Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 13)]: Datanglah Embun Sirami Hati!

"NENEK Ninda yang suruh telefon. Katanya ada hal penting yang abang nak bincangkan. Apa halnya bang? Hal kitakah?" Murni memberi penjelasan.

Ngilu rasa jantung hati mendengar ungkapan Murni. Naif bunyinya. Ummar Qayyum mengerling Rania. Dia dapat mengagak Rania mencuri pandang ke arahnya.


"Memang ada hal yang abang nak bincangkan tapi bukan sekarang."

"Bila?"


"Murni tunggu abang balik."

"Tak boleh cakap melalui telefon?"

Ummar Qayyum diam sejenak. "Abang kira lebih baik kita bercakap berdepan."



   

"Penting ke abang?"

"Nanti abang telefon balik."

"Murni rasa tak sedap hati. Abang di mana ni?"

"Abang di...."

"Di pantai kan?"

Terkejut Ummar Qayyum mendengarnya. Dia serba-salah.

"Baru saja Murni telefon Acap. Dia yang kata abang ada di pantai dengannya."

Ummar Qayyum melempar pandang pada Ashraf Daniel yang sedang melakar sesuatu di pasir pantai. Mudah-mudahan Acap tidak nyatakan bahawa bersama mereka ada Rania. Bukan dia mahu berahsia tapi buat sementara waktu biarlah keadaan terkawal dulu.

Kalau boleh dia tidak mahu melukakan hati Murni sekali gus tidak mahu melibatkan Rania dalam kemelut antara dia dengan Murni.

Rania tidak bersangkut-paut dalam hal ini. Hal ini tiada kaitan dengan Rania. Kalau tiada Rania pun, aku tetap tidak boleh menikahi Murni kerana dia telah kuanggap sebagai adik sendiri. Cuma silapku kerana tidak berterus-terang pada emak.

Kenapa? Aku pun tidak tahu. Barangkali kerana aku menyangka emak tidak serius mahu menjodohkan aku dengan Murni.

Barangkali aku kira cakap emak hanya gurauan kosong yang tidak membawa erti apa-apa.

Ummar Qayyum duduk di sebelahnya semula selepas talian telefon dimatikan. Rania mendiamkan diri. Kedekatan jarak antara mereka membuatkannya resah. Harum bau minyak wangi yang dipakai Ummar Qayyum mencetuskan suatu perasaan yang aneh. Rasa berdebar beriak dalam dirinya.

Dia beranjak sedikit. Jauh di sudut hati, mahu saja dia menanyai isi perbualan Ummar Qayyum tadi namun tidak tergamak. Ummar Qayyum pula mencetuskan topik lain walaupun Rania perasan gusar di wajahnya. Sehingga detik untuk pulang, hal ini habis begitu sahaja.

Sebelum jam enam petang, Rania sudah pun dihantar Ummar Qayyum ke Kompleks Warisan.

"I temankan you balik. I ikut belakang ya." Pelawa Ummar Qayyum.

"Tak payah, tak payah, I boleh balik sendiri."

"I cuma nak pastikan you selamat sampai ke rumah."

"Insya-Allah selamat. Sampai nanti, I mesej pada you," tegas Rania.

Mendengar itu, Ummar Qayyum terpaksa akur walaupun jauh di sudut hati, dia berasa bertanggungjawab memastikan gadis itu selamat sampai di rumahnya.

"Kita terus ke rumah nenek," kata Ummar Qayyum selepas mereka menghantar Jennifer.

"Kenapa tiba-tiba nak ke rumah nenek?" tanya Ashraf Daniel.

"Ada hal sikit. Tadi Kak Murni telefon Acap?"

"Ha'a. Dia tanya di mana? Acap cakap di pantai."

"Acap cakap tak ada Cikgu Rania sekali?"

"Tak."

Lega rasanya mendengar ungkapan Ashraf Daniel.

"Boleh Acap tanya sesuatu?"

Ummar Qayyum mengerling sekilas pada anak buah yang disayangi itu.

"Pak Ucu suka pada Cikgu Rania ya?"

Berderau darah Ummar Qayyum naik ke muka. Pemanduan diteruskan. Soalan Ashraf Daniel dibiarkan seketika.

"Kalau Pak Ucu suka, Acap pun suka," jawapan daripada anak saudaranya itu membuahkan sejuring senyum di bibir Ummar Qayyum.

"Tapi Pak Ucu kena berterus-terang dengan Kak Murni. Selagi Pak Ucu tak berterus-terang selagi itulah masalah Pak Ucu tak selesai."

Kalimat yang bernas keluar dari mulut Ashraf Daniel itulah sebenarnya yang mahu dilakukan oleh Ummar Qayyum. Memang dia mahu berterus-terang dengan Murni dan kerana itulah dia mengajak Ashraf Daniel pulang ke kampung. Kawan baiknya Yusree pun pernah berpesan demikian. Mungkin betul agaknya, kelemahan aku ini kerana sukar berterus-terang, fikir Ummar Qayyum.

Kerana itulah, Ummar Qayyum terpaksa menguatkan hati untuk berterus-terang dengan Murni. Selesai solat berjemaah di rumah ibunya, Ummar Qayyum duduk menyaingi Nenek Ninda, Ashraf Daniel dan Murni menonton televisyen.

Nenek Ninda memberi ruang kepada mereka berdua dengan mengajak Ashraf Daniel menemaninya di dapur. Murni masih dalam telekung putihnya sewaktu Ummar Qayyum memulakan bicara.

Berkelip-kelip mata Murni memandang Ummar Qayyum sewaktu Ummar Qayyum mengatakan bahawa Murni sudah dianggap seperti adik kandung sendiri. Air mata Murni bergenang jatuh membasahi wajahnya pada kala Ummar Qayyum menjelaskan bahawa dia tidak dapat meneruskan hajat dan perancangan yang dibuat oleh ibunya.

"Maksud abang, abang tak sudi menerima Murni?" Bibir Murni bergetar.

"Murni tetap adik abang dunia akhirat..."

Murni menangis teresak-esak. Wajahnya basah bersimbah air mata. Nenek Ninda yang menyorok di belakang dapur mengintai dari celah pintu. Hatinya hiba melihat wajah kecewa Murni.

"Murni dah bincang dengan abang di Chenor..." Dalam sendu Murni menjelaskan duduk sebenar keadaannya.

"Abang minta maaf banyak-banyak Murni. Abang keliru dengan perancangan emak abang."

Murni tetap menangis. Tubuhnya terhinjut-hinjut. Mulutnya ditutup dengan sekepal jari-jemarinya. Sesekali dia menyapu air mata yang mengalir laju tanpa dapat ditahan-tahan.

"Abang dah ada ...pilihan sendiri?" Dalam sendu tangis, anak gadis itu bertanya. Ummar Qayyum anggukkan kepalanya. Mendadak ingatan Ummar Qayyum melayang pada Rania.

******

JIWA jadi gundah-gulana. Lintang pukang sejak semalam, sejak kelmarin dan sejak kelmarin kelmarin pun. Dada pula berdebar-debar, bergendang-gendang. Sekejap kecut sekejap kembang manakala hati berwalang-walang. Apa yang dibuat serasa serba tak kena. Macam ada sesuatu yang tidak baik berlaku. Yang aneh! Yang pelik! Kenapa hati jadi begini? Kerana Ummar Qayyumkah?

Dalam pada gundah dan berwalang jiwa itu, tidak dibiarkan perasaan tersebut bermaharajalela. Dia sibukkan diri supaya tidak terbelengu dengan simpang siur perasaan sendiri. Akhir-akhir ini untuk melawan rasa durjana itu, dapurlah jadi tempat yang paling disukai.

Dia lampiaskan kacau-bilau yang melanda pada lesung yang dipalu alu. Pada gemerincing bunyi minyak panas menyambar bahan tumisan. Pada gulai kuning yang menggelegak membawa aroma pembuka selera.

"Aku mesti pandai memasak. Harus rajin ke dapur," dalam monolog, Rania seperti berikrar pada diri sendiri.

Dia hendak belajar memasak padahal seumur hidup jarang sekali dia di dapur. Di Sabah dahulu, tahun pertama ada Maskiah. Maskiah yang pernah jadi rakan serumah. Maskiah rajin memasak di dapur. Maskiah yang berasal dari Johor pandai memasak hebat berseloka. Sambil memasak, dia bergurindam. Suaranya merdu mengalunkan irama tradisional.

Tapi sejak Maskiah kembali ke Semenanjung, dapurnya sudah tidak berasap. Kasihan Maya, selalu dia merindui masakan Maskiah tapi malangnya kehebatan Maskiah di dapur tak terjangkau dek dirinya. Sejak bersendirian, dia lebih banyak makan nasi bungkus. Kalau sudah terlalu jemu, paling-paling dia bertanak nasi dan makan dengan telur goreng dadar.

Jauh panggang dari api kalau hendak dibandingkan dengan Maskiah apatah lagi Murni. Murni? Diam-diam pemilik bernama Murni itu mengocak ketenangan jiwanya. Tak pernah dilupa pujian Ashaf Daniel terhadap Murni. Nama Murni bagai mencabar naluri kewanitaannya. Siapa Murni selain sebagai peneman nenek Ashraf Daniel di kampung? Istimewakah dia? Kalau tidak istimewa masakan namanya bergema di bibir Ummar Qayyum sewaktu mereka bersantai di pantai Bagan Lalang baru-baru ini? Lebih dari itu, Ummar Qayyum bergerak agak jauh darinya selepas menerima panggilan telefon daripada Murni. Bercakap bisik-bisik macam berahsia pula!

Cemburukah aku? Fikir Rania sendirian sambil mengacau gulai tempoyak di dalam periuk.

Aku mesti pandai memasak seperti Murni. Aku perlu belajar. Perempuan tak pandai di dapur, apalah maknanya? Aduhai tempang rasa menjadi perempuan kalau tak lincah di dapur.

"Masak apa hari ini?" tegur Puan Sri Zalia. Hampir terlepas senduk di tangan Rania dek terkejut. Orang tengah berangan disergah sedemikian.

"Masak tempoyak ikan patin..." Mak cik Rohaya yang menyahut.

"Ikan patin yang dibawa Pak Mud itu ke?"

"Ya Puan Sri."

"Itu ikan patin sungai Pahang, sedap tu. Kali ini siapa yang masak? Mak cik Yayah ke Ren?"

"Ren yang masak Puan Sri," sahut Mak cik Rohaya.

"Ingatkan Ren jadi tukang mengacau saja," Puan Sri Zalia bergurau.

"Tak. Ren dah makin mahir." Pujian Mak cik Rohaya membuatkan Rania kembang hati.

"Wah, tak sabar mama nak rasa."

Besar hati Rania mendengar ungkapan ibu. Tak susah mana memasak sebenarnya. Mahu atau tak mahu sahaja. Pesan Mak cik Rohaya, kalau masak ikan sungai, tak usah dicampur bawang. Itu resipi orang negeri. Cukup ditumbuk cili padi dengan kunyit hidup. Kemudian dimasukkan serai. Kalau mahu pekat sikit, boleh ditambah sesudu dua pati santan.

Tapi Rania memilih memasak tanpa santan. Dia hanya memasukkan beberapa senduk tempoyak baru dan merasa masakan itu pada setiap masa. Ternampak bunga kantan dan daun kesum yang tumbuh subur di taman belakang, Rania petik secukupnya.

"Makin sedap mama kalau ada bau bunga kantan dengan daun kesum."

"Eh pandai pula anak mama ubah suai resipi. "

"Kena cuba mama, tak cuba tak tahu..." sahut Rania girang sekali tatkala melihat gulai tempoyak sudah membuak dalam periuk. Hilang seketika masalah yang melanda.

"Harum baunya," puji Puan Sri Zalia.

Hatinya berbunga melihat Rania sudah berjinak di dapur. Itu perkembangan baik. Tutur kata Rania sekarang pun sopan benar. Itu yang terbaik bagi seorang wanita. Pulangnya Tan Sri Razlan malam itu, sempat Puan Sri memaklumkan tentang perubahan anak gadis nan seorang.

"Eloklah dia belajar memasak."

"Siapa kata tak elok. Maksud saya, tiba-tiba sahaja berminat ke dapur, mesti ada sebab."

Tan Sri Razlan tidak membalas. Baginya anak gadis mahu ke dapur perkara biasa. Sudah sampai masa, ke dapurlah dia!

"Entah-entah Ren dah ada buah hati," fikir Puan Sri Zalia tak putus-putus.

Dia senyum sendiri. Eloklah, lepas Rais berkahwin, diikuti Rania. Selagi Rania tidak berkahwin, selagi itulah jiwa ibunya kegelisahan. Bukan apa, dia takut Rania tidak mahu berkahwin selepas putus kasih dengan Farhan. Meskipun Rania sering menafikan hal tersebut, jauh di sudut hati Puan Sri Zalia, dia yakin, Farhan menjadi punca Rania patah hati.

"Tak ada kena-mengena dengan Farhan, dia belum bertemu calon yang sesuai," sahut Tan Sri Razlan apabila persoalan itu diajukan padanya.

"Tapi saya risau bang, sampai sekarang Rania masih sendiri. Sibuk dengan kerjaya gurunya sahaja."

"Tak payah nak risau perkara yang tak perlu," Tan Sri Razlan menyanggah.

Meskipun memberi kebebasan pada anak melayari hidup, Tan Sri tak lupa tanggungjawab sebagai ayah. Waktu makan malam bersama-sama, dia bertanya khabar pada anak-anak. Kebetulan Rais ada bersama, makin rancaklah perbualan empat beranak tersebut. Daripada hal Rania, melarat pula ke soal perkahwinan Rais.
"Insya-Allah jadi bulan Februari tahun depan mak," kata Rais.

"Jadi juga bulan dua? Mak ingat nak tunda bulan enam. Kalau bulan enam, abang Ridzuan akan balik lama ke sini. Kalau bulan dua, entah balik, entahkan tidak," ujar Puan Sri Zalia.

"Dulu, mak juga yang nak cepat." Dahi Rais berkerut.

"Itu dulu, sekarang lain pula jadinya. Lagi seronok kalau abang kamu ada di sini. Saudara mara ramai, bolehlah kita kenen-kenenkan abang kamu seorang."

"Tak tahulah mak. Keluarga Haryati nak disegerakan," sahut Rais.

Sambil mendengar perbualan antara ibu dan Rais, Rania pandang wajah abang keduanya lama-lama. Nampak wajah Kak Ros bergayut di situ. Tapi sesak rasa dadanya bila dengar Haryati mahu menyegerakan pernikahan.

Kenangan berempat menunggu buah durian gugur datang berlenggang-lenggang. Seronoknya kalaulah Kak Ros yang jadi kakak iparku, fikirnya dalam keriuhan suara keluarga berbincang tentang pernikahan Rais. Sampai detik itu, tidak seorang pun daripada ahli keluarganya mengetahui bahawa dia pergi berjumpa Kak Ros. Emak tidak tahu, ayah tidak tahu apatah lagi Rais.

Kasihan abang Rais, tanpa dia sedari aku marahkan dia bila hubungan mereka putus padahal Kak Ros yang putuskan. Tiba-tiba rasa ingin tahu dari mulut abang Rais datang menunda-nunda. Bagaimana penerimaan abang Rais agaknya bila Kak Ros putuskan hubungan? Merana? Biasa? Tak Kisah? Dicari atau tidak Kak Ros yang tiba-tiba menghilangkan diri? Kalau dia tahu hal sebenar bagaimana pula? Aku kira, aku perlu maklumkan pada Abang Rais sebab sehingga ke detik itu, dia dengan Abang Rais jarang berbual mesra seperti dahulu apatah lagi menyentuh tentang topik Kak Ros.

"Kenapa setelah sekian lama, baru Ren tanya tentang Kak Ros?" tanya Rais perlahan. Dia sedang duduk-duduk di kerusi rehat di beranda selepas makan malam apabila didatangi Rania.

"Tak ada peluang. Abang kan sibuk..."

"Ren yang jauhkan diri daripada abang," sahut Rais bagaikan jauh hati. Baru sekarang disuarakan apa yang dirasa.

"Apa kurangnya abang, sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi."

"Siapa gading? Siapa tanduk?"

"Tepuk dada tanya selera."

"Terpulanglah pada Ren nak fikir apa. Ren tak tahu apa yang berlaku."

"Ren tahu sebahagiannya."

"Tahu apa?"

"Tahu sebahagian daripada kisah abang dengan Kak Ros."

"Tahu dari mana?"

"Kak Ros. Ren jumpa Kak Ros."

Air muka Rais berubah. "Jumpa Kak Ros di mana?"

"Di rumahnya di Kampung Rimba."

"Di Kampung Rimba? Bukan ke dia dah pindah?"

Rania terdiam. Bermakna Abang Rais pernah mencari Kak Ros.

"Dia pindah ke mana?" serkap Rania. Dia sengaja bertanya demikian untuk mengorek rahsia. "Ren pergi ziarah, ada pula dia di rumah dengan Halim."

Nampak wajah Rais berkerut. "Barangkali dia dah balik semula ke kampung tu," rumus Rais. Suaranya perlahan sedang air mukanya sayu mendadak. Macam terkumpul satu beban yang digalas sekian lama.

"Kenapa Ren cari Kak Ros?"

"Sebab dia kakak angkat Ren. Ren hantar kad dia tak balas. Dan banyak yang Ren nak tahu daripada dia terutamanya tentang hubungan abang dengan dia yang tak sampai," Rania berterus-terang.

"Tak ada jodoh antara abang dengan dia Ren."

"Kalau ada jodoh tak ke mana bang, esok pun abang dengan Kak Ros boleh kahwin kalau dua-dua setuju."

"Jodoh apa? Kak Ros kan dah kahwin."

"Apa abang merepek ni? Bila pula Kak Ros kahwin? Ren ziarah dia baru-baru ni. Dia belum kahwinlah."

"Ros belum kahwin?" Rais terkejut sampai berubah air mukanya.

"Yalah, Kak Ros nak kahwin dengan siapa?"

"Habis siapa yang kahwin?"

"Siapa yang kahwin?" Rania terpinga-pinga. "Oh, Halim! Halim yang kahwin bukan Kak Ros," kata Rania diiringi tawa kecil sebab baru teringat. Namun tawa kecilnya tak bertahan lama melihat Rais termangu-mangu dengan mata terkebil-kebil!


Oleh Samsiah Mohd Nor
Sumber: Metro

Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!

Catatan popular daripada blog ini

Tips Pakaian Untuk Konvo

Innershine Prun dan Camu-camu: Testimoni Cantik Kulit Berseri

Sedap. Manis-manis masam. Kalau ada rasa kurma, lagi best. Marvellous. Ada orang cakap, masam sedikit. Pada Sha yang tak makan masam langsung, rasa Innershine ini tidaklah masam mana. Sedikit sahaja rasa masamnya, berbanding produk lain yang lagi rasa masam asam jawa (Ladies Collagen). Innershine rasa masam buah camu-camu sahaja. 
Harga pasaran untuk 6 botol RM 28.90 dan untuk 12 botol RM 57.90. Berat satu botol 42 gram. Harga boleh dapat murah, ikut pasaraya. Pandai-pandailah korang pilih. Sha tengok kat Aeon (Jaya Jusco nama lamanya) pada 13 Jun 2014, harga seperti di atas. Tapi Sha tengok kat Big Aeon harganya lebih murah. Pek kecil (6 botol) hanyalah RM26.90 manakala yang besar RM54.90. Murahlah berbanding harga asal.
Perubahan magik yang Innershine Prun dan Camu-camu lakukan kepada diriku:

Hari pertama, minum malam sebelum tidur, tak dapat tidur dan esok paginya, perut membuang, detox kan? Hehe.
Lusanya, minum awal sikit dalam pukul 9 malam. Tidur, ok saja. Perut ok, tak ada…

Pantang Larang dan Makanan Orang Demam Campak

Nak jaga pemakanan orang demam campak?
Ok, aku ada petua dan tipsnya. Segala yang tertulis di sini adalah keluar dari kepalaku, dan pengalamanku menjaga makanan orang demam campak. Ku abadikan di sini.


Tidak boleh menggoreng
Demam campak ni kita tak boleh nak goreng apa-apa makanan terutamanya guna minyak. Contohnya goreng ikan.

Menumis pun tak boleh tau.

Sebab apa tak boleh? Sebab ia akan merangsang pertumbuhan campak dan buat ianya kemerah-merahan.

Elakkan makanan laut yang gatal
Makanan laut, seperti udang, sotong, kerang elok la dikuarantinkan.. Haha~ Bukan kuarantin la tapi jangan makan makanan tu, k.

Elakkan yang pedas
Cili pun tak boleh makan sebab mengundang kegatalan.


Elakkan yang hitam-hitam seperti gaban perkasa hitam


Kicap dan kopi harus la dijauhi serta merta sebab ia akan menyebabkan berparut hitam. Kalau koko atau milo? Kalau capucinno? Erm, ikut suka korang la.

Aha, aku ada idea, kalau nak putih maka minumlah air soya. Confirm menjadi. Tapi kalau tak jadi, jangan…