Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 14)]: Bintang Jadi Saksi

BANYAK rahsia yang tersembunyi rupa-rupanya! Kalau tak dibongkar Rania sudah pasti sampai sekarang dia tidak tahu cerita yang terselindung di sebalik kabut silam. Kasihan Ros Ilyani, dia masih bersendirian pada saat aku sudah pun mendapat pengganti.

Lebih malang, kukira Ros Ilyani sudah bernikah padahal dia masih sendiri. Daripada Rania, banyak cerita tentang Ros Ilyani dan Halim diketahui. Yang menjadi tanda tanya pada dirinya ialah mengapa dulu Ros Ilyani berubah tiba-tiba? Tanpa alasan kuat, dia minta hubungan diputuskan. Tiada jodoh, tuturnya. Semudah itu kata dilafaz?


Bukan dia tidak mencari Ros Ilyani, tetapi mereka sekeluarga telah berpindah. Khabar terakhir yang dia dapat ialah Ros Ilyani sudah berkahwin. Barangkali si penyampai cerita sudah keliru. Yang kahwin ialah Halim, adik Ros Ilyani dan bukan Ros Ilyani.

Apa yang mampu aku buat? Aku harus pasrah walaupun hati bagai disiat-siat mendengar berita pernikahan tersebut. Nasib baik ada Haryati. Walaupun Haryati sudah lama dikenali tapi mereka mulai rapat selepas berita Ros Ilyani berkahwin disampaikan padanya. Haryati kini sah menjadi tunangannya dan sedikit masa lagi mereka akan dijabkabulkan. Alih-alih dapat berita Ros Ilyani belum bernikah.






Sihat dan sejahterakah Ros Ilyani? Walaupun menurut Rania, Ros Ilyani reda dengan apa yang berlaku tapi jauh di sudut hati Rais, tetap terpercik rasa bersalah. Hati pula masih bergetar tiap kali kenangan bersama Ros Ilyani singgah di laman hati.

Sejak mengetahui duduk perkara yang sebenar, Rais jadi gelisah. Perasaannya libang libu. Perlukah dia menziarahi Ros Ilyani untuk bertanya khabar dan menjenguk Halim yang tidak sihat? Kalau Haryati dapat tahu bagaimana pula? Sampai sekarang cerita tentang Ros Ilyani tidak dimaklumkan pada Haryati.

"Bang, jom makan," ajak Rania sewaktu melintasi Rais. Punah ingatan Rais. Sambil mencapai akhbar, Rais menuju ke meja makan. Rania pula menghala ke dapur dan muncul semula dengan sepinggan besar cekodok udang yang masih berasap.

"Cekodok ni Ren yang buat."

Wajah Rania bercahaya. Rais angguk cuma. Dalam pada itu, dia teruja melihat gerak pantas Rania. Baru sekarang dia perasan Rania banyak berubah. Dulu, dia jarang menjengah dapur tapi sekarang sudah mahir memasak.

"Sedap?" tanya Puan Sri Zalia. Dia duduk di sebelah Rais.

"Ehm, sedap ma, pandai Ren masak."

"Sekarang dia dah hebat di dapur. Pandai masak. Ayah kamu bukan main suka makan masak tempoyak ikan patin yang Ren buat," pujian ibunya melambung. Rais tumpang gembira. Kemudian ibu mengajak Rais menyaingi mereka ke pangsapuri Rania.

"Ren dah pindah ke sana ke?"

"Tidaklah pindah. Dia buat rumah hinggap. Pangsapuri dekat sekolah. Senang dia nak ulang-alik sesekali kalau ada aktiviti di sekolah," jelas ibunya.

Lepas itu, melaratlah cerita ibu. Banyaknya cerita tentang Rania. Mendengar cerita ibunya, terselit rasa kagum Rais pada sang adik. Adik yang dulunya begitu rapat dengannya tapi kini masing-masing seperti aur dalam belukar. Kenapa jadi begitu?

Sejak Rania pulang ke Semenanjung, hubungan mereka jadi dingin. Sebab dia bertunang dengan Haryatikah? Atau sebab lain? Marahkah Rania bila dia putus kasih dengan Ros Ilyani?

"Dulu kecewa juga tapi sekarang Ren dah boleh terima lebih-lebih lagi Ren dah tahu duduk perkara sebenar. Lagipun ada Kak Haryati pula sekarang, rumit nanti..."

Penjelasan Rania melegakan Rais.

"Terima kasih kerana Ren memahami," Rais renung adiknya.

"Oh ya petang nanti, abang nak ikut ke pangsapuri Ren," sambung Rais.

Jauh di sudut hati, dia sangat berharap agar hubungannya dengan Rania mesra kembali.

"Oh ya ke? Terima kasih bang," Rania senyum manja.

Senang hati Puan Sri Zalia melihat kemesraan hubungan abang adik kembali berputik. Irama lagu "Biar Bulan Bicara Sendiri" bergema daripada telefon bimbit Rania. Diintai Rania. Ummar Qayyum yang menelefon. Rais nampak wajah adiknya bercahaya. Rania pandang ibu dengan abangnya bergantian sebelum dia minta diri.

"Tengah buat apa tadi?" suara Ummar Qayyum bergema.

"Sedang sembang dengan abang."

"Abang? Abang betul ke abang sayang?"

"Hah?" Rania kurang mengerti.

"Abang yang mana?"

"Abang I lah. Abang nombor dua."

"Owh! Ada banyak abang!"

"Kenapa?"

"Dah agak lama kita 'berkasih', baru tahu you ada abang."

Terkejut besar Rania mendengarnya. "Berkasih?"

"Kenapa? Tak boleh berkasih dengan you?" giat Ummar Qayyum. Meskipun seperti bergurau, hakikatnya secara tidak sengaja, dia ingin menyampaikan sesuatu - tentang isi hatinya.

Untuk menghilangkan debar yang bergembur, Rania tertawa geli hati.

"Tertawa pula!"

"Habis nak kata apa?" potong Rania.

"Okey, I faham. Terima kasih sayang ... terima I," dengan selamba, sekali lagi lelaki itu meletuskan ucapan sesuka hatinya.

"Sama-sama," sahut Rania bersenda juga.

"Sama-sama apa? Sama-sama kasih?" tak jemu dia mengusik Rania.

"Apa-apa sajalah, asal you bahagia, I tumpang bahagia!"

"Indahnya kata-kata you, menyegarkan pagi I. Umpama air terjun yang bernyanyi di telinga."

Rania diam seketika. Hilang punca.

"Boleh tanya lagi?"

"Tanyalah."

"Selain abang, siapa lagi adik-beradik you? Ibu bapa you?" korek Ummar Qayyum.

"Er...er,"

"Tak sudi beritahu?"

"Bukan tak sudi..."

"Belum bersedia? Tak apa. Ambil masa you. I perlu hormati hak peribadi you bukan?"

"Bukan tak nak beritahu, cuma..."

"Cuma apa?"

"Nak dapat informasi tentang you pun susah juga," Rania sorong papan.

"Laa, cakap pada I apa you nak tahu?" cabar Ummar Qayyum. "Sekarang juga I jawab."

"Errr...," Rania teragak-agak. Kalau ikut hati mahu saja ditanya tentang Murni, tapi aduhai, malulah pula. Nampak sangat aku cemburu padahal antara aku dengan Qayyum bukan ada apa-apa ikatan pun.

"Tanyalah...," desak Ummar Qayyum.

"La, lupalah pula."

"Buat-buat lupa ya."

"Betul. I lupa."

"Bila-bila you ingat, terus tanya I ya!"

"Insya-Allah..."

"Tahu kenapa I telefon you?"

"Tak tahu. Kenapa?"

"Ada yang suruh."

"Siapa?"

"Hati I. Dia rindu pada you...," Qayyum senyum seorang diri.

Tak tentu arah Rania dibuatnya. Ummar Qayyum nakal sekali! Rania kerling ibu dengan abangnya yang nampak sibuk mahu tahu.

"Er Encik Qayyum, I ada kerja, kita sambung nanti boleh?"

"Eh, I baru nak mukadimah, you dah nak noktahkan."

"I ada kerja, nanti kita sambung balik ya...," ujar Rania terbata-bata. Tak boleh ikut rentaknya. Nanti aku nampak macam gila bayang.

"Kenapa? Abang you tengah curi-curi dengar?"

Rania terkedu. Mana dia tahu? Bijak sekali dia menduga. Rania selalu mati akal dengan lelaki yang terlebih akal itu.

"Kenapa diam? Betul ke tekaan I tu?"

"Taklah."

"Okey, nak minta tolong..."

"Apa dia?"

"Lain kali, jangan sebut Encik Qayyum ya."

"Habis nak panggil apa? Panggil Pak Ucu?" Rania tertawa sinis. Kali ini dia pula dapat peluang menyakat lelaki itu.

"Lebih baik daripada berencik-encik."

"Baik Pak Ucu," tawa Rania masih bersisa.

"Okeylah Mak Ucu! I tak nak ganggu Mak Ucu I. Anyway, terima kasih kerana sudi menjawab panggilan I. Kita berbual lagi kemudian ya." Talian dimatikan.

Mak Ucu? Kurang asam! Pandai dia mengenakan aku balik. Hendak tergelak juga tapi ditahan sahaja tatkala menyedari mata ibu dan abangnya sedang menelusuri langkah.

"Cakap dengan siapa tadi?" tanya Puan Sri Zalia. Dia memandang tepat ke mata Rania. Mencari jawapan di situ. Direnung begitu, Rania kalah.

"Dengan kawan."

"Kawan mana?"

"Kawan baru di sekolah?" Rais menyampuk.

Rania tidak tahu mahu menjawab apa.

"Bukan Farhan kan?" soal Puan Sri Zalia.

"Kalau dia, Ren tak jawab."

"Eh, kenapa pula. Apa salahnya?"

"Ren tak suka dia ma..."

"Kalau bukan Farhan, siapa?" tanya Puan Sri Zalia.

Memang dia perasan, kebelakangan ini Rania selalu dihubungi seseorang. Siapa agaknya? Bisik Puan Sri Zalia sendiri.

"Kawan lain," Rania masih mahu berahsia. Belum masanya untuk bercerita pada mama.

"Kalau Ren dah ada kawan special, bawalah jumpa mama. Mama nak kenal."

Kawan special? Aku belum pasti, kata hati kecilnya

"Patutlah akhir-akhir ni rajin sangat di dapur, rupa-rupanya dah ada mambang," usik Puan Sri Zalia.

Merah padam muka Rania digiat sedemikian.

**********

BERBEZA dengan situasi Rania, lain pula dengan Ummar Qayyum. Senyumnya masih meleret. Riang benar rasa hati dapat menyakat Rania. Hujung minggu sejak kebelakangan ini agak membosankan. Sewaktu Asyraf Daniel tinggal bersamanya tidak terasa sangat tapi sejak anak buahnya dibawa Bakhtiar ke Los Angeles, hidupnya terasa kosong dan hambar.

Ranialah tempatnya mengusik. Kalau ikutkan hati mahu mengajak Rania keluar setiap minggu tapi pelik pula sebab antara mereka belum ada ikatan yang pasti. Mahu ke rumahnya tak tahu arah mana. Rania bukan macam gadis biasa yang mudah sahaja mendedahkan identiti diri. Siapa dia sebenarnya ya?

Kenapa dia sangat berahsia? Siapa ibu ayahnya? Di mana rumahnya? Kampung halamannya? Semua dia tidak tahu. Satu-satu tempat yang selalu dituju bila bosan membelenggu ialah di Kampung Daun Pisang, kampung ibunya.

Tapi kini situasi sudah berbeza. Selepas putusnya hubungan antara dirinya dengan Murni, ibu nampak memendam perasaan. Murni pula walaupun masih bertandang di rumah ibu tapi tidak sekerap dulu.

Kasihan ibu, sendirian di kampung kini. Dulu ada Murni dan Ashraf Daniel menemani tapi sekarang dua-dua sudah hilang. Ada baiknya aku pulang ziarah ibu. Tidak kiralah bagaimana penerimaan ibu, aku harus pulang. Tanpa melengahkan masa, Ummar Qayyum kemaskan beg pakaian dan selepas itu kereta mewahnya meluncur laju menuju destinasi biasa.

Dalam rajuk-rajuk ibu, kepulangan anak bongsu disambut dengan senyum sehiris. Tangan tua ibunya dikucup Ummar Qayyum.

"Sihat mak?" tanya Ummar Qayyum. Wajah ibu celung sedikit.

"Sihat cuma sepi tak macam dulu."

Ummar Qayyum ke dapur. Buka tudung saji dan dilihat ada masak lemak pucuk paku.

"Ada ikan kering?" tanya Ummar Qayyum. Tak dicanda rintihan ibu takut melarat pula nanti.

"Ada. Belum bergoreng. Nanti emak goreng," sahut Nenek Ninda.

Ditenggek kuali atas dapur sedang Ummar Qayyum bergerak ke anjung belakang. Emak baru panggil tukang buat anjung. Besar sekali anjung tersebut. Anjung beratap gentian ringan tanpa dinding. Ummar Qayyum mengira pula bilik-bilik yang ada dalam rumah tersebut. Ada enam semuanya. Besar-besar pula. Mahu tak bosan ibu duduk sendirian dalam rumah yang sebesar itu.

Tapi waktu Bakhtiar sekeluarga pulang, meriah dan gamat rumah ibu. Bukan main gembira anak-anak Bakhtiar waktu pulang baru-baru ini. Kata mereka rumah nenek unik. Bila nenek pelawa tinggal, cepat-cepat isteri Bakhtiar menolak. Berubah air muka emak sedang Bakhtiar buat muka bodoh.

Kasihan emak!

Bau ikan goreng menyengat hidung Ummar Qayyum. Seleranya makin menjadi-jadi.

"Kalau Murni ada, dialah yang menggoreng ikan kering. Dimasukkan penuh sebotol. Tahan setengah bulan," imbas emak. Diselaknya satu-persatu kenangan bersama Murni. Sambil itu disendukkan nasi ke pinggan Ummar Qayyum.

"Emak makan sekali?" Ummar tukar topik. Dicancang nostalgia ibu.

"Emak dah makan tadi," Nenek Ninda lempar pandang segenap ruang yang dapat disapu mata tuanya.

"Sejak Murni patah hati, dia jarang berkunjung ke sini, emak rasa rumah ni jadi hambar," Nenek Ninda luah luka di jiwa.

Dalam dicanda, rasa bersalah menunda jua. Ummar Qayyum menekuni nasi di pinggan.

"Acap pun dah diambil ayahnya." Kesal bunyi suara Nenek Ninda. Ummar Qayyum makan dengan berselera.

"Bila kamu nak bawa kawan kamu datang jumpa emak?" tanya Nenek Ninda tiba-tiba. Tersedak Ummar Qayyum dibuatnya. Emak unjuk air suam pada anak. Ummar Qayyum capai dan teguk. Matanya nampak perit.

"Tersedak pula! Ada orang menyebut agaknya."

Sakit rasa dadanya bila tersedak mendadak begitu. Ummar Qayyum usap dadanya.

"Boleh bawa teman kamu jumpa emak. Emak nak kenal."

Putih mata Ummar Qayyum pandang emaknya. Teringat pula akan kata-kata ibunya dulu, "Kamu ni burung terbang dipipiskan lada."

Janganlah aku menerima nasib seperti peribahasa Melayu itu, fikirnya tapi dalam hati dia sudah merancang sesuatu.

Sesudah Isyak, tanpa ragu-ragu dia menelefon Rania. Banyak hal yang tak berkenaan dibualkan sebelum dia sampai ke tujuan asal. Suara yang mulanya mendatar berubah romantis. Sunyi di kamar membangkitkan suasana yang sukar dimengerti. Gelora di hati lain pula rentaknya.

"I nak buat pengakuan," akhirnya dia berkata.

Dada Rania bergetar. Sunyi pun berumbu-rumbu datang. Suasana jadi hening tiga ratus enam puluh darjah seolah-olah dalam dunia itu hanya tinggal mereka berdua.

"Dah lama I pendam," tambah Ummar Qayyum bila sepi kian menguasai.

Berbicaralah Qayyum. Aku sedang mendengar. Hanya telinga yang mampu kuberi tapi tidak kata kerana di kala ini lidahku kelu amat. Bagai seaksara huruf pun tak bisa kupintal menjadi sebuah kata.

Sepi kian mendominasi. Rania kaku di kerusi. Dapat diduga ada sesuatu yang sangat penting mahu diucapkan oleh Ummar Qayyum. Dengus Ummar Qayyum meresap masuk ke telinganya, merangkak ke jiwa. Perlahan, dia bangkit menuju ke katil. Dia duduk di birai. Tangan kanannya membuka laci dengan perlahan sekali. Dikeluarkan tasbih pemberian nenek. Tasbih kayu kokka, kata nenek. Dihitung di hujung jarinya, tasbih berlari. Dalam hatinya, zikir pun bernyanyi. Saat-saat hati berkocak sedemikian, dia perlukan pertolongan Allah kerana rasa hatinya terlalu aneh kini!

Ya Allah, tunjukkan pada aku melalui gerak hatiku. Hanya pada Kau aku memohon.

"Seikhlasnya, I nak sunting you jadi suri hidup I."

Mata Rania terpejam. Langit malam seperti menyanyi-nyanyi. Lagunya dari buluh perindu. Iramanya dari ayat-ayat kalbu. Aduhai.

"Sudi?"

Hanya helaan nafas Rania yang terdengar di telinga Ummar Qayyum.

"Rania,..." suara itu merdu seperti nyanyian ombak.

"I dengar," dan suaranya seperti pasir. Pasir yang berbisik di pesisir.

"You sudi?"

"Ya..."

Sinkof itu sudah cukup bermakna. Ummar Qayyum melepaskan sebuah desah. Nikmatnya malam nan sepi. Ummar Qayyum pandang langit yang bertaburan bintang.

"Terima kasih sayang kerana sudi menerima cinta ini."

Rania melihat langit yang sama. Bintang berkelip-kelip di dada malam.

Dua hati bersatu di sana!


Oleh Samsiah Mohd Nor
Sumber: Metro

Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pantang Larang dan Makanan Orang Demam Campak

Air kelapa sangat bagus untuk demam campak Nak jaga pemakanan orang demam campak? Ok, aku ada petua dan tipsnya. Segala yang tertulis di sini adalah keluar dari kepalaku, dan pengalamanku menjaga makanan orang demam campak. Ku abadikan di sini. 1. Tidak boleh menggoreng Demam campak ni kita tak boleh nak goreng apa-apa makanan terutamanya guna minyak. Contohnya goreng ikan. Menumis pun tak boleh tau. Sebab apa tak boleh? Sebab ia akan merangsang pertumbuhan campak dan buat ianya kemerah-merahan. 2. Elakkan makanan laut yang gatal Makanan laut, seperti udang, sotong, kerang elok la dikuarantinkan.. Haha~ Bukan kuarantin la tapi jangan makan makanan tu, k. 3. Elakkan yang pedas Cili pun tak boleh makan sebab mengundang kegatalan. Aku ada baca, sup ayam ni bila dibuat sup akan mengeluarkan satu pati yang berkesan khas untuk menyembuhkan demam. Korang letak bawang merah, bawang besar dan bawang putih. Lagi sedap bawang putih tu, tak dipotong, hanya buang kulit, ba

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru, jom kita gali ilmu. Sha dapat dari kawan-kawan bundle juga. ✔ Bale – Ketul, guni atau tokol pakaian/beg/kasut dan lain-lain. Kain 100 – Baju/pakaian yang 100% kapas. Kain Samah – Baju yang diadun dengan 2 material. 50 cotton +50 polyster (poly). 3 kain – Baju diadun dengan 3 material. Cotton + Poly + Rayon. 3 suku / Raglan / 3q – Baju yang mempunyai lengan bersambung dari leher berakhir di siku. Kain sambung – Lengan baju disambung dengan lengan warna lain, contohnya Rolling Stone Tour Euro82, Iron Maiden ‘aces high’ lengan camo. Ada juga kain sambung di dada. Contohnya Hawaii bernombor. Camo – Celoreng Ringer – Baju yang mempunyai warna/getah pada hujung lengan dan leher. Kain pasir / kain bulu katu – Merujuk seluar Lee,Wrangler,Levis era 70/80/90 an. Combo – Jualan melebihi sehelai dengan 1 harga. Single stich – Jahitan satu garisan sama ada pada lengan atau bawah baju. Biasa pada baju vintage.

Tips Pakaian Untuk Konvo

Gambar konvo! =) Assalamualaikum. Apa yang korang perlu ada untuk pakai pakaian konvo? Aku ada sedikit panduan. Top to toe 1. Kasut Lelaki kena pakai kasut kulit (kulit warna gelap –seelok-eloknya warna hitam) Ala, tak mahal pun ada jer yang murah. Perempuan pula kena pakai kasut bertutup, hitam atau warna gelap seakan-akan hitam. Kasut tu mestilah nampak formal. Tak boleh ada lubang-lubang macam kasut Cinderalella. Orang perempuan mesti tau kasut Cinderalela tu macam mana. Kasut Cinderalela tu adalah kasut plastic nipis dan ada lubang-lubang.   Sila beri perhatian, kasut adalah penting. Tak boleh pakai sandal dan selipar. Stoking tak apa, kurang diberi perhatian (bagi perempuan sahaja). Boleh pakai stoking atau tidak. Lelaki kena pakai stoking. Mesti warna gelap, jangan pakai stoking putih pula, sangat pelik. Bagi mereka yang jarang pakai kasut tertutup macam aku ni, boleh juga bawa sandal atau kasut yang selesa untuk digantikan apabila perlu . Ta

Open Tracker