Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 33)]: Di Bumi Cinta yang Kontang!



Assalamualaikum...

ROS Ilyani pandang muka Rania yang hiba itu. Lama tidak berjumpa, banyak cerita sedih yang disampaikan Rania. Daripada kisah Marisa Afira sehinggalah ke cerita Amanda Sofea dan ibunya, namun nama-nama pelajar itu langsung tidak disebut.

Dia bercerita sekadar untuk meluahkan rasa hati yang berbuku di samping memberi peringatan pada rakan sejawatan.


"Macam itulah jadi cikgu Ren. Banyak dugaannya. Niat suci kita selalu disalahertikan," komen Ros Ilyani.

"Itu yang Ren kesalkan."


"Sebenarnya mendidik ibu bapa lagi mencabar daripada mendidik anak-anak. Di sekolah Kak Ros pun sama," rumus Ros Ilyani sambil gelak-gelak kecil.





"Betul kata Kak Ros. Bukan anak-anak saja yang kena pergi sekolah bukan? Ibu bapa pun ada yang kena masuk sekolah balik."

"Ada ke patut seorang ibu mendesak anak supaya gugurkan kandungan, tak masuk akal betul. Dunia memang dah akhir zaman," Ros Ilyani beremosi.

"Tak tahulah apa masalah emaknya."

Terkenang-kenang Rania akan muka sayu Amanda Sofea. Apa khabarnya sekarang? Mudah-mudahan dia dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.

"Tak serik jadi cikgu lagi?" Ros Ilyani mahu menguji daya tahan Rania.

"Tak pernah serik. Makin berkobar-kobar adalah. Tambah-tambah ayah kata sekolah baru yang akan Ren pergi agak istimewa."

"Apa yang istimewanya?"

"Entah, ayah kata tengok sendiri," sahut Rania.

Dia sendiri pun agak teruja mendengar cara ayahnya bercerita. Dalam masa dua minggu lagi, Cikgu Sharina akan kembali ke sekolah dan dia pula akan berpindah. Guru-guru di sekolah pula bagai sudah dapat menerima keputusannya untuk menjadi galang ganti. Mudah-mudahan yang terbaik, fikirnya sendiri.

"Ren dengan Qayyum macam mana? Bila nak naik pelamin?" tanya Ros Ilyani tiba-tiba. Berubah air muka Rania serta-merta.

"Tak ada jodoh antara kami Kak Ros," sahut Rania sayu.

Terkejut Ros Ilyani mendengarnya. "Biar betul Ren."

"Betul. Kenapa Ren nak bohong pula."

"Kan hari tu Ren kata tengah sibuk-sibuk beli barang hantaran?"

"Memanglah Kak Ros tapi aral melintang tiba-tiba. Tak ada jodoh."

"Pasal apa Ren? Takkan sebab perkara kecil sampai nak berpatah arang," nasihat Ros Ilyani.

"Ren malas nak bergaduh-gaduh kerana lelaki. Ren nak jadi macam Kak Ros. Reda saja menerima takdir."

"Malas bergaduh kerana lelaki? Maksud Ren?"

"Senang cerita, apa yang Kak Ros lalui lebih kurang sama dengan apa yang Ren lalui. Senasib kita Kak Ros. Kita tak ditakdirkan berjaya dalam percintaan."

Ros Ilyani tertawa kecil mendengar keluhan Rania. Sukar untuk dia menerima cerita daripada Rania memandangkan kedudukan dan latar belakang Rania jauh berbeza dengan dirinya.

"Kenapa Kak Ros ketawa?"

"Geli hati bila Ren kata kita serupa. Mana serupanya kita Ren. Macam langit dengan bumi."

"Dalam percintaan kita mengalami nasib yang sama, Kak Ros. Tak ada beza. Dan lawan kita pun sama. Baik Haryati mahupun Murni, perangai mereka dua kali lima."

"Murni? Siapa Murni tu?" Ros Ilyani mahu tahu.

"Ren tak mahu ingat lagi. Telah Ren kuburkan kisah duka itu dan Ren campakkan jauh dari diri ini. Ren tak mahu ingat lagi. Ren nak bina hidup baru."

Niat hati mahu bertanya lagi tapi melihat mendung yang berarak berpusu-pusu di muka Rania, Ros Ilyani membatalkan hasratnya.

"Halim mana Kak Ros? Tak nampak-nampak dari tadi." Panjang leher Rania jengah ke dalam rumah dari ruang beranda.

"Ada."

"Sunyi sepi saja."

"Kan akak dah cakap dia buat hal dua tiga hari ni. Makan pun tidak."

"Macam budak-budak Halim ni," komen Rania.

"Lebih daripada budak-budak. Penat akak nak layan kerenahnya. Entah apa yang dia tak puas hati lagi."

"Carikan dia isteri Kak Ros," usik Rania.

Ros Ilyani tergelak besar mendengar cadangan Rania. Dia bangun dan menuju ke bilik Halim. Dari luar, dipanggilnya nama Halim sambil memakluminya tentang kehadiran seseorang.

"Siapa?" suara garau Halim lantang kedengaran.

"Siapa lagi. Bakal isteri kaulah!" usik Kak Ros dengan tawa geli hatinya. Suka benar dia menyakat Halim setiap kali menerima kunjungan Rania.

Tergamam Rania mendengarnya. "Apa Kak Ros ni."

"Dia yang cakap hari itu masa janda dia datang," ujar Kak Ros yang duduk balik menyaingi Rania.

Terkebil-kebil Rania mendengarnya.

"Walaupun dia bergurau tapi akak tau Ren, dia ada hati pada Ren. Tak sedar diri betul adik akak ni," seloroh Ros Ilyani selamba.

Rania terkedu dalam gelak tawa Ros Ilyani yang masih bersisa. Sehinggalah dia pulang ke rumah, kata-kata Ros Ilyani masih terngiang-ngiang di telinga Rania.

Sejauh itukah kasih sayang Halim terhadap aku? Aku kira melewati pelbagai peristiwa dan rencam kehidupan, Halim sudah berubah hati tetapi lain pula yang dikata Kak Ros. Mungkinkah gurauan Kak Ros sebenarnya adalah isyarat buatku? Mungkinkah Halim pilihan terbaik buat aku? Barangkali aku boleh menghidupkan kembali sumbu yang kian layu daripada pelita hidupnya? Mampukah aku?

"Dengan Ren saja akak nampak dia bersemangat untuk bercerita dan berjenaka. Kalau dengan orang lain jangan mimpilah. Bekas isteri dia datang pun, dihambatnya suruh balik."

Kata-kata Ros Ilyani menyusup terus dan masuk ke hati limpa Rania. Membekas lalu diproses ke minda. Banyak yang tersambar di benaknya tatkala kisah Halim dipaut dan dirantai-rantaikan dengan kisah hidupnya.

Barangkali Halim boleh menyelesaikan kemelut yang aku hadapi bersama Ummar Qayyum. Ini yang terbaik buat kami, putus Rania. Setelah difikir, ditimbang tara dengan minda dan jiwa dan kemudiannya diistiqarahkan dalam solat, dia tekad. Meskipun dia tidak nampak bayangan keputusan yang sebenar, tapi keputusan tetap dibuat. Lantas keputusan nekad itu jugalah yang disampaikan pada ibu di suatu pagi minggu.

Putih mata Puan Sri Zalia mendengarnya. Sedetik dia hilang kata-kata. Yang termampu hanya menatap muka sayu Rania.

Anak! Anak! Tak habis-habis kejutan yang kau bawa? Rintihnya sendirian.

"Mama," panggil Rania setelah sepatah kata pun tidak terkeluar daripada mulut Puan Sri Zalia.

Ibunya menghela nafas bingung. Mendadak Puan Sri Zalia terkenangkan wajah Ummar Qayyum, suara mengharap Ummar Qayyum dan sejalur harapan yang pernah diberi kepada anak muda segak yang setia menanti Rania.

"Kenapa Ren?"

"Itu yang terbaik yang dapat Ren buat."

Puan Sri Zalia sudah patah hati untuk berbincang tentang hal Rania dengan Ummar Qayyum. Dia sudah penat. Dia sudah lelah. Kalau aku berasa demikian, bagaimana pula dengan Ummar Qayyum.

"Qayyum dah tahu?" tanya Puan Sri Zalia lesu.

Rania menggeleng. "Kalau Qayyum hubungi mama, pohon mama sampaikan keputusan ini pada dia dan juga sampaikan salam kemaafan Ren padanya," ucap Rania sebelum pergi meninggalkan ibunya sendirian.

Dia masuk ke biliknya, menelefon Ros Ilyani dan memaklumi wanita itu bahawa dia akan sampai di Janda Baik dalam masa terdekat.

"Ribut tidak, taufan tidak, tiba-tiba muncul," usik Ros Ilyani yang sedang menyapu sampah di laman rumah. Angin lembut yang bersepoi mendinginkan suasana. Rania lebih selesa duduk di pangkin bawah pohon nangka.

"Nampak macam nak hujan, sebelum hujan Kak Ros nak bakar sampah dulu," ujar Ros Ilyani. Daun-daun kering yang dilonggokkan setempat senang saja dijilat api. Ros Ilyani capai pula ranting-ranting kecil lalu dicampakkan juga ke dalam longgokan yang makin merah meratah ranting-ranting kering.

"Mama tahu tak datang sini?" tanya Ros Ilyani yang sudah pun duduk menyaingi Rania di atas pangkin.

"Tahu Kak Ros, Ren dah beritahu."

"Abang Rais apa khabar?"

"Entahlah Kak Ros. Dah lama benar dia tak datang ke rumah mama."

"Sibuklah tu. Dah mengandung isteri dia?"

"Entah! Ren tak pernah ambil tahu," sahut Rania ikhlas.

Baiknya hati Kak Ros. Sudah disiram racun oleh Haryati ke jiwanya, masih sudi lagi dia mengambil tahu perkembangan orang itu.

"Kita ajak Halim jalan-jalan," usul Rania.

"Jalan mana?"

"Dekat tasik rekreasi."

"Entah dia hendak entah tidak."

"Cubalah ajak."

Terkejut Ros Ilyani bila Halim sudi ikut serta. "Sebab Ren ajak kot," bisik Ros Ilyani sewaktu mereka berdua menyorong kerusi roda Halim masuk ke dalam bonet kereta.

Rania tersenyum mesra.

Senang hati Ros Ilyani melihat Rania menolak kerusi roda Halim di sepanjang jalan yang berturap cantik dengan batu taman. Dia berjalan di belakang sambil melihat para pemancing sedang sabar menunggu kail direntap. Kebetulan ada pertandingan memancing di tasik tersebut. Sambutan begitu menggalakkan malah orang ramai yang mengambil kesempatan membawa keluarga bersiar-siar makin memeriahkan acara pada petang tersebut.

"Kau tak malu jalan dengan aku? Semua orang pandang. Macam Beauty and the Beast," suara hati Halim bergema.

Dia berasa tidak selesa kerana pengunjung yang berselisih jalan dengan mereka akan memandang dua kali padanya dan Rania.

"Nak malu apa?"

"Aku kan cacat, buruk pula."

"Kau yang saja-saja buat cacat padahal tidak," Rania mengenakannya balik.

"Kau buta barangkali."

"Halim, kita datang ke sini nak bersiar-siar bukan nak bertekak tahu."

"Aku segan. Orang pandang semacam. Mesti orang pelik tengok gadis secantik kau jalan dengan orang cacat macam aku."

"Apa kau merepek ni?"

"Aku cakap yang betul. Tengoklah cara orang pandang tu."

"Siapa suruh kau berkurung di rumah? Kalau kau selalu jalan-jalan dan berterapi di sini dan orang pun kenal kau. Lama-lama pun mereka tak kisah."

Diam sejenak Halim. Berhujah dengan gadis bijak dan cergas macam Rania, tidak akan ada penyudah.

Sambil menolak kerusi Halim, Rania mencari jalan untuk mengkhabarkan keputusan yang telah diputus. Suka atau tidak keputusan itu harus dikhabarkan. Menoleh ke belakang, Rania nampak Ros Ilyani sedang berbual dengan seorang wanita separuh umur. Asyik benar mereka bercerita. Rania terus menolak kerusi roda Halim dengan fikiran yang bersimpang-siur.

"Kau nak kahwin dengan aku Lim?" Akhirnya terlontar juga soalan yang sekian lama tersengkak di kerongkong Rania.

"Apa?" tanya Halim sambil memalingkan mukanya dari pemandangan yang sedang ditatap. Dia berasa ragu-ragu dengan apa yang didengar.

"Aku tanya kau nak kahwin dengan aku tak?" Kali ini suaranya ditekankan.

Terdiam seketika Halim dibuatnya.

"Kau tak dengar ke apa yang aku tanya?"

"Dengar."

"Habis kenapa diam saja."

"Kau gila tanya soalan macam tu?"

"Aku tanya ikhlas."

"Orang bodoh saja tak hendak kahwin dengan kau."

"Jadi kau orang bodoh ke orang tak bodoh?"

"Dah habis ke lelaki dalam dunia ni Ren?"

"Kau suka sangat bergaduh dengan aku. Soalan aku mudah saja. Kau hendak kahwin dengan aku atau tidak?"

"Soalan bodoh!"

"Sudi atau tidak?" Rania mara ke depan, ditatapnya wajah Halim dengan serius.
Gementar jiwa raga Halim direnung gadis seanggun Rania.

"Kau jangan main-main Ren. Aku menggelabah ni."

"Halim, dari jiwa raga aku yang tulus, aku tanya kau sekali lagi. Sudi tak kau kahwin dengan aku?"

"Aku, aku ...cacat!"

"Kau memang degil dan tak faham bahasa. Soalan aku mudah saja Halim. Kau sudi atau tidak?"

"Aku sudi."

Rania pandang muka Halim yang tiba-tiba jadi sayu. Dilemparkan sebuah senyum. Untuk pertama kali juga Halim membalas senyum Rania dengan seikhlas-ikhlasnya. Sebuah kehidupan baru bagai dianugerahkan padanya.

"Kenapa ni?" Ros Ilyani yang baru saja menyaingi mereka berasa pelik melihat situasi luar biasa itu.

Kedua-dua teruna dara itu tersenyum. Hanya mereka berdua sahaja yang tahu apa yang berlaku.

"Ribut tidak taufan tidak tiba-tiba ada hujan turun," Ros Ilyani berfalsafah.

"Hujan cinta yang membasahi tanah gurun yang hampir merekah," sampuk Halim pula.

Tambah bingung Ros Ilyani mendengarnya. Apa sudah jadi pada adik aku? Fikirnya tapi tidak lama kebingungan itu bertahan. Setelah dijelaskan oleh Rania akan rancangan mereka berdua, Ros Ilyani tergamam seketika.

"Ren serius ke?" tanya Ros Ilyani entah untuk kali yang ke berapa.

Risaunya bukan kepalang tambah-tambah sewaktu dilihat wajah Halim yang bersei-seri sejak Rania mengusulkan cadangan tersebut. Dari balik pintu kamar Halim yang terkuak, pilu rasa hati Ros Ilyani melihat adiknya khusyuk bersolat Asar dalam keadaan duduk.

"Serius Kak Ros," sahut Rania bersahaja.

"Kak Ros risau Ren."

"Kenapa?"

"Kak Ros takut Ren usulkan cadangan tersebut sebab termakan dengan kata-kata Kak Ros tempoh hari."

"Taklah Kak Ros. Keputusan ini tak ada kena mengena dengan apa yang Kak Ros kata."

"Tapi nampak terburu-buru."

"Tak Kak Ros. Ren dah fikir panjang malah Ren dah cakap pada mama yang Ren nak kahwin dengan Halim."

"Walau apa pun kata Ren, Kak Ros sukar nak terima."

"Kenapa?"

"Tengoklah keadaan Halim tu Ren."

"Patutlah Halim selalu berasa rendah diri. Kak Ros tak menyokong dia."

"Ren tak kenal adik akak."

"Bagi kami peluang Kak Ros."

Ros Ilyani tidak mampu berkata apa-apa lagi. Dia berasa gerun mendengar keputusan berani Rania. Melihat Halim senyum lebar melambai Rania di beranda rumah makin membuatkan jantung Ros Ilyani berdetak kencang.

Rania! Kau tak berfikir panjang dalam membuat keputusan. Halim! Kau bermain dengan api besar! Suara Ros Ilyani berbicara sendiri.

Rania melepaskan sebuah keluhan berat sewaktu kereta yang dipandu menuruni bukit di kawasan Janda Baik menuju ke lebuh raya Karak.

Betulkah keputusan yang aku buat? Soalnya sendiri. Terbayang-bayang muka terkejut bercampur ceria Halim berselang-seli dengan wajah kebingungan Kak Ros. Mengapa Kak Ros seperti tidak yakin dengan keputusan aku? Bagaimana aku di mata Kak Ros?

Fikirannya bertali arus mengenangkan hal tersebut sehinggalah akhirnya kereta yang dipandu sudah sampai di perkarangan rumah ibunya. Bukan sahaja Ros Ilyani yang ragu-ragu dengan keputusan yang telah dibuat, bahkan ibu dan ayahnya juga berulang-ulang kali memohon kepastian tentang keputusan yang telah diberi.

"Ren dah tekad mama, ayah. Ren dah jumpa Halim dan Kak Ros tadi. Tak ada masalah untuk mereka berdua terima Ren," jelas Rania.

Lemah lutut Puan Sri Zalia mendengarnya. Jauh di sudut hati dia masih berharap agar Rania mengubah keputusannya tapi apabila keputusan itu sudah sampai ke pengetahuan Halim dan Ros Ilyani, ibaratnya keputusan sudah muktamad. Tan Sri Razlan hanya mengeluh kecil.

"Kalau itu keputusan Ren, ayah dan mama terpaksa akur," ujar ayahnya.

Puan Sri Zalia nampak terkilan benar. Masih terngiang-ngiang kata-kata Ummar Qayyum padanya tempoh hari.

Kasihan Ummar Qayyum.

Bukan Puan Sri Zalia sahaja, Rania juga bagai diseru namanya bila tiba-tiba ingatannya menjunam pada Ummar Qayyum. Rasa bersalah pada anak muda itu tiba-tiba datang menunda-nunda. Dari jendela di kamarnya yang sepi, Rania membuang pandang pada langit yang gelap gelita.

Maafkan aku Ummar Qayyum, bisiknya sendiri. Ditahankan air mata daripada menitik.

Di bawah sebatang pokok ketapang besar, mengarah ke jendela di bilik Rania ada sepasang mata memerhati, dengan mata bergenang sedang jiwa sudah basah.


Bersambung..

Oleh Samsiah Mohd Nor

Sumber: HMetro dan Google

Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pantang Larang dan Makanan Orang Demam Campak

Air kelapa sangat bagus untuk demam campak Nak jaga pemakanan orang demam campak? Ok, aku ada petua dan tipsnya. Segala yang tertulis di sini adalah keluar dari kepalaku, dan pengalamanku menjaga makanan orang demam campak. Ku abadikan di sini. 1. Tidak boleh menggoreng Demam campak ni kita tak boleh nak goreng apa-apa makanan terutamanya guna minyak. Contohnya goreng ikan. Menumis pun tak boleh tau. Sebab apa tak boleh? Sebab ia akan merangsang pertumbuhan campak dan buat ianya kemerah-merahan. 2. Elakkan makanan laut yang gatal Makanan laut, seperti udang, sotong, kerang elok la dikuarantinkan.. Haha~ Bukan kuarantin la tapi jangan makan makanan tu, k. 3. Elakkan yang pedas Cili pun tak boleh makan sebab mengundang kegatalan. Aku ada baca, sup ayam ni bila dibuat sup akan mengeluarkan satu pati yang berkesan khas untuk menyembuhkan demam. Korang letak bawang merah, bawang besar dan bawang putih. Lagi sedap bawang putih tu, tak dipotong, hanya buang kulit, ba

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru, jom kita gali ilmu. Sha dapat dari kawan-kawan bundle juga. ✔ Bale – Ketul, guni atau tokol pakaian/beg/kasut dan lain-lain. Kain 100 – Baju/pakaian yang 100% kapas. Kain Samah – Baju yang diadun dengan 2 material. 50 cotton +50 polyster (poly). 3 kain – Baju diadun dengan 3 material. Cotton + Poly + Rayon. 3 suku / Raglan / 3q – Baju yang mempunyai lengan bersambung dari leher berakhir di siku. Kain sambung – Lengan baju disambung dengan lengan warna lain, contohnya Rolling Stone Tour Euro82, Iron Maiden ‘aces high’ lengan camo. Ada juga kain sambung di dada. Contohnya Hawaii bernombor. Camo – Celoreng Ringer – Baju yang mempunyai warna/getah pada hujung lengan dan leher. Kain pasir / kain bulu katu – Merujuk seluar Lee,Wrangler,Levis era 70/80/90 an. Combo – Jualan melebihi sehelai dengan 1 harga. Single stich – Jahitan satu garisan sama ada pada lengan atau bawah baju. Biasa pada baju vintage.

Tips Pakaian Untuk Konvo

Gambar konvo! =) Assalamualaikum. Apa yang korang perlu ada untuk pakai pakaian konvo? Aku ada sedikit panduan. Top to toe 1. Kasut Lelaki kena pakai kasut kulit (kulit warna gelap –seelok-eloknya warna hitam) Ala, tak mahal pun ada jer yang murah. Perempuan pula kena pakai kasut bertutup, hitam atau warna gelap seakan-akan hitam. Kasut tu mestilah nampak formal. Tak boleh ada lubang-lubang macam kasut Cinderalella. Orang perempuan mesti tau kasut Cinderalela tu macam mana. Kasut Cinderalela tu adalah kasut plastic nipis dan ada lubang-lubang.   Sila beri perhatian, kasut adalah penting. Tak boleh pakai sandal dan selipar. Stoking tak apa, kurang diberi perhatian (bagi perempuan sahaja). Boleh pakai stoking atau tidak. Lelaki kena pakai stoking. Mesti warna gelap, jangan pakai stoking putih pula, sangat pelik. Bagi mereka yang jarang pakai kasut tertutup macam aku ni, boleh juga bawa sandal atau kasut yang selesa untuk digantikan apabila perlu . Ta

Open Tracker