Selasa, 19 April 2011

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 31)]: Dahan Mana Nak Kupaut?

Gambar dari lensa Abangku, Khairon Azhar. Tempat: Jerman.


Assalamualaikum...

"TOLONG jangan ganggu I lagi," itulah ucapan Rania petang semalam.
"Ganggu?"

"Ya, I tak mahu diganggu."

Diajak berbincang, lain pula yang dia dapat. Ummar Qayyum memandangnya seperti tidak percaya. Dalam tidak percaya, masih ada selapis jalur harapan dari matanya yang redup.


Rania hanya tersenyum pahit. Tanpa sepatah kata, dia berlalu seperti angin petang yang pergi.

Mengenangkan peristiwa petang semalam, hati Ummar Qayyum makin luka, kian remuk dan darah lukanya mengalir terus tanpa henti.

Sampai hati Rania tinggalkan aku begini! Rintihnya sendiri. Ummar Qayyum masih di daerah kekeliruan yang tidak bertepi. Apa yang berlaku sebenarnya? Apa? Puas ditanyakan pada Puan Sri Zalia, wanita anggun itu sekadar mengeluh.
 



Dihala pula soalan pada Yusree, teman rapat itu menasihatinya agar bertemu muka dengan Rania dan disuruh berterus-terang. Juga telah dilakukan tetapi tiada respon daripada Rania.

Rania tidak mahu berterus-terang. Rania bagai menyembunyikan sesuatu. Apa yang dirahsiakan Rania? Bermacam-macam hipotesis yang sudah Ummar Qayyum bentangkan termasuklah berkemungkinan besar Rania sudah ada pengganti tetapi bila ditanya gadis itu hanya diam.

Ummar Qayyum jadi penat. Jadi letih dibuat Rania. Usahanya sia-sia. Tamsilnya Rania menggantungnya tanpa tali. Siapa yang boleh merungkai masalah hati yang sedang dideritai sekarang? Tiada siapa-siapa kecuali Rania.

Rania? Keluhnya tak sudah-sudah. Satu kesimpulan dapat dibuat kini. Rania membencinya. Persoalannya kenapa? Apa salahnya?

Semalam, sewaktu sama-sama bermesyuarat, dia perasan Rania mengelak-elak daripada bertembung pandang dengannya. Gadis itu lebih banyak menunduk sambil menulis butir-butir mesyuarat padahal setiausahanya orang lain. Sesekali Rania memanggung kepala seraya berbisik perlahan dengan cikgu yang duduk di sebelah menyebelahnya.

Suara Nenek Ninda yang riuh-rendah mengacau lamunannya. Dipanggung kepala ke arah datangnya suara sang ibu. Terkedek-kedek wanita bertubuh gempal itu datang dari arah dapur menjinjing dulang. Senyumnya kembang bak kelopak seripagi tatkala sepiring keledek goreng yang masih berasap diletakkan di atas meja kopi di hadapan Ummar Qayyum.

"Makan Qayyum, sedap ni," lawa Nenek Ninda. Kemudian dicapai pula teko lalu dituang Nescafe panas ke dalam cawan. Berkepul-kepul wap panas muncul dan hilang di udara. Ummar Qayyum capai cawan dan teguk Nescafe panas. Hangat rasa di tengkuknya tapi seketika kemudian hilang. Tidak seperti panahan duka yang masih bertakung di dadanya. Dia mengeluh perlahan. Perbuatannya diperhatikan oleh ibu. Jelas rusuh bertakung di wajah anak bujang yang nampak bersarang sejak berperang dengan cinta.

Meskipun Nenek Ninda sendiri sudah berbincang dengan Puan Sri Zalia tentang situasi anak-anak tapi dia juga mahu tahu perkembangan terkini hubungan teruna dara itu dari mulut Ummar Qayyum sendiri. Adakah masih berkabut atau sudah mulai menampakkan bayangan pelangi.

Ummar Qayyum sekadar menghela nafas bosan.

"Hissh, takkan sekadar mengeluh saja," sindir nenek Ninda. "Apa kesudahannya?" tanya Nenek Ninda setelah sekian lama menunggu butir bicara daripada Ummar Qayyum.

Ummar Qayyum tidak mampu menjawab. Dia mati kutu. Hilang arah. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Bagi pihak dirinya memang dia akan setia menunggu Rania tapi bagi pihak Rania dia tidak pasti. Dia sudah banyak beralah meskipun apa yang dilakukan benar-benar seumpama menabur garam di raganya yang kian parah itu. Dulu, bila Rania tiba-tiba membisu kelu, sengaja dia memberi masa untuk Rania berfikir. Tapi bila keadaan kelihatan semakin genting, dia tahu dia perlu bertindak.

Tanpa rasa malu, diheretnya kaki ke rumah sewa Rania. Ketara Rania tidak suka menerima kehadirannya dan terburu-buru mahu pergi. Puas dirayu dan diajak berbincang tentang rancangan pertunangan mereka, malangnya perpisahan yang Rania berikan. Saat itu, hatinya bagai disambar petir.

Sampainya hati Rania! Ulangnya lagi entah untuk kali yang ke berapa. Ummar Qayyum raup mukanya yang berasa panas.

"Dia bencikan saya mak," itu yang dapat Ummar Qayyum rumuskan.

"Hissh, merepek kamu."

"Kalau tak benci, apa?" tanya Ummar Qayyum balik.

"Kamu jangan putus asa. Sabar dulu!" pesan ibunya.

Masih adakah harapan? Soal Ummar Qayyum sendirian. Lihat saja semalam. Usahkan tersenyum, memandang padanya pun Rania tidak sudi. Rania buat tidak tahu padahal dia seperti pungguk memandang Rania yang sesekali berbicara dengan rakan-rakan sejawatan. Kalau sudah begitu, apa lagi yang mahu diharapkan?

"Murni, angkat keledek tu," jerit Nenek Ninda. Tiba-tiba dia teringat keledek goreng yang masih berendam dalam kuali panas di dapur. Nampak kelibat Murni yang terkocoh-kocoh menghala ke dapur, dia pandang semula ke muka anak bongsu yang masih tergapai-gapai memancing jodoh.

"Emak, saya dah buat macam-macam. Bertanya sudah, merayu sudah, menagih sudah malah saya sengaja membisu dan mendiamkan diri sekian lama untuk memberinya ruang dan berfikir tentang kami tapi Rania tetap begitu."

"Membisu dan mendiamkan diri? Kamu fikir perempuan suka kalau kamu buat begitu? Orang perempuan ni Qayyum kena pandai pujuk, kena bijak merayu."

"Ya Allah mak. Saya dah buat semua. Sampai satu tahap Mak cik Zalia pun suruh saya mendiamkan diri. Bagi masa pada Rania untuk bertenang."

"Nampak sangat kamu yang tak pandai ambil hatinya. Mak tak hairan kalau dia merajuk dengan kamu. Dengan Murni dulu pun kamu buat begitu juga," selar Nenek Ninda yang kian menyesakkan lagi dadanya.

Ummar Qayyum sudah malas bercakap. Akhirnya semua kesalahan jatuh padanya. Dia diam saja.

"Entah-entah kamu ada lukakan hati dia tak?" Ke situ pula kesalahan yang Nenek Ninda letak padanya kali ini.

"Saya tak buat apa-apa. Dia pun kata tak ada apa-apa masa saya tanya. Dia kata anggap saja tak ada jodoh antara kami," jelas Ummar Qayyum.

Sungguhpun dihimpit kecelaruan, masih lagi dia berusaha mengenal pasti puncanya.

"Kamu tak perasan kot! Kamu kena ingat Qayyum, perasaan perempuan ni halus. Ada ketikanya perempuan tidak suka berterus-terang tetapi dia memberontak dengan cara lain. Hah! Macam Rania buat itu lah."

"Pening saya mak."

"Pening tak pening, Rania tu kan pilihan kamu!" Nenek Ninda pulang paku buah keras.

"Mak bagi kamu kucing kampung yang lasak, kamu tak hendak. Kamu pilih kucing Parsi yang manja, hah rasa!" sindir Nenek Ninda lagi.

"Ni yang saya malas bincang dengan emak," berdesing telinga Ummar Qayyum mendengarnya.

Kalau betullah Rania itu seperti dakwaan ibunya tidaklah dia marah sangat.
Masalahnya ibu tak tahu bahawa Rania itu lasak orangnya. Bukan manja atau mengada-ngada. Dia berdikari dan berkendiri positif orangnya.

"Hah! Sikit-sikit merajuk. Memberontak. Tak boleh ditegur langsung. Patutlah jodohnya lambat sangat," marah Nenek Ninda.

Mendengar nada suara ibu yang tinggi mendadak, Ummar Qayyum tundukkan muka.

"Nak tegur perempuan jangan sembarangan. Orang tua kata macam menarik rambut dari tepung. Tepung tidak berselerak, rambut tak putus," nasihat Nenek Ninda lagi.

"Dah saya kata, saya tak buat apa-apa yang boleh sakitkan hati Rania."

"Kadangkala manusia bukan saja tak ingat bahkan tak sedar pun kalau-kalau dia dah menyakiti hati orang lain." Tajam sekali peringatan yang diberikan Nenek Ninda.

Ummar Qayyum cuba ingati sesuatu. "Saya pernah sekali menolak ajakan Rania untuk makan malam sebab masa tu Murni datang ke Kuala Lumpur jumpa saya."

Akhirnya diluahkan juga tentang peristiwa itu walaupun jauh di sudut hati dia yakin hal itu tiada kena mengena dengan keputusan Rania untuk membatalkan pertunangan.

"Murni ke Kuala Lumpur?" Dahi Nenek Ninda berkerut. "Bila tu? Sebab apa Murni jumpa kamu?" Nenek Ninda teruja mahu tahu. Hilang kisah Rania muncul pula cerita tentang Murni.

"Dah lama mak. Saya pun dah tak ingat."

"Rania kecil hati dengan kamu tu, kamu ni buat-buat tak faham pula."

"Kecil hati?" tekan Ummar Qayyum. Bosan rasanya bila asyik dicurigai.

"Yalah. Dahlah dia ajak kamu. Kamu tolak pula. Cemburu pun mungkin juga!"

"Rania cemburu?" Ummar Qayyum mempamerkan wajah lawak. "Mustahil mak. Rania bukan jenis begitu. Lagipun saya rasa Rania tak tahu menahu pun tentang Murni ke Kuala Lumpur." Suara Ummar Qayyum diperlahankan sewaktu nampak lenggok Murni datang dari arah dapur.

Sepinggan lagi keledek goreng baru diletakkan Murni di atas meja, berhampiran cawan Nescafe Ummar Qayyum.

"Minum sekali Murni," pelawa Nenek Ninda. Murni duduk di sebelah Nenek Ninda.
Sesekali dia menjeling wajah murung Ummar Qayyum. Dia tahu apa yang mengganggu gugat Ummar Qayyum saat itu.

Baru kau tahu bagaimana rasanya dilukai. Itulah yang aku rasai dan alami malah sehingga kini luka itu masih berdarah! Murni berkata sendiri.

"Tanya baik-baik pada Ren," nasihat Nenek Ninda.

Ummar Qayyum tidak menjawab. Dia tidak selesa untuk berbual tentang masalahnya dengan adanya Murni di situ. Melihat ekor matanya yang berisyarat, Nenek Ninda matikan persoalan tersebut. Ditukar tajuk perbualan kepada hasil getah yang baru diperoleh. Ummar Qayyum tidak berminat mendengarnya.

"Emak ambillah duit. Suka hati emak nak buat apa," seperti biasa itu yang Ummar Qayyum kata.

"Eh, dah banyak duit hasil getah kamu tu Qayyum. Walaupun kamu tak kisah, tengoklah nanti. Tahulah emak nak buat apa!" putus Nenek Ninda.

"Suka hati emak nak buat apa," Ummar Qayyum bangkit lalu menuju ke beranda.

Dikeluarkan telefon bimbitnya dan meneliti kalau-kalau ada mesej pesanan ringkas daripada Rania tapi hampa belaka.

Sampai bila aku harus menunggu? Sampai bila? Sampai bila-bila pun, aku sanggup menunggumu Rania! Janjinya sendiri sedang hati berkocak-kocak.

Kerana rusuh, akhirnya ditekan nombor telefon milik Puan Sri Zalia. Lega sikit dapat berbual dengan ibu Rania. Sambil menyelam, minum air, fikirnya sewaktu perbualan sudah masuk dalam bab dirinya dengan Rania.

"Langsung tak disebut Qayyum." Berat keluhan Puan Sri Zalia didengar Ummar Qayyum. Sekurang-kurangnya bukan dia seorang yang melewati getir itu bahkan ibu Rania juga.

"Saya ingat Ren mungkin berbincang dengan auntie."

"Tak sempat nak berbincang. Hari-hari dia balik lambat. Pulang dengan wajah yang kepenatan. Nak tanya pun, auntie serba salah."

"Saya buntu auntie."

"Auntie faham. Auntie kenal Rania. Auntie yakin ada sesuatu yang mengganggu benaknya. Sabarlah Qayyum."

"Saya boleh sabar auntie tapi masih adakah harapan untuk saya?" Sebuah persoalan dilontarkan pada Puan Sri Zalia.

Terdiam seketika Puan Sri Zalia. Sejujurnya dia tidak berani memberi jaminan. Rania sukar ditafsir.

"Sabar ya Qayyum. Nanti ada masa yang sesuai auntie tanya."

Terkuak selintas cahaya yang sekurang-kurangnya memberinya sehela nafas dalam kegelapan. Sabar! Itulah sisa-sisa harapannya yang tinggal.

"Abang," suara Murni menghancurkan lamunannya. Di sebelahnya berdiri Murni.

Sejak bila Murni tercegat di situ Ummar Qayyum tidak sedar. Barangkali Murni juga terdengar perbualannya dengan ibu Rania sebentar tadi.

"Murni ganggu ke?" tanya si gadis desa yang kelihatan malu-malu.

Senyuman paksa Ummar Qayyum hadiahi.

"Boleh Murni duduk di sini?"

Ummar Qayyum angguk. Saat-saat begitu, dia tidak mahu diganggu tapi masakan mahu berterus-terang dengan gadis pingitan yang lurus bendul ini, fikirnya.

"Er, Murni tak senang tengok abang macam ni. Dulu abang tak pernah begini."

Ummar Qayyum serba salah. Dia tidak berminat langsung untuk berbincang dengan Murni tentang permasalahannya.

"Murni tahu Abang Qayyum tak suka lihat Murni di sini. Betulkan?" Murni mengujinya.

Apa yang perlu kujawab. Sejujurnya memang aku kurang selesa dia berada di sini.

Tadi, sewaktu aku sampai di rumah ibu, hatiku berasa tidak selesa langsung sewaktu melihat Murni di ambang pintu. Bersama emak, Murni menyambut kepulangannya. Aku tidak mahu disambut orang lain selain Rania, getus hatinya.

"Murni sedar Murni siapa di sisi abang," Murni lempar pandangan pada pokok-pokok buah yang berjajaran di laman induk.

Suara jauh hati Murni membuka ruang bersalah di hati Ummar Qayyum. Sudahlah hatinya kulukai, mengenepikannya pula! Melampaukah aku? Tuhan! Tunjukkanlah aku bintang. Bintang yang gemerlap bukan bintang suram.

Murni bangkit dari kerusi dan bergerak gemalai ke ruang beranda, berdiri di sudut anjung seraya menunjukkan wajah seperti orang berfikir. Perlahan-lahan, diangkat wajahnya, dengan lembut dia berpaling pada Ummar Qayyum yang kebetulan sedang memerhatikan perlakuannya.

Dilemparkan sebuah senyuman manis. Ummar Qayyum membalasnya. Kali ini senyumannya tidak seperti tadi. Ikhlas dan penuh pengertian.

"Abang nak bincang dengan Murni?" tanya Murni tatkala dilihat muka Ummar Qayyum jernih kembali.

Debaran Murni datang dengan tidak semena-mena. Dia senang melihat Ummar Qayyum begitu. Sudah lama tidak dapat dinikmati senyum ranum Ummar Qayyum. Sejak hadirnya 'perempuan' itu. Habis disedut madu di wajah Ummar Qayyum. Yang tinggal untukku sepah semata!

Ummar Qayyum meraup anak rambutnya yang jatuh di dahi. Terbayang-bayang lagi di matanya seraut wajah Rania. Wajah yang dulunya sering ceria bak pelangi tetapi akhir-akhir ini mendung tanpa bintang-bintang - berbalam-balam. Rania tidak pernah bermasalah sebelum ini. Tidak pernah buat hal. Tenang dan damai.
Tiba-tiba sahaja Rania berubah.

Betulkah kata emak, aku yang kurang prihatin dan tidak tahu menjaga hatinya. Lalu perlahan-lahan Rania menarik diri. Mula-mula dia jarakkan komunikasi.

Kemudian tanpa angin apatah lagi ribut taufan, Rania hulurkan sebuah salam perpisahan. Begitukah caranya? Sukarnya mengerti perasaan perempuan!

"Apa yang boleh Murni bantu bang?" Murni masih di situ, tidak jemu mencuri perhatiannya.

Dalam aku mengingati Rania, dia setia di sisi! Murni! Murni!

"Abang mahu Murni hubungi Kak Rania? Murni tak suka tengok abang begini."

Terkejut Ummar Qayyum mendengarnya. Semurni itukah hatinya? Sesudah kulukai hatinya, masih lagi dia mengambil berat terhadapku. Murni! Adakah ini balasan untukku setelah dirimu aku kecewakan? Rasa belas tiba-tiba datang dari segenap pelusuk diri.

Terhulur sebuah senyuman dari bibir Ummar Qayyum. "Terima kasih Murni. Abang hargai kebaikan Murni tapi tak mengapalah. Biar abang selesaikan sendiri masalah abang."

"Murni bukan nak jaga tepi kain abang tapi mungkin Murni boleh bantu abang."

"Tak apa, abang boleh selesaikan masalah abang sendiri."

"Siapalah Murni ni untuk bantu abangkan! Murni hanyalah seorang gadis desa yang tak punya apa-apa."

"Murni, bukan itu maksud abang."

"Murni sedar diri Murni bang."

"Jangan salah faham."

"Murni pernah abang tolak sebab abang suka pada Kak Ren. Abang tak terfikirkah barangkali Kak Ren tolak abang atas sebab yang sama?" Murni tusuk hujung jarum di hati Ummar Qayyum yang sedang keliru sehingga terkebil-kebil lelaki itu dibuatnya.

"Abang, kami sama-sama perempuan. Yang membezakan Murni dengan Kak Ren ialah latar belakang kami. Kak Ren anak orang kaya. Hati anak orang kaya tak seperti hati Murni yang mudah menerima takdir," Murni sambung bicara tanpa menunggu kata-kata daripada Ummar Qayyum.

"Maksud Murni?"

"Murni yakin Kak Ren dah ada orang lain, cuma dia tak sampai hati nak cakap pada abang."

Makin bingung Ummar Qayyum mendengarnya. Sejak bila Murni pandai berkata-kata?

Sejak bila dia begitu fasih mentafsir? Spontan, dia teringat pertanyaan yang pernah dilemparkan pada Rania tentang hal itu tapi Rania hanya membisu seribu bahasa.

Mungkinkah? Datang curiga di hati Ummar Qayyum. Kalau benarlah, kenapa Rania tidak mahu berterus-terang?

"Kenapa Murni kata begitu?"

"Perempuan bang, dia boleh berterus-terang tentang segala hal kecuali tentang hati. Dalam hal ini, Murni kuat mengatakan Kak Ren dah ada orang lain. Hatinya dah tak ada pada abang lagi." Begitu yakin sekali Murni meletuskan ayat-ayat yang menjentik ego seorang lelaki bernama Ummar Qayyum.

Kalau begitu, berterus-teranglah Ren. Aku terima kalau itu yang boleh membahagiakan dirimu.

Murni menjeling sekilas ke wajah Ummar Qayyum yang bersimpang-siur itu. Ada bermacam-macam warna di wajah Ummar Qayyum. Warna kehidupan yang baru saja dicalit 'dungu'.

Ummar Qayyum sudah jadi dungu. Baru kau tahu Qayyum. Tinggi rendahnya langit yang kau junjung. Baru kau sedar Qayyum, ada bumi berlopak-lopak yang tidak pernah kau pijak. Dah tercemar kau Qayyum dek ego dan sombongmu!

Murni tertawa dalam hati. Aku bukan saja dapat pulas telinga, malah tanduk juga aku dapat.

Bersambung...

Oleh Samsiah Mohd Nor
Sumber: HMetro

Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...