Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 29): Hari-hari Yang Ddicabar Tengkujuh

Assalamualaikum...
   
RANIA mengurut dada. Dia berasa lega melihat Amanda Sofea ada di tempat yang dijanjikan. Bimbang juga di hatinya, kalau-kalau kelewatannya sampai di tempat itu membuatkan gadis yang dalam dilema itu berubah fikiran. Melihat kelibat Rania muncul, wajah murung Amanda Sofea disiram sejalur cahaya harapan.
“Amanda takut cikgu tak datang,” luah gadis itu. Tangannya terus dipimpin Rania menuju ke kereta.

“Ada hal tadi. Cikgu terlambat. Amanda dah makan?” tanya Rania.

Amanda Sofea kelihatan lemah tidak bermaya. Amanda Sofea menggeleng.


“Kita makan dulu ya,” putus Rania.

Amanda Sofea angguk.

“Macam mana Amanda sampai ke sini? Siapa hantar?” Rania sangat ingin tahu.
“Naik teksi, seorang,” sahut Amanda Sofea.




Sambil menggeleng, Rania mengeluh perlahan. Nasib baik, tidak ada apa-apa yang tidak diingini berlaku. Terima kasih Allah, lindungi budak ini! Begitulah manusia, apabila berdepan dengan tekanan, mereka boleh buat apa sahaja apatah lagi remaja seperti Amanda Sofea yang masih mentah untuk membuat keputusan. Aku juga begitu barangkali. Tekanan membuatkan aku sedikit tabah! Fikir Rania apabila sekilas ingatannya berkalih pada Ummar Qayyum.

Sambil memandu liar mata Rania mencari restoran. Tersilau sebuah restoran yang agak lengang pengunjung, Rania memarkir keretanya.

“Jom makan!” ajaknya.

Tanpa segan-silu, Amanda Sofea menyaingi langkah Rania.

“Agak-agaknya mama tahu tak yang Amanda dah tak ada di rumah?” Rania cuba mencungkil informasi sebaik sahaja Amanda Sofea selesai menjamu selera. Habis sepinggan mi goreng dilahapnya.

Amanda angkat bahu. Wajah yang mulai ceria berubah rona. Dia tidak suka persoalan itu ditimbulkan. Dia tidak suka nama mamanya disebut-sebut. Mama yang baginya pentingkan diri sendiri dan tidak pernah mengerti apatah lagi memahami situasi yang sedang dihadapi.

“Apa yang Amanda buat ni sebenarnya salah.” Berhati-hati Rania membenamkan ayat tersebut di sanubari Amanda Sofea.

“Kalau salah kenapa cikgu cari Amanda?”

“Amanda tahu jawabnya bukan?” Rania merenung mata Amanda Sofea sehingga anak gadis itu dibeliti rasa bersalah.

“Amanda tahu Amanda salah cikgu tapi mama tu tak ada toleransi. Susah nak bawa berbincang dengan mama. Dia ego,” adu Amanda Sofea.

Wajahnya bercelaru. Jiwanya berkecamuk. Puas dijelaskan pada ibu bahawa menggugurkan kandungan adalah perbuatan dosa tetapi ibunya tekad mahu menggugurkan kandungan tersebut.

“Dengan ayah dah bincang?” tanya Rania lagi.

Amanda Sofea telan liur. “Baba pun setuju dengan keputusan mama.”

Masih terngiang-ngiang kata-kata mamanya sebelum dia mengambil keputusan untuk pergi dari rumah itu. Jauh di sudut hati, tertanya-tanya juga dia adakah benar bapa yang sesekali sahaja pulang itu turut bersekongkol dengan ibu?

“Mama kata baba pun setuju.”

“Maknanya Amanda belum berbincang dengan ayah lagi?”

“Baba sibuk cikgu, dulu selalu juga balik tapi sejak baba kahwin lain, jarang boleh jumpa baba cikgu.”

Terkedu Rania mendengarnya. Anak ini kekurangan perhatian dan kasih sayang rupanya. Mendengar penjelasan Amanda Sofea tersebut, Rania tidak sampai hati lagi untuk bertanya. Dia bimbang pertanyaannya bakal menambah beban derita yang barangkali diam-diam ditanggung Amanda Sofea.

Justeru, sampai saja di rumah sewa, terus saja Rania menyuruh Amanda Sofea membersihkan diri. Dia menyediakan pakaian untuk Amanda Sofea. Bila dia masuk ke kamar untuk mengajak Amanda Sofea solat bersama, anak gadis itu sudah lena di atas katil. Tidak sampai pula hatinya untuk mengejutkan Amanda Sofea. Dia solat sendiri.

Selesai solat, dihampiri Amanda Sofea. Wajah Amanda Sofea yang sedang tidur itu ditatapnya. Matanya redup tertutup rapat. Mulut kecilnya sesekali terbuka. Dengkurnya seperti bayi yang benar-benar kelelahan. Dia memang benar-benar penat setelah melalui detik-detik yang mencemaskan.

Alhamdulillah kerana akhirnya aku menemukannya sehelai sepinggang tapi dalam keadaan selamat. Apakah tindakan yang aku perbuat ini wajar? Tidak dia mengizinkan aku menghubungi ibunya. Bagaimana? Perlukah aku akur pada permintaannya padahal aku tahu ibunya wajar dimaklumi. Rania capai beg sandang Amanda Sofea. Di dalamnya ada telefon bimbit kepunyaan anak gadis itu. Perlukah aku hubungi ibunya? Soalnya lagi sewaktu telefon bimbit Amanda Sofea sudah berada di tangan. Setelah bulat dengan keputusannya, aral pula melintang. Telefon itu dikunci dengan kata laluan.

Ah, apa yang harus aku buat? Dia terfikirkan Ajeerah. Terus dihubungi Ajeerah menggunakan telefon bimbitnya pula.

“Tak ada cikgu. Jeerah tak simpan nombor mak Amanda. Kenapa cikgu?”

“Er, tak ada apa-apa.”

“Tadi Jeerah cuba hubungi Amanda, dia tak angkat,” cerita Ajeerah.

“Oh ya ke? Dia okeylah tu. Err, mak Jeerah ada nombor emak Amanda?”

“Tak tahu cikgu. Tapi kalau cikgu nak...”

“Er...tak apalah,” ujar Rania yang tiba-tiba bertukar fikiran. Kalau ibu Ajeerah tahu, sudah pasti dia mengesyaki sesuatu. Bukankah itu memburukkan keadaan?

“Terima kasih Jeerah,” ujarnya seraya mematikan talian. Dipandangi lagi gadis malang yang begitu lena dalam tidurnya. Telefonnya pula berdering.

“Mama...” ujar Rania lirih. Tidak dijawab. Sejak dari tadi, ibunya tidak berhenti-henti menghubungi. Dibiarkan sahaja deringan telefon daripada ibu berdering-dering sehinggalah usai dia menguruskan Amanda Sofea. Sekarang semuanya sudah terkawal. Wajarkah dia menjawab panggilan ibu? Apa mahu ibu? Sebelum ini telah dimaklumkan pada ibu bahawa dia akan bermalam di rumah sewaannya kerana banyak urusan. Atau ada hal penting yang lain? Soalnya sendiri lantas panggilan ibu dijawab.

“Di mana ni?” soal Puan Sri Zalia dengan nada cemas. “Mama telefon dari tadi, kenapa tak angkat?”

Dia mendengus perlahan mendengar bebelan daripada ibu.

“Mama dah telefon ayah sebab bimbangkan Ren,” maklum ibunya tanpa sempat dia menjawab apa-apa.

“Mama, Ren okey. Tak payahlah mama kecoh-kecoh.”

“Mahu mama tak kecoh kalau Ren tak jawab panggilan mama. Apa masalahnya sampai Ren tak boleh jawab panggilan mama?”

“Ren tengah bawa kereta tadi mama,” jelas Rania seraya memandang Amanda Sofea yang sedang berkalih tubuh dalam tidurnya.

“Ren di mana ni?”

“Di rumah sewa Ren.”

“Ren sihat?”

“Sihat ma.”

Baru lapang rasa hati Puan Sri Zalia mendengarnya. Hati ibu mana yang tidak gundah-gulana apabila anak gadis tidak menjawab panggilannya. Zaman sekarang macam-macam boleh berlaku. Itu yang membuatkan Puan Sri Zalia tak senang duduk setiap kali gagal berhubungan dengan anak gadis nan seorang.

“Tadi Qayyum datang,” ujar Puan Sri Zalia apabila keadaan sudah reda. Suaranya lembut penuh keibuan.

Rania diam sahaja.

“Dia dah cerita semua pada mama, seperti Qayyum, mama pun tak faham Ren. Apa masalah Ren sebenarnya?”

“Tak ada apa-apa ma.”

“Hissh kamu ni Ren...macam tu kamu kata tak ada apa-apa.”

“Habis Ren nak kata apa? Dah tak ada jodoh!”

“Ren, jangan cakap macam tu, mama tak suka dengar. Masalah ni berpunca daripada Ren. Ren yang tiba-tiba putuskan hubungan dengan Qayyum. Qayyum tak tahu apa-apa. Keputusan ni keputusan Ren seorang.”

Rania membisu.

“Kasihan mama tengok Qayyum. Tak baik Ren buat dia macam tu tau.”

Pilu Rania mendengarnya. Dapat dibayangkan bagaimana keadaan Ummar Qayyum sewaktu berjumpa ibunya. Kalau aku berasa belas padanya apatah lagi ibu. Maafkan aku Qayyum!

“Ren...”

“Mama, Ren nak selesaikan kerja Ren,” Rania memberi alasan kerana tidak mahu memanjangkan isu antara dirinya dengan Ummar Qayyum.

“Ren...”

“Assalamualaikum mama.”

Rania membaringkan tubuhnya bersebelahan dengan Amanda Sofea selesai saja ibu menjawab salamnya. Dia berasa penat yang bukan kepalang. Tiba-tiba saja kepalanya pening berdenyut-denyut. Urat-urat di tubuhnya berasa tegang. Matanya seperti tidak mampu dibuka lagi. Nafasnya perlahan menandakan dirinya lelah teramat sangat.

Dia terlena dalam keadaan berfikir dan terjaga apabila mendengar azan Subuh yang berkumandang dari surau berhampiran taman perumahan tersebut. Tidurnya dengan pakaian semalam masih membaluti tubuh. Dia bangkit membersihkan diri dan bersolat Subuh. Sesudah itu, dia mengejutkan Amanda Sofea dan bergegas pula menyiapkan sarapan untuk Amanda Sofea.

“Dah solat?” soalnya sewaktu melihat Amanda Sofea masih dalam telekung. Amanda Sofea terkebil-kebil.

“Cikgu, sebenarnya dah lama Amanda tak solat,” ujar Amanda Sofea dengan ikhlas. “Amanda dah tak berapa ingat macam mana nak solat.”

Walaupun terkejut, Rania tidak mempamerkan perasaan itu pada Amanda Sofea. Dia tenang dan memujuk gadis itu dengan cara yang tersendiri.

“Tak mengapa, cikgu boleh ajar. Cikgu balik sekolah nanti, kita solat sama-sama ya!”

Amanda Sofea angguk.

“Cikgu dah sediakan sarapan. Lepas makan, Amanda rehat dan jangan keluar ke mana-mana. Tunggu sampai cikgu balik.”

Amanda Sofea angguk. Sebelum pintu dikunci, Amanda Sofea mencium tangan guru yang disayangi itu manakala Rania membalas dengan mengucup kedua-dua pipinya. Kereta dipandu perlahan sahaja kerana jarak rumah sewaannya dengan sekolah hanya memakan masa dua tiga minit sahaja.

Keluar sahaja dari pintu kereta, Ajeerah menyerbunya.

“Cikgu, Amanda Sofea lari dari rumah.” Nafas Ajeerah tercungap-cungap. Berubah air muka Rania. Dia mengerling ke kiri dan ke kanan sebelum bertanya sesuatu pada Ajeerah.

“Emak Amanda telefon emak Jeerah pagi-pagi tadi. Emak Jeerah pun tanyakan Jeerah tapi Jeerah tak tahu. Ada Amanda telefon cikgu?”

Berderau darah Rania diaju soalan sedemikian. Dia hanya menggeleng.

“Mana Amanda pergi ya? Jeerah risaukan Amanda cikgu. Mesti dia lari sebab dia tak hendak gugurkan kandungan.”

Sepatah kata pun tak mampu diucap Rania. Banyak yang mengganggu fikirannya saat itu.

“Selain cikgu dengan Jeerah, Amanda tak ada orang lain,” Ajeerah berkira-kira sendiri.

“Jeerah naik kelas dulu ya,” arah Rania apabila menyedari para pelajar sudah tidak kelihatan di perkarangan sekolah.

“Baik cikgu.”

Ajeerah berlari-lari anak naik ke tingkat atas meninggalkan Rania sendirian terkebil-kebil. Jiwa Rania jadi tidak keruan. Loceng berbunyi. Rania bergegas masuk ke kelas. Ada empat kelas berturut-turut. Kalau keadaan sudah runcing sebegini, aku perlu berterus-terang dengan pengetua. Fikirnya dan bersemangat untuk menerangkan satu persatu apa yang berlaku. Namun begitu, apa yang dirancang tidak menjadi. Sewaktu dia sedang mengajar di Kelas 4 Jupiter pada waktu kedua, dia diarahkan berjumpa pengetua.

“Sekarang ya cikgu,” kata kerani sekolah apabila melihat Rania teragak-agak.

Setelah memberikan latihan pada para pelajar, Rania mengekori kerani ke bilik pengetua. Debar di jantungnya berasa lain macam apabila kakinya diinjak ke bilik Tuan Haji Muhyiddin. Sebaik tersuluh wajah seorang wanita bersama Tuan Haji Muhyiddin debar di jantungnya kian laju manakala rimanya menjadi tidak menentu. Dia masih ingat raut wajah wanita itu. Wanita itu ialah Ibu Amanda Sofea. Diingati kerana wanita itu pernah ditemui di Planetarium sewaktu wanita itu menjemput Amanda Sofea yang pengsan.

Setelah dipersilakan duduk, Tuan Haji Muhyiddin memperkenalkan wanita itu kepada Rania dan bercerita tentang tujuan wanita itu hadir ke sekolah.

“Amanda Sofea telah menghilangkan diri semalam. Puan Rozana percaya Amanda Sofea bersama seseorang. Beliau ingin tahu kalau-kalau cikgu tahu di mana anaknya sekarang,” jelas Tuan Haji Muhyiddin.

Rania serba salah.

“Saya dimaklumkan oleh emak Ajeerah bahawa cikgu agak rapat dengan anak saya, mungkin anak saya ada menghubungi cikgu atau mungkin ada bersama cikgu,” serkap Puan Rozana tiba-tiba.

Kecut perut Rania dibuatnya.

“Maklumat daripada cikgu barangkali boleh membantu,” Tuan Haji Muhyiddin mencelah. Dia berasa pelik melihatkan keadaan Rania.

“Maafkan saya. Boleh saya tahu kenapa agaknya Amanda Sofea menghilangkan diri?” tanya Rania berani.

“Ini masalah keluarga, saya hanya mahu tahu kalau-kalau cikgu tahu di mana dia berada.” Tanpa menjawab pertanyaan Rania, Puan Rozana menyoalnya balik.

“Saya tak tahu.”

“Betul cikgu tak tahu?” gertak Puan Rozana.

Rania angguk.

“Bukankah cikgu sangat rapat dengannya?”

“Saya memang agak rapat dengannya sejak saya mengetahui kisah tragis yang menimpa anak puan,” sahut Rania selamba.

“Kisah tragis? Apa maksud cikgu?” Suara Puan Rozana meninggi.

Dia menjeling sekilas pada Tuan Haji Muhyiddin. Rania teringat pesanan Amanda Sofea supaya merahsiakan hal tersebut. Kemungkinan besar ibunya tidak tahu bahawa dia, pihak pentadbir dan kaunselor sekolah sudah tahu tentang peristiwa yang menimpa Amanda Sofea. Tahunya mereka adalah untuk kebaikan Amanda Sofea juga.

“Boleh cikgu jelaskan? Saya kurang mengerti,” gertak Puan Rozana lagi.

Rania pandang muka Tuan Haji Muhyiddin yang nampak keliru. Barangkali Tuan Haji Muhyiddin juga tidak menyedari bahawa perempuan yang sedang bersemuka dengan mereka ialah ibu kepada pelajar yang mengandung itu.

“Tuan Haji, Puan Rozana ialah ibu kepada pelajar yang...,” Rania terhenti seketika. Berat lidahnya untuk melangsungkan kata-kata seterusnya.

“Ibu siapa?” Berkerut dahi Tuan Haji Muhyiddin.

“Pelajar kita yang hamil....” Nada suara Rania sengaja direndahkan. Tuan Haji Muhyiddin terkejut sedang Puan Rozana pula sudah naik angin.

“Apa?”

Rania menghela nafas. Meluat juga dia melihat kelakuan Puan Rozana yang langsung tidak menunjukkan kematangan dan jauh sekali bersikap profesional.

“Awak jangan cakap sembarangan,” ugut Puan Rozana.

Biji matanya sudah membuntang. Ketara dia sangat marah apabila mengetahui perihal kehamilan Amanda Sofea sudah diketahui pihak sekolah.

“Tak betul ke apa yang saya cakap?” cabar Rania. Dia sudah tidak sanggup melayan kerenah hipokrit Puan Rozana yang menyusahkan banyak pihak lebih-lebih lagi anaknya sendiri.

“Bermakna awaklah yang menyebarkan berita tersebut?” tuduh Puan Rozana. Matanya membelalak. Nafasnya turun naik begitu kencang. Berang sungguh dia mendengar kata-kata Rania.

“Sabar puan sabar. Perkara ini dapat diselesaikan dengan cara baik. Kami sudah ada perancangan untuk anak puan,” pujuk Tuan Haji Muhyiddin melihatkan Puan Rozana sudah dilanda emosi.

“Kalau tak kerana rancangan puan untuk gugurkan kandungan Amanda, dia tak akan lari dari rumah,” Rania menyiram minyak tanah ke dada Puan Rozana yang sedang membara.

Dia juga berasa marah mengenangkan tindak-tanduk tidak berperikemanusiaan yang sedang dirancang Puan Rozana.

“Kurang ajar!” herdik Puan Rozana. “Ini urusan anak saya dan awak tak berhak untuk campur tangan.”

“Tapi rancangan puan salah. Berdosa. Lebih teruk lagi rancangan puan tidak mendapat persetujuan daripada Amanda Sofea. Dia tidak rela kalau puan gugurkan kandungannya.”

“Saya akan pastikan awak akan dikenakan tindakan tatatertib atas apa yang telah awak lakukan.”

“Apa yang saya buat? Saya hanya berusaha untuk menyelamatkan bayi yang tidak berdosa,” bangkang Rania.

Puan Rozana mengetap bibirnya.

“Puan, sabar puan. Kita bincang tentang kehilangan anak puan dulu. Keselamatannya yang perlu diutamakan,” pintas Tuan Haji Muhyiddin.

Dia bimbang melihatkan kesabaran Puan Rozana yang sudah genting menanti putus itu. Mendengar kata-kata Tuan Haji Muhyiddin, Puan Rozana sejuk sedikit. Dia duduk kembali dengan wajah yang masam mencuka.

“Cikgu tahu di mana Amanda Sofea?” tanya Tuan Haji Muhyiddin apabila keadaan semakin stabil.

“Amanda Sofea selamat. Dia berada di rumah sewa saya.”

Bersambung...

Oleh Samsiah Mohd Nor
Sumber: Metro

Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!

Catatan popular daripada blog ini

Tips Pakaian Untuk Konvo

Innershine Prun dan Camu-camu: Testimoni Cantik Kulit Berseri

Sedap. Manis-manis masam. Kalau ada rasa kurma, lagi best. Marvellous. Ada orang cakap, masam sedikit. Pada Sha yang tak makan masam langsung, rasa Innershine ini tidaklah masam mana. Sedikit sahaja rasa masamnya, berbanding produk lain yang lagi rasa masam asam jawa (Ladies Collagen). Innershine rasa masam buah camu-camu sahaja. 
Harga pasaran untuk 6 botol RM 28.90 dan untuk 12 botol RM 57.90. Berat satu botol 42 gram. Harga boleh dapat murah, ikut pasaraya. Pandai-pandailah korang pilih. Sha tengok kat Aeon (Jaya Jusco nama lamanya) pada 13 Jun 2014, harga seperti di atas. Tapi Sha tengok kat Big Aeon harganya lebih murah. Pek kecil (6 botol) hanyalah RM26.90 manakala yang besar RM54.90. Murahlah berbanding harga asal.
Perubahan magik yang Innershine Prun dan Camu-camu lakukan kepada diriku:

Hari pertama, minum malam sebelum tidur, tak dapat tidur dan esok paginya, perut membuang, detox kan? Hehe.
Lusanya, minum awal sikit dalam pukul 9 malam. Tidur, ok saja. Perut ok, tak ada…

Pantang Larang dan Makanan Orang Demam Campak

Nak jaga pemakanan orang demam campak?
Ok, aku ada petua dan tipsnya. Segala yang tertulis di sini adalah keluar dari kepalaku, dan pengalamanku menjaga makanan orang demam campak. Ku abadikan di sini.


Tidak boleh menggoreng
Demam campak ni kita tak boleh nak goreng apa-apa makanan terutamanya guna minyak. Contohnya goreng ikan.

Menumis pun tak boleh tau.

Sebab apa tak boleh? Sebab ia akan merangsang pertumbuhan campak dan buat ianya kemerah-merahan.

Elakkan makanan laut yang gatal
Makanan laut, seperti udang, sotong, kerang elok la dikuarantinkan.. Haha~ Bukan kuarantin la tapi jangan makan makanan tu, k.

Elakkan yang pedas
Cili pun tak boleh makan sebab mengundang kegatalan.


Elakkan yang hitam-hitam seperti gaban perkasa hitam


Kicap dan kopi harus la dijauhi serta merta sebab ia akan menyebabkan berparut hitam. Kalau koko atau milo? Kalau capucinno? Erm, ikut suka korang la.

Aha, aku ada idea, kalau nak putih maka minumlah air soya. Confirm menjadi. Tapi kalau tak jadi, jangan…