kak Ros.”

“Kau cakap apa Halim? Aku tak suka kau salahkan takdir.”

Halim diam. Dia menunduk. “Kau kan tahu riwayat hidup aku. Ada isteri, lari tinggalkan aku. Anak mati. Aku pula cacat, OKU.”

“Jadi apa masalahnya? Yang pergi, biarlah. Kau yang masih hidup dan diberi ruang untuk bernafas di bumi ini harus terus hidup.”

“Aku cacat Ren.” Nada suara Halim keras dalam perlahan.

“Ah, kau tak cacat. Kau yang sengaja buat cacat,” bidas Rania.

“Senanglah kau cakap. Lahir kau di gedung mewah berhamparan permaidani merah, aku? Lahir di kumbah.”

“Astaghfirullahalazim...”

“Hai Ren...” Ada suara memanggilnya. Elok jugalah, kalau tidak, tak habis bertegang urat dengan Halim, fikir Rania tapi sebaik menoleh, Rania mendengus.

Farhan tersenyum lebar. Dia duduk di sebelah Rania. “Apa khabar Ren?” “Baik,” jawab Rania dengan muka tak sudi.

“Susahnya nak jumpa you.”

Rania tidak endahkan.

“Kawan you?” tanya Farhan seraya dihulurkan tangan pada Halim.

“Rania angguk dan memperkenal mereka berdua.

“Meriah benar perkahwinan Abang Rais,” ujar Farhan. Rania tidak berkutik. Farhan di sebelah kirinya manakala Halim di sebelah kanan. Dia rasa canggung diapit oleh dua lelaki duda. Kasihan! Baru saja berkahwin sudah bercerai-berai mengalahkan artis Malaysia.

Farhan banyak bertanya manakala Halim diam seribu bahasa. Rania nampak kelibat Rais bersama isterinya menghampiri sebuah meja bersebelahan meja mereka. Rania mencari Kak Ros tapi bayangnya tak nampak.

“Selamat pengantin baru.” Bergema beberapa suara dari arah belakangnya. Barangkali kawan-kawan Rais yang baru sampai. Kemudian disambut pula oleh Rais dengan menyebut beberapa nama. Satu nama yang disebut Rais hampir menyebabkan dia tersedak. Ringan kepalanya mahu menoleh tapi ditahankan hatinya. Kerana dia membelakangi kelompok teman-teman, dikeraskan tubuh tapi perasaan ingin tahu begitu menggelodak.

Gelak tawa yang sesekali tersambar dek telinganya juga biasa. Dan, yang paling menarik aroma yang menusuk di hidungnya seakan biasa dihidu. Masakan dia? Atau pelanduk dua serupa, terlintas di fikiran Rania. Namun tenteramnya tidak lama. Suara dan bau itu sangat mengganggunya. Kerana teruja ingin tahu, perlahan-lahan, Rania menolak kaki kerusi ke belakang dan mengerling ke sisi kanannya. Demi terpandang satu wajah, berderau darah Rania naik ke muka.

“Ya Allah! Ummar Qayyum? Dari mana dia datang?” Wajahnya mendadak pucat lesi tidak berdarah.

Oleh Samsiah Mohd Nor
Sumber: Metro

Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pantang Larang dan Makanan Orang Demam Campak

Air kelapa sangat bagus untuk demam campak Nak jaga pemakanan orang demam campak? Ok, aku ada petua dan tipsnya. Segala yang tertulis di sini adalah keluar dari kepalaku, dan pengalamanku menjaga makanan orang demam campak. Ku abadikan di sini. 1. Tidak boleh menggoreng Demam campak ni kita tak boleh nak goreng apa-apa makanan terutamanya guna minyak. Contohnya goreng ikan. Menumis pun tak boleh tau. Sebab apa tak boleh? Sebab ia akan merangsang pertumbuhan campak dan buat ianya kemerah-merahan. 2. Elakkan makanan laut yang gatal Makanan laut, seperti udang, sotong, kerang elok la dikuarantinkan.. Haha~ Bukan kuarantin la tapi jangan makan makanan tu, k. 3. Elakkan yang pedas Cili pun tak boleh makan sebab mengundang kegatalan. Aku ada baca, sup ayam ni bila dibuat sup akan mengeluarkan satu pati yang berkesan khas untuk menyembuhkan demam. Korang letak bawang merah, bawang besar dan bawang putih. Lagi sedap bawang putih tu, tak dipotong, hanya buang kulit, ba

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru, jom kita gali ilmu. Sha dapat dari kawan-kawan bundle juga. ✔ Bale – Ketul, guni atau tokol pakaian/beg/kasut dan lain-lain. Kain 100 – Baju/pakaian yang 100% kapas. Kain Samah – Baju yang diadun dengan 2 material. 50 cotton +50 polyster (poly). 3 kain – Baju diadun dengan 3 material. Cotton + Poly + Rayon. 3 suku / Raglan / 3q – Baju yang mempunyai lengan bersambung dari leher berakhir di siku. Kain sambung – Lengan baju disambung dengan lengan warna lain, contohnya Rolling Stone Tour Euro82, Iron Maiden ‘aces high’ lengan camo. Ada juga kain sambung di dada. Contohnya Hawaii bernombor. Camo – Celoreng Ringer – Baju yang mempunyai warna/getah pada hujung lengan dan leher. Kain pasir / kain bulu katu – Merujuk seluar Lee,Wrangler,Levis era 70/80/90 an. Combo – Jualan melebihi sehelai dengan 1 harga. Single stich – Jahitan satu garisan sama ada pada lengan atau bawah baju. Biasa pada baju vintage.

Tips Pakaian Untuk Konvo

Gambar konvo! =) Assalamualaikum. Apa yang korang perlu ada untuk pakai pakaian konvo? Aku ada sedikit panduan. Top to toe 1. Kasut Lelaki kena pakai kasut kulit (kulit warna gelap –seelok-eloknya warna hitam) Ala, tak mahal pun ada jer yang murah. Perempuan pula kena pakai kasut bertutup, hitam atau warna gelap seakan-akan hitam. Kasut tu mestilah nampak formal. Tak boleh ada lubang-lubang macam kasut Cinderalella. Orang perempuan mesti tau kasut Cinderalela tu macam mana. Kasut Cinderalela tu adalah kasut plastic nipis dan ada lubang-lubang.   Sila beri perhatian, kasut adalah penting. Tak boleh pakai sandal dan selipar. Stoking tak apa, kurang diberi perhatian (bagi perempuan sahaja). Boleh pakai stoking atau tidak. Lelaki kena pakai stoking. Mesti warna gelap, jangan pakai stoking putih pula, sangat pelik. Bagi mereka yang jarang pakai kasut tertutup macam aku ni, boleh juga bawa sandal atau kasut yang selesa untuk digantikan apabila perlu . Ta

Open Tracker