Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 12 )]: Nun Di Sana, Ada Murni!

NENEK Ninda pandang Ummar Qayyum tak berkelip-kelip. Benarkah apa yang aku dengar? Ah tak mungkin! Barangkali Qayyum bergurau.
“Saya tak bergurau mak, saya serius. Saya tak boleh kahwin dengan Murni.” Dihumbankan segala gelora yang mengepungnya selama ini - sejak emak menyuarakan hasrat hati untuk menyatukan dirinya dengan Murni.

Selepas itu, pernah sekali dia pulang ke kampung tapi persoalan itu disenyapkan sahaja. Bukan bererti dia bersetuju tapi dia memberi ruang untuk mencari kekuatan. Ini soal hati dan kini dia yakin benar tentang apa yang hatinya mahu. Justeru dia tidak mahu lagi berselindung. Jalan terbaik ialah berterus-terang.

Nenek Ninda terdiam sejenak. Jelas sekali Ummar Qayyyum tidak bergurau. Muka Ummar Qayyum nampak benar-benar serius. Kerut di dahinya jelas menggambarkan keseriusannya. Nenek Ninda melepaskan keluhan. Wajah tuanya nampak hampa benar. Kenapa baru sekarang Ummar Qayyum membuka mulut? Kenapa tidak masa aku ajukan rancangan? Kenapa selama ini dia senyap sunyi tidak membantah? Kenapa?


“Kenapa?” terlontar juga apa yang berbuku di hati Nenek Ninda.

“Inilah yang saya nak bincang dengan mak hari ini.”


Keluhan Nenek Ninda terdengar lagi. Kalau tekadlah keputusan Ummar Qayyum bagaimana hendak aku berterus-terang dengan Murni? Luluh jiwa raga Nenek Ninda bila terbayangkan wajah ayu Murni.

Sejak Murni tahu bahawa dia bakal disatukan dengan Ummar Qayyum, wajah gadis pingitan itu berseri-seri benar. Air mukanya bercahaya malah pada setiap masa dia berada di rumah itu, tak pernah sekalipun nama Ummar Qayyum tak terletus dari bibirnya.

“Hah cakaplah?” Nenek Ninda menunggu penjelasan Ummar Qayyum.

“Saya ada alasan kuat mak.”

“Apa alasan kamu?”

“Saya suka pada orang lain.”

Nenek Ninda terkedu. “Siapa?”



“Seorang cikgu.”

“Kenapa kamu tak cakap pada emak sebelum ni?”

“Sebab saya pun tak yakin sama ada dia...”

“Kamu ni Qayyum, ibarat burung terbang dipipiskan lada...”

“Emak, tolong beri saya masa.”

“Masa untuk apa?”

“Masa untuk saya fikir tentang masa depan saya.”

“Macam mana dengan Murni?”

“Saya tak tahu mak. Saya harap emak boleh cakap pada Murni.”

“Kamu tak fikir langsung perasaan Murni. Kamu nak lukakan hati dia. Tergamak kamu buat begitu pada dia?” Nenek Ninda berhiba-hiba.

“Mak, saya tak bertujuan nak guris perasaan Murni.”

“Habis kenapa tak berterus-terang pada emak masa mak cakap pada kamu dulu,” rintih Nenek Ninda.

“Saya pun serba salah mak.”

“Kamu ni nama sahaja berpelajaran tinggi, hal macam ni pun kamu tak boleh nak buat keputusan.”

“Ni keputusan emak bukan saya.”

“Mak dah bincang dengan Abang Bakhtiar kamu. Entah-entah Murni pun dah merancang macam-macam dengan abang dia.”

Ummar Qayyum serba-salah. Silap aku juga kerana tidak berterus-terang dengan emak. Tapi bila aku berdiam, bukan bermakna aku bersetuju.

“Kamu timbangkan dulu keputusan kamu tu, kasihan Murni.”

“Saya dah buat keputusan emak. Cukuplah sekali emak memberi harapan pada Murni. Biar Murni cari orang lain. Orang yang lebih baik daripada saya.”

“Senang saja kamu bercakap. Kalau Murni hendak, dulu lagi Murni dah terima pinangan orang. Bukan tak ada orang yang mahukan dia,” bidas Nenek Ninda.

“Kalau begitu, lagi mudah. Suruh saja Murni kahwin dengan orang yang mahukan dia.”

“Masalahnya dia sukakan kamu. Kamu tak reti? Atau buat-buat tak reti?”

“Mak nak paksa saya berkahwin dengan orang yang saya anggap macam adik?”

“Kenapa dulu kau tak cakap?”

“Saya tak pernah tahu perancangan emak sejauh ini.”

“Selama ni kau tak berbunyi pun yang kau tak suka pada Murni.”

“Saya tak pernah kata saya tak suka pada Murni, mak. Saya sayangkan Murni. Dia macam adik saya, tambah-tambah dia jaga emak. Saya hargai dan hormati dia. Tapi saya tak cintakan Murni.”

Nenek Rinda tidak terkata. Ummar Qayyum bijak bertikam lidah rupanya. Diam dia seperti ubi - berisi! Hampa jiwa raga Nenek Ninda dibuatnya. Nasib baik juga Murni tidak ada di rumah bersama mereka hari itu. Dijemput abangnya ke Chenor. Ada urusan pembahagian harta pusaka arwah ibu bapa mereka.

Melihat ibunya merenung jauh, Qayyum beredar ke beranda belakang. Beranda yang tidak berdinding dan beratap mengadap kebun buah. Di belakang kebun buah, ada ladang getah 10 ekar, miliknya. Dibeli daripada orang kampung lima belas tahun yang lalu.

Nenek Ninda yang suruh dan urusan memawah pokok getah yang sudah matang itu pun Nenek Ninda yang ambil alih. Diupah penduduk kampung suruh menoreh getah.

Harga getah tengah naik. Pagi tadi elok saja dia berbincang dengan emak tentang kebun getah tersebut, sebelum timbul isu dia dengan Murni. Mood emaknya riang sahaja masa buku akaun bank ditunjukkan pada Ummar Qayyum. Lebih dua ribu ringgit baru dimasukkan. Kalau tidak silap, Ummar Qayyum nampak jumlah terkumpul hasil menoreh getah selama lima tahun telah melebihi seratus ribu ringgit.

“Mak buatlah apa yang emak suka dengan duit tu,” ujar Ummar Qayyum.

“Duit emak tak berhabis untuk belanja mak. Emak sengaja simpan duit tu untuk kenduri kahwin kamu dengan Murni.”

Ummar Qayyum diam. Rasa bersalah juga kerana mengguris hati ibu.

“Emak tahu duit kamu adik-beradik tak berhabis. Kamu orang-orang hebat. Macam abang-abang kamu berdua, buat kenduri kahwin di Kuala Lumpur, di hotel-hotel besar, tapi untuk kamu emak dah rancang sesuatu.

Walaupun kamu buat di KL, tapi emak tetap akan buat juga di kampung ni, mak nak rai dengan orang-orang kampung. Mak nak rasa kenduri macam zaman zaman dulu. Meriah,” Nenek Rinda luahkan hasrat hati. Terselit juga nada rajuk dalam alun suara orang tua itu.

Bila emak kaitkan hal hasil tanah dengan perancangan ikatannya dengan Murni, Ummar Qayyum tak mampu berselindung lagi. Dia berterus-terang. Itulah penangan hasil terus-terangnya.

Apa nak jadi, jadilah. Demi Tuhan, aku tetap tak boleh terima Murni sebab aku sudah ada Rania. Aku yakin pada hatiku kini. Sangat yakin. Aku sudah bertemu dengan gadis yang kucari selama ini. Rania. Dan wajah Rania tak lekang menjelma di matanya. Saat bersama Rania tak pernah dilupa.

Wajah Rania, senyuman Rania, tawa Rania dan segala-gala tentang Rania indah semua.

Aduhai, luluh jiwa ragaku melihat kasih sayangnya yang tanpa sempadan. Aku sayangkan Rania.

Pertama kali jumpa, aku tahu aku sudah jatuh hati pada dia. Aku masih ingat alur mukanya yang terpinga-pinga waktu aku mengusiknya pada kala dia tersadung kakiku. Dan aku tak pernah lupa, mukanya yang merah padam waktu kupaut tubuhnya yang hampir melayang ketika dia tersepak kaki sendiri di anak tangga bas.

Ah Rania. Berjalan terjatuh, turun tangga bas terjatuh. Tapi itulah yang indah tentang gadis yang suka jatuh itu.

Dia gadis yang bersahaja. Berpenampilan sederhana. Tapi yang bersahaja dan sederhana itulah yang menyebabkannya istimewa.

Siapa ibu bapanya? Di mana rumahnya? Kampung halamannya? Fikir Ummar Qayyum sendiri. Hakikatnya banyak yang dia belum tahu tentang Rania. Dia pernah cuba mendapatkan maklumat diri Rania tapi hampa. Banyak yang kabur. Alamat kurang lengkap manakala alamat surat menyurat rasmi pula dialamatkan ke sekolah.

Dicungkil beberapa kali pun tak berjaya. Kuat berahsia rupanya dia. Tapi Ummar Qayyum lebih senang melayan angan bersama Rania. Hal Murni? Buat sementara waktu, aku tidak mahu fikir.

Sehinggalah dia pulang semula ke Kuala Lumpur, dia tidak tahu apa kesudahan kisahnya dengan Murni. Dia tidak pasti sama ada perkhabaran itu sudah disampaikan oleh ibunya atau ibunya tetap dengan kata-kata terakhir sebelum dia balik ke Kuala Lumpur.

“Kamu cakap sendiri dengan Murni, mak tak hendak. Mak tak sampai hati.”
Kalau emak berkeras tak hendak cakap, nampak gayanya aku yang kena bersemuka dengan Murni, fikirnya lagi.

“Cepatlah siap Pak Ucu,” Asraf Daniel muncul di pintu kamarnya.

“Jenn dah tunggu. Dah dua kali dia telefon.”

“Okey, okey.” Ummar Qayyum capai dompet di atas meja. Mereka ada temu janji hari itu. Berempat. Dia, Ashraf, Jennifer dan Rania. Seronoknya mahu berjumpa Rania. Bagaimana hendak berjumpa Rania kalau jiwa rusuh begini, alur minda Ummar Qayyum berkocak terus sewaktu dalam perjalanan menjemput Jennifer diikuti Rania di Kompleks Warisan.

Hendak menjemputnya di rumah, Rania tidak benarkan. Menyusahkan kata Rania tapi pada firasat Ummar Qayyum, Rania tidak mahu mendedahkan alamat kediamannya. Kenapa dia begitu berahsia? Ah, aku akan cari nanti. Bukannya susah sangat, maklumat peribadinya ada di sekolah. Pentadbir di sekolah kawan-kawan aku juga.

Dari jauh Ummar Qayyum sudah nampak kelibat Rania di depan Kompleks Warisan. Dia berblaus ungu polos dipadankan dengan seluar panjang hitam. Tudung bermotif abstrak warna putih dengan calitan ungu muda nampak manis di wajahnya. Orangnya memang sudah cantik, letak apa saja, indah belaka.

“She is so beautiful,” puji Jennifer.

Ashraf Daniel sekadar tersenyum seraya bangun dari tempat duduk depan sebaik sahaja kereta Jaguar mengambil ruang di perkarangan kompleks. Ummar Qayyum pula yang kembang hati. Dia segera turun dari kereta lantas bergegas ke pintu kereta penumpang hadapan, menunggu Rania.

“Assalamualaikum. Dah lama tunggu?” sapa Ummar Qayyum. Terbang masalah yang membelit sebaik sahaja terpandang wajah gadis idaman.

“Waalaikumsalam. Baru saja,” sahut Rania.

“Silakan.” Pintu kereta dibuka lebar.

“Terima kasih.”

“Kasih you I terima,” sahut Ummar Qayyum seraya menutup pintu kereta.

Dada Rania berdebar. Dilemparkan pandangan ke luar. Beberapa orang anak gadis yang ada di perkarangan kompleks tak lepas memandang pasangan sejoli itu.

“Patutnya Acap yang duduk di depan,” Rania menoleh ke belakang. Sebelum itu kedua-dua remaja itu sudah ditegurnya.

“Pak Ucu dah pesan, suruh cikgu duduk depan.”

Ummar Qayyum menjeling anak saudaranya.

“Bagi chance pada Pak Ucu,” giat Jennifer dalam ketawa besar.

“Emak tahu tak keluar ni?” ada yang tersirat di sebalik yang tersurat. “Tahu.”

“Emak tak tanya nak pergi mana?”

“Tanya juga,.” Rania menjawab jujur. Memang ibunya sibuk mahu tahu sebelum dia berangkat tadi tapi Rania kata mahu berjumpa bekas pelajarnya.

“You kata apa?”

“I kata nak jumpa bekas pelajar.”

“Kenapa you tak sebut nak jumpa I?” giat Ummar Qayyum.

Rania terdiam. Mati kutu dengan watak Ummar Qayyum. Watak yang tak boleh diduga. Ada tikanya dia sangat romantis tapi ada kalanya dia sangat berterus terang sampai Rania tidak tahu mahu menjawab bagaimana.

“Tak pernah cerita tentang I pada emak you?”

Soalan Ummar Qayyum yang pelik-pelik membuatkan Rania tertanya-tanya. Dari dalam kereta, di meja makan dan sehinggalah akhirnya mereka bersantai di hadapan laut di pantai Bagan Lalang Ummar Qayyum tak berhenti bertanya membuatkan Rania tersedak-sedak.

“Kenapa?” tanya Ummar Qayyum.

“You tanya banyak sangat.”

“Tak boleh?”

Rania diam. Tak berani hendak jawab. Sebab minda Ummar Qayyum sukar ditafsir. Dia lebih rela pandang laut tenang di hadapan.

“Kalau dah suka, jangan tunggu lama-lama. Approach,” kata-kata Yusree, bergema mengganggu tumpuan Ummar Qayyum. Nasihat Yusree supaya dia berterus-terang pada ibunya bahawa dia sudah punyai calon telah pun dikhabarkan. Tidak tahulah sama ada ibunya akan membawa perkhabaran itu kepada Murni atau menunggunya untuk bersemuka dengan Murni sendiri? Teringat Murni, ngilu tangkai hatinya dek rasa belas.

Ah Murni, maafkan abang! Bisiknya tapi mata mencuri pandang ke arah Rania yang asyik dengan lautnya. Hendak meluahkan rasa hati pada Rania agak susah juga.

Dia putus punca. Rasanya baru lagi dia mengenali Rania. Agak rapat pun bila dia mengambil kesempatan mengikuti rombongan sekolah ke Planetarium. Rasa-rasanya di Planetarium itulah, mulai dikenal hati budi Rania.

Kalau dulu, jatuh cintaku pada Rania kerana fizikalnya, kini cintaku tambah kuat melihat akhlak dan hati budinya. Masih terbayang di minda Ummar Qayyum bagaimana mesranya dakapan Rania pada Sofea Amanda. Dakapan yang penuh ikhlas.

Aduhai! Perlukah aku berterus-terang pada Rania. Rania sekarang duduk di sebelahnya. Masih setia memandang ombak, pantai dan mentari petang yang galak memancarkan cahaya. Gelak tawa Ashraf Daniel dengan Jennifer sesekali kedengaran. Riang benar bermain layang-layang.

“Comel budak berdua tu,” ujar Rania. Dia tertawa geli hati melihat gelagat Ashraf Daniel. Budak bandar yang beradab dan alim tapi berkawan dengan Jennifer. Selalunya kelompok pelajar seperti Ashraf Daniel agak tertutup dan tidak tahu bersosial tetapi berbeza dengan Ashraf Daniel.

Dia berfikiran terbuka dalam peribadinya yang agak mempesona. Barangkali seperti bapa saudaranya juga, detik Rania jauh di sudut hati.

Rania perasan Ummar Qayyum tiba-tiba diam. Sekilas dia menjeling lelaki itu. Baru disedari wajah lelaki muda itu seperti bergelut dengan masalah. Ada masalah jugakah dia ini? Apa masalahnya?

Terpaksa keluar dengan akukah? Oh Tuhan, janganlah begitu! Hakikatnya aku gembira bukan kepalang bila mengetahui Ummar Qayyum ada bersama tapi harus kusembunyikan perasaan ini. Tidak ada siapa pun yang boleh tahu. Ini rahsia hatiku. Maruahku. Tapi kenapa dia seperti mengusung masalah? Rania rasa tidak sedap hati pula.

Kalau dianalisis daripada cara dia dekati aku, seperti dia sukakan aku. Bermula dengan peristiwa tersadung kaki, melarat pula dengan kata ‘mengong’ aku padanya. Peristiwa itu pada zahirnya tidak menggambarkan apa-apa. Kereta aku rosak? Dia tolong tengok-tengokkan dan menghubungi formen.

Kemudian dia menjelaskan bayaran pada formen dan tidak mahu menerima apa-apa bayaran daripadaku. Terpaksa kuberikan duit itu pada Ashraf Daniel. Tidak kutahu apa kesudahannya selepas itu. Ah barangkali memang itu sifatnya.

Bukan aku sahaja, siapa-siapa pun dia akan tolong. Kemudian berjumpa pada malam solat hajat. Setelah itu Umar Qayyum menyertai rombongan sekolah ke Planetarium. Daripada usikan Cikgu Zul dengan Puan Habsyah, macam ada sesuatu yang tersirat.

Dia mengusik aku di dalam bas, menelefon aku padahal dia berada di belakang. Dia menyambut aku waktu aku hampir jatuh di tangga bas. Dan kalau tidak silap, dia membahasakan dirinya abang Qayyum dan berbisik miss u. Aku yakin aku dengar. Atau itu hanya bayangan perasaan aku saja? Sejak Umar Qayyum muncul, porak peranda jiwa ragaku.

Tiba-tiba telefon Ummar Qayyum bergema. Mereka berdua tersentak, berpandangan seketika. Jelas raut wajah Ummar Qayyum berubah tatkala melihat nama seseorang di skrin telefon bimbitnya.

“Ya Murni!” kata lelaki itu seraya bangkit, bergerak, lantas menjarakkan ruang antara mereka.

Dada Rania bergetar. Dia ingat nama itu. Nama yang pernah disebut oleh Ashraf Daniel sewaktu mereka duduk berbual sementara menunggu Ummar Qayyum memeriksa kereta Hondanya yang rosak dulu. Ashraf Daniel banyak memuji gadis itu. Peneman nenek di kampung dan pandai memasak.

“Siapa Murni?” bisik Rania sendiri. Jiwanya gelisah tiba-tiba. Umar Qayyum membelakanginya, justeru dia tidak dapat melihat air muka lelaki muda yang diam-diam telah menambat hatinya.

“Siapa Murni?” Tak seperti ombak yang tenang, jiwanya gelisah!

Oleh Samsiah Mohd Nor
Sumber: Metro


Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pantang Larang dan Makanan Orang Demam Campak

Air kelapa sangat bagus untuk demam campak Nak jaga pemakanan orang demam campak? Ok, aku ada petua dan tipsnya. Segala yang tertulis di sini adalah keluar dari kepalaku, dan pengalamanku menjaga makanan orang demam campak. Ku abadikan di sini. 1. Tidak boleh menggoreng Demam campak ni kita tak boleh nak goreng apa-apa makanan terutamanya guna minyak. Contohnya goreng ikan. Menumis pun tak boleh tau. Sebab apa tak boleh? Sebab ia akan merangsang pertumbuhan campak dan buat ianya kemerah-merahan. 2. Elakkan makanan laut yang gatal Makanan laut, seperti udang, sotong, kerang elok la dikuarantinkan.. Haha~ Bukan kuarantin la tapi jangan makan makanan tu, k. 3. Elakkan yang pedas Cili pun tak boleh makan sebab mengundang kegatalan. Aku ada baca, sup ayam ni bila dibuat sup akan mengeluarkan satu pati yang berkesan khas untuk menyembuhkan demam. Korang letak bawang merah, bawang besar dan bawang putih. Lagi sedap bawang putih tu, tak dipotong, hanya buang kulit, ba

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru, jom kita gali ilmu. Sha dapat dari kawan-kawan bundle juga. ✔ Bale – Ketul, guni atau tokol pakaian/beg/kasut dan lain-lain. Kain 100 – Baju/pakaian yang 100% kapas. Kain Samah – Baju yang diadun dengan 2 material. 50 cotton +50 polyster (poly). 3 kain – Baju diadun dengan 3 material. Cotton + Poly + Rayon. 3 suku / Raglan / 3q – Baju yang mempunyai lengan bersambung dari leher berakhir di siku. Kain sambung – Lengan baju disambung dengan lengan warna lain, contohnya Rolling Stone Tour Euro82, Iron Maiden ‘aces high’ lengan camo. Ada juga kain sambung di dada. Contohnya Hawaii bernombor. Camo – Celoreng Ringer – Baju yang mempunyai warna/getah pada hujung lengan dan leher. Kain pasir / kain bulu katu – Merujuk seluar Lee,Wrangler,Levis era 70/80/90 an. Combo – Jualan melebihi sehelai dengan 1 harga. Single stich – Jahitan satu garisan sama ada pada lengan atau bawah baju. Biasa pada baju vintage.

Tips Pakaian Untuk Konvo

Gambar konvo! =) Assalamualaikum. Apa yang korang perlu ada untuk pakai pakaian konvo? Aku ada sedikit panduan. Top to toe 1. Kasut Lelaki kena pakai kasut kulit (kulit warna gelap –seelok-eloknya warna hitam) Ala, tak mahal pun ada jer yang murah. Perempuan pula kena pakai kasut bertutup, hitam atau warna gelap seakan-akan hitam. Kasut tu mestilah nampak formal. Tak boleh ada lubang-lubang macam kasut Cinderalella. Orang perempuan mesti tau kasut Cinderalela tu macam mana. Kasut Cinderalela tu adalah kasut plastic nipis dan ada lubang-lubang.   Sila beri perhatian, kasut adalah penting. Tak boleh pakai sandal dan selipar. Stoking tak apa, kurang diberi perhatian (bagi perempuan sahaja). Boleh pakai stoking atau tidak. Lelaki kena pakai stoking. Mesti warna gelap, jangan pakai stoking putih pula, sangat pelik. Bagi mereka yang jarang pakai kasut tertutup macam aku ni, boleh juga bawa sandal atau kasut yang selesa untuk digantikan apabila perlu . Ta

Open Tracker