Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 32)]: Kerana Aku Seorang Cikgu



Assalamualaikum...


“CIKGU bernasib baik sebab Puan Rozana tidak mahu memanjangkan kes itu. Anaknya membuat pengakuan bahawa dia yang lari,” jelas Tuan Haji Muhyiddin dengan wajah yang bersahaja.
Kata-kata Tuan Haji Muhyidin tempoh hari sangat mengganggunya.


Aku bernasib baik? Beginikah nasib seorang guru. Hanya berbekalkan ‘nasib baik’? Dahsyatnya! Aku tidak boleh menerima ungkapan yang keluar dari mulut Tuan Haji Muhyiddin. ‘Nasib baik’ yang menyelamatkan seorang guru daripada dakwaan ‘menculik’.

Kalau Amanda Sofea tidak mengaku lari dari rumah dan Puan Rozana memanjangkan kes, bermakna nasib aku di tangan Puan Rozana? Begitukah? Persisnya nasibku di hujung tanduk seseorang? Oh tidak!





Rania tidak mampu meluahkan gelodak yang sedang bergeseran di urat-urat merihnya. Hati berasa sebu. Maruahnya rasa diinjak-injak. Sabarkan aku Tuhan! Sabarkanlah!


Telefonnya berdering.

“Cikgu,” suara Amanda Sofea di hujung sana. Dia bercerita dalam suara yang dibalun rasa bersalah dan kesal. Rania menghela nafas mendengar keluhan Amanda Sofea. Siapa sangka anak gadis bawah umur itu lebih mengerti perasaan hatinya. Dengan rendah hati Amanda Sofea mengucapkan terima kasih dan memohon maaf atas kekhilafan yang dilakukan oleh ibu.

“Amanda benar-benar malu dengan apa yang berlaku cikgu,” luahnya lagi.

“Itu semua tak penting Amanda. Yang penting Amanda selamat dan jaga diri serta kandungan Amanda tu.”

“Amanda ingat pesanan cikgu.”

“Amanda mesti belajar betul-betul untuk masa depan Amanda. Dan cikgu minta maaf sebab tak dapat jaga Amanda lama-lama dan terpaksa maklumkan hal Amanda pada pihak pentadbir.”

“Cikgu dah buat yang terbaik untuk Amanda.”

“Amanda jangan bimbang, tak ada siapa di sekolah tahu apa yang menimpa Amanda kecuali Jeerah dan pihak pentadbir.”

“Amanda tak kisah cikgu. Yang paling penting mama tak jadi gugurkan kandungan Amanda.”

“Alhamdulillah. Cikgu gembira.”

“Amanda akan ke Melaka. Masuk sekolah Sinar Harapan.”

“Cikgu tumpang gembira.”

“Cikgulah yang jadi lilin membakar diri cikgu untuk Amanda. Amanda sayang cikgu...”

“Cikgu pun sayang Amanda.”

“Selagi hayat dikandung badan, Amanda tak akan pernah lupakan cikgu.”

Air mata Rania gugur mendengar pengakuan diselangi suara tangisan Amanda di seberang sana. Remuk redam rasa hati. Suara kesedaran yang lahir daripada gadis kecil itu sudah cukup untuk menerbangkan taufan besar yang melanda dirinya sejak akhir-akhir ini.

“Cikgu akan buat apa sahaja untuk anak-anak murid kesayangan cikgu,” janji Rania.

Hati yang luka terubat mendadak. Bagai Tuhan menyuntik semangat luar biasa dalam hidupnya tatkala mendengar kata-kata Aamanda Sofea. Kalau aku terpaksa jadi lilin dan membakar diri untuk menerangi orang lain, tak mengapalah walaupun hakikatnya aku mahu jadi matahari yang menyinari segenap alam. Aku mahu jadi bulan, yang menerangi gelap malam. Aku mahu jadi bintang-bintang gemerlapan yang mampu menghamparkan permaidani harapan.

Barangkali aku perlu berhijrah! Ujarnya tiba-tiba setelah hampir dua minggu menguliti masalah itu. Matanya berkaca-kaca. Entah daripada mana datangnya ilham yang sedemikian? Dan untuk sekian kalinya aku perlukan bantuan ayah, fikirnya lagi dalam perjalanan pulang ke rumah.

Tidak seperti biasa, kepulangannya kali ini berbeza. Lazimnya akhir-akhir ini dia tidak banyak bercakap tapi hari itu banyak pula soalan yang diajukan pada ibu tentang ayah.

“Ayah balik nanti, Ren tanyalah,” Puan Sri Zalia berasa pelik melihat tingkah aneh sang anak.

“Lama lagi ke mama?”

“Tunggu sajalah.”

“Kalau Ren telefon...,” Rania bersorong papan tarik papan dengan ibunya.

“Kan mama kata ayah tengah meeting. Apa yang kecoh-kecoh sangat ni, sabarlah. Malam nanti ayah balik, hah cakap saja.”

Rania diam sejenak. Dia pun tidak tahu mengapa dia kelam-kabut begitu. Barangkali sebab ‘hijrah’ yang tiba-tiba melanda hatinya. Terkenang sekolah, hatinya hiba semula. Pinggan tak retak, nasi tak dingin. Kalau mereka tak sudi, aku pergi, detik hatinya sayu.

“Ren, mama nak cakap dengan Ren sikit,” ujar Puan Sri Zalia memecah sunyi yang mengepung mereka.

“Nak cakap apa ma?”

“Mama nak tahu tentang hubungan Ren dengan Qayyum. Macam mana?”

Terkedu Rania seketika sewaktu nama Ummar Qayyum disebut ibu. Rasanya seperti seabad lamanya nama Ummar Qayyum tidak dibayangi hati. Sipi-sipi pun tidak. Mengapa? Sudah tidak ada lagikah segala rasa yang dulunya melimpah ruah? Sibuk benarkah dirinya dengan masalah sekolah sehingga tidak sempat memikirkan soal lain? Atau adakah dia sudah patah hati?

Bagaimana dengan Ummar Qayyum? Sekali sahaja lelaki itu munculkan diri dan bertanya tentang mereka. Selepas itu Ummar Qayyum juga sepi. Sejalur senyum luka yang dilempar Ummar Qayyum sewaktu mesyuarat PIBG masih terbayang-bayang di mata Rania. Barangkali Ummar Qayyum juga sudah patah hati seperti aku.

“Ren,” suara ibu membelah kenangan yang beruntaian
di sukma Rania.

Rania kelu.

“Ren, pandang muka mama,” pujuk si ibu lagi.

“Mama, Ren tak nak bincang tentang Ummar Qayyum.”

“Ren, mama tak tahu apa yang Ren cari dalam hidup Ren. Mama cuba fahami tapi sukar sekali. Bila mama izinkan Ren berbuat apa yang Ren rasakan betul tidak bermakna mama bersetuju. Tetapi mama diam sebab mama hormati keputusan Ren walaupun sebenarnya mama begitu keliru.”

Jiwa Rania rasa sebak. Luahan kata-kata mama menikam kalbunya. Air
di matanya sudah bergenang-genang.

“Mama kenal anak mama. Mama tahu ada sesuatu yang mengganggu Ren tapi Ren rahsiakan daripada mama. Tetap mama hormati keputusan Ren untuk tidak berkongsi rahsia dengan mama, tapi....”

Rania pandang wajah ibu. Wajahnya sudah basah.

“Kalau dah bertalu-talu persoalan dari Qayyum yang inginkan penjelasan tentang hubungan Ren dengan dia tak mampu mama jawab....”

“Mama....” Rania rebah di pangkuan ibunya sebelum sempat Puan Sri Zalia menghabiskan ayat seterusnya. Dia menangis teresak-esak. Puan Sri Zalia usap rambut Rania.

“Mama rasa sangat bersalah pada Ummar Qayyum angkara perbuatan anak mama padanya. Mama rasa bersalah sangat....”
“Mama....” Tangisan Rania tertahan-tahan.

“Bincang dengan mama. Mamakan ada,” pujuk Puan Sri Zalia.

Rania angkat mukanya yang berladun air mata. Sekian lama air mata tidak ditumpahkan. Dia berasa sedikit lapang. Nafasnya tercungap-cungap. Puan Sri Zalia tatap wajah anak gadis sungguh-sungguh.

“Jangan memangsakan insan lain yang tidak berdosa atas prinsip yang kita pegang Ren,” pesan Puan Sri Zalia sejujurnya.

Rania memeluk ibunya kuat-kuat. Sekali lagi tangisannya dilepaskan dengan sesungguh hati.

“Ren banyak makan dalam. Mama nampak muka Ren tak macam dulu. Ceritalah pada mama. Kalau bukan mama, siapa lagi untuk Ren ajak berbincang?”

Rania menelan liur. Dikumpulkan kekuatan seraya mengimbas perlahan detik-detik yang berlaku antara dirinya dengan Ummar Qayyum.

“Memang Ren bersalah buat Qayyum macam tu mama,” Rania luahkan rahsia hati.

“Kenapa Ren buat macam tu? Ren dah memang tak sayangkan Qayyum lagi?” soal Puan Sri Zalia mahu tahu.

Sekali lagi Rania menangis. Terkenang saat-saat indah bersama Qayyum. Kiranya selama ini dia mendustai dirinya sendiri. Bodohkah aku?

“Ren tak cintakan dia lagi?” tanya Puan Sri Zalia.

“Ren perlukan Ummar Qayyum mama.” Serentak itu air matanya merembas. Baru dia rasa lega setelah ungkapan itu dilepaskan. Betapa sengsaranya menipu diri sendiri. Betapa terseksanya menyakiti hati orang yang dicintai.

“Kalau Ren masih sayang kenapa Ren minta putus?” Air muka Puan Sri Zalia bercelaru.

“Sebab Murni,” akhirnya terlepas juga sebuah duka yang bersarang di jiwa. Biar apa pun anggapan Murni terhadapnya kini. Dia tidak kisah. Hakikatnya dia sudah tidak sanggup menanggung bebanan perasaan yang maha dahsyat.

“Murni? Siapa Murni tu?”

“Anak angkat Nenek Ninda.”

Wajah Puan Sri Zalia bersalut keliru. Setelah dijelaskan serba sedikit oleh Rania, barulah Puan Sri Zalia faham kedudukan sebenarnya.

“Inilah masalah Ren sejak dulu. Selalu sangat percaya cakap orang lain. Mama ingat kes Ren dengan Farhan dulu mengajar Ren erti kehidupan yang bengkang bengkok ini tapi ternyata Ren tak belajar.”

“Tolong mama, jangan ungkit kisah lepas.”

“Ren, ada ketikanya manusia suka menangguk di air keruh. Ren suka buat keputusan tanpa menyiasat. Ren terima bulat-bulat apa yang orang kata.”

“Maksud mama, Murni berbohong?”

“Ren fikirlah sendiri sebab Ren yang berhadapan dengan permasalahan itu. Mama hanya boleh memberi nasihat,” tutur ibunya.

Kata-kata ibunya masuk juga di benaknya tetapi dia malas memanjangkan hal tersebut. Dia naik ke biliknya setelah selesai perbualan dengan ibu.

Dipandangi rumput hijau dari jendela biliknya yang terkuak. Rasa segar disapa angin petang yang mulai memanggil senja. Langit mulai berubah dari biru gelap ke daerah kelam. Bukan alam sahaja yang berubah. Aku juga, fikirnya yang sememangnya mempunyai perancangan lain yang lebih besar.

Soal hati diserahkan pada Allah SWT. Dia malas memikirkan hal itu lagi. Dia mahu memandang ke depan. Dia mahu berhijrah. Kalau boleh hijrah seluruh hidup. Justeru, sebaik sahaja mendengar suara ibu dan bapanya berbual di ruang tamu utama, Rania bergegas turun. Sambil makan malam, Rania menyuarakan isi hatinya pada bapa. Wajah bapanya tenang sahaja. Sedikitpun tidak menunjukkan rasa terkejut apabila Rania bertanyakan tentang kekosongan di sekolah-sekolah dalam daerah yang sama.

“Ren nak tukar sekolah ke? Tan Sri Razlan bertanya.

“Ada seorang cikgu yang kena tukar tapi dia sedang cuti bersalin. Ren diberitahu dia tak hendak tukar. Ren ingat nak ganti tempat dia,” jelas Rania.

“Ren nak volunteer?”
Rania angguk.

“Kenapa? Ada masalah di sekolah sekarang?”

“Mana tempat yang tak ada masalah ayah? Ren cuma rasa macam Ren tak diperlukan di situ,” luah anak gadis itu. Suara hatinya kedengaran sayu di telinga Tan Sri Razlan.

“Kenapa rasa begitu? Ada apa-apa yang berlaku di sekolah tu tanpa pengetahuan ayah?”

“Ada beberapa peristiwa berlaku tapi yang Ren lalui baru-baru ni agak sukar untuk Ren terima.”

“Kes pelajar mengandung?”

“Oh ayah tahu!” ujar Rania dengan suara mendatar. Dia tidak terkejut kalau ayahnya tahu lebih banyak daripada apa yang dia tahu.

“Kalau Ren tak keberatan, ceritakan pada ayah apa yang sebenarnya berlaku.”

Entah mengapa kali ini mudah saja Rania menyampaikan segala cerita kepada kedua-dua orang tuanya. Tekun pasangan suami isteri itu mendengar.

“Sebelum tu, ada juga kes lain tapi dah selesai,” cerita Rania.

“Anak Puan Wan Sharwin tu?” tanya Tan Sri Razlan.

Rania angguk.

“Kisah Ren tu naik juga ke kementerian,” maklum ayahnya. “Ren ingat tak sepasukan pegawai kementerian datang jumpa Ren?”

“Ingat ayah.”

“Ayah arahkan pegawai-pegawai memantau dan membuat laporan kedua. Kemudian kami bandingkan dengan laporan pertama.”

Barulah Rania faham kedudukan sebenarnya. Patutlah pegawai-pegawai tersebut begitu profesional dan beretika, fikir Rania.

“Ren marah?”

Rania menggeleng. Dia sedar bahawa prosedur tersebut perlu dilaksanakan dan menjadi tanggungjawab ayahnya sebagai Pengarah Pendidikan untuk arahkan siasatan.

Melihat kematangan Rania menangani permasalahan, Tan Sri Razlan berasa lega tetapi berbeza pula dengan Puan Sri Zalia. Ternganga mulutnya mendengar cerita Rania. Banyak kisah yang berlaku pada Rania di sekolah rupanya tapi haram secuit pun dia tidak tahu.

Berahsia benar budak bertuah ini! Patutlah kalau pulang sekolah, rusuh sahaja air mukanya rupa-rupanya banyak beban yang digalas.

“Tak pernah cakap pada mama pun,” lama kemudian baru Puan Sri Zalia bersuara.

“Tak perlu mak. Lagipun kalau cakap buat mama risau saja, baik jangan.”

“Ayah kan ada. Kenapa biarkan orang lain membuli Ren?”

“Bukan buli mama, salah faham saja.”

“Kalau mama jadi Ren, tak adanya mama nak biarkan orang pijak-pijak mama,” cebik Puan Sri Zalia.

“Ren anak yang hebat. Tak suka ambil kesempatan,” puji Tan Sri Razlan dengan senyum megahnya.

“Bukankah itu hasil didikan ayah dan mama?” sampuk Rania pula.

Jelas rasa bangga bernaung di wajah Tan Sri Razlan.

“Jadi sekarang ni, Ren pasti Ren nak tukar sekolah?” tanya Tan Sri Razlan lagi.

“Ya ayah, tapi kalau boleh Ren pohon ayah tempatkan Ren di sebuah sekolah yang sesuai dengan jiwa Ren.”

“Sesuai dengan jiwa Ren?” tanya Tan Sri Razlan.

Rania senyum manja. Kali ini biar ayah juga yang membuat keputusan untuknya.

“Tapi Ren perlu maklumkan pada pengetua sekolah bahawa Ren secara sukarela mahu dipindahkan. Nanti ayah suruh pegawai ayah uruskan,” janji Tan Sri Razlan. Mendengar itu, lapang rasa dada Rania.

Esoknya, tanpa berlengah-lengah lagi, Rania mengadap Tuan Haji Muhyiddin lantas memakluminya tentang kes pertukaran tersebut bagi menggantikan tempat Puan Syarina.

Tuan Haji Muhyidin pandang wajah redup Rania. Hatinya tertanya-tanya. Semua orang bergelut hendak kekal di sekolah berprestij ini tapi kenapa cikgu ini tawarkan diri?

“Cikgu serius ke ni?”

“Ya Tuan Haji, saya serius. Sebaik sahaja Cikgu Syarina habis pantang, saya akan pergi, menggantikan tempatnya.”

Sekali lagi Tuan Haji Muhyiddin berganti pandang dengan Puan Roziah.
“Kenapa cikgu tawarkan diri?” Rasa ingin tahu menjentik tangkai hati Tuan Haji Muhyiddin. Merajuk dengan sekolah inikah? Teka Tuan Haji Muhyidin dalam hati.

“Saya masih sendiri, belum berumah tangga. Puan Syarina pula duduk dekat-dekat sini, dah berumahtangga dan ada anak-anak kecil, baru bersalin pula. Kalau kena pindah, banyak masalah akan timbul untuk dia sekeluarga,” jelas Rania.

“Kalau begitu, tak apalah. Nanti Puan Roziah akan uruskan hal pertukaran tersebut,” janji Tuan Haji Muhyidin.

Kali kedua Rania berasa lega dan rasa ringan di pundaknya sebaik sahaja keputusan besar itu telah dilaksanakan. Dari pejabat Rania naik tangga menuju ke kelas 4 Mercury. Melihat pelajar-pelajar 4 Mercury yang tekun membuat karangan, hiba juga rasa di hati.

Akan kutinggalkan kelas yang kuajar ini. Bukan kelas ini sahaja bahkan sekolah ini juga akan kutinggalkan. Tak sampai setahun rupa-rupanya khidmatku di sini. Fikirnya sendiri sewaktu memantau para pelajar. Habis kelas dia menuju ke bilik guru. Dia teringat buku-buku latihan yang belum disemak. Dia mahu menghabiskan sisa-sisa kerja sebelum berpindah.

“Ren nak pindah?” tanya Nurul Ain perlahan sebaik sahaja Rania duduk di sebelah kerusinya.

“Mana Kak Nurul tahu?” tanya Rania balik. Terkejut juga kerana setakat ini tidak ada siapa pun yang dimaklumkan kecuali pihak pentadbir.

“Puan Roziah. Tadi masa akak masuk pejabat, sempat dia berbisik pada akak.”
Rania tertawa kecil. “O...cepatnya.”

“Kenapa offer diri?” Murung wajah Nurul Ain. Dia berasa pelik kerana tiba-tiba saja Rania mahu pindah.

“Kasihan pada Cikgu Syarina,” sahut Rania tenang.

“Takkan sebab itu saja,” pintas Nurul Ain. “Ada apa-apa ke yang berlaku di sekolah ini yang akak terlepas pandang?” Nurul Ain tidak berpuas hati.

“Tak ada apa-apa Kak Nurul.”

“Ren, Kak Nurul kenal Ren. Walaupun kita sibuk di sekolah dan kadang-kala tak sempat nak bertegur sapa tapi Kak Nurul dapat agak ada sesuatu yang berlaku yang Ren rahsiakan daripada akak.”

Tiba-tiba Rania rasa sebak. Sebak seperti semalam sewaktu berbincang dengan ibu. Aduhai hati, kuatlah. Aku tidak mahu merintih dan menagih simpati orang. Cukup-cukuplah!

“Eh Ren, akak dengar Ren minta pindah. Betul ke?” suara lantang Kak Wan memecah sunyi di bilik guru.

Rania terkedu. Nurul Ain pun. eberapa orang guru yang tadinya tekun membuat kerja memandang antara satu sama lain. Suara guru-guru mulai kedengaran tidak berbutir. Beberapa orang guru sudah bergerak menghampiri meja Rania.

Semua mahu tahu berita terkini!


Bersambung...

 Oleh Samsiah Mohd Nor

Sumber: HMetro dan Google


Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!

Ulasan

  1. Wah, sekarang ni buat novel pulak ke? Samalah kita, x lama lagi, jai akan buat jugak.. Tapi bukan Jai yang tulis la, org rumah..he3

    BalasPadam

Catat Ulasan

Nak tinggalkan komen ek? Sila-sila =)
Pastikan tak menyinggung perasaan sesiapa ya.
Happy blogging.

”Jom like page fb blog”

Catatan popular daripada blog ini

Pantang Larang dan Makanan Orang Demam Campak

Air kelapa sangat bagus untuk demam campak Nak jaga pemakanan orang demam campak? Ok, aku ada petua dan tipsnya. Segala yang tertulis di sini adalah keluar dari kepalaku, dan pengalamanku menjaga makanan orang demam campak. Ku abadikan di sini. 1. Tidak boleh menggoreng Demam campak ni kita tak boleh nak goreng apa-apa makanan terutamanya guna minyak. Contohnya goreng ikan. Menumis pun tak boleh tau. Sebab apa tak boleh? Sebab ia akan merangsang pertumbuhan campak dan buat ianya kemerah-merahan. 2. Elakkan makanan laut yang gatal Makanan laut, seperti udang, sotong, kerang elok la dikuarantinkan.. Haha~ Bukan kuarantin la tapi jangan makan makanan tu, k. 3. Elakkan yang pedas Cili pun tak boleh makan sebab mengundang kegatalan. Aku ada baca, sup ayam ni bila dibuat sup akan mengeluarkan satu pati yang berkesan khas untuk menyembuhkan demam. Korang letak bawang merah, bawang besar dan bawang putih. Lagi sedap bawang putih tu, tak dipotong, hanya buang kulit, ba

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru, jom kita gali ilmu. Sha dapat dari kawan-kawan bundle juga. ✔ Bale – Ketul, guni atau tokol pakaian/beg/kasut dan lain-lain. Kain 100 – Baju/pakaian yang 100% kapas. Kain Samah – Baju yang diadun dengan 2 material. 50 cotton +50 polyster (poly). 3 kain – Baju diadun dengan 3 material. Cotton + Poly + Rayon. 3 suku / Raglan / 3q – Baju yang mempunyai lengan bersambung dari leher berakhir di siku. Kain sambung – Lengan baju disambung dengan lengan warna lain, contohnya Rolling Stone Tour Euro82, Iron Maiden ‘aces high’ lengan camo. Ada juga kain sambung di dada. Contohnya Hawaii bernombor. Camo – Celoreng Ringer – Baju yang mempunyai warna/getah pada hujung lengan dan leher. Kain pasir / kain bulu katu – Merujuk seluar Lee,Wrangler,Levis era 70/80/90 an. Combo – Jualan melebihi sehelai dengan 1 harga. Single stich – Jahitan satu garisan sama ada pada lengan atau bawah baju. Biasa pada baju vintage.

Tips Pakaian Untuk Konvo

Gambar konvo! =) Assalamualaikum. Apa yang korang perlu ada untuk pakai pakaian konvo? Aku ada sedikit panduan. Top to toe 1. Kasut Lelaki kena pakai kasut kulit (kulit warna gelap –seelok-eloknya warna hitam) Ala, tak mahal pun ada jer yang murah. Perempuan pula kena pakai kasut bertutup, hitam atau warna gelap seakan-akan hitam. Kasut tu mestilah nampak formal. Tak boleh ada lubang-lubang macam kasut Cinderalella. Orang perempuan mesti tau kasut Cinderalela tu macam mana. Kasut Cinderalela tu adalah kasut plastic nipis dan ada lubang-lubang.   Sila beri perhatian, kasut adalah penting. Tak boleh pakai sandal dan selipar. Stoking tak apa, kurang diberi perhatian (bagi perempuan sahaja). Boleh pakai stoking atau tidak. Lelaki kena pakai stoking. Mesti warna gelap, jangan pakai stoking putih pula, sangat pelik. Bagi mereka yang jarang pakai kasut tertutup macam aku ni, boleh juga bawa sandal atau kasut yang selesa untuk digantikan apabila perlu . Ta

Open Tracker