Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 35)]: Cinta, Jangan Kau Pergi



Assalamualaikum...

KURANG ajar kau Murni. Kau nampak seperti sekuntum mawar desa yang tulus tapi hati kau busuk. Kau talam dua muka. Kau gunting dalam lipatan. Puaslah hati kau dapat mempermainkan hati aku dan Ummar Qayyum tapi kau harus ingat, Allah Maha Mengetahui apa yang telah kau lakukan, getus hati Rania. Kerana geram, ditunjukkan mesej pesanan ringkas daripada Ummar Qayyum kepada Rais.

"Siapa Murni?" tanya Rais dengan kerut di dahi.

Rania menjelaskan sepintas lalu tentang latar belakang Murni dan peranan belakang tabirnya. Rais mengeluh payah.

"Kalau begitu cerita Ren, abang yakin Qayyum salah faham. Abang rasa elok kalau Ren maklumkan pada Ummar Qayyum supaya dia tahu kedudukan sebenarnya," nasihat Rais.


"Dah terlambat bang."

"Tak ada yang terlambat. Nak abang selesaikan masalah Ren?"

"Terima kasih bang. Biar sajalah."





Sedih suara Rania menusuk kalbu Rais. Dia mengerti kemelut jiwa yang dihadapi Rania malah dia tahu bagaimana rasanya patah hati. Pernah dia mengalaminya dulu sewaktu mendengar berita pernikahan Ros Ilyani.

"Kalau Ren perlukan bantuan abang, cakap saja," pujuk Rais sebelum pergi meninggalkan Rania sendirian.

Rania angguk tapi jauh di sudut hati dia tidak suka melibatkan orang lain dalam menyelesaikan permasalahannya. Dia sudah cukup bersyukur apabila Rais sudi mendengar secalit daripada kisah sedihnya. Selebihnya adalah masalahnya dan dia harus tunduk dengan takdir yang telah tersurat.

Namun begitu, mahu tidak mahu dia tidak dapat menidakkan bahawa jiwanya sesaat pun tidak tenteram sejak menerima mesej pesanan ringkas daripada Ummar Qayyum. Meskipun mesej yang dihantar pendek tapi kata-kata yang ditulis menyiat hatinya. Sedih usah dikira malah beberapa kali juga jari-jemarinya hampir mendail nombor Ummar Qayyum untuk menjelaskan keadaan sebenar tapi fikir punya fikir dia membatalkan niat.

Sudah terlambat! Ulangnya lagi entah untuk kali ke berapa. Kalau Ummar Qayyum tahu pun, tidak ada apa yang dapat dia lakukan lagi. Detik hati Rania. Pilunya berlarutan dari petang membawa ke malam. Dari malam membawa pula ke pagi esok sewaktu pihak sekolah mengadakan majlis perpisahan untuknya yang akan berpindah sekolah. Sapaan teman-teman disambut mesra tapi hati di dalam hanya Tuhan yang tahu - melayang-layang entah ke mana.

"Sedih nak tinggalkan sekolah ni?" usik Kak Wan sewaktu tubuh Rania kemas dalam dakapannya.

"Sedih nak tinggalkan Kak Wan," usik Rania balik.

"Dah tahu macam tu kenapa offer diri?"

"Barangkali itu yang terbaik Kak Wan."

"Tu, budak-budak datang nak salam Ren," kata Kak Wan tatkala melihat sekumpulan murid meluru ke arah Rania.

Dari tadi, tak henti-henti para pelajar berjumpa dan bergambar dengan Rania. Ada yang terkejut mendengar berita perpindahan tersebut dan tak kurang juga yang berkecil hati kerana tidak dimaklumkan terlebih dahulu.

"Cikgu tak sempat nak beritahu, bukan nak berahsia pun," jelas Rania pada pelajar tingkatan 4 Mercury.

"Kami paling lambat dapat tahu," suara Ajeerah kedengaran merajuk.

"Cikgu minta maaf."

"Sampai hati cikgu tinggalkan kami. Cikgu merajuk dengan Elly..."

"Taklah...," potong Rania serta-merta.

"Kalau Amanda tahu cikgu dah tukar sekolah mesti dia sedih," sambung Ajeerah lagi.

"Kirim salam pada dia kalau dia telefon."

"Cikgu tak nak telefon Amanda?"

"Hendak. Cuma cikgu bimbang lupa."

"Baiklah cikgu," janji Ajeerah.

"Cikgu," satu suara menegur Rania dari sisi. Agak terkejut tatkala Rania melihat Elly Sukaesih berdiri dengan wajah serba-salah. Ajeerah bersama teman-teman berpandangan sebelum mereka beredar untuk memberi laluan pada teman nan seorang. Sebuah senyum Rania hulurkan membuatkan Elly Sukaesih sedikit yakin meneruskan bicara.

"Saya nak minta maaf pada cikgu," suara Elly Sukaesih berubah sebak. "Saya tahu saya banyak buat salah pada cikgu. Saya kesal." Wajahnya ditundukkan.

Rania raih bahu Elly Sukaesih. "Cikgu dah lama maafkan."

"Cikgu dah maafkan?" Mata Elly Sukaesih berkaca-kaca.

Rania angguk.

"Cikgu pindah bukan sebab Elly kan?" Suaranya terketar-ketar. Belas pula Rania melihatnya.

Rania menggeleng.

"Terima kasih cikgu." Elly Sukaesih capai tangan Rania lantas dikucup bertalu-talu. "Terima kasih banyak kerana sudi maafkan Elly."

Rania raup kepala Elly Sukaesih. Wajah Elly Sukaesih yang tadinya kusam berubah ceria.

"Elly janji Elly akan berterus-terang dengan mama tentang kejadian sebenar yang berlaku dulu," Elly Sukaesih membuat pengakuan.

Tenang hati Rania mendengarnya. Itu antara saat-saat indah yang berlaku dalam hidupnya. Memberi maaf nyata merupakan satu terapi yang sangat berkesan untuk membasuh jiwa kontang.

"Drama swasta," usik Cikgu Norhayati yang secara tidak sengaja menyaksikan adegan tersebut. Dipeluknya Rania sungguh-sungguh.

"Baru nak betul-betul rapat, dah nak pindah," tuturnya ikhlas.

"Tak jauh antara SMK Seri Melor dengan SMK Jaya Perdana, hari-hari boleh datang," gurau Rania pula.

"Betul tu," Cikgu Norhayati bersetuju.

Guru-guru yang belum sempat bersalaman dan bermaafan mengambil peluang akhir bergurau senda dengan Rania. Sebaik mungkin Rania cuba menjelaskan soalan-soalan nakal yang terbit dari mulut beberapa guru yang masih berasa pelik dengan pertukarannya. Begitu juga dengan Cikgu Nurul Ain yang masih dengan teka-teki yang tidak berjawab.

"Tak ada apa-apa. Cuma Ren nak berubah angin," sahut Rania tegas sehingga akhirnya Cikgu Nurul Ain terpaksa akur.

"Kalau Ren tak sudi nak berkongsi masalah dengan akak, apatah daya akak," jauh hati bunyi suara Cikgu Nurul Ain.

Ustazah Habsyah pula sibuk mengusik hendak makan nasi minyak Rania manakala Cikgu Syarina pula tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada Rania atas kesudiannya menjadi galang ganti buat dirinya. Syukurnya pada Allah tidak terhingga. Selesai satu masalah yang merimaskan dadanya sepanjang tempoh berpantang. Mendapat panggilan telefon dari pejabat memaklumkannya bahawa Cikgu Rania dengan rela hati mengambil tempatnya berpindah sekolah merupakan rahmat Tuhan tidak terhingga.

"Rezeki bayi kecil cikgu," bisik Rania sewaktu mereka berpelukan buat kali terakhir di sekolah tersebut. Sebuah bungkusan kecil diserahkan pada Rania.

"Saya tak tahu bagaimana nak membalas budi baik Cikgu Ren. Hanya hadiah kecil ini sahaja dapat saya beri tanda syukur dan terima kasih saya," bergenang air mata cikgu Syarina semasa hadiah bertukar tangan.

"Mudahan-mudahan cikgu akan sentiasa menjadi guru cemerlang walau di mana sahaja cikgu berada," tutur Tuan Haji Muhyidin pula sewaktu Rania sudah hendak bergerak ke luar dewan.

"Terima kasih cikgu."

"Jangan lupa jengah-jengah ke sini," pesan Tuan Haji Muhyidin lagi. Rania terkesan ada sejalur perasaan hiba di wajah Tuan Haji Muhyidin.

"Tempat jatuh lagi dikenang Tuan Haji, inikan pula tempat saya menimba kekuatan raga," sahut Rania pula.

Masam-manis muka Tuan Haji Muhyidin mendengar kata-kata Rania.

Minggu hadapan dia akan bertugas di sekolah baru. Sekolah yang istimewa kata ayahnya. Sudah Rania merisik khabar daripada beberapa orang kenalan guru tentang sekolah baru yang akan menjadi tempatnya bertugas tapi jawapan daripada beberapa orang guru kurang menggalakkan.

"Macam sekolah biasa. Ada tingkatan enam dan lebih satu Malaysia dibandingkan dengan SMK Seri Melor."

Tak mengapalah, esok aku akan tahu juga. Bisiknya dalam perjalanan pulang ke rumah.

Habis episod di SMK Seri Melor. Apa pula yang akan menanti aku di SMK Jaya Perdana? Fikirnya sendiri tapi satu hakikat yang dia sangat pasti adalah bukan hal pertukaran yang membebankan perasaannya tapi soal lain - soal hati.

Silap percaturankah aku? Hatinya dioleng pertanyaan. Mesej pesanan ringkas daripada Ummar Qayyum rupa-rupanya sangat mengganggu benaknya. Hingga kini SMS daripada Ummar masih belum dipadam malah disimpan rapi dalam peti inbox. Dibaca berkali-kali.

Ada sesuatu yang pelik di situ. Murni!

Aku memang sudah siap menerima takdir yang telah Tuhan suratkan padaku kalau tidak kerana mesej akhir daripada Ummar Qayyum.

Murni! Diulang lagi nama gadis desa itu. Sampainya hati kau Murni!

Bagaimana harus kupujuk hati menerima takdir kalau tanggapan negatif Ummar Qayyum asyik menggangguku. Entah apa yang telah disampaikan oleh Murni pada Ummar Qayyum. Pandainya Murni memutar fakta. Tidak takutkah dia bahawa aku juga boleh memberinya padah?

Murni! Begitu mainan Murni. Telunjuk lurus kelingking berkait. Di belakang Ummar Qayyum tabur racun, depan Ummar Qayyum tabur penawar. Tahulah aku siapa sebenarnya Murni. Nama saja Murni tapi hati berkarat. Nampak gayanya kehidupan ini tidak mengizinkan aku untuk terus jadi pengalah. Kalau begitu mainan Murni. Aku juga ada cara yang tersendiri. Tapi, untuk apa?

Untuk Qayyum? Aku boleh melakukannya apatah lagi untuk Murni malangnya, aku tidak sampai hati untuk merosakkan hati Halim. Aku tidak tergamak melukakan hati insan yang telah terlalu sengsara dilambung ombak hidup ini.

Halim begitu bersemangat meneruskan kehidupan akhir-akhir ini. Setiap hari dia menghubungiku memaklumi tentang perkembangan kesihatannya. Kak Ros juga tak jemu-jemu melahirkan rasa syukur atas perubahan mendadak Halim sejak aku 'melamar'nya.

"Dia dah boleh jalan perlahan-lahan Ren. Doktor pun terkejut melihat perubahan drastik Halim. Ini semua gara-gara Ren. Akak terhutang budi pada Ren." Dalam ceria tiba-tiba suara Ros Ilyani jadi sebak.

"Tak ada apa yang lebih menggembirakan akak selain daripada melihat Halim bersemangat untuk meneruskan kehidupan," ujarnya lagi pada petang Ahad sewaktu Rania mengunjungi mereka di kampung.

"Ren pun gembira Kak Ros."

"Dia tak marah-marah macam dulu lagi, Ren," ujar Kak Ros sedang matanya tidak lari daripada memerhatikan gelagat Halim dengan tongkat penyokong yang sentiasa ada di tangan kanannya.

Rania sedar itu. Hanya rasa syukur yang dapat dipanjatkan pada Illahi melihat keceriaan Halim.

"Ren, aku dah makin laju berjalan." Seperti anak kecil, Halim mengekspresikan perkembangannya pada Rania. Dia yang nampak penat menogok air kosong terus dari botolnya. Sesi terapinya berjalan lancar.

"Aku nampak. Kan aku dah cakap pada kau dulu-dulu lagi."

"Aku pun tak sangka secepat ini." Ada nada kesal pada suaranya.

"Alhamdulillah."

"Kalau aku dah betul-betul sembuh. Aku akan cari kerja semula," berkobar-kobar Halim menyuarakan impiannya.

"Aku suka dengar kau bercakap begitu."

"Aku nak bela anak orang. Takkan aku tak bekerja. Tapi Ren, gaji aku kecil. Nak tanggung anak orang kaya. Upayakah aku?"

"Kita buat sama-sama Lim," pujuk Rania.

"Pipit nak bagi makan enggang. Lucu kan! Bunyi macam tak sedar diri saja!"

"Aku tak suka kau cakap macam tu."

"Kau tak menyesal dengan keputusan yang kau buat Ren?"

Dalam riangnya, terselit juga rasa gundah. Bukan sedikit tapi hakikatnya membukit resahnya itu. Disimpan sahaja dalam dada tetapi sesekali terletus juga dari mulutnya.

"Menyesal? Apa yang kau cakap ni Lim?"

"Sebenarnya banyak yang aku fikirkan Ren. Keluarga kau, keluarga aku. Kau dan aku. Adakah kau benar-benar menerima aku errr, ah...kalau difikir-fikir memang tak logik apa yang aku buat tapi aku tolak semua yang mengganggu dan meresahkan fikiran aku atas nama cinta."

Cinta! Hiba hati Rania mendengar. Spontan, dia terkenangkan Ummar Qayyum. Kalau tidak kerana ada Halim, harus menitik air matanya.

"Kuatnya kuasa cinta ya Ren? Buat dunia yang gelap jadi terang-benderang. Buat orang yang dah tak bersemangat hidup macam aku jadi bersemangat tiba-tiba," akui Halim.

Rania tersenyum. Bersungguh benar Halim mahu membina hidup baru. Tergamakkah aku melukakan hatinya? Ya Allah, aku tak sanggup. Biarlah aku terpaksa mengorbankan kebahagiaan aku, namun untuk melukakan hati Halim, tidak akan sesekali aku buat.

Hatinya merintih sendiri. Wajah Ummar Qayyum menari-nari.

"Puan Sri tak marah ke dengan keputusan Ren?" tanya Ros Ilyani pula.

"Taklah, cuma mama kasihankan Qayyum," Rania berterus-terang dalam bisik kecilnya, takut didengar Halim.

"Tapi mama dah tahu kan kedudukan sebenar?" Ros Ilyani berbisik juga.

"Mama tahu tapi mama tak setuju dengan keputusan Ren tidak berterus-terang dengan Qayyum."

"Kak Ros pun tak setuju." Dari lubuk jiwa Ros Ilyani luahkan rahsia hati.

"Tak ada cara lain Kak Ros. Itu saja cara yang ada," sayu suara Rania tatkala menuturkannya.

"Menerima Halim pula bagaimana?"

"Maksud Kak Ros?" Berubah air muka Rania.

"Kerana terpaksa atau...?"

"Kak Ros, tolonglah...." Rania berasa seperti ditenggekkan di atas bara api.

"Kak Ros nak tahu. Lagipun emak Ren dah telefon Kak Ros."

Rania tidak mampu menjawabnya. Bukan sekadar memberi jawapan kepada Ros Ilyani malah kepada dirinya sendiri pun Rania tidak pasti. Di rumah, persoalan yang sama diulang-ulang ibunya membuatkan dirinya kian keliru.

"Ren dah betul-betul pasti? Redup mata ibunya tak mampu Rania tatap. Rania alihkan muka, pejamkan mata dan bertafakur seketika.

"Ren," Puan Sri Zalia pegang bahu Rania.

"Mama..."

"Kalau Ren dah tekad, mama nak suruh Ros Ilyani datang meminang."

Mendengar perkataan meminang, bertambah ngilu hati Rania. Wajah Ummar Qayyum melintas lagi. Sepatutnya Nenek Ninda yang datang meminang aku! Oh hati, tolonglah janganlah berbolak-balik begini.

"Ren, sejujurnya mama dah penat nak fikirkan tentang perkara ni. Mama serah pada Ren untuk buat keputusan dan yang selebihnya mama langsungkan. Kalau Ren betul-betul suka pada Halim, mama suruh Ros Ilyani datang. Kita ikat cara sederhana."

Sudahnya itu yang keluar dari mulut Puan Sri Zalia. Daripada impian untuk mengadakan majlis besar-besaran buat Rania akhirnya rancangan bertukar jadi majlis sederhana. Hakikatnya dia sudah letih letai dan hanya berserah pada Allah kalau itu yang terbaik buat si anak.

"Mama tak marah Ren pilih Halim?"

"Siapa sahaja pilihan Ren mama tak kisah cuma mama harap keputusan yang Ren buat tulus dari hati Ren sendiri."

Menangis Rania mendengarnya.

"Mama tahu keputusan Ren tak tulus. Mama juga yakin Qayyum sangat terluka dengan apa yang telah berlaku tapi kalau dah itu keputusan Ren, apa yang mama boleh buat."

Ikhlaskah aku menerima Halim? Kalau separuh hati pun aku rela tapi adakah separuh hati itu?

Hatinya sebak. Dia menangis lagi. Teresak-esak.

Bersambung..

Oleh Samsiah Mohd Nor
Sumber: HMetro

Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!

Catatan popular daripada blog ini

Innershine Prun dan Camu-camu: Testimoni Cantik Kulit Berseri

Sedap. Manis-manis masam. Kalau ada rasa kurma, lagi best. Marvellous. Ada orang cakap, masam sedikit. Pada Sha yang tak makan masam langsung, rasa Innershine ini tidaklah masam mana. Sedikit sahaja rasa masamnya, berbanding produk lain yang lagi rasa masam asam jawa (Ladies Collagen). Innershine rasa masam buah camu-camu sahaja. 
Harga pasaran untuk 6 botol RM 28.90 dan untuk 12 botol RM 57.90. Berat satu botol 42 gram. Harga boleh dapat murah, ikut pasaraya. Pandai-pandailah korang pilih. Sha tengok kat Aeon (Jaya Jusco nama lamanya) pada 13 Jun 2014, harga seperti di atas. Tapi Sha tengok kat Big Aeon harganya lebih murah. Pek kecil (6 botol) hanyalah RM26.90 manakala yang besar RM54.90. Murahlah berbanding harga asal.
Perubahan magik yang Innershine Prun dan Camu-camu lakukan kepada diriku:


Hari pertama, minum malam sebelum tidur, tak dapat tidur dan esok paginya, perut membuang, detox kan? Hehe.
Lusanya, minum awal sikit dalam pukul 9 malam. Tidur, ok saja. Perut ok, tak ada…

Pantang Larang dan Makanan Orang Demam Campak

Nak jaga pemakanan orang demam campak?
Ok, aku ada petua dan tipsnya. Segala yang tertulis di sini adalah keluar dari kepalaku, dan pengalamanku menjaga makanan orang demam campak. Ku abadikan di sini.


Tidak boleh menggoreng
Demam campak ni kita tak boleh nak goreng apa-apa makanan terutamanya guna minyak. Contohnya goreng ikan.

Menumis pun tak boleh tau.

Sebab apa tak boleh? Sebab ia akan merangsang pertumbuhan campak dan buat ianya kemerah-merahan.

Elakkan makanan laut yang gatal
Makanan laut, seperti udang, sotong, kerang elok la dikuarantinkan.. Haha~ Bukan kuarantin la tapi jangan makan makanan tu, k.

Elakkan yang pedas
Cili pun tak boleh makan sebab mengundang kegatalan.


Elakkan yang hitam-hitam seperti gaban perkasa hitam


Kicap dan kopi harus la dijauhi serta merta sebab ia akan menyebabkan berparut hitam. Kalau koko atau milo? Kalau capucinno? Erm, ikut suka korang la.

Aha, aku ada idea, kalau nak putih maka minumlah air soya. Confirm menjadi. Tapi kalau tak jadi, jangan…

Tips Pakaian Untuk Konvo

Open Tracker